0 comments

WARNA-WARNI VOLGOGRAD


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmat dan Inayah-Nya, kita masih lagi berkesempatan untuk menikmati kurniaan yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan yang paling penting masih lagi berkesempatan untuk menjadi hamba yang insyaalah lagi taat kepada Sang Pencipta.

Sekalung tahniah diucapkan kepada PPIM dan kelab UMNO Volgograd di atas kejayaan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menarik sepanjang bulan March yang lalu. Semoga usaha ini tidak berhenti di sini sahaja dan pihak PPIM dan UMNO dapat menganjurkan lebih banyak program-program yang bermanfaat.

 “MALAYSIAN INDOOR AND RECREATIONAL COMPETITION 2012”

Pada 25 Mac 2012, telah berlangsung satu acara yang dinantikan saban tahun oleh para pelajar di bumi Volgograd iaitu Malaysian Indoor and Recreational Competition (MIRC). Program anjuran Kelab Umno Volgograd yang bertempat di Aktovi zal, Hostel Hiroshima ini telah bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang.

 Tepat pukul 9 pagi acara dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden Kelab Umno Volgograd. Seterusnya pada pukul 10 pagi, acara diteruskan lagi dengan Pertandingan Congkak, Spot The Difference, Arm Wrestling, Uno, Speed Chess, Piramida, Darts, Batu Seremban dan Tuju Selipar. Suasana dewan pada hari tersebut sangat meriah dengan aksi para pelajar yang bersungguh-sungguh berentap untuk mengumpul mata dan menyumbang kepada markah batch masing-masing. 

Menjelang pukul 12 tengahari, menyusul pula Pertandingan Tudung Botol dan Teng Teng. Selain itu turut disediakan “Side Games” yang terbuka kepada semua pelajar iaitu Pertandingan Teka Air, Speed Typing, Speed Game dan Sudoku. Melalui “Side Games” ini juga para pelajar boleh berusaha mengumpul mata kemenangan untuk disumbangkan kepada batch masing-masing. 

Setelah seharian berada di tempat pertandingan,satu demi satu pemenang telah diumumkan. Johan keseluruhan bagi MIRC 2012 disandang oleh Pelajar Tahun Tiga, naib johan adalah milik Pelajar Tahun Lima manakala tempat ketiga jatuh kepada Pelajar Tahun Satu. Diharapkan pada pertandingan yang akan datang para pelajar masih mengekalkan semangat dan kesungguhan dalam menyertai MIRC. 




  “MEDICAL CULTURE NIGHT 2012”

Pada 31 Mac 2012 IMAM Volgograd telah mengadakan “Medical Culture Night” sebagai penutup program “BULAN IMAM” yang berlangsung sepanjang bulan Mac 2012. Majlis pada malam itu turut dihadiri oleh Encik Shuhaimi selaku Pegawai MARA yang juga secara langsung telah merasmikan penutupan program “BULAN IMAM”. Majlis yang bertempat di Aktovi Zal universiti telah bermula pada pukul 4.30 petang.

Di awal pembukaan, majlis dimulakan dengan penuh suspen oleh persembahan silat yang sangat memukau. Seterusnya diikuti pula ucapan oleh Presiden IMAM Volgograd; saudara Mohd Aizat Mad Ghani, Presiden MSA; saudara Khairul Afham dan Encik Shuhaimi. Majlis diteruskan dengan tayangan video aktiviti IMAM yang memaparkan pelbagai aktiviti sepanjang BULAN IMAM. Antara acara yang dipertandingkan adalah Kuiz Sirah, Pertandingan Puzzle, Pertandingan Seni Khat, Pertandingan Melukis, Pertandingan King of Diagnosis and Prince of Physical Examination, Teka Herba dan pelbagai lagi.

Seterusnya pula ialah upacara penyampaian hadiah bagi setiap acara yang telah dipertandingkan. Selepas itu majlis diserikan pula oleh persembahan deklamasi sajak yang berjudul “Sajak Tabid Tua, Ubat Muda”. Kemudian disusuli dengan persembahan nasyid oleh Pelajar Tahun Satu. Acara persembahan juga diselang-selikan dengan upacara penyampaian hadiah. Persembahan yang seterusnya boleh dikira kemuncak pada malam tersebut ialah Dikir Barat.

Sebaik sahaja selesai persembahan oleh para pelajar, majlis diteruskan dengan acara cabutan bertuah. Kemudian, sebagai penutup tirai majlis, para hadirin telah dipersembahkan dengan persembahan Nasyid Gaza bersempena Program Global March to Jerusalem (GMJ). Majlis berakhir pada pukul 6 petang. 



Sekarang, mari kita dengar pendapat mereka yang hadir pada malam itu

video


WEEKEND CHILL OUT '12

Pagi ahad yang selalunya tenang dan sepi di Kim Sport Zal digegarkan seawal dari jam 830 pagi lagi oleh para pelajar tajaan MARA dan JPA di Volgograd. Program yang julung-julung kalinya diadakan dan dianjurkan dengan kerjasama penaja utama para pelajar di Rusia ini; MARA dan JPA diaspirasikan dalam bentuk sukaneka yang bertemakan "WEEKEND CHILL OUT" hasil usaha keras committe pimpinan saudara Muhammad Anuar Yaakub. Tahniah dan syabas diucapkan. 

1 April 2012 mencatatkan peristiwa istimewa ini yang diserikan lagi dengan kehadiran pegawai MARA, En. Suhaimi Zainuddin.

Pembahagian kumpulan yang mewakili warna rumah sukan; hijau, merah, kuning dan biru, menambah rencah dan rasa apabila masing-masing begitu bersemangat dan bekerjasama bagi memastikan membolot kejuaraan di samping menggamit memori manis ketika masih menyarung uniform sekolah.

Sukaneka bermula dengan penyertaan pelajar wanita dalam 4 aktiviti, antaranya susun piramid, angry bird, larian ikat kaki dan bowling serta "Mini Treasure Hunt". Setelah selesai, aktiviti yang lebih mencabar menanti pula untuk pelajar lelaki antaranya dodge ball, monkey-monkey, angry bird dan juga bowling. Kemudian acara kemuncak tarik tali dan futsal antara pelajar lelaki MARA dan JPA menutup tirai aktiviti pada pagi tadi.

Debaran berakhir apabila rumah kuning diumumkan sebagai juara keseluruhan, rumah hijau tempat kedua, manakala rumah merah dan rumah biru masing-masing di tempat ketiga dan keempat. Bagi futsal, pelajar MARA menjuarainya, manakala juara tarik tali milik pelajar JPA. Para pelajar mendapat hadiah hamper yang bernilai hampir 12000 rubles dan juga hidangan sarapan dan makan tengah hari yang enak; nasi lemak dan nasi kerabu. Harapan besar En. Suhaimi agar program ini dapat diadakan saban tahun.








Post a Comment