Seronoknya menjadi anak kecil. Berlari ke sana ke mari dengan penuh gelak tawa dan riang ria. Seakan dunia ini langsung tiada masalah baginya. Tiada apa yang perlu difikir, tiada apa yang perlu dirisau, semua kehidupannya disayangi, dibelai dan dicintai. Malah mereka suci dari segala dosa dan noda. Ahli syurga.
Berbeza dengan aku. Kehidupan seorang dewasa yang banyak menuntut hak dan tanggungjawab. Banyak juga perkara yang tidak sepatutnya aku lakukan sehingga membawa aku jauh dari erti hidup berTuhan. Aku hilang arah tuju, hilang akan matlamat aku hidup diatas muka bumi ini.
Aku menarik nafas panjang.
“Ya Allah, adakah tempat aku disisi Engkau nanti...,” gertus hati ini yang sedang menangis.
Aku berjalan menuju bangku menghadap sungai Mosko yang mengalir tenang sambil si burung saling berlumba dan bermain-main bersama mereka. Angin bertiup penuh kelembutan seolah telah membawa aku termenung panjang melihat dan merenung segala peristiwa jahiliyah silam yang pernah aku lakukan.
Tiba-tiba pipi terasa panas dan mengalir deras air mata keinsafan yang lama menakung. Sudah tidak tertahan diri akan segala dosa yang pernah aku lakukan. Namun, satu perkara yang bermain didalam benak fikiranku, adakah Allah akan menerima taubat aku kembali?
“Nah, tisu.” Syafiq duduk disamping aku sambil menghulurkan sehelai tisu.
Bicaranya,”Dalam hidup ini, kita perlu tahu dan sedar bahawa Allah itu tidak kejam. Cuba kau lihat dalam hampir semua surah didalam al-Quran bermula dengan menyebut sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah itu bukti Allah itu sifatnya penuh kasih sayang?”
Aku menarik nafas lega. Lapang sedikit hati ini tatkala mendengar pengharapan yang kembali cerah.
“Allah memberi kita kehidupan pada hari ini kerana Dia masih lagi memberi kita ruang serta peluang untuk kita kembali dekat kepada-Nya,” sambung Syafiq.
Benar. Walau aku sentiasa lupakan Dia, bermaksiat sana sini dan melakukan pelbagai perkara mungkar, namun Dia masih lagi memberi pelbagai nikmat-Nya kepada hamba yang hina ini. Allah, cinta dan kasih-Mu kepada hamba langsung tiada batasan.
“Syafiq, aku ingin berubah. Aku ingin lebih mengenal Allah. Kau satu-satunya sahabat aku yang sentiasa berada disamping aku dalam apa jua keadaan aku. Kau terima aku sebagai sahabat walaupun diri aku ini penuh dengan dosa dan kau tu budak usrah, budak baik. Kau langsung tak sisihkan aku. Tolong Syafiq, bantu aku untuk dekat dengan Allah.” Aku meluahkan segala isi hati ini.
“Insha Allah. Aku pasti akan bantu kau. Kita ini kan manusia, langsung tidak akan terlepas dari melalui fasa jahiliyah. Manusia mana tak melakukan dosa kan? Aku bersahabat dengan kau kerana Allah, mana mungkin aku akan meninggalkan kau,” balas Syafiq dengan senyuman manis.
“Jadi, apa kata kau gunakan waktu ini, bulan puasa ni untuk kau mula untuk berubah. Ingat, berubah kerana Allah bukan kerana aku tau. Hahaha. Insha Allah, Allah akan bantu sesiapa yang ingin dekat kepada-Nya. Bukankah ada dalam hadis kalau kita berjalan ke arah Allah, Allah akan berlari kepada kita. Jangan bimbang, kau doa banyak-banyak dan aku akan tolong kau juga,”sambung Syafiq lagi.
“Insha Allah. Terima kasih, sahabat,” balas aku.
Aku terus membulatkan tekad dan bernekad untuk berubah. Moga ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak perubahan aku untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Aku akan mengambil sepenuhnya kesempatan berada dalam bulan yang mulia ini untuk berubah. Pasti! Biar Ramadhan kali ini menjadi saksi akan perubahan diriku, insha Allah.
“Jom balik bilik. Dah dekat waktu berbuka ni,” ajak Syafiq sambil menyelitkan satu nota ringkas kedalam telapak tanganku.
Dari Abu Hurairah r.a. pula bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan."
(Muttafaq 'alaih)
Post a Comment