Malaysia, Mu Tunggu Aku Datang!

0 comments



Jika anda mempunyai kawan (baca:friend) di facebook yang merupakan pelajar Malaysia di luar negara khususnya di Rusia, atau mengikuti (baca:follow) mereka di laman instagram, wall anda kini pasti dipenuhi dengan status dan gambar-gambar beserta #hashtag comel berbaur ke-malaysia-an seperti #Malaysia,mutungguakudatang!, #Malaysia,i'mcomingbackhome! , #Malaysiaakubalik! dan sebagainya. Ada juga yang sudah memuatnaik gambar-gambar atau membuat status penyataan bahawa mereka sudah berada di Malaysia, tak kurang juga yang memuatnaik gambar mereka menonton World Cup di kedai-kedai mamak. Namun tak dilupakan juga mereka yang masih berada di bumi Soviet dan bertungkus lumus serta bersengkang mata menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan yang masih lagi berbaki. Gambatte, perjuangan perlu diteruskan!

Pulang ke Malaysia adalah saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap jasad anak Malaysia yang berada di Rusia, terutamanya apabila musim panas menjelang tiba. Namun pernahkah anda terfikir, adakah rutin anda pulang ke Malaysia adalah sama pada setiap tahun? Kalau ya, adakah rutin itu mejadikan anda seorang yang lebih produktif dari masa ke semasa? Penulis (insan hina yang menulis entry kali ini) melihat, rata-rata pelajar di Rusia apabila pulang bercuti di Malaysia, akan menjadi seseorang yang 'berbeza' daripada dirinya apabila berada di perantauan. Berbeza dari sudut apa? Anda ketika di perantauan merupakan seorang Superhero. Ya, semuanya anda mampu lakukan sendiri. Contohnya, segi skill pertukangan, andalah yang paling mantap men'drill' dinding di bilik untuk memasang almari gantung, yang paling hebat memegang spanar dan skru untuk memasang katil double-decker yang baru di beli dan anda jugalah yang membetulkan paip yang tersumbat di sinki rumah anda. Dari segi skill memasak pula, bermacam-macam jenis masakan dan juadah sudah berjaya anda hasilkan menggunakan jari jemari Superhero anda itu. Malahan, anda berjaya menghasilkan juadah Malaysia dengan menggunakan bahan-bahan tempatan Rusia sebagai ganti kepada beberapa bahan Malaysia yang tidak berjaya didapati di sini. Hebat! Anda jugalah yang mengangkat hampir 10kg barang menggunakan kudrat tangan anda setiap kali pulang membeli barangan dari supermarket. Bukan itu sahaja, anda hanya menggunakan public transport untuk ke sana sini, hatta apabila membawa barang-barang seberat 10kg itu. Wah, boleh pengsan dek terpegun mendengar kehebatan Superhero yang anda miliki itu!

Namun, apa yang jadi tatkala dua kaki anda telah menjejaki bumi Malaysia yang tercinta? Ya, anda masih lagi menjadi Superhero, namun dengan gaya yang agak berbeza. Andalah yang paling hebat menjejaki kedai-kedai makan yang ada di sekitar kawasan rumah anda, malahan sanggup pula memandu kenderaan jauh-jauh jika anda tahu di sana ada tempat makan yang berbaloi. Anda juga yang paling banyak menghabiskan masa di atas katil dengan alasan untuk qadha' (baca: ganti) tidur. Anda juga mungkin banyak menghabiskan masa di depan laptop, melayani adik-adik atau anak buah anda bermain games, malahan andalah juga juara bertahan bersengkang mata untuk menonton pasukan bola kegemaran anda beraksi di World Cup. Fuh, berpeluh juga mendengar skill Superhero-versi-Malaysia anda ini! Ke mana pula hilangnya skill Superhero anda sepanjang berada di bumi Soviet?

Memetik kata-kata Sheikh Abdul Wahab Azzam, "Pikiran tak dapat dibatasi, lisan tak dapat dibungkam, anggota tubuh tak dapat diam. Kerana itu jika kamu tak disibukkan dengan hal-hal besar, kamu akan disibukkan dengan hal-hal kecil". Kerana hakikatnya, kita tidak akan dapat duduk diam dan akan tetap berbuat sesuatu, maka baiklah kita memilih untuk melakukan sesuatu yang luarbiasa. Mungkin kali inilah peluang untuk anda merubah rutin kehidupan anda yang biasa sepanjang pulang bercuti di Malaysia kepada rutin yang luarbiasa, sekaligus memaknai jawatan Superhero yang anda sandang ketika anda berada di perantauan. Mari sama-sama mencuba beberapa tips yang boleh dilakukan sebagai langkah permulaan untuk kita menjadi Superhero yang luarbiasa, malahan boleh menjadikan ahli keluarga dan sahabat handai di Malaysia pengsan melihat skill Superhero yang berjaya anda terap dalam diri anda ketika menjadi perantau. Berikut adalah tips yang boleh dicuba;

1. Mulakan dengan Bismillahirrahmaanirrahiim.

2. Pasang seberapa banyak niat yang anda mahu. Luruskan semua niat hanya kepada Allah swt.

3. Sediakan sebuah buku nota kosong (apa-apa jenis buku yang anda sukai) yang boleh anda gunakan untuk mencatat.
  • Tuliskan tajuk pada kulit buku itu sebagai 'Superhero's Diary'.
  • Pada muka surat pertama, tuliskan tajuk 'To-Do-Lists'. Senaraikan di bawahnya senarai aktiviti-aktiviti luarbiasa yang ingin anda lakukan sepanjang bercuti. Sebagai contoh: menghadiri program RSSR anjuran Azam Russia, bangun awal pagi setiap hari untuk solat subuh berjemaah dengan ahli keluarga, beriadah bersama adik beradik pada waktu petang, menghabiskan bacaan tiga buah buku dalam masa cuti, membantu ibu memasak di dapur, bertadarus, bertarawih dan qiamullail bersama keluarga di bulan Ramadhan, ziarah ahli keluarga atau sahabat handai setiap minggu, khatam 30juz Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan dan sebagainya.
  • Sebelum memulakan catatan, gunakan satu mukasurat untuk memuatkan kata-kata hikmah dan semangat yang diambil daripada Al-Qur'an, hadis, kata-kata sahabat serta figura-figura dunia yang berjaya, sebagai motivasi tatkala anda berasa lemah.
  • Gunakan mukasurat-mukasurat seterusnya untuk membuat segala catatan tentang aktiviti-aktiviti yang anda lakukan. Catatkan kejayaan, kekurangan mahupun peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang percutian anda.
  • Apabila berjaya mencapai sesuatu target, ucapkan Alhamdulillah dan hadiahkan diri anda dengan sesuatu seperti ajak adik beradik anda keluar makan di restoren kegemaran (tapi ingat, jangan sampai berlebihan) :). Jika kurang berjaya mencapai target, cubalah beristighfar, muhasabah dan usaha lagi.

4. Jangan lupa berdoa dengan sungguh-sungguh dan hasilkan momentum untuk fokus, istiqomah dan tak mudah putus asa. Bismillah, jalan saja!


Malaysia merupakan medan perjuangan untuk kita mempraktikkan segala 'survival skills' yang kita latih dalam diri kita semasa di perantauan. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi 'Superhero' dalam erti kata yang sebenar tidak kira di mana kita berada dan menjadi lebih produktif dan bermanfaat dari hari ke hari.

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

P/s: Jangan lupa untuk membuat persiapan yang mantop ke arah menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak yang dinanti-nantikan. Jom saksikan video-video dari Azam Russia yang memaparkan tips-tips menarik dari sahabat-sahabat kita tentang persedian menyambut Ramadhan. Di sini, kami kongsikan dua link video dari Azam Russia|Journey Towards Ramadhan. Nantikan video-video berikutnya pada hari-hari seterusnya. Akhir kata, selamat pulang ke Malaysia dan selamat menjadi produktif!
















Post a Comment