WAHAN.
Buntu. Sesak. Lemas.
Aku tenggelam dalam lautan dunia.
Ditarik-tarik terus ke dasar bumi.
Graviti menjadi musuhku.
Lepaskan. Bebaskan.
Aku butuh senafas udara. STAT.
Cinta dunia.
Cinta si dia yang sering aku dambakan.
Umur yang panjang bak pinta Firaun.
Harta yang melimpah seperti Qarun.
Populariti di kaca mata dunia.
Lemas dan terus lemas.
Aku takut.
Bukan. Belum tiba waktunya lagi.
Aku tidak bersedia lagi wahai Izrail.
Amalku. Aku belum yakin dengannya.
Dosaku. Setinggi banjaran Himalaya.
Aku perlukan sepasang tangan.
Untuk menarik tubuh ini,
Dari terus hanyut dibawa arus dunia.
Aku perlukan satu tolakan kesedaran.
Biar jatuh sekarang, bukan terlena selamanya.
Agar bangkitku kuat, tidak selemah dahulu.
Aku perlukan redha Sang Pencipta.
Untuk terus kukuh di bumi penuh dugaan,
Tanpa terjerumus dalam pasir jerlus sekali lagi.
Kini aku hargai sedetik masa.
Senafas udara, sekawan ukhuwah.
Kerana aku mula faham,
Dunia itu letaknya di tangan bukannya di hati.
Terima Kasih ya Allah.
Moga aku istiqamah.
Hadis Rasulullah tentang penyakit wahan.
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan".
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(H.R. Abu Daud)
Wallahu'alam.
Penyakit paling merebak dan paling bahaya abad ini.
ReplyDelete