How to Stay Focus?

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim…

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
[al-‘Asr 103:1-3]

Alhamdulillah, dengan ini bermulalah semester yang baru dengan azam yang semakin teguh, insyaAllah, untuk meneruskan perjuangan di dalam medan ilmu perubatan, mahupun bidang kejuruteraan… 

Pastinya, semua telah puas merehatkan diri, mentadabbur alam dan mengambil ibrah daripada pengembaraan musim sejuk masing-masing. Semoga bekalan yang terkumpul dapat membawa anda lebih jauh dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar ini, insyaAllah.

Kali ini, saya sekadar ingin berkongsi satu program yang telah banyak membantu diri saya sendiri dalam menguruskan waktu. Maklumlah, sebagai seorang pelajar yang mempunyai komputer peribadi dan terdedah kepada dunia maklumat tanpa sempadan, kalau boleh setiap saat mahu menghadap komputer sahaja menghabiskan masa yang ada. Melayari muka buku, menonton cerita, berbalas-balas e-mel, mencari berita mengenai artis pujaan, dan sebagainya. Setiap detik yang berlalu bagaikan tidak terasa apabila dihadapkan dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah ini(lagha).

Syukur kepada Allah, saya telah diperkenalkan dengan satu program yang bisa membantu anda juga dalam mengawal penggunaan teknologi yang sedia ada. Program yang bernama “Stayfocused” ini akan membantu anda mengawal laman web yang anda kunjungi dan juga menetapkan tempoh masa kunjungan anda agar berpada-pada dan tidak berlebihan.

Antara aspek-aspek program ini:

1) Anda boleh menetapkan laman web larangan, yakni laman web yang anda tidak mahu kunjungi pada bila-bila masa sekalipun.
2) Anda boleh menetapkan waktu yang tertentu untuk melawat laman web tertentu, misalannya menetapkan untuk melawat laman muka buku hanya dalam tempoh 1 jam setiap hari dari pukul 9 malam hingga 10 malam sahaja.
3) Apabila masa anda telah tamat, maka skrin akan serta merta berubah mengingatkan anda mengenai tanggungjawab dan tugasan yang perlu anda selesaikan.
4) Tempoh masa yang ditetapkan boleh diubah bagi setiap laman web, namun perubahan hanyalah untuk mengurangkan tempoh lawatan. Andai kata anda ingin menjadikan tempoh masa yang lebih panjang, bersiap sedialah untuk menghadapi halangan-halangan yang bakal dikemukakan oleh program tersebut.
5) Program ini sesuai untuk para pengguna google chrome sahaja. Bagi pengguna firefox, anda bolehlah mencuba program “LeechBlock”.

Secara ringkasnya, program ini amat mudah untuk digunakan bersama panduan yang diberikan bersama. Semoga perkongsian ini dapat membawa manfaat kepada kita bersama, insyaAllah.

Kata Sayidina Ali R.A:
'Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memenggalnya nescaya ia akan memenggal lehermu'

Wallahua’lam.


Post a Comment