Marah itu mudah, tapi sabar lebih indah !

0 comments



Sabar itu penat,
Sabar itu resah,
Sabar itu gundah,
Sabar itu emosi,
Sabar itu susah.

Tapi sabar itu akan berhujung indah.
     Tapi bila indahnya?

***********************************************************************************************************************
Persoalan keindahan sabar seringkali bermain dalam fikiran kita sebagai seorang hamba. Pernah tak terbayang bagaimana nabi-nabi terdahulu yang diutus oleh Allah swt kepada manusia untuk berdakwah sabar dan tabah dengan kehendak dan mehnah kaum mereka. Jika sifat sabar yang dicipta Allah ini tiada dalam setiap manusia, pasti semua gerak kerja dakwah dan sunatullah kehidupan ini akan terumbang-ambing dan tidak berjalan dengan lancar. Betapa hebatnya sifat sabar yang Allah sudah janjikan ganjarannya kepada mereka yang bersikap begini.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.”
(Al-Baqarah, 2:177).

Daripada ayat di atas, Allah menyatakan bahawa orang-orang yang bersabar dalam kehidupan mereka, mereka inilah yang tinggi darjatnya di sisi Allah. Ketinggian darjat itulah kemanisan dan keindahan yang ingin kita kecapi di hujung jalan.


Sabar pada manusia ini ada dua jenis.

Pertama ialah sabar yang kebiasaannya manusia selalu buat atau alami. Contohnya, menahan atau bersabar dengan cabaran dan dugaan, sabar tahan marah, pendam perasaan , pendam rasa sakit. Itu sabar yang biasa.

Yang kedua ni ialah sabar yang indah. Sabar jenis inilah kita akan peroleh apabila kita ikhlas dan sentiasa bersyukur dalan setiap perkara. Orang yang dalam jenis ni, dia akan mennerima sesuatu musibah itu dengan rasa gembira dan syukur. Analoginya seperti seorang kanak-kanak mendapat gula-gula atau lebih lagi dari itu. Dia percaya, jika dia bersabar, Allah akan angkat darjatya.

Dalam pendapat lain, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa sabar itu ada dua. Pertama ialah sabar yang bersifat badani (fizikal). Sabar fizikal berupa seksaan, penyakit dan kesusahan yang menimpa jasad. Kedua bersifat rohani (spiritual) seperti ejekan orang, perpisahan, kekecewaan, kegagalan, kematian dan lain-lain yang kebanyakannya menekan nafsu dan bertentangan dengan kehendak diri.

            Justeru, jika seseorang mampu bersifar sabar secara syumul (kedua-duanya) maka dia akan memiliki dua keindahan. Pertama, keindahan fizikal dan kedua, keindahan rohani. Sabar itu bererti “menahan”. Jika kita mampu menahan diri ketika melakukan ketaatan, meninggalkan maksiat dan ditimpa musibah, nescaya akan semakin indahlah wajah dan akhlak kita.


Sabar itu ada di hati. Apabila hati baik, wajah akan kelihatan cantik. Apabila hati baik, kita akan sentiasa dapat melihat kebaikan. Ya, bersabarlah! Kita akan jadi orang baik dan kita akan merasai ketenangan dan keindahan dengan kebaikan itu. Sesungguhnya… sabar itu indah!

***********************************************************************************************************************

Sabar itu ilmu peringkat tinggi.
Setiap hari belajarnya,
Setiap saat latihannya,
Setiap masa ujiannya,

Hingga hujung nyawa sekolahnya.


Post a Comment

RESEPI: SHePHeRd PiE DaGiNg

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم
dengan nama allah yang maha pengasih dan penyayang

QS Al Baqarah: 172

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُواْ لِلّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.


Bahan A ( utk pie )
1.       1 kg kentang..
2.      setengah cawan susu segar.. agak2 dalam 100 ml gitu..
3.      2 sudu besar butter.. butter ni biarkan dlm suhu bilik..
4.      1 sudu teh serbuk lada sulah
5.      garam secukup rasa

Cara menyediakan pie
1.       Mula2.. rebus kentang yg di dadu dalam air mencukupi.. rebus sampai empuk..
2.      Bila dah empuk sila toskan dan masukkan dalam bekas yg sesuai..
3.      Dalam keadaan kentang yg masih panas, lenyek2 dan lanyak2 itu kentang sampai hancur.. pakai whisker je.. senang.. !! Buat sampai semua kentang hancur tau.. jgn ada yg berketul2 lak.. kang tak lawa struktur dia kang..
4.      Bila kentang dah lumat, masukkan susu sikit demi sikit.. Jgn tuang semua tau.. tuang sikit2 pastu gaul.. tuang lagi.. gaul lagi.. agak2 kentang tu lembutnya mencapai tahap piawaian anda, toksah tuang susu lg..
5.      Kemudian, masukkan lak butter.. gaul lagi sampai sebati..
6.      Masukkan garam secukup rasa dan lada sulah..

Bahan2 Inti Daging
1.       Sebiji bawang holland.. di potong dadu..
2.      500 gram daging cincang..
3.      Sos prego..(apa2 jenama yang ade kt Russia ni.. boleh je.. hehe.. Asalkan halal dan baik utk diri)
4.      Serbuk lada hitam dan garam secukup rasa
5.      Keju sbg bahan penyedap.. ewahhhh..

Cara buat inti (inti versi lasagna)
1.       Memula.. panaskan sedikit minyak (campur 2 sudu butter kasi wangi)
2.      Tumis bawang yg di dadu sampai layu..
3.      Pastu masukkan daging cincang tadi..
4.      Masak sampai daging tersebut bertukar kaler(sampai masak)
5.      Pastu pulak tuang je sos prego tadi.. masukkan sekali serbuk lada hitam ikut suka la nak byk mana.. kacau rata.. masak lagi dlm beberapa minit gitu..

Last step :D
1.       Sediakan bekas pie atau tray yg sesuai.. guna bekas ramekin je.. senang sikit nak makan..
2.      masukkan kentang lenyek dulu.. suka hati nak letak tebal mana..
3.      Pastu lapiskan dgn inti daging.. ni biar banyak sikit.. baru sedappp..
4.      Kemudian tutup dgn kentang lenyek lagi.. Di akhiri dgn taburan keju di atasnya.. Bakar le dlm oven yg telah di panaskan terlebih dahulu dgn suhu 180 celsius... api oven atas bawah ye..  bakar sampai keju di atasnya cair dan mula bertukar warna keperang2an sikit.. jgn sampai hangit lak..

SELAMAT MENCUBA J





Post a Comment

Hebat di dua padang

0 comments
megamind_giveahand.jpeg
"Zat, jom gerak pergi futsal, Azwan dah tunggu tu."

"Eh, kau ni nak gerak dulu, dah Asar belum?" balas Izzat sambil menghamparkan sejadah di sebelah katil.

"Errrr...... Belum," kata Arsyad dengan muka tersipu-sipu macam kerang busuk.

"Haaa. Kalau macam tu, jom join aku solat jemaah. Boleh dapat banyak pahala, insha Allah. Tapi kau jadi imam la. Hehehe..."

"Mana aci. Kita osum, sapa kalah dia jadi imam," Kata-kata Arsyad itu disambut dengan gelak tawa mereka berdua.

Seusai solat asar, mereka berdua berjalan ke arah padang futsal yang terletak dalam 700 meter dari asrama kediaman mereka.

"Syad, aku nak tanya kau satu soalan ni. Eh, silap. Dua soalan la"

“Eh, kau ni Zat. Ada ada saja. Dah, apa dia soalan kau tu,” Balas Arsyad sambil mengunyah roti слойка с сыром (roti bun berinti keju) yang dibelinya semalam.

“Aku tengok kau ni begitu taksub dengan futsal dan bola semua ni. Kenapa eh?” Soal Izzat dengan penuh tanda tanya.

“Gila kau. Futsal ni adalah hidup aku. Aku tak boleh hidup tanpa futsal. Kau tahu, kalau dalam seminggu aku tak main futsal, boleh demam aku. Hahahaha.” Balas Arsyad dengan menepuk-nepuk bahu Izzat sambil menggelengkan kepalanya.

“Perhhh…. Sampai begitu sekali kau Syad. Power la kau. Patut la orang panggil kau Messi Mosko! Hahaha… Ok, soalan kedua aku. Kita manusia ni kan, kalau sesuatu yang kita dah fanatik tu, mesti kita akan bermatian nak buat, nak main dan sanggup spend masa lama-lama untuk perkara tu.Tapi….. kenapa kita susah nak bermatian dan spend masa yang lebih untuk Allah, bukankah hidup kita ni ada tujuan dan akhirnya kita juga akan kembali kepada Allah? Soalan seterusnya diajukan oleh Izzat tampak lebih serius.

Arsyad menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Aku bukan apa Syad. Aku sayang kat kau sebenarnya. Sebab aku tengok kau dah lama tak buka Quran, dah lama tak turun surau jemaah sama-sama macam dulu. Kau asyik sibuk dengan futsal dan bola kau tu. Bukan aku nak ceramah kau. Cumanya hidup kita ni kena seimbang. Futsal tu futsal la, tapi apa yang utama jangan kita terus tinggal. Sebab mati ni tak tunggu kita bersedia tau. Macam mana kita nak kematian kita dalam keredhaan Allah, macam tu juga kita kena hidup dalam keredhaan Allah. Lepas balik main bola, buka la Quran sekejap, kan tu lebih indah. Sado jasad, sado juga iman!” Jelas Izzat dengan tenang sambil memerhatikan burung-burung berterbangan dengan bebas di angkasa.

Arsyad merenung jauh kehadapan. Entah apa yang dilihatnya. Izzat menepuk bahu Arsyad dan itu membuatkan Arsyad tersedar dari lamunan.

"Kau ok tak ni?" Soal Izzat

"Errr.... Ok.. Ok... Zat, selama ni aku asyik main sampai tak ingat dunia. Solat aku tak jaga, aurat tak payah cakap la. Lidah pun kadang-kadang mengeluarkan kata-kata makian. Quran aku tu pun dah berhabuk, lama tak buka. Teruk aku kan?" Balas Arsyad.

"Allah tak kejam la Arsyad. Selagi mana kita hidup ini, pintu taubat tu terbuka luas untuk kita. Cumanya kita sahaja yang perlu usaha untuk mendapatkan taubat itu. Yang lepas tu biar la lepas. Apa yang penting sekarang ni kau dah sedar. Jadinya kau perlu ubah diri kau menjadi mukmin yang bertakwa lagi sasa orangnya! Hahaha."

"Hahaha... Terima kasih Izzat. Kau la sahabat aku dan abang naqib aku dunia akhirat. Ni sayang kau ni," Balas Arsyad dengan satu senyuman yang cukup ikhlas.


*****

“Arsyad! Arsyad! Cepat la, kita nak mula main ni,” Jerit Amir, rakan sebilik Arsyad.

“Oh, ok… aku datang,” balas Arsyad.

Jeritan itu telah mematikan ingatan Arsyad pada peristiwa manis antara dia dengan sahabatnya, Izzat merangkap abang naqib kesayangannya. Izzat antara insan yang telah banyak menegur Arsyad dan membimbing Arsyad sepanjang dia berada di bumi tarbiyah ini. Namun, usia Izzat tidak lama, dia telah dijemput Allah pada penghujung semester lepas kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebagai pengubat rindu, Arsyad mengeluarkan satu nota dari dompetnya yang tercatat,

“Buat sahabah fillah, Arsyad. Semoga kau menjadi manusia yang hebat di dua padang iaitu hebat di padang bola dan hebat juga di padang mahsyar nanti. Kalau kau masuk syurga dan kau tak jumpa aku, jangan lupa cari serta tanyakan Allah dimana aku.-Izzat”


Post a Comment

‘SADO’ vs DOSA

0 comments



Petang itu, selesai sahaja bermain futsal, Hamidi singgah di kedai kopi. Melepaskan segala beban di bahu, serentak dengan itu direbahkan badannya ke kerusi kedai yang empuk. Terasa sungguh lega...Fuhhhhhhhhhhhhh!

Hamidi mengalih pandangan ke bawah, kelihatan kaki nya penuh luka melecet. Manakan tidak, permainan harini hampir sahaja berlangsung dari pagi sampai ke petang. Dalam perlawanan itu, sempat dia menyumbat 4 gol, dan membantu pasukannya untuk mara ke peringkat akhir. Tepukan sungguh gemuruh, kedengaran nama “Hamidi,Hamidi,Hamidi!” dilaung-laung sepanjang perlawanan. Hamidi sendiri tenggelam dalam larut sorak dan pekik peminat nya, saat dilaungkan namanya, semakin banyak noradrenaline dirembes, semakin kencang Hamidi berlari dan mengelecek bola ke pintu gawang.

Namun, fikiran Hamidi masih teringat akan perlawanan akhir sebentar tadi. Saat perlawanan diikat tanpa jaringan, akhirnya terpaksa dibawa ke masa tambahan. Hamidi dan rakan sepasukan terus mengempur kubu pihak lawan. Bertubi-tubi.. Berkali-kali. Tapi masih juga menemui jalan buntu.

Akhirnya…

1 minit sebelum wisel penamat ditiup, entah semena-mena bola yang dikejar singgah di kaki Hamidi. Melihatkan peluang ini, terus dia berlari kencang membawa bola ke pintu gol lawan. Sampai sahaja ketika hendak menyepak bola tersebut, tiba-tiba Hamidi dikasari oleh pertahanan lawan.

Hamidi tersungkur jatuh..

Terasa kecewa dan marah, terus Hamidi bangun dan menerpa orang yang membentes kakinya tadi. Darah telah menyelirap dalam tubuhnya dan berkumpul padu di pergelangan tangan, akal kewarasannya pula terhalang dengan hati yang penuh kemarahan, dan akhirnya dilepaskan juga penumbuk ke atas lawan nya itu.

Darah terpercik keluar dari hidung…

Peristiwa itu disaksikan oleh seluruh penonton perlawanan, dewan menjadi senyap dengan tiba-tiba. Terpaku dengan kejadian itu. Noktah.

Hamidi pula terus dirasuk amuk kemarahan, ditendang pula semua benda yang tercapai oleh kakinya. Mulutnya keluar perkataan yang tidak sepatutnya, &^%*(%#.  Tidak pernah dia sampai sepanas ini, manakan tidak, kejuaraan kali ini dianggap penting bagi dirinya, sudah bertahun-tahun dia memenangi kejuaraan ini, dan tahun ini merupakan tahun terakhir dia berada di Russia. Dia ingin mencipta rekod menjadi orang pertama yang memenangi kejuaraan bermula tahun pertama sehingga tahun terakhir pengajian di sini.

Kad merah dilayangkan, Hamidi keluar dari gelanggang perlawanan. Dia mencapai beg dan terus menuju ke kedai kopi. Sebenarnya bukan kopi yang menjadi tujuannya, tapi ketenangan yang ada di kedai tersebut yang ingin dicari.

Perasaannya kusut,..Marah, kecewa, sedih dan malu bercampur baur. Teringat akan segala dosanya sebentar tadi. Tapi apakan daya, semua telah pun terjadi diluar kawalannya.

Dengan tiba-tiba, air mata mulai mengalir.
Kali ini bukan kerana kemarahan dan ketegangan, tapi air mata yang lahir dari penyesalan.
Sesal,
bukan kerana kalah perlawanan, tapi sesal kerana dosa yang dilakukan.
Malu,
bukan kerana malu tidak dapat mengawal perasaan, tapi malu kerana dia sudah lupa mana Tuhan, mana arah tujuan.

Hamidi sedar yang dia telah mengasari orang lain kerana satu perkara yang sangat kecil,
Dia sedar yang selama ini dia terlalu obsesi dengan futsalnya, sampaikan telah banyak dosa dia lakukan.

Solat,
mulanya hanya solat di akhir waktu, tapi akhirnya tertinggal solat sudah tiada lagi rasa bersalah.
Pakaian,
mulanya menutup lutut dan tidaklah ketat, tapi sekarang sudah tidak lagi hirau tentang aurat.
Bahkan banyak perkara yang selalu dibuat sebelum ini, mengaji, puasa,qiam, usrah, dan lain-lain lagi ditinggalkannya semata-mata sebuah impian kecil ingin memenangi perlawanan futsal.

___________________________________________________________

Mujur bagi seorang Hamidi, Allah jentik hatinya dengan kejadian yang membuat dia insaf seorang diri, tanpa teguran dari orang, tapi teguran dari Tuhan sendiri. Kekuatan yang ada padanya membuat dia lupa kelemahan dalaman yang perlu diisi, yang hanya dapat ditemui bila berdamping dengan Tuhan Yang Maha Perkasa.

Berapa ramai diluar sana yang tertipu dengan alat keduniaan, disangkanya itulah tujuan, itulah kepuasan.

Sedang janji Tuhan itulah yang lebih kekal, lebih abadi dan pasti akan terjadi.
Tapi manusia sering kali lupa.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي اْلأَمْوَالِ وَاْلأَوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَفِي اْلآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُوْرِ
“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang karenanya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada adzab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan- Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al- Hadid: 20)

_____________________________________________________________

Setelah setahun berlalu peristiwa itu, Hamidi masih saja bermain futsal, masih lagi seorang Hamidi, masih lagi ‘sado’ (baca:kuat) dan berbisa.

Tapi yang berbeza, Hamidi tidak lagi melakukan dosa yang sama, dan dia sentiasa berusaha ingin berubah dan merubah orang di sekelilingnya. Futsal dijadikannya alat untuk menunjukkan kepada orang lain satu matlamat, satu tujuan, satu kepuasaan yang lagi besar.

Hamidi lebih tenang,diamnya diisi dengan fikir dan zikir, masanya penuh dengan ucapan kalam-kalam Quran, kesibukannya pula bukan keduniaan, tapi kesibukan dan keasyikan mengajak orang mengenal Tuhan.


“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, keikhlasan yang benar kepadaNya”.

-Ibnu Qayyim-

______________________________________________________________

Jadilah seperti Hamidi.
Kita menang sama-sama,
Kita kalah sama-sama,

Kita ke syurga sama-sama.



Post a Comment