‘SADO’ vs DOSA

0 comments



Petang itu, selesai sahaja bermain futsal, Hamidi singgah di kedai kopi. Melepaskan segala beban di bahu, serentak dengan itu direbahkan badannya ke kerusi kedai yang empuk. Terasa sungguh lega...Fuhhhhhhhhhhhhh!

Hamidi mengalih pandangan ke bawah, kelihatan kaki nya penuh luka melecet. Manakan tidak, permainan harini hampir sahaja berlangsung dari pagi sampai ke petang. Dalam perlawanan itu, sempat dia menyumbat 4 gol, dan membantu pasukannya untuk mara ke peringkat akhir. Tepukan sungguh gemuruh, kedengaran nama “Hamidi,Hamidi,Hamidi!” dilaung-laung sepanjang perlawanan. Hamidi sendiri tenggelam dalam larut sorak dan pekik peminat nya, saat dilaungkan namanya, semakin banyak noradrenaline dirembes, semakin kencang Hamidi berlari dan mengelecek bola ke pintu gawang.

Namun, fikiran Hamidi masih teringat akan perlawanan akhir sebentar tadi. Saat perlawanan diikat tanpa jaringan, akhirnya terpaksa dibawa ke masa tambahan. Hamidi dan rakan sepasukan terus mengempur kubu pihak lawan. Bertubi-tubi.. Berkali-kali. Tapi masih juga menemui jalan buntu.

Akhirnya…

1 minit sebelum wisel penamat ditiup, entah semena-mena bola yang dikejar singgah di kaki Hamidi. Melihatkan peluang ini, terus dia berlari kencang membawa bola ke pintu gol lawan. Sampai sahaja ketika hendak menyepak bola tersebut, tiba-tiba Hamidi dikasari oleh pertahanan lawan.

Hamidi tersungkur jatuh..

Terasa kecewa dan marah, terus Hamidi bangun dan menerpa orang yang membentes kakinya tadi. Darah telah menyelirap dalam tubuhnya dan berkumpul padu di pergelangan tangan, akal kewarasannya pula terhalang dengan hati yang penuh kemarahan, dan akhirnya dilepaskan juga penumbuk ke atas lawan nya itu.

Darah terpercik keluar dari hidung…

Peristiwa itu disaksikan oleh seluruh penonton perlawanan, dewan menjadi senyap dengan tiba-tiba. Terpaku dengan kejadian itu. Noktah.

Hamidi pula terus dirasuk amuk kemarahan, ditendang pula semua benda yang tercapai oleh kakinya. Mulutnya keluar perkataan yang tidak sepatutnya, &^%*(%#.  Tidak pernah dia sampai sepanas ini, manakan tidak, kejuaraan kali ini dianggap penting bagi dirinya, sudah bertahun-tahun dia memenangi kejuaraan ini, dan tahun ini merupakan tahun terakhir dia berada di Russia. Dia ingin mencipta rekod menjadi orang pertama yang memenangi kejuaraan bermula tahun pertama sehingga tahun terakhir pengajian di sini.

Kad merah dilayangkan, Hamidi keluar dari gelanggang perlawanan. Dia mencapai beg dan terus menuju ke kedai kopi. Sebenarnya bukan kopi yang menjadi tujuannya, tapi ketenangan yang ada di kedai tersebut yang ingin dicari.

Perasaannya kusut,..Marah, kecewa, sedih dan malu bercampur baur. Teringat akan segala dosanya sebentar tadi. Tapi apakan daya, semua telah pun terjadi diluar kawalannya.

Dengan tiba-tiba, air mata mulai mengalir.
Kali ini bukan kerana kemarahan dan ketegangan, tapi air mata yang lahir dari penyesalan.
Sesal,
bukan kerana kalah perlawanan, tapi sesal kerana dosa yang dilakukan.
Malu,
bukan kerana malu tidak dapat mengawal perasaan, tapi malu kerana dia sudah lupa mana Tuhan, mana arah tujuan.

Hamidi sedar yang dia telah mengasari orang lain kerana satu perkara yang sangat kecil,
Dia sedar yang selama ini dia terlalu obsesi dengan futsalnya, sampaikan telah banyak dosa dia lakukan.

Solat,
mulanya hanya solat di akhir waktu, tapi akhirnya tertinggal solat sudah tiada lagi rasa bersalah.
Pakaian,
mulanya menutup lutut dan tidaklah ketat, tapi sekarang sudah tidak lagi hirau tentang aurat.
Bahkan banyak perkara yang selalu dibuat sebelum ini, mengaji, puasa,qiam, usrah, dan lain-lain lagi ditinggalkannya semata-mata sebuah impian kecil ingin memenangi perlawanan futsal.

___________________________________________________________

Mujur bagi seorang Hamidi, Allah jentik hatinya dengan kejadian yang membuat dia insaf seorang diri, tanpa teguran dari orang, tapi teguran dari Tuhan sendiri. Kekuatan yang ada padanya membuat dia lupa kelemahan dalaman yang perlu diisi, yang hanya dapat ditemui bila berdamping dengan Tuhan Yang Maha Perkasa.

Berapa ramai diluar sana yang tertipu dengan alat keduniaan, disangkanya itulah tujuan, itulah kepuasan.

Sedang janji Tuhan itulah yang lebih kekal, lebih abadi dan pasti akan terjadi.
Tapi manusia sering kali lupa.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي اْلأَمْوَالِ وَاْلأَوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَفِي اْلآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُوْرِ
“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang karenanya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada adzab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan- Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al- Hadid: 20)

_____________________________________________________________

Setelah setahun berlalu peristiwa itu, Hamidi masih saja bermain futsal, masih lagi seorang Hamidi, masih lagi ‘sado’ (baca:kuat) dan berbisa.

Tapi yang berbeza, Hamidi tidak lagi melakukan dosa yang sama, dan dia sentiasa berusaha ingin berubah dan merubah orang di sekelilingnya. Futsal dijadikannya alat untuk menunjukkan kepada orang lain satu matlamat, satu tujuan, satu kepuasaan yang lagi besar.

Hamidi lebih tenang,diamnya diisi dengan fikir dan zikir, masanya penuh dengan ucapan kalam-kalam Quran, kesibukannya pula bukan keduniaan, tapi kesibukan dan keasyikan mengajak orang mengenal Tuhan.


“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, keikhlasan yang benar kepadaNya”.

-Ibnu Qayyim-

______________________________________________________________

Jadilah seperti Hamidi.
Kita menang sama-sama,
Kita kalah sama-sama,

Kita ke syurga sama-sama.



Post a Comment