Apakah Ini Dinamakan Cinta?

5 comments
“Awak, awak suka makan apa?” tanya Mr H.
“Laksa. Kenapa tanya tiba-tiba ni?” jawab Miss Z.
“Eh, eh, sama la kita! Lepas tu letak cili potong banyak-banyak biar pedas, baru sedap hingga menjilat jari!”
“Nak jilat jari apanya dah makan laksa kan guna sudu. Tapi betul betul betul! Cili potong! Memang selera kita sama la!”, Miss Z teruja kerana ada yang berkongsi minat yg sama dengannya. Keduanya saling merenung tepat mata pasangan mereka. Senyum. Bahagia.

Gambar sekadar hiasan.


 ************

Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.

Bahagia bukan, andai orang yg kita sayangi turut berkongsi minat yang sama dengan kita? Lagi bahagia andai si dia berebut-rebut hendak meniru setiap gerak perbuatan kita hanya semata-mata untuk menarik perhatian kita, membuktikan kecintaan dan sayang mereka pada kita, kan? Ah, sukanya!

Begitulah perasaan baginda Rasulullah SAW tatkala setiap sunnah baginda kita ikuti. Setiap perbuatan, tutur kata, gaya bahasa, akhlak mulia yang diwariskan kepada kita umat baginda seharusnya diperinci dan diapplikasi dalam setiap sudut dan inci kehidupan kita ini. Formulanya ringkas. Kalau cinta, hayati kehidupan baginda. Kalau sayang, hiduplah dalam ‘kesunnahan’. Bak kata orang putih ‘sharing is caring’, kan?  =)

Sunnah yang ditinggalkan baginda tiadalah terkira banyaknya. Dari sekecil-kecil masuk tandas dengan mendahulukan kaki kiri dan memperbanyak senyum sehinggalah sebesar-besar perkahwinan dan dakwah. Semuanya telah dikisahkan dalam hadis dan telah dibahaskan panjang lebar oleh sarjana-sarjana islam yang hebat. Hingga pada akhirnya ia hanya bertitik tolak atas kemahuan kita, apakah kita mahu hidup persis baginda, atau sekadar terus-terusan dalam kerangka hidup sekarang?
Pilihan di tangan kita.

Ironinya, dalam kita hendak menghidupkan sunnah baginda, pasti ada yang akan memandang sinis, merenung hairan, menatap ganjil dan melihat dengan penglihatan penuh janggal seolah-olah kita sedang berbuat maksiat melampau. Tenang aja pak. Usah khuatir akan pandangan-pandangan mereka yang kurang memahami.
Bukankah rasulullah SAW telah pun bersabda,

“بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء”

Maksudnya: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. (Hadis Riwayat Muslim)



Nah, beruntung kan jadi orang asing? Masih nak risau? Biaq pi la apa depa nak kata. Asalkan kita bahagia. =)

Marilah kita contohi kisah sahabat Rabiah bin Kaab yang sangat mencintai Rasulullah SAW.


“Di waktu malam, aku menghampiri Rasulullah SAW dengan menghantarkan air wudhu dan beberapa keperluan yang lain.

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada ku dengan penuh lemah lembut:
“Apa yang engkau cita-citakan, wahai Rabiah?,”
Rabiah membalas dengan penuh penghormatan: “Aku ingin menemanimu di Syurga!,”
Rasululllah SAW bertanya lagi: “Selain itu, wahai Rabiah?,”
Rabiah menjawab: “Sama sahaja Ya Rasulullah, aku hanya ingin menemanimu di Syurga.”
Rasulullah SAW dengan wajah yang tenang mengatakan : “Jika demikian, bantulah aku untuk mewujudkan apa yang engkau inginkan itu dengan memperbanyakan sujud.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Nah, lihatlah sendiri bagaimana cintanya sahabat kepada baginda. Tidakkah kita mahu mencontohi mereka, generasi barakah idola sepanjang zaman? Apa tunggu lagi? Mulakan saatmu ini dengan sunnah baginda!

Di akhir kalam, molek rasanya andai dilampirkan video berkisar kisah Rabiah bin Kaab yang sangat mendalam sayangnya pada Rasulullah SAW, semoga bermanfaat hendaknya. =)


-Moga Allah redha-
Wallahu'alam.

Assalamualaikum wbt.


5 comments: