FRIDAY WRAP 24-30/01/2015

0 comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Friday Wrap kembali membawakan berita-berita global buat para pembaca sekalian....


PENGGANAS ASIA TENGGARA PALING DIKEHENDAKI DILAPORKAN TERBUNUH DI SELATAN FILIPINA

Isnin, 26 Jan 2015




















MANILA – Pengganas warga Malaysia paling dikehendaki Asia Tenggara, Zulkifli Abdhir atau dikenali sebagai Marwan dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara polis komando Unit Tindakan Khas Filipina (SAF) dengan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Marwan dan juga seorang lagi pengganas, Basit Usman, didakwa terbunuh dalam pertempuran yang tercetus berhampiran dengan bandar Mamasapono di Maguindanao di selatan Filipina. Kedua-duanya merupakan pakar dalam pembuatan bom dan terlibat dalam gerakan Jemaah Islamiyah.

Berdasarkan kenyataan Von al-Haq, ketua ketenteraan Barisan Kebebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan subunit kepada BIFF, pertempuran tercetus apabila komando SAF menyerbu markas MILF berhampiran Mamasapono selepas mendapat maklumat bahawa Marwan berada di situ.

“Mereka juga mahu menangkap Basit Usman,” kata al-Haq.
Disebabkan penglibatan Marwan dalam beberapa siri keganasan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menawarkan ganjaran sebanyak USD 5 juta (RM 18 juta) kepada mana-mana pihak yang berjaya membawa kepada penangkapan Marwan.

Operasi ini turut mengorbankan kira-kira 43 orang polis komando Filipina untuk menangkap 2 orang pengganas.

LATARBELAKANG ZULKIFLI ABDHIR (MARWAN)

Marwan dilahirkan di Muar, Johor pada 1966. Ibunya, Aminah Abdul Aziz tinggal di Kampung Jeram Masjid, Bakri, Muar, Johor.

Beliau pernah belajar di Sekolah Datuk Abdul Razak ,Seremban dari 1979 hingga 1983 .Sejak itu dia sering memperkatakan mengenai peperangan di Afghanistan yang baru bermula apabila Rusia menawan negara itu pada 1981 dan mahu menjadi pejuang jihad dan mahu pergi ke Afghanistan dan berjuang bersama Mujahidin. Beliau turut mengikuti perkembangan berita pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di khemah pelarian Sabra dan Shatila di Lubnan oleh militia Kristian yang bersekutu dengan Israel pada 1982.

Marwan melanjutkan pengajian kejuruteraan di Amerika Syarikat. Dalam surat-suratnya ke Malaysia, beliau sering membincangkan soal-soal jihad. Dia menjadi seorang jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi mudah alih di Kuala Lumpur dan menyewa rumah di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor. Dia bertanggungjawab menyelenggara peralatan telekomunikasi. Rumah sewanya menjadi markas untuk membincangkan peperangan jihad bersama rakan-rakan yang berminat. Ada di antaranya pernah berjuang di Afghanistan. Beliau berhajat menghantar mereka berjihad di Chechnya dan Bosnia.

Sebelum bekerja, dia pernah pergi ke Afghanistan dan menjadi penembak curi bersama kumpulan Mujahidin yang dipimpin oleh Gulbbudin Hekmatyar ketika penaklukan Soviet di Afghanistan. Gulbbudin Hekmatyar pernah datang ke Malaysia dan membuka pejabat perwakilan di Kuala Lumpur. Zulkifli bertindak sebagai penyelenggara peralatan telekomunikasi serta bertindak sebagai ahli unit pemusnah bom. Jerangkap samar yang dipasang oleh tentera Russia biasanya akan digunakan semula anggota Mujahidin selepas dimatikan oleh beliau.







PEJUANG CHECHEN KECEWA DENGAN IS
Selasa, 27 Jan 2015


















GROZNY – “Tiada sesiapa pun patut mati demi wang dan kepentingan pihak yang lain,” kata seorang pejuang Chechen yang berhenti berjuang untuk kumpulan Islamic State (IS).

S. Mohammed, 25 tahun adalah seorang daripada rakyat Chechen yang pergi berjuang di Syria pada musim panas yang lepas. Beliau mendapat motivasi untuk pergi berjuang selepas menonton video tentang keadaan rakyat di Syria.

“Di Internet, saya terjumpa sebuah video yang memaparkan kanak-kanak dan wanita disakiti. Kesakitan dan tangisan mereka tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Saya lihat keluarga saya hidup bahagia – tidak kelaparan, tidak kesejukan, mempunyai pakaian. Jadi, saya memutuskan untuk pergi membantu mereka yang sangat memerlukan,” kata Mohammed. Mohammed sebelum ini memberitahu keluarganya bahawa beliau ingin menyambung pelajaran di Mesir.
Menurut Mohammed lagi, selepas beberapa bulan berjuang di Syria, beliau menyedari bahawa realiti di sana tidak sama seperti yang beliau gambarkan.

“Sudah semestinya terdapat individu yang berjuang demi keimanan mereka. Namun perjuangan ini bukannya suatu perjuangan yang suci. Mengelar leher orang di hadapan kamera, itu bukannya jihad! Sepanjang 5 bulan saya di sana, saya tidak pernah terjumpa wanita yang menderita atau kanak-kanak yang mati. Ramai pejuang seperti saya pergi ke sana, meninggalkan rumah untuk membantu mereka,” kata Mohamed.

Mohammed menafikan penglibatan beliau dalam sebarang pembunuhan sepanjang 5 bulan berada di sana. Beliau hanya menghabiskan masa di kem latihan, dan dalam masa sebulan mereka dibayar sebanyak 50 dolar.

Mohamed turut berkata,”Saya pergi berjuang bukan kerana wang. Saya mahu mati. Namun sekarang saya sedar bahawa pengorbanan ini adalah sia-sia, ia bukanlah peperangan yang sama seperti yang kita gambarkan. IS berperang menentang Amerika tetapi dalam masa yang sama mereka turut menjual minyak kepada mereka.




IKAN LUT CAHAYA HIDUP DI BAWAH LAPISAN AIS ANTARTIKA DITEMUI
Selasa, 27 Jan 2015




















ANTARTIKA – Selepas menggerudi menembusi Ross Ice Shelf di Antartika, saintis menemui mikrob, krustasia, dan beberapa jenis ikan aneh yang mampu hidup di dalam air yang dilitupi ais setebal 740 meter.

Sepanjang beberapa dekad yang lalu, saintis menyangka bahawa tiada sebarang hidupan yang mampu bertahan hidup di bawah lapisan tebal ais Antartika. Kedalaman air di bawah lapisan ais tersebut adalah kira-kira 10 meter, manakala suhunya pula di bawah paras takat beku.

Penemuan terbaru ini membuktikan bahawa terdapat hidupan yang mampu hidup dalam keadaan ekstrim di Antartika. Antara hidupan yang dijumpai adalah ikan bermata besar disebabkan tinggal dalam keadaan yang gelap, berwarna oren dan hitam, tetapi ikan terbesar yang dijumpai adalah ikan berkulit lut cahaya yang membolehkan organ dalaman mereka dilihat dengan mata kasar.

Kajian ini adalah hasil kolaborasi 40 orang saintis yang menamakan projek mereka sebagai Whillans Ice Stream Subglacial Access Research Drilling (WISSARD).

Mereka menggunakan gerudi air panas untuk menebuk lubang menembusi lapisan ais setebal 740m dan menghantar robot kawalan jauh melalui lubang ini yang dilengkapi dengan kamera. Robot tersebut membekalkan para saintis dengan maklumat berdasarkan imej dan video tentang hidupan di bawah ais tersebut.

Saintis menyatakan bahawa ikan lut cahaya ini tergolong dalam suborder Notothenioidei.
Gabungan haba dan tekanan geothermal serta pergerakan lapisan ais di atas membuatkan air di bawah lapisan ais ini bersuhu kira-kira -2 darjah celcius. Ikan-ikan ini mampu hidup dalam air bersuhu -2 darjah celcius kerana mempunyai beberapa adaptasi seperti glycoprotein antibeku yang menghalang cecair badan mereka daripada membeku.

Kulit lut cahaya pula adalah disebabkan kehilangan hemoglobin, protein yang membuatkan darah kelihatan berwarna merah.



KIM JONG-UN SAHKAN LAWATAN BELIAU KE RUSSIA
Rabu, 28 Jan 2015























(Reuters) – Pemimpin tertinggi Korea Utara mengesahkan lawatan beliau ke Russia pada 9 Mei tahun ini. Beliau akan turut serta dalam sambutan Hari Kemenangan (День Победы) memperingati kemenangan Soviet ke atas Jerman semasa Perang Dunia Ke-2.

Ini merupakan lawatan pertama beliau semenjak pengambilan kuasa pada 2011 menggantikan bapanya, Kim Jong-Il yang mati mengejut.

Kira-kira 20 orang pemimpin negara telah mengesahkan kehadiran mereka ke sambutan tersebut. Korea Utara dan Russia bercadang untuk mengukuhkan hubungan diplomatik.
Hubungan Korea Utara dengan China, pula telah menjadi hambar sejak Kim mengambil alih pemerintahan. Pada tahun 2013, beliau tidak mengendahkan amaran antarabangsa dan sekatan PBB untuk menjalankan ujian nuklear ketiga.

"China tidak yakin bahawa Kim Jong-Un akan bersetuju untuk menghentikan ujian nuklearnya sebelum sidang kemuncak yang akan datang.”

China dan Rusia kedua-duanya mengundi dalam Majlis Keselamatan PBB bagi menyekat ujian nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Rusia bercadang untuk memulakan projek pengangkutan gas asli bersama-sama Korea Utara dengan harapan untuk meningkatkan pengeksportan gas asli ke Asia

Rusia meraikan ulang tahun kemenangan setiap tahun pada 9 Mei.






Post a Comment