Pergi Tak Kembali

0 comments




Cinta pertama bukanlah pada wanita,

Tapi adalah pada cinta kampung halaman,
Lihatlah pada orang yang diusir dan dibenci,
Walau jauh dan lama sekalipun,
Tetap saja dia ingat kampung tempat dia membesar.

Ini cerita Hamidi.

Sudah lama Hamidi tidak pulang ke kampung tercinta, kampung tempat bermain dan bergurau mesra, walau kedunia mana dia pergi, pasti akan kembali merindui desa permai ini.

Tamat pengajian dari Moscow, Hamidi pulang ke kampung, dilihatnya tiada banyak yang berubah sejak dia meninggalkan kampung ini 4 tahun dahulu. Masih tiada kemajuan yang dicita-citakan, mungkin saja sekali dua datang orang politik untuk menaburkan janji basi, usai beroleh apa yang dicita,batang hidung pun sudah tidak kelihatan lagi. Aduhai mungkin ini sebabnya orang mual dengan makhluk yang bernama politik.

Dan kampung ini masih sama, masih lagi ramai yang menderita kemiskinan, bukan kemiskinan harta yang diresahkan, tapi kemiskinan jati diri anak muda kampung ini yang menjadi kerisauan utama. Mungkin ada baiknya juga kampung ini tidak dihimpit oleh kemajuan yang besar, masih jua terpelihara sawah padi yang luas, masih jua hijau bumi tuhan dan masih jua bebas anak kecil berlari menaikkan layang.

Kembali kepada Hamidi.

Menjadi kebiasaan,antara tempat yang dituju oleh Hamidi adalah surau lama yang tidak jauh dari rumah Hamidi. Surau peninggalan arwah datuknya yang diwakafkan untuk kegunaan penduduk kampung. Besar pahala orang yang mewakafkan hartanya untuk tujuan agama ini, baktinya terus mengalir walau tuannya sudah tiada lagi dimuka bumi.

Hamidi melangkah masuk ke dalam surau tua itu, sunyi dan sayu hatinya, mengimbau seribu kenangan tempat masa kecilnya dihabiskan. Dari tidak tahu apa-apa sehingga mengenal mana betul dan salah, dari nakal kepada menjaga adab dan akhlak. Pernah juga beberapa kali dia dimarah oleh jemaah surau kerana berkelakuan nakal dan bising semasa orang solat, pernah juga dia terjatuh dan patah tangan kerana berlari meniti pagar keliling surau bersama kenalan yang lain. Segala kenangan itu datang singgah dan membuat dia tersenyum seorang diri.

Ditegurnya seorang pakcik yang duduk hujung kanan surau, rupanya Pakcik Rahim, jiran yang tidak jauh dari rumahnya. Mereka mula bertanya khabar dan berkongsi cerita. Pakcik Rahim memulakan ceritanya, dan Hamidi tekun mendengar, sekali sekala disampuknya dengan soalan tentang orang yang dulunya sering dia jumpa namun tidak kelihatan lagi.

Rupanya, sudah ramai ahli surau yang telah pergi menghadap Ilahi. Ada yang meninggal kerana sakit tua, ada yang meninggal kerana kemalangan dan ada juga yang mati mengejut pada usia yang sangat muda.

Termenung jauh Hamidi mendengar cerita tersebut, bukanlah mati yang dia takutkan, tapi amalan baik yang masih sedikit,dan pada masa yang sama dosa yang makin bertambah. Jika mati itu semasa melakukan amal soleh, beruntunglah dirinya. “Namun apa nasib diri ini jika mati dalam keadaan diri masih sama seperti dahulu, mati dalam melakukan maksiat dan mati ketika tengah kufur nikmat?”, hati Hamidi terus menerus menimbulkan persoalan dan bermonolog dalaman.

Melihatkan Hamidi yang jauh termenung, berkatalah Pakcik Haron memecah kesunyian surau yang masih menunggu jemaah lain datang untuk berbuka puasa bersama.

“Beginilah hidup ini Hamidi, kamu pergi merantau jauh ke luar negara, boleh jadi banyak yang kamu belajar disana, banyak pengalaman baik dan buruk kamu kerjakan. Tapi akhirnya kamu kembali jua ke kampung halaman dan meninggalkan tempat kamu belajar itu selamanya.”

“Begitulah hidup kita di dunia, untuk dapat hidup ini adalah satu kesyukuran, tapi untuk tahu hala tuju hidup itu adalah pilihan. Kita semua akan pergi, dan sesiapa yang kamu jumpa di dunia ini, berbuat baiklah pada mereka, kerana belum tentu kamu akan bertemu lagi dengan mereka, boleh jadi hari ini ada sahaja insan yang kita kenal telah pergi tak kembali lagi”.

Imam Syafie dikala kematian menghampirinya, ketika mana sakit dia menahan sakratulmaut berkatalah dia kepada saudaranya:

“Aku akan menjadi pengembara yang akan keluar dari dalam dunia ini. Dan kepada saudaraku, aku akan menjadi seorang yang akan dipisahkan dari mereka. Sementara segala amalan keburukan aku adalah penanggunganku dan aku merupakan seorang yang amat mengharapkan untuk meminum gelas kerahmatan dari Tuhanku. Kepada Allah lah aku akan kembali. Tidak aku ketahui apakah rohku ini bergerak ke syurga lalu aku akan mengucapkan tahniah kepadanya, atau ke neraka yang aku akan tanggung seksanya.”

Renungan dari Pakcik Rahim itu betul-betul membuat Hamidi berfikir dalam, betul kata pakcik, hidup ini adalah pilihan, kita yang memandu samudera kehidupan ini untuk sampai ke destinasi nya.

Jam menunjukkan lagi 5 minit sebelum berbuka puasa, tanpa mereka sedar, dibelakang surau sana sudah ramai jemaah yang datang mengerumuni hidangan, dan mereka berdua bangun menuju kearah kumpulan tersebut.

Saat berbuka itu, Hamidi memerhatikan jemaah surau yang hadir, ada yang dulunya masih muda, namun telah tua beruban, dan dia sendiri dulunya masih kecil kini telah jadi dewasa.
Aduhai begitu cepat masa berlalu.

Kita ini adalah angkatan musafir didalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita
Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi hadapan

Abdul Wahab Azzam


Post a Comment