Jom ! Jadi Driver Terbaik .

0 comments








Sayu rasanya hati ini saat membaca berita di media massa tentang masalah ummat islam di negara sendiri. Hati ini rasa seperti dikoyak koyak, kemudian dicincang halus lalu diblender dengan kuasa laju. Memang tiada serpihan yang tinggal. Dari politik yang pincang dari dalam, ke ekonomi negara yang semakin tidak stabil, ditambah pula dengan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi di kalangan remaja membuatkan niat di hati untuk pulang berkhidmat kepada negara menjadi goyah. Takut dan sedih untuk hidup dalam negara sendiri. Ya, itu lah perasaan yang tepat menggambarkan keadaan saya sekarang. Mana tak nya, yang terlibat dengan isu-isu yang sering bermain sekarang ini kebanyakannya tidak dapat lari dari bangsa melayu, Islam pula tu. Dari bangsa dan agamaku sendiri!

Aduss, malunya. Bagaimana Islam bisa nampak indah di mata masyarakat luar jika beginilah akhlak kita si penganutnya??

Di sini, saya sama sekali tidak berniat untuk membuka satu persatu pekung, masalah atau jenayah yang telah dilakukan. Dengan sekali tekan di mana-mana pautan berita kalian sendiri dapat menyaksikan betapa nazaknya ummat kita kala ini.

Fitrahnya, Islam itu indah kerana kesyumulan ajarannya yang bukan sekadar kefahaman beragama tetapi juga sebuah gaya hidup yang lengkap (Way of Life).
Firman Allah swt :
"Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam islam secara keseluruhan"
(Al baqarah 2:208)

"Keseluruhan" di sini bukan bermaksud sekadar kita menyapu jem di permukaan roti tersebut. Tetapi ia dapat dianalogikan seperti kita merendamkan sekeping roti ke dalam kuah kari, maka kuah kari itu meresapi ke segenap lapisan roti tersebut.

Tetapi realitinya, kita dapat lihat saudara kita sekarang hanya menyandarkan Islam pada nama sahaja. Langsung tidak meresapi ke dalam jiwa mereka, nak terzahir ke perbuatan jauh sekali. Akhlak umat Islam itu sendiri tidak lagi menggambarkan akhlak al-Quran seperti ditunjukkan Nabi. Bahkan kita inilah yang dikecam sebagai pencemar agama dengan akhlak-akhlak jahiliyyah kita.

Memang benarlah kata Kak Elyana dalam bait lagunya tak tercapai akalmu..
"Mudahnya merosakkan dari membina, mencemarkan dari memulia,
tak menghirau dari mengendah.." :)

  
Kerana akhlak Islam itu cerminan aqidah islam maka disebabkan itulah ianya tidak boleh dientengkan sesuka hati. Jom kita ke skop yang lebih dekat dengan kita, sejauh mana kita memaknai akhlak seorang muslim dari aspek pelajar. 


 

Adakah kita seorang yang terawal atau terakhir ke kelas?
Adakah kita seorang yang aktif atau pasif di dalam kelas?
Adakah kita seorang penelaah ilmu atau hanya penagih ilmu dari guru?
Adakah hari-hari kita disulami dengan husnuzon atau perbuatan ghibah kepada guru sendiri?
Kalian sendiri ada jawapannya.

Jom kita tengok analogi kereta. Sebuah kereta ferrari merah yang segak bergaya tetapi jika dipandu oleh seorang yang tidak mempunyai skill dan pengalaman yang baik maka pemanduannya akan selalu terpesong dari trek perjalanan.

Begitu juga dengan Islam, sebuah agama yang sangat indah dan ohsem tetapi jika dibawa oleh seorang yang tidak berakhlak Islamiyah maka tercemarlah keindahan Islam secara keseluruhannya.
Benar, sebaik-baik driver adalah Nabi Muhammad SAW. Sehingga baginda sendiri dipuji Allah dalam al-Quran ,“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu.” (Q.S Al-Ahzab:21). InsyaAllah kita sebagai umat baginda juga perlu berusaha untuk mencontohi akhlak baginda kerana kita kan pewaris tugas baginda Nabi SAW.

Kata orang, import lah Islam ke dalam diri kita dahulu, maka mudahlah kita meng-eksport Islam itu kepada orang lain. Jom kita sama sama memperbaiki diri menjadi driver terbaik untuk Islam supaya Islam itu nampak indah bukan rendah.


Post a Comment