• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

TERAKHIR

0 comments






10 malam.


Lelaki itu mencari posisi sesuai sebelum pandangan dijatuhkan lama ke arah subjek. Subjek bertubuh genit yang sedang ketawa bersama rakan-rakannya diperhatikan kosong. Tepat 15 minit menunggu, picu M16 dilepaskan dan peluru dari tingkat 14 berjaya mengenai dada sasaran. Menggelumpur seketika, target bergelar Tan Sri itu akhirnya menghembus nafas terakhir, di hadapan pub kegemarannya.
"Selesai. Masukkan baki duit aku". Segaris ayat separa arahan dikeluarkan lelaki itu sebelum memecut laju meninggalkan tempat kejadian. 'Ini yang terakhir', hatinya berdetik.

11.30 malam.

Porsche merah diparkir betul-betul di hadapan restoran milik kawannya. Tanpa mempedulikan mata-mata wanita gersang yang memerhati, dia segera melangkah masuk mencari ruang yang agak tersorok.
"Am, kau dari mana ni?", Razif menyapanya lembut, seperti kebiasaan. Raut wajah sahabatnya yang telah dua tahun berubah ditatap lama sebelum dia menjawab, "Macam biasalah Zif. Aku ingat nak cuci tangan. Tapi entahlah...Aku buat benda ni dah lama. Bukan seorang dua aku dah bunuh. Kalau aku berhenti sekarang, macam mana kalau diorang cari aku? Lima tahun Zif...Tuhan pun mungkin dah tak pandang aku. Aku kotor." Keluhan berat dilepakan Am. Sepi mengisi ruang antara mereka sebelum Razif membuka bicara, "Aku mungkin baru kenal Tuhan tapi aku yakin Dia masih sayangkan kau. Masih belum terlambat untuk kau kembali. Kalau kau risau tiada tempat, aku ada, restoran ni pun sentiasa alukan kau. Ingat Am, kita sentiasa diberikan ruang dan pilihan dan selebihnya terpulang kita." Razif kemudian bangun menyambung bicara sebelum meninggalkan Am bersendirian. "Kau ada masa untuk berubah cuma jangan lupa kita tak tahu bila masa tu akan berhenti."

2.15 pagi

Pedal minyak ditekan kuat. Kata-kata Razif bermain di fikiran. Dia teringat ibu. Lima tahun tidak bersua. Ibu pasti masih membenci dirinya. Sekalipun dia berubah, silamnya tetap mengejar, dia tetap anak terbuang, jadi untuk apa? Jika Tuhan benar-benar penyayang, mengapa dia dicampak ke lembah ini? Sedang dia hanya ingin mengumpul biaya perubatan untuk seorang tua bergelar ibu. Mengapa Tuhan tidak menunjukkan jalan keluar lain? Tuhan tidak pernah adil! Bisikan demi bisikan hati menyebabkan jiwanya berkecamuk. Pedal ditekan lebih laju, dan fokusnya semakin terganggu. Tanpa dia sedari, lori dari arah bertentangan semakin menghampiri. Brek ditekan kuat namun tidak mampu menahan kelajuan kereta dan....

"Kau ada masa untuk berubah cuma jangan lupa kita tak tahu bila masa tu akan berhenti".

6.00 pagi

Selesai Subuh, wanita tua itu didatangi dua jururawat. "Mak Jah, kami ada berita kurang baik tapi kami harap Mak Jah bertenang ya," jururawat bernama Shira membuka bicara sedang sahabatnya mengusap lembut belakang Mak Jah, memberi semangat barangkali. "Anak Mak Jah, Amran telah kembali kerahmatullah akibat kemalangan. Mak Jah sabar ya? Kami sentiasa ada dengan Mak Jah," Shira menoktahkan bicara dengan pelukan. Tubuh tua itu seakan kaku, mungkin tergamam dengan berita yang diterima. 'Am, ibu rindukan kamu. Seperti lima tahun lepas kamu pergi lagi tapi kali ini kamu pasti tak akan kembali', hati tua itu merintih sayu. Air mata yang mengalir d
iseka perlahan, seperlahan sosok tua itu mampu bertahan.




….…………………………………………………………………………………………..

Hidup, tak pernah menjanjikan pelangi atau ribut di penghujung. Tetapi hidup, menyajikan kita pilihan dan jalan, dan dari keputusan yang kita ambil telah dihamparkan akibat mahupun manfaat. Liku kita mungkin berbeza tetapi yang dikira adalah yang terakhir dari hidup kita, kerana yang terakhir itu satu penentuan, gembira atau kecewa engkau di sana. Ingatlah kawan, sekalipun saat ini kau terjerumus ke dasar paling dalam, Tuhan takkan pernah membiarkan kau tenggelam, menangis sakit keseorangan. Selagi ini bukan yang terakhir, carilah Dia dan kembali, tapi jangan terlalu berlengah kerana kita tidak tahu saat yang manakah akan jadi noktah terakhir pengembaraan kita di dunia :)


Read more

KEMBALIKAN AKU YANG DIRINDUI

0 comments




Sehelai kertas berlipat kemas, aku temukan di dalam buku notaku. Perlahan-lahan aku membuka lipatan itu.Tiada sebarang nama pengirim tertulis,namun aku dapat mengagak siapa pengirim itu.
Jendela bilikku terbuka luas, kedinginan menguasai diri. Sebelum sempat dibaca isi kandungan kertas itu, aku mengambil seputung rokok di dalam kotak ‘Dunhill’ yang terletak di atas meja. Berteleku aku di jendela sambil menikmati asap rokok yang dihembuskan , cuba menghangatkan diri menatap suasana malam yang kian sepi.
Aku mengalihkan perhatianku, menatap kembali kertas yang digenggam erat.

“Aku rindu dia yang dahalu, sahabat seperjuangan yang aku percaya mampu menjadi orang-orang yang hebat. Insan yang boleh ku banggakan sebagai seorang sahabat.”

Bukan aku ingin menjadi insan yang mengambil tahu urusanmu,
Kehidupanmu adalah hakmu,
Jalan yang kau pilih  adalah kehendakmu,
Namun perlu kau tahu,
Sebagai seorang teman,
Saudara seagama yang mempunyai tanggungjawab padamu,
Sebagai seorang yang mengetahui serba sedikit kisah hidupmu,
Tergerak diri ini,
Mengutuskan sekeping surat buatmu.

Aku tahu,
Engkau sudah cukup dewasa untuk memikirkan baik buruk kehidupanmu,
Hanya satu pesanan dariku buatmu,
Refleksikan kembali kisah hidupmu,
Jalan yang diaturkan buatmu,
Tidak  kosong kerana ada nilai tersirat di sebaliknya.

Ujian yang kau lalui sebelum ini,
Adalah rasa kasih dari Pencipta buatmu,
Untuk kau refleksikan kembali,
Dosa noda yang pernah kau lakukan,
Sebagai manusia yang sentiasa alpa.

Kerana kasih dariNya,
Kau masih hidup hari ini,
Diberi peluang untuk kembali padaNya,
Cukuplah diri,
Sampai bila kau harus mengkhianati,
Kasih sayangNya padaMu?

Takungan air mata Imran seakan-akan sudah penuh, menunggu masa berlinangan di pipi. Sebak dirinya.Dia dapat merasakan keikhlasan si penulis dalam bait-bait kata yang diungkapkan.
                              ********************************************



Kedengaran beberapa kali ketukan di pintu bilik Amir. Pantas Amir mengatur langkah,membuka pintu. Kelihatan satu susuk tubuh yang sangat dikenalinya.

“Kau ada masa untuk aku? “,soal Imran penasaran.

Sudah semestinya,masuklah”,balas Amir ringkas.

Suasana sepi seketika. Tiada siapa yang berani untuk memulakan bicara.

Kau tahu kan,aku dulu bukan aku yang sekarang. Aku jadi begini sebab aku rasa kosong, lebih-lebih lagi,selepas ketiadaan ibu aku, aku rasa seolah- olah hilang tempat bergantung. Aku penat, dunia seakan-akan tidak adil untukku. Jiwa aku tak tenteram. Aku  inginkan keseronokan untuk menggantikan segala kekosongan, aku cuma mahukan ketenangan. Dengan keputusan peperiksaan aku sekarang, yang asyik gagal je. Aku tertekan”,ucap Imran menyatakan segalanya yang terbuku di hati.

“Dengan keadaan diri kau sekarang,kau dapat ketenangan ke?”,ujar Amir selamba.

Kedengaran gelak tawa Imran memecah kesunyian malam.

Aku sebenarnya dah lama sedar apa yang aku buat sekarang ni, berdosa. Aku cuma tak tahu dari mana harus aku mula untuk kembali, aku tak ada kekuatan. Dah terlalu lama aku lupa, aku dah terbiasa”,balas Imran.

“Kau masih lagi solat bukan?”,soal Amir penasaran.

“Tak tentu,kadang-kadang aku solat”,dibalasnya selamba.

“Kau mahu kembali bukan? Mulakan dengan menjaga solat kau. Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar,dapat beri kau kekuatan,bersihkan jiwa yang tak tenteram”,ungkap Amir.

Kawan aku solat je, tapi sama je macam aku, buat lagi benda jahat-jahat ni, tapi dia tak macam kau lah,dia solat laju semacam je aku tengok,” ucap Imran diiringi dengan gelak tawanya.

Solat ni, bukan sekadar menghadap badan kau pada Allah ,bangun duduk, cukup semua rukun solat kau laksanakan. Kau nak dapat nikmat solat,dapat rasa ketenangan semua tu, kau kena bawa sekali hati,fikiran kau pada Allah ketika solat. Solat tiang agama seorang Muslim,kukuh tiang itu,maka tertegaklah binaan yang lain. InsyaAllah,aku yakin, solat yang mengingati Allah, dapat pelihara, lindungi kau dari segala masalah dan perasaan yang kosong tu”,balas Amir mengungkapkan kata yang telah sekian lama dia inginkan ucapkan kepada sahabatnya itu.

Imran hanya mendiamkan diri. Dia sedar,apa yang dikatakan temannya itu,benar sekali.

Solat membawa kita berhubung dengan Allah. Bayangkan seandainya kita tidak solat, terputus talian dengan Allah, jadilah kita seperti manusia yang terumbang -ambing tiada dalam radar pemeliharaan, penjagaan Allah S.W.T.


Surah Taha ayat 14
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكْرِي
“ Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”

 Bertapa hebatnya, Allah menghadiahkan solat kepada kita sebagai alat untuk kita menghantar laporan kepada Allah, mengadu segala masalah, maksiat dan juga segala kesalahan dan tatkala selesai solat itu yang membuat hati kita tenang. Allah sentiasa bersama kita.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ
“….Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.” (Al-Baqarah: 186).

Namun kita sering lupa, bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja,maka terlepaslah dia dari pemeliharaan Allah.

Kekuatan yang kau inginkan tidak akan datang dengan sendiri. Kau harus mencari kekuatan itu. Sesiapa yang mencari jalan Allah,pasti akan menemukannya.
Ihfazillah,yafazka (Jaga hak Allah,Allah pasti jaga hak kamu).

“Lihat sahaja generasi Sultan Muhammad Al Fateh terdahulu, mereka menjaga solat dan Allah memberi kemenangan kepada mereka. Bukan sahaja kemenangan di dunia,bahkan di akhirat juga”, ucap Amir memberikan nasihat yang panjang kepada sahabatnya.

“InsyaAllah,aku akan cuba.Teruskan menasihati aku. Kau tahu bukan, untuk berubah itu tidak payah,namun untuk istiqamah di jalanNya, aku perlukan orang untuk sentiasa mengingatkanku.Sebetulnya,aku rindu diriku yang dulu,”,ujar Imran syahdu.

Aku yakin kau mampu,aku akan sentiasa untuk kau.Kau jangan menafikan lagi perasaan untuk berubah yang ada dalam diri kau. Bangun malam ni,solat taubat dan menangislah sepuas-puasnya di hadapanNya. Aku tidak akan kekal di dunia ini,suatu masa aku akan pergi, pohonlah kekuatan dari Allah, Sesungguhnya hanya Dia yang akan bersama Engkau, memberikan kekuatan untuk terus istiqamah di jalanNya”ujar Amir sentiasa menjadi sandaran buat Imran saat susah dan senang.





Read more

Tiada Ramadhan Buatku

0 comments
“Ayah ayah puasa tu apa??”Akmal  merenung ayahnya. Berkerut. Buat pertama kali dia mendengar perkataan itu. Encik Wahid hanya tersenyum. Petah betul anak lelakinya yang seorang ini. Walaupun baru berumur 6 tahun tapi amat cakna dengan perkara disekelilingnya. “Hurm, puasa tu bila Akmal kena menahan diri dari makan aiskrim, ayam goreng, minum air ribena dan sebagainya semua tidak boleh. Dari pagi sampai la terbenam matahari .Hurmm… anak ayah nak puasa tak tahun ni??“ Encik Wahid meletakkan Akmal di atas ribanya.

“Tak nak la ayah. Mati la Akmal kalau macam tu. Nanti ayah tak dapat jumpa Akmal dah “,petah Akmal berkata-kata merayu untuk minta dikasihani. “Hahaha, tak mati la. Tengok ayah sampai sekarang masih kuat dan cerdas macam Ultraman. Nanti kalau Akmal puasa Akmal pon boleh jadi kuat macam Ultraman eyahh “, Encik Wahid terus menunjukkan aksi Ultraman ala-ala sedang membuat serangan. Berderai tawa dua beranak itu. 
 
“Owh kalau macam tu Akmal nak cuba puasa la. Nanti boleh jadi kuat macam Ultraman..Dududu!!” Akmal juga menunjukkan aksi yang sama.Namun kali ini lebih menghayati wataknya.
Pecah tawa Encik Wahid sekali lagi. Akmal terus turun dari ribaan Encik Wahid untuk mendapatkan ibunya. “Ibu ibu nanti Akmal nak puasa. Ayah cakapkan kalau Akmal puasa nanti Akmal akan jadi kuat macam Ultraman ..Dududud..Eyah eyah “Ujar Akmal sambil menunjukkan aksi Ultraman kesukaannya.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Blah la weyy .Takyah bajet alim kat sini. Sini Russia la. Buat apa puasa-puasa ni, buat penat je kau tahu tak.“ lantang anak lelaki ini berbicara. Terus dia merampas kembali burger King yang baru dibelinya sebentar tadi. “Allah Mal, janganlah macam ni. Sejak kau datang Russia aku tak pernah nampak pon kau berpuasa. Kalau dulu boleh la aku diam kan je sebab kau kata kau gastrik. Tapi sekarang aku makin ragu-ragu, aku tak pernah nampak kau makan ubat, tanda-tanda sakit pun aku tak nampak.“ Azmir mengetap bibir menahan marah. Lama sudah dia pendam perasaan pada sahabatnya yang seorang ini.
 
“Diam la kau. Kau apa tau, budak masjid alim bagai ni tahu nak menghukum je. Pergi la kau dengan kawan-kawan masjid kau. Biar aku dengan hidup aku “Akmal mengangkat kaki berlalu pergi. Sebal hatinya dengan Azmir rakan sebiliknya. Azmir hanya menggeleng. Sudah sebati digelar bajet alim dan sebagainya. Dia tidak mahu mengalah, kena maki macam mana sekalipun dakwah tetap dakwah dan rakan sebiliknya adalah teman yang perlu diubah.
 
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Gambar ibu dan ayah ditatap. Air matanya sudah kering. Namun kerinduan masih segar dalam dirinya. Rindukan pelukan, rindukan belaian, rindukan segala-galanya. Kotak memorinya ligat berputar. “Akmal nak ibu belikan baju warna apa??” soal Puan Syahida mengelus lembut rambut anak lelakinya yang sedikit panjang. “Ibu suka warna apa? Akmal tak kisah asalkan ibu dengan ayah suka “ Akmal memandang ibunya. Asyik dengan belaian. Akmal suka dimanjakan begitu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Akmal jangan la merajuk .Ayah tak sangka pula baju warna putih tiada untuk saiz Akmal.
“Ibukan dah janji nak belikan baju yang Akmal suka. Akmal suka baju yang sama warna dengan ayah dan ibu, tak seronok lah warna tak sama “bentak Akmal. Dia melepaskan eratan tangan Puan Syahida dan melarikan diri. “Akmal, Akmal “Encik Wahid mengejar diikuti Puan Syahida dibelakang.
Bukkk!!!! 

Akmal membuka matanya. Dia tidak sedar apa yang berlaku, yang pasti dia berada dalam dakapan ayahnya. Berlumuran darah kepala ayahnya namun erakan pelukan masih tidak dilepaskan.
“Ayah, ayah bangun “Akmal menangis. Dia takut melihat darah tidak henti-henti mengalir dikepala ayahnya. Matanya liar mencari ibunya namun kerumunan orang ramai mengehadkan penglihatannya.
“Ayah ibu sayang sangat dengan Akmal. “ kata-kata terakhir Encik Wahid tengiang-ngiang di telinga Akmal sehingga ke hari ini.

Akmal sebatang kara sekarang. Tiada ayah dan tiada ibu. Itulah pertama dan terakhir Ramadhannya penuh berpuasa bersama ayah dan ibu. Ayahnya memang tidak dapat diselamatkan. Ibunya juga tercampak jauh akibat hentakan yang kuat. Mereka dilanggar sebuah lori ketika Akmal sedang cuba melarikan diri dari ibu ayahnya. Sejak itu tiada Ramadhan buat Akmal. Bencinya pada Ramadhan meluap-luap apabila bulan mulia itu tiba. Baginya bulan itu membawa sial pada dirinya. 
 
“Redha dan ikhlas Akmal,” Azmir hadir dari belakang, menepuk bahu Akmal. Dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Akmal.“Kau nak apa, tinggalkan aku sendiri la “ Akmal membentak. Cuba disorokkan gambar ayah dan ibunya kedalam jaket sejuknya.“Aku faham Akmal, aku pun pernah kehilangan.” Azmir membuka bicara. Pandangannya sedikitpun tidak teralih dek keindahan padang rekreasi disitu.

“Alah tapi kau tak kena teruk macam aku kan, aku da takde mak ayah sejak aku umur 6 tahun lagi. Aku hilang segala-galanya. Hilang belaian, hilang kasih sayang. Kenapa Allah ambil ibu ayah aku Azmir. Tak cukup ke aku buat masa umur 6 tahun dulu. Aku puasa, aku tak pernah lawan cakap ibu ayah aku. Aku solat, semua aku buat, tapi kenapa Allah ambil diorang Azmir. Benci sangat ke Allah dekat aku .Sampai sekarang aku tak boleh terima kehadiran bulan Ramadhan sebab bulan Ramadhanlah aku hilang segalanya!“ Akmal menangis. Emosinya tidak stabil tika ini. Berat di dadanya yang ditanggung selama ini seorang diri.
 
Pandangan Azmir jauh. Sedikitpun dia tidak cuba menenangkan Akmal. Baginya biarlah Akmal melepaskan segala-galanya yang dipendam. “Untung kau masih dapat rasa belaian kasih dan sayang seorang ayah dan ibu. Daripada aku yang entah dari mana dikutip, langsung tidak diberi peluang untuk tahu siapa ayah dan ibu aku. Aku membesar dengan seorang nenek di hujung kampung. Bila aku dewasa aku kerap diejek kerana tidak ada ayah dan ibu. Jiwa aku tertekan dan aku memberontak. 

Hari-hari aku bertanya pada nenek aku siapa ayah dan ibu aku. Dan nenek pun buka cerita yang  nenek mempertemukan aku  di surau ketika nenek ingin mengerjakan solat terawih. Iye aku dibuang masa bulan Ramadhan. Di atas tangga dengan sekeping nota oleh ibuku sendiri yang mengatakan dia tidak boleh menerima aku dalam hidupnya. “Suasana sepi. Azmir menarik nafas. Cuba mengawal emosinya. Empangan matanya ditahan agar tidak mengalir.

Akmal hanya menunduk ke lantai. Rasa serba salah menjerat jiwanya. Sesekali air matanya diseka.  
“Kau tahu Akmal, dulu aku pun benci bulan Ramadhan.Benci sebab bulan Ramadhan la aku ditinggalkan. Sebab masa bulan Ramadhanlah mak ayah aku buang aku. Dan sebab masa bulan Ramadhan la… aku kehilangan seseorang iaitu nenek aku tempat aku minta kasih sayang.” tewas juga empangan Azmir. Cepat-cepat diseka air matanya agar tidak jatuh.

“Tapi bila aku sedar yang perjalanan hidup kita ni tak lama Akmal, kalau lah aku ditarik nyawa saat aku dalam keadaan ingkar dengan Allah, kau rasa kesudahan aku di akhirat nanti bagaimana. Ada ustaz pesan pada aku Akmal hidup kita di dunia ni hanya persinggahan sahaja. Tatkala di persinggahan inilah Allah akan uji dengan bermacam ujian untuk dia tahu siapa dikalangan kita ini yang betul-betul beriman. “Dan jangan kamu menyangka kamu beriman selagi kamu tidak diuji “. 

Saat itu aku belajar erti redha dan ikhlas dan saat itu pergantungan aku hanya pada Allah, kerana Dia sebaik-baik peneman, pemberi kasih dan sayang dan pengampun. Lambat laun kita semua akan kembali padaNya juga kan? Sekilas pandangan redup Azmir memandang Akmal. Tangan kirinya memaut bahu Akmal yang kelihatan terhinjut-hinjut menahan tangis.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

“Eh, siapa masak ni , uish syabab  mana yang rajin masak sahur-sahur ni. Dah macam berbuka dah aku tengok “ ngomel Azmir sendirian. Pelik dia pagi itu. Jarang sahabat-sahabat rumahnya yang lain masak banyak begitu untuk sahur. “Nah, harini aku nak celebrate first day aku puasa. So aku masak la banyak-banyak, kau jangan nak banyak komen eh, duduk je. Aku panggil member lain. “ Akmal terus berlalu.
 
“Alhamdulillah “


Read more

Pergi Tak Kembali

0 comments




Cinta pertama bukanlah pada wanita,

Tapi adalah pada cinta kampung halaman,
Lihatlah pada orang yang diusir dan dibenci,
Walau jauh dan lama sekalipun,
Tetap saja dia ingat kampung tempat dia membesar.

Ini cerita Hamidi.

Sudah lama Hamidi tidak pulang ke kampung tercinta, kampung tempat bermain dan bergurau mesra, walau kedunia mana dia pergi, pasti akan kembali merindui desa permai ini.

Tamat pengajian dari Moscow, Hamidi pulang ke kampung, dilihatnya tiada banyak yang berubah sejak dia meninggalkan kampung ini 4 tahun dahulu. Masih tiada kemajuan yang dicita-citakan, mungkin saja sekali dua datang orang politik untuk menaburkan janji basi, usai beroleh apa yang dicita,batang hidung pun sudah tidak kelihatan lagi. Aduhai mungkin ini sebabnya orang mual dengan makhluk yang bernama politik.

Dan kampung ini masih sama, masih lagi ramai yang menderita kemiskinan, bukan kemiskinan harta yang diresahkan, tapi kemiskinan jati diri anak muda kampung ini yang menjadi kerisauan utama. Mungkin ada baiknya juga kampung ini tidak dihimpit oleh kemajuan yang besar, masih jua terpelihara sawah padi yang luas, masih jua hijau bumi tuhan dan masih jua bebas anak kecil berlari menaikkan layang.

Kembali kepada Hamidi.

Menjadi kebiasaan,antara tempat yang dituju oleh Hamidi adalah surau lama yang tidak jauh dari rumah Hamidi. Surau peninggalan arwah datuknya yang diwakafkan untuk kegunaan penduduk kampung. Besar pahala orang yang mewakafkan hartanya untuk tujuan agama ini, baktinya terus mengalir walau tuannya sudah tiada lagi dimuka bumi.

Hamidi melangkah masuk ke dalam surau tua itu, sunyi dan sayu hatinya, mengimbau seribu kenangan tempat masa kecilnya dihabiskan. Dari tidak tahu apa-apa sehingga mengenal mana betul dan salah, dari nakal kepada menjaga adab dan akhlak. Pernah juga beberapa kali dia dimarah oleh jemaah surau kerana berkelakuan nakal dan bising semasa orang solat, pernah juga dia terjatuh dan patah tangan kerana berlari meniti pagar keliling surau bersama kenalan yang lain. Segala kenangan itu datang singgah dan membuat dia tersenyum seorang diri.

Ditegurnya seorang pakcik yang duduk hujung kanan surau, rupanya Pakcik Rahim, jiran yang tidak jauh dari rumahnya. Mereka mula bertanya khabar dan berkongsi cerita. Pakcik Rahim memulakan ceritanya, dan Hamidi tekun mendengar, sekali sekala disampuknya dengan soalan tentang orang yang dulunya sering dia jumpa namun tidak kelihatan lagi.

Rupanya, sudah ramai ahli surau yang telah pergi menghadap Ilahi. Ada yang meninggal kerana sakit tua, ada yang meninggal kerana kemalangan dan ada juga yang mati mengejut pada usia yang sangat muda.

Termenung jauh Hamidi mendengar cerita tersebut, bukanlah mati yang dia takutkan, tapi amalan baik yang masih sedikit,dan pada masa yang sama dosa yang makin bertambah. Jika mati itu semasa melakukan amal soleh, beruntunglah dirinya. “Namun apa nasib diri ini jika mati dalam keadaan diri masih sama seperti dahulu, mati dalam melakukan maksiat dan mati ketika tengah kufur nikmat?”, hati Hamidi terus menerus menimbulkan persoalan dan bermonolog dalaman.

Melihatkan Hamidi yang jauh termenung, berkatalah Pakcik Haron memecah kesunyian surau yang masih menunggu jemaah lain datang untuk berbuka puasa bersama.

“Beginilah hidup ini Hamidi, kamu pergi merantau jauh ke luar negara, boleh jadi banyak yang kamu belajar disana, banyak pengalaman baik dan buruk kamu kerjakan. Tapi akhirnya kamu kembali jua ke kampung halaman dan meninggalkan tempat kamu belajar itu selamanya.”

“Begitulah hidup kita di dunia, untuk dapat hidup ini adalah satu kesyukuran, tapi untuk tahu hala tuju hidup itu adalah pilihan. Kita semua akan pergi, dan sesiapa yang kamu jumpa di dunia ini, berbuat baiklah pada mereka, kerana belum tentu kamu akan bertemu lagi dengan mereka, boleh jadi hari ini ada sahaja insan yang kita kenal telah pergi tak kembali lagi”.

Imam Syafie dikala kematian menghampirinya, ketika mana sakit dia menahan sakratulmaut berkatalah dia kepada saudaranya:

“Aku akan menjadi pengembara yang akan keluar dari dalam dunia ini. Dan kepada saudaraku, aku akan menjadi seorang yang akan dipisahkan dari mereka. Sementara segala amalan keburukan aku adalah penanggunganku dan aku merupakan seorang yang amat mengharapkan untuk meminum gelas kerahmatan dari Tuhanku. Kepada Allah lah aku akan kembali. Tidak aku ketahui apakah rohku ini bergerak ke syurga lalu aku akan mengucapkan tahniah kepadanya, atau ke neraka yang aku akan tanggung seksanya.”

Renungan dari Pakcik Rahim itu betul-betul membuat Hamidi berfikir dalam, betul kata pakcik, hidup ini adalah pilihan, kita yang memandu samudera kehidupan ini untuk sampai ke destinasi nya.

Jam menunjukkan lagi 5 minit sebelum berbuka puasa, tanpa mereka sedar, dibelakang surau sana sudah ramai jemaah yang datang mengerumuni hidangan, dan mereka berdua bangun menuju kearah kumpulan tersebut.

Saat berbuka itu, Hamidi memerhatikan jemaah surau yang hadir, ada yang dulunya masih muda, namun telah tua beruban, dan dia sendiri dulunya masih kecil kini telah jadi dewasa.
Aduhai begitu cepat masa berlalu.

Kita ini adalah angkatan musafir didalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita
Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi hadapan

Abdul Wahab Azzam


Read more

Ramadhan Menjadi Saksi

0 comments
Seronoknya menjadi anak kecil. Berlari ke sana ke mari dengan penuh gelak tawa dan riang ria. Seakan dunia ini langsung tiada masalah baginya. Tiada apa yang perlu difikir, tiada apa yang perlu dirisau, semua kehidupannya disayangi, dibelai dan dicintai. Malah mereka suci dari segala dosa dan noda. Ahli syurga.

Berbeza dengan aku. Kehidupan seorang dewasa yang banyak menuntut hak dan tanggungjawab. Banyak juga perkara yang tidak sepatutnya aku lakukan sehingga membawa aku jauh dari erti hidup berTuhan. Aku hilang arah tuju, hilang akan matlamat aku hidup diatas muka bumi ini.

Aku menarik nafas panjang.

“Ya Allah, adakah tempat aku disisi Engkau nanti...,” gertus hati ini yang sedang menangis.

Aku berjalan menuju bangku menghadap sungai Mosko yang mengalir tenang sambil si burung saling berlumba dan bermain-main bersama mereka. Angin bertiup penuh kelembutan seolah telah membawa aku termenung panjang melihat dan merenung segala peristiwa jahiliyah silam yang pernah aku lakukan.

Tiba-tiba pipi terasa panas dan mengalir deras air mata keinsafan yang lama menakung. Sudah tidak tertahan diri akan segala dosa yang pernah aku lakukan. Namun, satu perkara yang bermain didalam benak fikiranku, adakah Allah akan menerima taubat aku kembali?


“Nah, tisu.” Syafiq duduk disamping aku sambil menghulurkan sehelai tisu.

Bicaranya,”Dalam hidup ini, kita perlu tahu dan sedar bahawa Allah itu tidak kejam. Cuba kau lihat dalam hampir semua surah didalam al-Quran bermula dengan menyebut sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah itu bukti Allah itu sifatnya penuh kasih sayang?”

Aku menarik nafas lega. Lapang sedikit hati ini tatkala mendengar pengharapan yang kembali cerah.

“Allah memberi kita kehidupan pada hari ini kerana Dia masih lagi memberi kita ruang serta peluang untuk kita kembali dekat kepada-Nya,” sambung Syafiq.

Benar. Walau aku sentiasa lupakan Dia, bermaksiat sana sini dan melakukan pelbagai perkara mungkar, namun Dia masih lagi memberi pelbagai nikmat-Nya kepada hamba yang hina ini. Allah, cinta dan kasih-Mu kepada hamba langsung tiada batasan.

“Syafiq, aku ingin berubah. Aku ingin lebih mengenal Allah. Kau satu-satunya sahabat aku yang sentiasa berada disamping aku dalam apa jua keadaan aku. Kau terima aku sebagai sahabat walaupun diri aku ini penuh dengan dosa dan kau tu budak usrah, budak baik. Kau langsung tak sisihkan aku. Tolong Syafiq, bantu aku untuk dekat dengan Allah.” Aku meluahkan segala isi hati ini.

“Insha Allah. Aku pasti akan bantu kau. Kita ini kan manusia, langsung tidak akan terlepas dari melalui fasa jahiliyah. Manusia mana tak melakukan dosa kan? Aku bersahabat dengan kau kerana Allah, mana mungkin aku akan meninggalkan kau,” balas Syafiq dengan senyuman manis.

“Jadi, apa kata kau gunakan waktu ini, bulan puasa ni untuk kau mula untuk berubah. Ingat, berubah kerana Allah bukan kerana aku tau. Hahaha. Insha Allah, Allah akan bantu sesiapa yang ingin dekat kepada-Nya. Bukankah ada dalam hadis kalau kita berjalan ke arah Allah, Allah akan berlari kepada kita. Jangan bimbang, kau doa banyak-banyak dan aku akan tolong kau juga,”sambung Syafiq lagi.

“Insha Allah. Terima kasih, sahabat,” balas aku.

Aku terus membulatkan tekad dan bernekad untuk berubah. Moga ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak perubahan aku untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Aku akan mengambil sepenuhnya kesempatan berada dalam bulan yang mulia ini untuk berubah. Pasti! Biar Ramadhan kali ini menjadi saksi akan perubahan diriku, insha Allah.

“Jom balik bilik. Dah dekat waktu berbuka ni,” ajak Syafiq sambil menyelitkan satu nota ringkas kedalam telapak tanganku.

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."
(Muttafaq 'alaih)


Read more

The Best Part About Ramadhan

0 comments







"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
( Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
 
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:
  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.

  • Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:  "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
    (Surah Al-Maidah:42)

  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
  •  
  •  


Read more