• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

(Video) MUSLIMIN'S DAY cum MAULIDUR RASUL 2012 [VOLGO EDITION]

0 comments

 
Credit to: akh syafiq zulkarnain (team VIDEO Azam Russia)


Read more

MAULUD 2012

1 comments
SAMBUTAN MAULUD NIZHNY NOVGORAD 


Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah.. Pada 19 Februari 2012 yang lalu, bersamaan 27 Rabi’ul Awal 1433 H, pihak AZAM Russia, lokaliti Nizhniy Novgorod telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul.
Program bermula pada pukul 6.30 petang, sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan daripada wakil AZAM Russia, saudara Azli Nasiruddin. Beliau mengingatkan kita tentang jasa Nabi Muhammad SAW dan disebabkan oleh baginda, kita dapat mencari jalan pulang.
Seterusnya merupakan video daripada pihak AZAM Russia. Pantomin yang menyusul kemudian pula berkisar tentang kehidupan seharian kita dimana setiap hari, kita perlu melawan daripada mengikut al-hawa. Kita juga perlu melawan diri daripada terikut-ikut bisikan daripada syaitan. Pantomin ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan diharap dapat memberi peringatan kepada semua agar sentiasa menjaga diri dengan mengikut hanya deen yang sebenar.
Majlis diteruskan dengan tayangan video pengisian. Video ini mengisahkan tentang para Muslim yang tidak menghabiskan makanan mereka. Mereka seterusnya telah diberitahu tentang hadith Rasulullah. Sesungguhnya, sunnah Nabi SAW perlulah sentiasa dijadikan panduan. Persembahan pasukan  nasyid Nizhniy Novgorod menyusul kemudian.
Seterusnya merupakan acara yang dinanti-nantikan, iaitu penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan teka silang-kata. Ini adalah satu kelainan bagi sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Para muslimin dan muslimat telah diberi senarai soalan bagi teka silang-kata tersebut beberapa hari sebelum program. Soalan-soalan adalah berkaitan dengan kehidupan Nabi Muhammad SAW. Mereka perlu menyerahkan jawapan mereka diawal program. Hadiah yang merupakan tiket bas bagi bulan Mac telah menjadi rebutan banyak pelajar.
Program Maulidur Rasul kali ini sangat memberi makna bagi kami pelajar Nizhniy Novgorod. Sesungguhnya, atas usaha baginda SAW, Islam itu sampai pada kita. Atas usaha baginda jugalah kita dapat merasakan nikmat iman dan Islam. Diharapkan program kali ini dapat menambahkan lagi perasaan cinta kita pada baginda SAW, inshaAllah.
Dari Jabir RA, bersabda Rasulullah SAW, “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan.” (HR Muslim)



Read more

VOLGOGRAD,“Muslimin Day:Rasulullah As My Idol”

0 comments

Pada 23 februari 2012, AZAM Russia (Volgograd)  bersama Kelab UMNO Volgograd telah menganjurkan sebuah program yang bertemakan “Muslimin Day:Rasulullah As My Idol” bertempat di Aktovi Hall , Hiroshima
          Tepat pukul 10 pagi, program dimulakan dengan ucapan daripada Presiden MSA,Mohamad Khairul Afham, wakil Kelab UMNO Volgograd,Mohd Khalisan serta wakil dari AZAM Russia,Wan Ezzrul Redza. Wakil dari AZAM Russia secara rasminya telah memperkenalkan AZAM sebagai organisasi dan wadah pembentukan individu muslim cemerlang serta platform aktiviti-aktiviti pelajar bersifat islami. Ucapan diteruskan dengan tayangan video khas dari pihak AZAM.

          Acara pada hari tersebut bermula dengan sedikit penerangan tentang Pertandingan Kuiz Muslimin yang merangkumi beberapa aspek penting seperti sirah,ibadah,pengetahuan am,sukan dan sebagainya. Bagi Pertandingan Kuiz Muslimin, terdapat 6 kumpulan peserta. Penyertaan adalah mengikut batch iaitu setiap batch menghantar satu kumpulan terdiri daripada 3 orang peserta. Seterusnya ialah penerangan mengenai Pertandingan Memasak,Volgograd Nightmare Kitchen. Peserta bagi pertandingan ini terdiri daripada 3 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai peserta yang diwakili dari 2 batch. Kumpulan pertama merupakan gabungan pelajar tahun enam dan tahun satu; kumpulan kedua terdiri dari pelajar tahun lima dan tahun dua; manakala kumpulan ketiga adalah pelajar tahun tiga dan tahun empat.

          Kemudian, pada jam 11.30 pagi program diteruskan lagi dengan Forum Personaliti Lelaki Idaman. Forum berkisar mengenai ciri-ciri lelaki idaman berdasarkan perspektif Islam, perincian lelaki dayus, metroseksual, serta penampilan ideal bagi lelaki dan isu-isu berkaitan. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh saudara Fakhrurrazi Abas, panel pertama diwakili saudara Maher Ilham Alias; mantan Presiden Kelab UMNO manakala panel kedua adalah saudara Abdul Azim Aziz merangkap Presiden Kelab UMNO.

          Program dimeriahkan lagi dengan persembahan band pelajar yang mendendangkan lagu dari Maher Zain “Rasulullah” dan lagu pembangkit semangat dari penyanyi Faizal Tahir “Gemuruh”. Selepas itu adalah acara kemuncak bagi program iaitu penyampaian hadiah oleh pihak penganjur. Pertandingan Memasak telah dimenangi oleh peserta dari kumpulan pelajar tahun lima dan tahun dua manakala tempat kedua dimenangi oleh gabungan pelajar tahun empat dan tahun tiga. Bagi Pertandingan Kuiz Muslimin pula johan disandang oleh pelajar tahun enam dan tempat kedua diperoleh pelajar tahun satu. Pertandingan Travelog juga mendapat sambutan yang menggalakkan dari peserta. Pemenang tempat pertama ialah saudari Afifah, tempat kedua disandang oleh saudari Hafiza Khairi dan tempat ketiga dimenangi saudari Etie Aziz dan Azhari.

          Bagi acara penutup, wakil AZAM telah menyampaikan ucapan lalu secara langsung membuat rumusan dan konklusi bagi keseluruhan program. Sebelum bersurai, pihak penganjur telah menayangkan video penutup yang sangat menyentuh hati untuk program pada hari tersebut. Wallahualam.
    forum Personaliti Lelaki Idaman



 juga menduga minda dengan kuiz muslimin


dihiburkan dengan nyayian lagu Maher Zain


oleh: Wan Ezzrul Redza bin Wan Shahidan





Read more

"Konvensyen Pelajar Muslim 2012"

0 comments




  TEKS UCAPAN
PRESIDEN AZAM RUSSIA
  
UNTUK
 KONVENSYEN PELAJAR MUSLIM MALAYSIA
(KPMM)

 3 JANUARI 2012
MOSCOW, RUSSIA

_______________________________________________________________________________________________

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين أما بعد

            Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agama-Nya, melengkapkan nikmat-Nya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Deen, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga baginda, para sahabatnya, dan seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah.

Yang dihormati, Kolonel Abdul Manaf, Atase Pertahanan mewakili Tuan Yang Terutama Dato’ Duta, Prof. Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Pengarah Institut Sains Angkasa UKM,   Dr Fauziah Hj Mohd Hasan, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan KPJ Ampang Putri, pegawai-pegawai serta kakitangan Kedutaan Besar Malaysia dan agensi berkaitan, pimpinan pelajar dari SMSA, MSA Volgograd, MMASO, MESSP, PPIM cawangan Moscow, Volgograd dan Nizhny Novgorod, Kelab UMNO Luar Negara Moscow dan Saint Petersburg serta Sekretariat Rakan Muda, para peserta, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

            Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt, atas izinNya jualah, kita bersama menyeragamkan langkah, menyatukan matlamat, untuk bersama-sama hadir ke majlis ini yang julung kali diadakan di Persekutuan Rusia, Majlis Konvensyen Pelajar Muslim Malaysia 2012.

            Pada hari ini, bumi salju Moscow telah menerima kunjungan peserta konvensyen dari seluruh pelusuk Rusia, termasuklah dari Volgograd, Nizhny Novgorod, Kursk dan Saint Petersburg. Inilah syiar penyatuan kita, yang bertapak atas dasar aqidah yang sama. Daripadanya kita gilap sinar ukhuwwah, yang terpancar mekar tanpa mengira keturunan atau bangsa. Inilah Islam yang syumul, agama yang membawa rahmat keseluruh alam.

وَما أَرْسَلْناكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ
Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam” (Surah Al Anbiya: 107)

            Hadirin hadirat sekalian.

Hari ini, hari yang bakal melakar sejarahnya tersendiri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih tertanya-tanya, apakah itu AZAM Russia dan dimanakah letaknya peranan AZAM Russia dalam komuniti masyarakat kita di sini. Jika kita mengimbau renteten lepas, AZAM Russia menjadi produk komuniti yang dikenali, pertamanya, menerusi peranannya sebagai portal media dan informasi kehidupan rakyat Malaysia muslim di Rusia. Bermula dengan wujudnya fanpage di laman sosial Facebook, AZAM Russia terus dikenali dan mendapat tempat dalam sebilangan besar komuniti kita, sehingga bilangan yang bersama menyertai fanpage AZAM Russia meningkat saban hari. Sehingga ke hari dan saat ini, bilangannya telah mencecah lebih 820 orang. Subhanallah.

            Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Setelah hampir sebulan berperanan sebagai portal media dan informasi, usaha untuk membawa AZAM Russia kepada komuniti terus dimantapkan menerusi pelancaran blog rasmi yang merangkumi maklumat yang lebih komprehensif, seperti kolum berita semasa dan setempat, kolum gaya hidup yang meliputi akademik, kulinari dan relaksasi minda, kolum galeri untuk peminat fotografi dan video-making, kolum tazkirah dan aktiviti-aktiviti komuniti yang lain. Pendek kata, AZAM Russia – segalanya ada.

Dan pada hari yang berbahagia ini, kita semua berkumpul di dalam sebuah program yang berskala besar, melibatkan usahasama AZAM Russia dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) Moscow. Besar harapannya, hari ini bakal melakar detik bersejarah, AZAM Russia akan lahir sebagai sebuah organisasi baharu, dengan misi dan visi yang jitu, dan bakal mencapah ke seluruh pelusuk Rusia, di mana wujudnya nafas-nafas muslim Malaysia, melangkaui profesionalisma, tanpa mengira perubatan mahupun kejuruteraan. AZAM russia menghapuskan jurang dan menyatukan semua. InshaAllah.

            Hadirin dan hadirat rahimakumullah.
Perjalanan masa depan menuntut daripada kita semua kesediaan untuk mempersiapkan diri dengan keupayaan-keupayaan berganda, kepakaran-kepakaran dan kebijaksanaan, kerja keras, kemahiran beraksi di medan-medan terbuka, jiwa-jiwa yang yakin, pemikiran yang segar dan tubuh yang sihat dibekali dengan bekalan langit dan bumi. Kerana inilah takrifan intelektual yang sebenarnya. Kita harus lahir sebagai golongan professional yang intelek, dengan bekalan ukhrawi dan duniawi.
Ia menuntut daripada kita semua ketaatan kepada Allah s.w.t., sujud kepada-Nya semata-mata dan selama-lamanya, pengorbanan, keikhlasan, intima’, kesatuan, kefahaman yang dalam, iman yang teguh dan amal yang berterusan.
Bingkisan yang ingin AZAM Russia tawarkan kepada masyarakat kita ialah Islam sebagai ad-Deen, atau di dalam bahasa inggeris ‘the way of life’.
AZAM Russia mencorak misi pada perspektif untuk melahirkan individu-individu Muslim yang mempunyai kefahaman Islam yang syumul, membentuk pelajar Muslim yang soleh dan musleh, yang berpaksikan kepada 10 prinsip agenda utama;
Pertama, memiliki Aqidah yang sejahtera;
Kedua, melaksana ibadah yang sahih;
Ketiga, memiliki akhlaq yang mantap;
Keempat, sihat tubuh badan;
Kelima, individu yang cemerlang intelektual;
Keenam, tersusun dalam segenap urusan;
Ketujuh, menjaga masa;
Kelapan, mampu berdikari;
Kesembilan, bermujahadah melawan nafsu;
Dan kesepuluh, menjadi individu yang bermanfaat kepada orang lain.

Menerusi AZAM Russia, kami melakar visi untuk membentuk satu per satu individu Muslim, yang seterusnya akan dapat mencorak sebuah masyarakat Muslim yang mempraktikkan Islam sebagai cara hidup dalam kehidupannya secara keseluruhan.
AZAM Russia akan mengorak langkah seterusnya dalam usaha membina dan membangunkan modal insan yang berkualiti dalam komuniti ini. Kemantapan dan keseimbangan aspek ruhani, jasmani dan intelek akan diseragamkan untuk bergerak seiring misi dan visi di bawah AZAM Russia.

             Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.

Takwim gerak kerja AZAM Russia terpateri pada setiap entiti misi dan visinya. Oleh itu, program-program yang bakal dilaksanakan menerusi AZAM Russia adalah melalui sistem usrah atau halaqah sebagai unit kecil pembinaan modal insan yang berterusan, dan termasuklah pelbagai program dan aktiviti berasaskan komuniti yang melibatkan program-program perdana seRussia seperti Ifthar jamaie, kuliah-kuliah online, iaitu kuliah Baitul Muslim, kuliah Fiqh dan sebagainya.

Juga, menerusi AZAM Russia, akan dianjurkan program-program riadah sambil berjaulah sempena cuti musim sejuk dan juga program cuti musim panas di Malaysia seperti Summer Camp, Gathering, Joysummer dan sebagainya.

Disamping itu, untuk memaksimakan penglibatan di dalam penganjuran program-program ini, menerusi perwakilan AZAM Russia di setiap lokaliti, kita terapkan bentuk dan aktiviti dengan skop yang lebih spesifik, seperti program rehlah, karnival sukaneka dan rekreasi, bengkel-bengkel seperti kursus asas video editing, kursus memasak, bengkel photoshop, kuliah-kuliah mingguan dan sesi solat berjemaah, dan program-program lain yang mampu memangkin aspek ruhani, fizikal dan jasmani serta menjadi nadi yang menghidupkan jalinan ukhuwwah antara kita bersama.

            Hadirin hadirat rahimakumullah.

Firman Allah swt di dalam surah Al Maidah ayat 3,

In this ayat Allah swt says,

“This day, I have perfected your religion for you, completed My favour upon you, and have chosen for you, Islam as your religion (your way of life).”

Inilah bingkisan yang dibawa AZAM Russia kepada semua. Islam yang diturunkan menerusi Nabi Muhammad s.a.w. merupakan jalan kehidupan yang lurus, satu-satunya obor dan cahaya yang mampu menyuluh perjalanan manusia sepanjang kehidupannya di dunia ke destinasi bahagia yang abadi di akhirat.

Ia merupakan petunjuk sepanjang jalan, menyediakan manusia dengan bekalan-bekalan perjalanan yang diperlukan bagi membina kehidupan dan menghadapi kematian, juga membina manusia, negara dan tamadun yang gemilang.

Ia merupakan agama yang sempurna, nikmat yang lengkap dan jalan kehidupan tunggal yang diredhai Allah s.w.t. Selainnya adalah kesesatan, kecelakaan, kerugian dan kemurkaan Allah s.w.t.

           Sekian saja dahulu, saya mengakhiri ucapan ini dengan mengungkapkan jutaan terima kasih pertamanya kepada saudara Azam Niza, selaku Pengarah Projek yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan kelancaran Konvensyen kita, juga kepada yang sudi hadir terutama tetamu-tetamu kehormat dan sahabat-sahabat seperjuangan, walaupun kita begitu hampir dengan peperiksaan, namun dengan penuh keazaman dan tanpa ragu, kita hadirkan diri untuk kita mulakan azam ini dengan penuh tekad dan kesungguhan.

Di kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf atas segala kekurangan majlis pada malam ini. marilah kita bersama-sama saling melengkapi untuk menampung kekurangan yang wujud dan Allah jualah yang Maha Sempurna.. Sama-samalah kita mendoakan  perhimpunan kita ini agar berjaya dan semoga Allah menurunkan keberkatan, futuhat yang melimpah ruah, dan keredhaan yang berkekalan.

Akhirnya, marilah kita persiapkan diri. Kita perkukuhkan kejituan jalinan ukhuwwah antara kita. Semoga pada hari yang bersejarah ini, ia tidak akan kekal menjadi sejarah dan memori yang terpahat semata-mata, tetapi bakal mencoret permulaan untuk perjalanan yang baru.

Dear brothers and sisters,

Dengan keazaman, kita bermula.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
 

ikhlas,
Zulfadhli Zabri


Read more

FRIDAY WRAP ( FEB 26 -MAR 3 )

0 comments
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum.
Azam Russia membawakan anda beberapa berita dunia minggu ini.



Kabul, Afghanistan - Seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta berdekatan pagar lapangan terbang Jalalabad di timur Afghanistan.Kejadian itu mengorbankan sembilan orang dan dikatakan motif kejadian itu sebagai membalas tindakan askar Amerika yang membakar Quran.

Kejadian itu berlaku enam hari selepas satu protes besar-besaran yang membantah tindakan askar Amerika yang membakar Quran dan penulisan-penulisan Islam yang lain di sebuah markas tentera di utara ibu negara.



Pakistan- Sekurang-kurangnya 10 orang tentera Pakistan dan 23 orang penentang kerajaan terkorban dalam satu pertempuran di Lembah Tirah, Khyber bersempadan dengan Afghanistan.Pasukan penentang kerajaan, Lashkar-e-Islam yang diketuai mangal Bagh, berkaitan dengan kumpulan Taliban Pakistan dan geng jenayah.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai kempen untuk membatalkan sekatan pemakaian hijab dalam sukan bolasepak. Setiausaha pembangunan sukan pertubuhan itu, Wilfried Lemke telah menulis surat sokongan kepada presiden FIFA, Sepp Blatter menyatakan sokongan untuk membatalkan sekatan itu.

Lemke menyatakan harapannya untuk melihat pemain bolasepak wanita untuk bermain secara aktif di peringkat bawah dan profesional serta melihat pemakaian hijab bukan satu halangan untuk berjaya dalam sukan.Setakat ini di peringkat Olimpik, pemakaian hijab dan skaf dibenarkan dalam sukan taekwondo dan ragbi.



Syria- PBB menganggarkan lebih 7500 orang telah terkorban setakat ini di negara itu sejak bermulanya revolusi.Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menyatakan Bashahr al-Assad boleh diklasifikasikan sebagai seorang penjenayah perang atas tindakannya itu.Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh pada 28 Feb lepas.Di Homs, kumpulan pembangkang menyatakan ratusan penduduk terkorban atau cedera dalam satu serangan yang berlaku selama 24 hari.

Majlis keselamatan sedang berusaha dalam satu resolusi baru, dan mendesak Russia dan China untuk tidak menggunakan kuasa veto menghalang usaha terbaru itu sebagaimana yang terjadi dalam draf resolusi yang lepas.


Marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan penduduk Syria dalam perjuangan mereka.Berikut disertakan link satu blog yang menulis tentang pengisytiharan ke atas konflik di Syria.

Sekian saja rangkuman Friday Wrap minggu ini.Sebelum mengundur diri Azam Russia ingin mengajak anda untuk membaca satu penulisan yang sangat bermanfaat buat renungan diri.Peringatan kepada kita umat Islam sama ada anda adalah orang beragama atau orang agama.Link penulisan tersebut di sini

Assalamualaikum.





Read more

SANG PENCINTA AGUNG …

1 comments

Assalamualaikum wbt.. Semua orang pasti pernah mendengar perkataan CINTA. Sering kali perkataan ini membuatkan pemilik cinta tidak keruan, gundah kerinduan, dan tidak tentu hala malah kadangkala hilang pertimbangan. Cinta dalam beberapa keadaan membuatkan seorang manusia itu hebat, seorang perwira dan seorang pejuang hilang kemegahan dan keperkasaan. Bisa meluntur keperwiraan lalu bertukar menjadi lemah, kelayuan, kemurungan dan kesedihan. Juga sebaliknya, cinta mampu mengubah sebuah kelesuan kepada semangat yang membakar keazaman, menyuluh kegelapan.
Begitu hebat kuasa CINTA.

Cinta telah membuatkan ramai manusia tersenyum sendirian ketika kalimah keramat ini berkumandang…

CINTA …
penuh makna dan penuh rasa dan peristiwa yang menanam kecintaan yang tersemai subur.

CINTA BIASA

Adalah patut anda mencintai ibu anda. Dialah insan pertama yang paling banyak berbakti, bersungguh mencintai anda dan berkorban seluruh kehidupannya untuk kebaikan anda. Maka sungguh tidak menghairankan kalau anda pernah mengalami ‘homesick ‘ sewaktu di MRSM atau sekolah menegah dahulu. Ketika pertama kali meninggalkan rumah dan berjauhan dari seorang bidadari penyayang yang banyak memberi kasih sayang, semangat dan rahmat kepada anda.  Ia sebuah cinta yang biasa tersemai malah perlu disemai di dalam hati.


Jikalau seorang isteri mencintai suaminya, itu juga adalah suatu cinta yang sememangnya dan seharusnya berlaku. Sememangnya Allah menanamkan perasaan cinta dan kasih dalam dua jiwa lelaki dan wanita supaya mereka berkasih sayang dan bercinta. Lantas di antara mereka terpateri kesetiaan; kegembiraan. Cinta itu atas rahmat daripada ALLAH walaupun hakikatnya suami dan isteri itu adalah penyatuan dua insan yang penuh perbezaan, beradaptasi dengan perbezaan dan dua jiwa yang meraikan sebuah perbezaan. Ia merupakan ihsan daripada Tuhan pencipta jiwa.

Cinta isteri kepada suami sememangnya wajar. Mencintai seorang lelaki yang banyak mengorbankan masa untuk membahagiakan isteri. Mengerah tenaga untuk memenuhi keperluan asasi kehidupan  isteri dan keluarga. Dan terkadang menahan kesabaran dan emosi dirinya untuk membahagiakan seorang isteri dan untuk melayakkan dirinya menjadi pemimpin orang-orang yang bertaqwa. Mencintai seseorang yang merupakan nakhoda kapal dalam bahtera rumah tangga adalah suatu yang biasa.

Juga sangat logik untuk seorang sahabat mencintai sahabatnya terutamanya jika sahabatnya seorang yang pandai. Selalu membantunya dalam pelajaran dan kertas kerja. Mencintai sahabat berduit yang banyak membantu dirinya dalam kesusahan di kala kesempitan wang juga bukan sesuatu yang menghairankan.  Merasai kehilangan sahabat yang telah banyak bersama mengharungi zaman suka duka ketika remaja juga sesuatu yang tidak perlu dikagumkan. Ini adalah kebiasaan. Mencintai persahabatan penuh manfaat-manfaat sampingan adalah wajar.

Adakah seorang anak akan mencintai ayahnya jika dia didera ketika kecil dengan tali pinggang, "hanger", dan perangai amuk di rumah? Sudah tentu jarang sekali ayah seperti itu dicintai, malah anak tadi mungkin sahaja mengalami "post traumatic syndrome".
Adakah seorang isteri akan mencintai suaminya jika dia merupakan seorang ketua keluarga yang tidak berperikemanusiaan, membebankan isterinya dengan kerja-kerja rumah sedangkan isteri tadi juga mempunyai kerjaya, suami yang sentiasa menurut kehendak diri sendiri, kedekut dan tidak melayan perasaan isteri? Adakah lelaki seperti itu akan dicintai? Rumah tangga seperti itu tidak akan mampu bertahan lama.
Adakah seorang sahabat akan merasai kemanisan persahabatan jika mempunyai kawan bijak yang "kiasu", yang mementingkan diri dan tidak suka menolong. Mengasihi seorang kawan yang kaya tetapi kedekut dan suka berlagak adalah sesuatu yang hampir mustahil, malah kawan seperti itu tidak mungkin dijadikan teman.

Kesimpulannya cinta yang wujud pada hari ini adalah cinta biasa yang fitrah dan penuh logika. Kita akan mencintai seseorang apabila orang tersebut dapat memberikan ‘sesuatu’ untuk kebaikan diri kita. Dan tatkala kebaikan itu hilang daripada dirinya, cinta kita akan turut hilang atau pudar. Kerana ia hanya sebuah cinta biasa.

Namun dalam dunia yang penuh keretakan cinta, cinta monyet, cinta palsu dan cinta metropolitan ini; dunia pernah melahirkan SANG PENCINTA YANG AGUNG. DIA mencintai sekumpulan manusia pada masa akan datang yang tidak pernah ditemuinya. DIA mencintai walaupun cintanya tidak berbalas malah; cintanya dinodai dengan kebencian tuduhan-tuduhan yang melampau seperti gila dan tukang sihir, dan juga mereka mencabar kesabaran sang pencinta agung. Namun jelas dia memang Sang Pencinta Agung yang telah membuktikan cintanya dengan air mata dan darah. Hidupnya adalah untuk mencintai.
Dia, manusia unggul, hebat; yang besar jiwanya. Mampu mencintai sehinggakan di hujung hayatnya, baginda mengakhirirnya dengan menyebut nama kekasihnya ummati, ummati.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Sangat luar biasa. Muhammad SAW adalah tokoh pencinta yang paling agung.


Read more

Moscow, Sekitar Februari.

0 comments

Assalamualaikum wbt.

Februari berlalu dengan tahun ini menyaksikan sekali lagi kita diketemukan dengan tarikh 29. Tarikh yang hanya datang 4 tahun sekali insyaAllah akan sekali lagi menyuburkan syiar islam di Moscow ini.

Bagi pelajar di Moscow, februari merupakan permulaan sekali lagi untuk semester baru. 9 Februari, hari pertama bagi sesi kelas bagi semester musim bunga tahun ini. Disebabkan semester baru bermula, tak banyak aktiviti yang dapat dilihat sepanjang bulan februari ini.
Sebelum berakhir bulan februari, beberapa aktiviti telah dapat kita saksikan. Antara nya adalah bagi pelajar Russian State Medical University (RSMU), suatu acara sukan tahunan  antara tahun pengajian telah diadakan. Acara yang terbuka buat semua pelajar Universiti tersebut telah menyaksikan penglibatan yang merangsangkan daripada pelajar-pelajar. Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah seperti futsal, bola keranjang, bola tampar, bola baling dan bola jaring. Semua acara melibatkan lelaki dan perempuan secara berasingan. Selain acara sukan, terdapat juga pertandingan perbarisan. Acara sukan ditutup dengan perlawanan pertunjukan antara pelajar universiti dan warga kakitangan kedutaan besar Malaysia ke Russia. Acara ditamatkan dengan penyampaian hadiah dengan menyaksikan johan keseluruhan bagi acara sukan ini dimenangi oleh pelajar tahun ke-3, diikuti tempat kedua oleh pelajar tahun ke-6 dan tempat ketiga pelajar tahun ke-5.

Selang sehari kemudian, bertempat di Kedutaan Besar Malaysia ke Russia, AZAM Russia dengan koloborasi bersama PPIM Moscow telah mengadakan acara tahunan yakni sambutan Maulidurrasul. Acara ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Russia, Dato’ Zainol Abidin Omar. Majlis kemudian disambung dengan forum yang bertajuk “Muhammad Kecintaan Kita”. Dengan Firdaus Wan Chek sebagai moderator forum, dan Kolonel Abdul Manaf Md Zin sebagai jemputan dari pihak kedutaan, manakala bagi pelajar muslimin, Muhammad Farhan Fitri Jacob dan wakil pelajar Muslimat nurul husna mohd affandi selaku ahli panel, telah membincangkan secara mendalam tentang perkara-perkara berkaitan sifat-sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam semua aspek dalam kehidupan. 

Selesai mendengar sesi perkongsian, hadirin disajikan pula dengan suatu pantomime yang bertajuk Sergei, Anton dan Anak Muda hasil karya pengarah yang tidak asing lagi yakni Hadi Pahmi. Pentomime tersebut boleh ditonton di http://www.youtube.com/watch?v=0OMML-9L5YE

Majlis bersambung dengan nyanyian nasyid beramai-ramai dan kemudian majlis penyampaian hadiah kepada individu-individu yang telah menjayakan majlis ini. Alhamdulillah majlis mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan merekodkan kehadiran seramai 250 orang walaupun terpaksa berhimpit-himpit di dewan sementara Duta. InsyaAllah di masa hadapan diharap program yang dianjurkan oleh Azam Russia akan lebih berjaya dan mendapat sambutan yang lebih hebat. Diharap ibrah yang diperoleh dari sambutan maulidurrasul kali ini tidak sahaja hanya di dalam dewan tersebut malah terus mekar sehingga ke hujung hayat kita InsyaAllah.

Selain aktiviti secara fizikal, terdapat juga aktiviti yang sangat memberangsangkan telah diadakan secara maya. Aktiviti tersebut adalah Projek 700 di mana AZAM Russia telah berganding bahu bersama Aqsa Syarif dalam menaja sebuah keluarga angkat. Sepertimana yang telah diterangkan dalam post-post Projek 700 sebelum ini, projek ini telah mendapat sambutan yang amat tidak dijangka-jangkakan. Selama 3 hari pengagihan unit telah diadakan. Dengan pembukaan 100 unit tajaan pertama menyaksikan hanya 10 minit sahaja telah habis terisi. Hari terakhir yang menaruhkan 75 unit tajaan hanya mengambil masa 2 minit sahaja untuk dihabiskan. Alhamdulillah projek ini mendapat respon yang sangat menggalakkan dan insyaAllah akan memberikan impak positif buat kita di Bumi Russia ini.

Berikut sahaja ringkasan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan februari bagi lokaliti Moscow. Sebelum mengakhiri ringkasan bulan ini, AZAM Russia ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Saudara Luqman Azhar atas kemenangan dan pelantikan sebagai Presiden Sechenov Malaysian Student Association (SMSA). Semoga dengan pelantikan tersebut dapat memberi kemudahan bagi pelajar-pelajar di Moscow secara amnya dan Muslim terutama pelajar Moscow State Medical University (1st MSMU) secara khasnya. Sekian sahaja buat kali ini, wassalam. wallahualam





Read more