• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

Sekeping Hati Yang Mudah Disentuh

0 comments




   Dan Allah ciptakan seorang insan,
Tutur katanya menambat hati,
Tingkah lakunya yang lembut,
Hatinya yang mudah tersentuh,
Dan insan itu dinamakan wanita.
 


“Saya tak tahu nak pujuk macam mana lagi untuk keluarga saya terima idea saya nak berkahwin.”
adu adik-beradik usrahku. Sudah berkali-kali aku mendengar aduan sedemikian rupa daripadanya. Berkali-kali juga aku ingatkannya untuk redha menerima keputusan ibu bapanya.

“Tiada orang yang lebih tahu sama ada kita ini bersedia atau tidak ke arah baitul muslim melainkan ibu bapa kita. Lagipun, saya tak nampak kepentingan awak kahwin sekarang. Lelaki tu bukannya belajar satu tempat dengan kita pun.” jelasku.


“Awak tak faham! Perempuan ini hatinya lembut. Mudah disentuh. Bila si lelaki dah sebegitu sekali, susah untuk saya menjaga hati.”
Tingkahnya pada segala penjelasanku.

Awak tak faham!
Awak tak faham!
Awak tak faham!

Perkataan itu bagaikan satu melodi yang tidak putus-putus bermain di telingaku. Perkataan itu juga bagai pisau yang tajam merobek hatiku paling dalam.


Kisah aku. Kisah yang tidak pernah aku dendangkan pada siapapun. Kerana betapa aku gigih berusaha melupakan semuanya. Tapi hari ini. Tuduhan itu. Awak tidak faham! Mana mungkin aku tidak faham. Aku juga perempuan sepertinya. Aku juga miliki hati yang mudah tersentuh dan disentuh sepertinya. Cuma bezanya, kisah dia, dia dendangkan pada semua dan kisahku, aku simpan kemas dalam hati. Sekemas mungkin aku simpan dengan harapan aku tidak akan membukanya lagi. Tapi hari ini…
 
“Assalamualaikum Ustazah.” Aku segera menoleh ke sisi. Lelaki yang bernama Shaifu ini lagi. Tidak pernah berhenti-henti menggelarku ustazah. Satu gelaran yang aku tidak pasti mengapa.

“Waalaikumsalam.” jawabku sekadar berbahasa-basi. Namun begitu, hari-hariku dipenuhi dengan panggilan ustazah daripada lelaki itu. Sungguh aku rimas.
 
“Assalamualaikum ustazah.” Satu mesej aku terima di telefon bimbitku. Tidak cukupkah dia memanggilku ustazah ketika di kolej, sekarang ingin menggangguku dengan mesej pula. Rimas.

Mesejnya yang tak pernah putus-putus membuatkan aku rimas. Sehinggalah aku membuat keputusan untuk membalasnya pada suatu hari. 


Tindakan itu adalah tindakan terbesar dalam kehidupanku. Tindakan yang paling salah aku buat dalam hidupku. Semakin hari, aku dan dia semakin rapat. Di kolej, kami tidak pernah bertegur sapa. Tetapi di dalam mesej, tidak putus-putus ceritanya.
“Jangan kerap sangat mesej dengan lelaki. Lama-lama, ada yang tak kena dengan hati tu nanti.” 
bisik sahabatku, Fairuz.

“Tak ada la sampai ke situ. Jangan bimbanglah.” tingkahku.

“Tak ada la. Saya ni sekadar berpesan sahaja kepada sahabat saya ni. Pesan tanda sayang.”

“Iye la sahabatku. Saya pun sayang awak.”


Pesanan Fairuz sekadar angin lalu di telingaku. Bagiku, aku dan dia hanya sahabat. Sekali bersahabat, selamanya bersahabat. Waktu terus berlalu. Peperiksaan final semester hanya tinggal sebulan sahaja lagi. Mentalku cuba untuk bersedia, tetapi hatiku seakan ada yang tidak kena. Hatiku seakan tidak hadir saat aku menuntut ilmu. Entah ke mana hilangnya hatiku?
 
“Akak, ni ada abang Shaifu kirim tart telur untuk akak.” ujar juniorku yang tinggal di bilik sebelah bilikku. Teeettttt. Jawapannya di situ. Si pengirim tart itulah yang membuatkan hatiku hilang entah ke mana. Hanya Allah tahu betapa resah hati ini. Seakan cacing kepanasan. Di manakah yang tidak kena?

Macam mana nak meluahkan kata hati pada orang yang tak pasti betul sukakan kita?

Ya Allah. Laju aku ketuk kepala sendiri dengan telefon bimbit di tangan.



Wanita itu dihiasi dengan sifat malu.
Malu itu ibarat duri yang memenuhi bunga mawar.
Meskipun dikelilingi duri yang tajam, cantiknya mawar itu tetap tidak pudar.



Laju aku tarik bantal menutup mukaku. Arghhhhhhh!!!! Jeritku sepenuh hati. Malumu ke manakah?

“Wahai sahabatku, bangunlah.” bisik Ain di telingaku.

Terpisat-pisat aku menggosok mataku. Segera aku tarik telefon bimbit yang aku letakkan di bawah bantal. Sudah pukul berapakah? Ehhh.. Ada satu mesej. Awalnya mama hantar mesej. Rindu la tu.


Luahkan sahajalah. Hati orang mana kita tahu.

Luah? Hati orang? Apakah? Hati tertanya-tanya.

Lama aku termenung jauh. “Sahabat syurgaku, cepatlah bersedia untuk qiyam. Kata nak ke syurga bersama.”gesa sahabatku Zaty.
 
Ya Allah. Kenapalah aku tidak hilang ingatan tentang hal semalam. Malunya diri ini sebagai seorang perempuan. “Sahabat syurgaku!” jerit Ain, Zaty dan Fairuz.
Tesentak masuk ke dalam hati. Segera wajahku toleh ke arah mereka.

“Kami tak nak masuk syurga sendiri-sendiri je.” sengih Fairuz.


Masha Allah. Untungnya ada sahabat seperti mereka. Anugerah terbesar daripada Allah.

Sujud ini, jiwa ini tidak lagi basah seperti dulu, air mata ini tidak lagi mengalir seperti dulu,
rindu pada Allah dan Rasulullah sudah tidak menggoncang hati seperti dulu.

“Kenapa ni? Termenung jauh nampak.” tegur Fairuz. Aku memandang kosong wajah Fairuz.


“Awak dah nampak lain sekarang. Tak sama macam dulu.” sambung Fairuz lagi.

Segera aku peluk kemas Fairuz di hadapanku. Air mata mengalir laju.

“Sakit Fairuz. Sakit sangat. Kenapa hati ni mudah sangat disentuh?”

Pelukan Fairuz semakin kemas. Diam. Antara kami tiada kata. Hanya hati yang berbicara.


Ingat tak lagi soalan yang kau pernah tanya dulu. -Shaifu-

Mesej daripadanya setelah sekian lama aku mendiamkan diri benar-benar menggugat hati aku.

Soalan apa? Balasku.

Tentang hati dan perasaan tu. -Shaifu-


Hati aku bergetar hebat. Ini bukan waktunya. Ya Allah! Aku letak telefon bimbit ke tepi.

Telefon bimbitku kembali bergetar. Siapa lagi yang mesej.

Sebenarnya dah lama aku nak beritahu. Aku dah lama sukakan kau. -Shaifu-

Hatiku bagaikan dipanah kilat. Pipi tak semena-mena terasa basah.

Telefon bimbitku tenung. Tanganku pantas menaip.



Ada waktunya cinta manusia terbentang luas di depan mata tetapi kita terpaksa menolaknya. 
Kerana cinta Allah itu lebih utama daripada segalanya.


Sent. Butang sent aku tekan pantas. Panggggg. Telefon bimbitku jatuh ke lantai. Aku terduduk di lantai. Pipiku lencun dengan air mata. Hangat. Fairuz segera memelukku hangat. Dikutipnya telefon bimbitku dan dibacanya mesej yangku tulis. Fairuz kembali memelukku hangat.
“Yuzzzz… Salah aku Yuzzzz… Salahku…” tangisku.


Fairuz merenung wajahku. Menyeka air mata yang mengalir laju.

“Kerana aku yang tak pandai menjaga hati, dia turut menjadi mangsa. Aku yang bersalah Yuzzz…”

Fairuz tetap setia menyeka air mataku. “Aku patut dengar nasihat kau dulu Yuzzzz.” 
Aku terus meratap kepiluan.
 
“Menangislah sahabatku sayang. Biar basah kembali hatimu itu dengan cinta Allah. Luahkanlah apa yang terpendam semoga kosong dan kembali terisi dengan rindu pada Allah dan Rasulullah.”

“Yuz, kenapa hati perempuan ini mudah benar disentuh dan tersentuh?”

“Sahabat, bukan salah Allah kerana mencipta hatimu itu sangat lembut. Tapi salah kita yang tak pandai pagari hati itu. .”



Jangan mengetuk kalau tidak niat untuk menyinggah di hati itu. 
Hati perempuan itu bergoncang kuat meskipun dengan hanya satu ketukan lembut yang tidak kedengaran.
-Ikhwah X-


“Akak, bagilah saya solusi untuk pujuk keluarga saya. Saya nak menjaga hati dengan cara berkahwin. Salahkah saya?” gesa ahli usrahku. Nada suara ahli usrahku yang agak tinggi membawa aku kembali ke alam nyata setelah jauh terbang ke masa silam.
 
Hati perempuan,
Lembut, sangat lembut,
Mudah tersentuh dan disentuh,
Maka wahai perempuan,
Pagarilah hatimu,
Dan wahai lelaki,
Jika tiada niat ingin memiliki,
Jangan pernah mengetuk sebarangan hati.


Benar. Hati perempuan itu sangat mudah disentuh. Jika hati itu mula ragu pada cinta Allah, mula hilang rindu pada Rasulullah, mula tenang tatkala berbuat dosa, maka Allah akan isi hati itu dengan segala sesuatu yang bersifat duniawi semata-mata. Mungkin kita muak bila selalu sangat berbicara pasal cinta. Namun itulah masalah kita waktu ini terutamanya perempuan. 

Yang bergelar akhwat sendiri, bila disebut nama sang ikhwah yang soleh, tak putus-putus senyuman di bibir, tidak berhenti-henti getaran di hati. Lupa terus untuk beristighfar. Lupa terus untuk kembali mengingati Allah. Hanyut. Terus hanyut dengan fantasi yang kononnya berunsur islamik. 
 
Buat perempuan yang teringin berkahwin,
Namun dihalang oleh keluarga,
Ketahuilah ibu bapa itu lebih arif tentang apa itu rumah tangga,
Ketahuilah bahawa Allah sedang mengajarmu cara untuk menjaga hati,
Maka jagalah sekeping hati itu.


Buat yang suka bertanya,
Bila lagi mahu kahwin,
Berhentilah mengelirukan hati,
Hati yang mungkin sedang bermuhajadah,
Hati yang prioritinya cita-citanya dan ibu bapanya.


Wahai perempuan, usah khuatir tentang jodohmu di mana. 
Usah bimbang tentang tulang rusukmu yang masih belum bergetar, tetapi bimbanglah akan hatimu yang langsung tidak bergetar dengan keimanan.


Wahai lelaki, telah bersabda Rasulullah tentang wanita untuk kamu hayati.



“Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Berwasiatlah kalian terhadap para wanita dengan wasiat yang baik. Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bagian atasnya. Oleh karena itu jika kamu meluruskannya dengan paksa maka kamu akan mematahkannya, akan tetapi jika kamu biarkan maka ia akan tetap bengkok, maka berwasiatlah kamu terhadap para wanita dengan wasiat yang baik”.
 (HR: Bukhari dan Muslim)










Read more

TRAVELOG AZAM RUSSIA 2015 | Kembara Warisan Nabi | Tempat Pertama

0 comments
Ianya lebih dari sekadar jaulah atau percutian yang saban tahun aku lazimi.Ia mengkonsumsi segenap jiwa,minda ,fikiran dan emosi.Sampai aku khuatir,mampukah aku menghadam dan menterjemah memori,pengalaman,bukti-bukti yang Allah hadirkan sepanjang pengembaraanku ini.Apatah lagi mampukah aku memikul beban amal yang bertambah-tambah di bahuku .Aku menulis lebih kepada untuk diri sendiri agar satu hari nanti saat aku kejauhan dari jalan ini,dibawa arus kelemasan, kesibukan duniawi aku mampu bangkit mencari kesedaran,kekuatan dengan membelek saat-saat indah aku bersama kafilah dakwah ini.

“Tidak akan rugi orang yang beristikharah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah dan tidak akan miskin orang yang hidupnya hemah “(HR Thabrani dari Anas)

Hadith di atas antara yang membawa aku ke bumi Urdun,atau lebih gah dikenali juga dengan gelaran “Hashemite Kingdom of Jordan”.Disambut kedinginan angin bumi barakah seawal jam 3 pagi sebaik mendaratnya burung besi ,siapa sangka akan pulang ke negara dingin beku Persekutuan Russia dengan kehangatan yang seakan-akan tidak mahu pergi.

Pengembaraan dimulakan dengan melawat Makrikah Yarmouk atau tapak peperangan Yarmouk di penjuru kota Irbid. Tapak perang ini menjadi saksi ,bukti ,cinta Khalid al-Walid sebagai panglima perang terhadap Islam deennya, Allah Rabbnya dan belas kasih sahabat terhadap tiga saudaranya, yang terbunuh dalam Perang Mu’tah .Aku bagai dapat melihat aksi hero sejati maju menghunus pedang menentang tentera Romawi,gagah perkasa tak gentar mati.

Tapak Perang Yarmouk 

Dari kejauhan di sebalik bukit yg mengelilingi tapak ini aku dapat melihat pinggir negara Syria dan Palestin.Andai sahaja bisa dirobohkan sempadan negara ciptaan manusia durjana ! Tahukah kalian keempat-empat negara ini (Jordan,Palestin,Syria,Lebanon) adalah Bilad as Syams yang tercatat dalam Sirah Nabawi .Tegar sahaja engkau wahai hati yang mati melihat penduduk negara di utaramu disiksa rejim Basyar saban hari,walhal negara sebelah kirimu dibedil peluru tak henti-henti.Bergembiralah wahai jiwa-jiwa suci yang menempah tiket percuma ke syurga yang kekal abadi.

Negara Haram Israel adalah Bumi Palestin 
Perjalanan diteruskan dengan menziarahi maqam sahabat Nabi yang agung;Muadz bin Jabal, Syurahbil bin Hasanah,Abu Ubaidah al Jarrah dan Dirar al-Azwar.Seindah nama,sehebat rupa,semulia akhlaknya,seikhlas perjuangan mereka! Tak perlu aku perinci kisah hidup mereka yang sudah dinanti bidadari-bidadari jelita ,kita sahaja yang perlu mencari masa membelek lembaran sirah ,cuba mencontohi mereka agar boleh berharap pengakhiran yang serupa .Terusik hati,lemah bergetar mengangkat kaki meninggalkan maqam pendokong tegar dakwah ini,sedangkan diri masih mencari-cari paksi diri.Kata akhawat yang mengiringi “Jordan bukan tempatnya untuk bersuka ria membeli belah itu dan ini,terlalu banyak ibrah yang boleh digali,membuat kita rasa kerdilnya diri”.

Hari seterusnya membawa kami ke ibu kota Jordan ,Amman tempat terletaknya gua Ashabul Kahfi .Gua yang menjadi tempat tidurnya para fityah pengabdi selama 309 tahun,dibolak balik kanan dan kiri.Mashyur kisahnya sehingga diabadi sebuah surah sempena peristiwa ini,surah ke 18,surah al-Kahfi.Bukan sekadar untuk dibaca setiap Khamis sehingga Jumaat dinihari,tapi ambillah ibrah kisah ini dengan mata hati .Meremang bulu roma,sayu sepi suasana saat kami mentadabbur potongan ayat cerita pemuda di atas gua.Yang pasti,bacaan Kahfi kami selepas ini takkan pernah sunyi dari bayangan pemuda gua,yang lari menyelamatkan keimanan dari pemerintah zalim yang berkuasa.

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk"(18:13)

Perjalanan hampir 4 jam membawa kami ke selatan peta.Sampai juga ke destinasi seterusnya,Wadi Rum atau Lembah Rum.Dibawa menaiki jeep menjelajah ke pelusuk padang pasir lembah Rum;dari gua kediaman Arab Badwi dahulu kala ,memanjat bukit bagi mendapatkan gambar panorama , sehinggalah melihat matahari terbenam bagi memberi sinar kepada bahagian bumi yang lainnya,semua keindahannya tak mampu aku ungkap dengan kata-kata.Engkau sendiri perlu merasainya ;berlari-lari di atas padang pasir halus ciptaan Yang Esa sambil tak henti-henti memuji namaNya yang menjadikan segalanya semata-mata untuk kita.Ini baru syurga dunia,bagaimana agaknya syurga di sisiNya.Tidak layak pun agaknya diri ini membayangkannya.Kecantikan lembah Rum ini dipalit juga sejarah duka.Lembah ini menjadi mangsa muslihat T.E Lawrence atau lebih dikenali sebagai Lawrence of Arabia yang memperguna Arab Badawi yang mendiami kawasan ini dalam usaha menggulingkan kerajaan Turki Uthmaniyah, menjadi sisa-sisa.Pelajarilah sejarah wahai orang muda,agar kau tidak akan mengulanginya,tak tertipu oleh pemodenan semasa.

Pesona Wadi Rum 
Dibawa bermalam di dalam khemah di tengah-tengah padang pasir,hanya dibaluti sehelai selimut tebal dalam kegelapan malam merupakan pengalaman bermakna yang tak mungkin akan dapat kami rasai lagi.Kesejukan yang dirasai hingga ke tulang menyedarkan kami,mengetuk-ngetuk kepala yang seringkali mementingkan diri ,ini yang pelarian Syria rasai! Syukran Ammu Khaled,pakcik Arab yang mengatur perjalanan kami sepanjang berada di bumi Urdun ini.Ammu yang sangat fasih berbahasa Inggeris lebih petah dari kami,sangat baik hati memperkenalkan kami santapan Jordan yang perlu dirasai , tak pernah jemu melayan kerenah dan soalan kami,dan yang paling penting impak besar yang Ammu tinggalkan hasil bicara hati ke hati pada malam hari ketika mengelilingi unggun api.Kata beliau yang membekas dalam hati “In life you can choose either you want to be happy by yourselves,or serve people to make them happy”.Fikiran yang penuh kematangan,sesuai usianya,persis seorang daie’. Kami tinggalkan Wadi Rum saat subuh hadir membawa satu lagi hari yang penuh misteri dan saat matahari menampakkan diri bagi mematuhi aturan Ilahi.Sungguh apa lagi kamu mahu wahai diri setelah menyaksikan begitu banyak keajaiban,kesempurnaan ,nikmat yang tidak terperi?

The Lost City atau kota yang hilang- Petra ,pasti termasuk dalam mana-mana senarai tempat yang wajib dikunjungi di planet bernama Bumi.Benar,takku nafikan keajaiban kota yang diukir daripada gunung-gunung batu ini.Bagaimana pernah dan mungkin ada sekelompok manusia yang hidup membina satu tamadun yang sangat teratur,terperinci sistemnya dalam celahan gunung-gunung gergasi yang sekiranya dilihat dari sebelah luar tidak membawa sebarang erti,tak mampu untuk otak ini memahami,Ada yang mengatakan kota ini adalah tinggalan kaum Nabi Saleh,Tsamud namun hanya Allah yang mengetahui.Rugilah sekiranya pergi hanya untuk menambah koleksi gambar peribadi,tujuan bangga membangga diri setelah penat kaki menjelajahi kota terlindung ini.

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?" (51: 20-21)

Antara tinggalan kota Petra yang baru 15% ditemui,Al-Khazna 
Pulang dari Petra,kami singgah di kota Mu’tah,kota saksi kesyahidan 3 pahlawan Islam sejati.Seorang anak angkatnya Nabi:Zaid bin Harithah,seorang lagi pamannya;Jaafar b.Abu talib dan yang ketiga penyair Ansar yang menyertai Perjanjian Aqabah Pertama; Abdullah Ibn Rawahah.Apa lagi yang lebih menggembirakan dari memasuki syurga Ilahi secara gerombolan bersama sahabat sejati setelah berhempas pulas hidup mulia di dunia ini.Usah menangis duhai hati kerana mati itu pasti ,cuma hisab amalan yang membezakan,yang menentukan baik buruk pengakhiran.Mereka sudah mencapai kerehatan hakiki sedangkan kita masih culas ,mencari alasan menyelamatkan diri dari berbakti.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang agung” (9:111)

Kami bergerak pulang ke Irbid menelusuri kedamaian berbalut kesugulan Laut Mati.Sekali lagi dapat menatap bumi Palestin dari kejauhan ,dilimpahi sinaran bulan dan lampu gemerlapan.Nampak indah ,damai namun hakikat di jalan-jalan harian hanya mereka yang rasakan .Teruskan perjuanganmu penduduk Palestin ,aku tahu kau tak pernah mempersoalkan takdir ketentuan keberadaanmu di sana,kerana kau insan pilihan untuk mempertahankan kesucian.Aku di sini akan berjuang sesuai dengan kemampuan,moga Allah menerima amalan .

Banyak lagi detik-detik keinsafan yang tak sempat semuanya aku nukilkan .Melihat kesungguhan ikhwah akhwat di sana mentarbiah diri dan mutarabbi,bertutur lancar bahasa Arab yang menggamit kecerembuan dalam diri dan kemesraan yang dihulur menyambut tetamu baru seperti kami benar-benar menyentuh jiwa raga ini. Benarlah perintah Allah menyuruh kita mengembara untuk merefleksi diri,namun pastikan niat yang tersemat di hati hanya kerana mencari redha Ilahi,jika tidak takkan kau temui.

Fikirkan kembali wahai hati-hati yang mencari,apa tujuan penciptaan kita di dunia ini? Adakah Allah sedang berpuas hati dengan pencapaian kita di dunianya ini saban hari? Masih banyak kerja yang perlu dilakukan ,umat di sana menunggu-nunggu minta bantuan mohon diselamatkan.Pahit ku cerita lambakan anak-anak kecil yang berada di negara-negara Islam yang pernah aku kunjungi ; baik Mesir,Turki mahupun Jordan bekerja menarik keldai,memerah keringat menjual air, berebut meminta sedekah dengan berkaki ayam. Kita puas mengisi perut,membazir masa,wang, tenaga muda dengan keseronokan sementara.Jika hanya nanti kita tidak ditanya.

Kenyamanan padang pasir berganti keputihan dingin salji.Bertukar bahasa ,riak wajak yang berbeza.Lagu “Kepastian “ nyanyian In Team mengiringi kepulangan kami dari bumi Jordan ke Persekutuan Russia, bumi realiti.

Syurga yang dijanjikan
Bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi


Neraka yang tercipta
Menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kemurkaan
Angkara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

Mana pilihan kita? .Kita kata kita kasih, kita cinta pada Allah dan Rasulnya,lantas apa buktinya? Cinta seharusnya menghasilkan ketaatan kepada Yang Maha Kuasa.Apa lagi hujahmu buat pembela?

Jazakumullahkhairan katseera buat teman-teman jaulah yang sabar melayani kerenah diri,buat akhawat Jordan yang meninggalkan memori-memori indah di hati.Ini adalah jaulah terakhir,atau lebih suka aku katakan perjalanan introspeksi diri ,yang terbaik pernah aku alami.Bersyukur kerana Allah memberi hidayahNya melalui antum semua,meyedarkan kealpaan diri .Aku menjadi malu,gusar pada bayang-bayang sendiri utk bergelar graduan beberapa bulan lagi.Namun aku percaya hadith Nabi :

"Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut" [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Masih ada ruang dan masa untuk mengislah diri,selagi matahari terbit lagi dan nafas belum berhenti.Dapatkah engkau fahami apa yang aKu rasai?

Oh ya,jika kalian mahu menghitung nilai harga diri,bertandanglah ke Jordan,tanah warisan Nabi.Buka mata,buka hati dan takkan pernah kan kau sesali.

AFIFA DZULKAFLI
TAHUN 6,VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY


Read more

TRAVELOG AZAM RUSSIA 2015 | Kemboja | Tempat Kedua

0 comments
KEMBOJA

140206

            Remang fajar menyapa indera. Terpapar indah berjajar terletak ancala. Lembut bertiup bayu Teberda, terasa permai persis di desa. Tersentak tidur kami yang sekilas lena, langsung teruja memulai kembara, darmawisata jiwa dan cinta.

            Setelah hampir 14 jam bertarung nyawa meredah lebuh raya lantaran kondisi jalan yang tidaklah sebaik bumi Malaysia, namun berkat doa dan tawakal pada yang Maha Pemelihara, ditambah tipikal cekapnya pemandu menangkis setiap halangan yang menduga, Alhamdulillah, kini kami tiba di penginapan sementara, selamat dan sejahtera.

             Istirahat kami tidak lama, melokasi bagasi di bilik cuma. Selepas itu kami bergegas keluar melaksana rencana. Tuah kami agaknya, hari ini cuaca seakan senang bekerjasama. Bukan dingin terlalu sebagaimana selalu. Mungkin sahaja musim sejuk sudah nyaris berlalu, terkaanku apabila menganalisa variasi suhu.

            Aktiviti pertama disenarai Aila dan Nisya, teman ekspedisi yang lebih mahir berbahasa Rusia; menaiki kereta kabel ke puncak Mussa-Achitara, gunung lagenda yang menjadi tumpuan para pengunjung dari segenap dunia.

Oh ya, menariknya, menurut marhaen senja yang pakar salasilah pusaka, nama gunung ini sebenarnya boleh diterjemah sebagai ‘Mussa yang menangis’. Jelas mereka, suatu masa pada zaman dahulu kala, seorang pemuda bernama Mussa telah mencuri sekawan haiwan ternak dan berniat untuk menjualnya di kampung-kampung di balik banjaran. Akan tetapi, hajatnya terhalang oleh pinggir gunung yang curam, terlalu merbahaya untuknya meneruskan kegiatan sumbang, sekaligus menafikan kepulangannya ke daerah kediaman, lantaran bimbang perbuatannya diketahui orang. Mussa yang tidak keruan, akhirnya hanya mampu berlutut dan menangis tersedu sedan. Mungkin, simboliknya nama ini bertujuan untuk memberi peringatan, teladan buat semua insan agar tidak mencuba melakukan kejahatan.

Selesai urusan di kaunter tiket, kami bertujuh beratur untuk menaiki kereta kabel tertutup ke aras pertama, sebelum maju ke aras kedua dan ketiga menggunakan kereta kabel terbuka. Pada mulanya, kami hanya membisu tanpa bicara. Gayat barangkali. Hati siapa tidak diuji, tergantung tiada bertali selang beberapa meter dari bumi. Membayang situasi andai terjatuh dari kerusi sahaja mengundang ngeri. Apatah lagi apabila melihat sendiri para pemain ski yang tergelincir dari fondasi dan terperosok ke dalam timbunan salji hanya di bawah tempat duduk kami.

Menginjak klimaks, takjub membuak. Kami bungkam sejenak, mencari damai di puncak, apresiasi citra indahnya amat, sukma melunak bertasbih rancak, ibrah bercetera dek kemilau nikmat.

“Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk.” [Al-Anbiya’ : 31]

            Adli bersuara, memetik firman agung daripada kitab mulia, menarik perhatian kami yang leka merakam memori melalui lensa kamera. Lantas kami bertafakur bersama, mengakui benarnya alamat pencipta. Andai sahaja tiba masa bumi dirata, nescaya goncanglah seisi dunia. Bumi tegar membawa berita, setiap perbuatan dihitung sempurna. Telah datang pembalasan buat si lalai dan lagha yang ralit dibuai kemewahan harta. Telah hadir kecelakaan buat sang penderhaka dan pengamal riba. Itulah hari buat pendosa yang dahulu mendusta, dan tiada siapa terdaya membantu melerai sengketa. Sedang masih bisa kembali kepada-Nya, guna jasad juga minda sebaiknya, moga bahagia menanti di alam sana.
Insaf.

Selepas berpenat menuai ilmu menunai amanat, jaulah ini nyata membangkit semangat. Sepagi itu, kami berlama, menggilap cinta pada buana, mengimbuh iman pada yang Esa, mengangumi elok potret maya yang membentang saujana. Pada elevasi 3012 meter diatas permukaan laut, ukhuwah kami bertaut.

140208

Kugenggam butir salju yang meliputi cerun landai itu seeratnya. Pandangan kutumpu pada si anak kecil yang baru berguru bermain ski dengan para bapa juga ibu. Cemburu. Nafinya tidak perlu, lantaran tiada pernah kupunya peluang sebegitu. Kualih visi kepada kumpulan pelancong di belakangku. Dalam gamat suasana, kutancap gigih kelibat Tisha mendidik Ira mengawal papan luncur saljinya. Pertama kali mencuba, cabarannya tentu sahaja menguji kekuatan emosi.

Entah mengapa, gah deretan banjaran Kaukasus Besar yang membentang sejauh kira-kira 1200 kilometer dari Semenanjung Taman di Laut Hitam ke Semenanjung Absheron di Laut Kaspia itu tidak lagi berupaya menenangkan, malah seakan makin merungsingkan fikiran. Aneh, entah kenapa, gigilku hebat, detak jantungku galak.

Bukankah lekuk dan liku perbukitan semalam telah berjaya diredah menaiki ATV? Bukankah telah kupacu kuda tunggangan dengan berani, biarpun hujan rintik menyukar situasi? Biar hakikatnya aku baru mencuba buat pertama kali? Lantas apa lagi yang menghalangi aku hari ini? Bukankah sedari tadi semangatku yang lebih berapi-api, mengalahkan teman-teman yang lebih mahir dalam sukan ini? Nah, kenapa sekarang aku rapuh untuk sekadar berdiri? Seolah ada yang tertawa memerhati. Seolah ada suara berbisik agarku berhenti. Tapi, bukankah aku mahu pulang tanpa sesalan dalam hati?

Benar, kupunya nostalgia duka ketika mengikuti aktiviti sukan di tempat terbuka pada zaman remaja. Kelihatannya, alasan itu yang sering kuguna andai diajak sahabat juga tenaga kerja di madrasah untuk beriadah bersama. Kumungkir sengaja muwasafat tarbiyah yang diwarta Imam Hassan al-Banna. Lebih kusuka jadi pemerhati daripada beraksi. Lebih aku gemar menyendiri daripada berasimilasi. Biarpun cukup aku sedari, bahawa mukmin sejati yang kuat itu lebih dicintai ilahi berbanding yang lemah fizikal dan jati diri.

Titik tolaknya, hadirku kesini menggalas satu ambisi, mahuku jana dzaka’ jismi dalam diri yang telah mati. Agar bisa kukumpul kembali, kekuatan untuk berdiri di tengah gelanggang, bersaing sihat bersama rakan dan taulan, menyubur semula kecintaanku pada dunia sukan, mengubat jiwa yang lama penasaran. 
"… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir" [Yusuf : 87]

            Lembut suruhan ayahanda Ya’qub menuntut anak-anak mencari puteranya Yusuf yang hilang. Kendati amarah membarah di setiap urat darah, baginda hanya berkisah sedih dan susah kepada Allah. Hebat benar rindu baginda kepada anakanda yang dibuang saudara, sampai butalah matanya kerna terlalu berduka. Namun tiadalah surut takwanya pada Yang Esa. Sentiasa sahaja yakin dan percaya, bahawa suatu hari Yusuf bisa kembali kepangkuan baginda.  

Ah, andai dapat kuteladani kental tawakal susuk agung itu. Tak sekali gusar dan bimbang, padu pergantungan beserta harapan, jitu taatnya hanya pada tuhan.

            Sekonyong-konyong, angin kencang membadai, menghambat kepulan salji, hancur bersepai. Aku terkapai, lemas dan cemas. Semua pengunjung ikut rimas. Lima minit berlalu, khayalan kuhenti, seiring tenangnya ribut yang menggugah hati.

“Nia, nak ke mana?” Afi bertanya, kehairanan.
“Turun.” Jawabku enggan.
“Eh, kan baru sekejap kita main. Takkan dah nak berhenti. Jatuh tu perkara biasa la. Semua orang pun macam tu.” 
Aku menggeleng.
“Jumpa kat bawah” air mata yang tertahan, kubiar mengalir perlahan, saat wajah aku palingkan ke hadapan.
“Kau takkan faham.” Bentakku sendirian.

***

            Lelaki tinggi berbadan tegap itu sedari tadi memerhati.

“ Ah, biarkan sahaja. Di sini lapang tempatnya, masakan bisa dia berbuat apa-apa. Andai terpaksa, jerit sahaja. Pasti terlepas daripada marabahaya.”   
Bujukan hati terhenti. Lelaki itu menghampiri. Berdiri menghalangi, langkahku mati. Sepi.
“Kamu kenapa? Apa yang tidak lancar?”
“Semua.”
“Mau diajar? Kamu tak perlu bayar.”

Spontan, aku mengangguk perlahan. Aku relakan papan ski bertukar tangan. Dia mula mengorak langkah, mendaki ke atas. Aku mengikut tanpa banyak tanya. Mahu kuluah terima kasih kepada si dia, namun bibirku kelu untuk mengeluarkan kata.

  “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai orang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.” [Adh-Dhuha : 7-8]

Alangkah.
Benarlah. Kitab suci itu sebaik madah. Warkah cinta menghindar resah, mungusir gundah. Maklum sudah, baginda Rasulullah pernah dicerca musyrikin Mekah, dituduh sudah ditinggal Allah, lantaran terhenti seketika penurunan wahyu. Tapi dakwaan itu dibukti palsu. Tiada dibiar Muhammad SAW sendiri berteman sendu. Hadirnya surah pengubat rindu, membekal tenteram pada kacaunya kalbu.

Narasi itu membangun tabah, membangkit rebah. Aku akur, langkah kuatur, satu persatu. Instruksi si guru patuh kuturut, meski takut masih menjerut. Kami berdiri berhadapan, menjarak kaki mengikut kalkulasi. Setiap inci harus diperkemas, pusat graviti menjadi asas, agar tidak mudah terbabas. Cubaan pertama, nyata hasilnya tidak seperti yang dijangka. Aku hampa. Mungkin dia juga serupa. Namun si guru tidak berputus asa, aku diajar lagi buat kali kedua. Berulang kali menutur bicara, agar aku terlebih dahulu percaya, aku mampu melakukannya.

“Saya lihat awak dah sedia. Jadi sampai di sini saja pertemuan kita. Saya harap awak boleh cuba, main sendiri tanpa bantuan, bermula dari atas sana.”

Langsung, dia turun ke bawah menghampiri kelompok jurulatih lainnya, sebelum menghilang di tengah hiruk pikuk manusia. Ah, belum sempat kubertanya nama, raut wajah pun tidak tergambar di mata. Kalaulah bisa berjumpa semula. Moga tuhan membalas jasamu hendaknya.

 “…bekerjalah, beramallah. Maka keajaiban akan menyapa dari arah tak terduga. Mulailah. Kerana dalam keberanian memulai itulah terletak kemudahannya...”

            Ringkas pesanan Salim A. Fillah, memujuk pembaca mengimplementasi Nabi Daud dan Nabi Sulaiman untuk bekerja setelah menerima pelbagai kurnia daripada tuhan, semata-mata untuk memulang kembali syukur kepadaNya.

Seraya, telapak tangan kutempatkan di dada, kutarik dalam nafas yang lega. Mungkin telah berjaya kusemat keyakinan dalam jiwa. Semangat ini yang baru menyala, aku berazam takkan kubiar ia padam menjadi bara. Dengan nama Allah yang mulia, landasan itu kuluncur mula. Bersaksi suria Dombay yang menyinar jagat raya, aku berjaya, meraih semula cinta yang lama terkubur tiada berpusara.

Umpama mekarnya bersih kemboja yang mewangi pemakaman, pengalaman ini seolah kembali menghidupkan sebuah kematian, memberi keringanan pada jasad yang lama tertanam oleh keresahan memori silam, mendamaikan insan yang selama ini memberi dorongan, dengan harum aromanya yang melingkari kuburan.   

***

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
[Ali Imran :139]









NURUL AIN NADHIRAH BINTI MOHD YASIN
VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY
TAHUN 3


Read more