KURSK EVENT | BBCK

1 comments


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum wbt.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah:186)

Alhamdulillah, syukur ke atas hadrat Ilahi kerana Program Bicara Bumi Cinta Kursk (BBCK) anjuran AZAM Russia telah berjaya diadakan pada 17 November (Ahad) lalu. Program umum ini telah mengambil tempat di Surau Hostel No. 4, Ulitsa Karla Marksa 69г kira-kira pukul 10.00 pagi dan berakhir kira-kira 2.30 petang. Seramai 37 orang pelajar Muslim yang terdiri daripada pelajar lama dan baru telah menghadiri program ini.

Hakikatnya, program ini bukanlah membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan cinta, tetapi lebih kepada isu fiqh luar negara yang selalunya menjadi masalah kepada setiap pelajar Malaysia Muslim yang belajar di luar negara, di mana tidak semua benda yang mereka praktikkan di Malaysia, boleh dipraktikkan di bumi Soviet ini. Oleh sebab itu, inisiatif telah diambil untuk memberi kefahaman kepada semua pelajar, khasnya pelajar-pelajar tahun pertama tentang rukhsah (kelapangan dan keringanan) dalam Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim di sini.

Program yang julung kali diadakan ini telah pengerusikan oleh saudara Raihan Hazim Zulkarnain (pelajar tahun pertama KSMU), dan program ini terdiri daripada dua slot. Kedua-dua slot ini telah diisi oleh muwajih-muwajih yang didatangkan khas dari Moscow, iaitu saudara Muhammad Ansari bin Ramli, merangkap Bendahari AZAM Moscow sekaligus Ketua Biro Ekonomi AZAM Pusat dan sudara Muhammad Fitri Azizi bin Mat Dait, Biro Media AZAM Moscow. Turut hadir pada hari tersebut ialah saudara Mohamad Naqib bin Mohamed (pelajar tahun kelima M1).

Slot pertama merupakan perkongsian oleh saudara Muhammad Ansari bin Ramli tentang perjalanan kehidupan beliau sebagai seorang Muslimin di Russia. Sehubungan dengan itu, beliau turut memberikan gambaran-gambaran situasi dan masalah yang selalu dihadapi oleh pelajar-pelajar Muslim, terutamanya di Moscow yang mempunyai banyak cabaran dalam melakukan ibadah di kawasan kampus universiti. Seterusnya, slot kedua telah dikendalikan oleh saudara Muhammad Fitri bin Mat Dait. Slot ini merupakan sorotan utama pada hari itu kerana pada slot inilah beliau menerangkan tentang fiqh luar negara dan mengemukakan isu-isu yang sering dihadapi pelajar Muslim di Russia. Antara perkara yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:-

1. Thaharah (Isu pemakaian khuf, isu ajing dan khinzir sebagai najis)
2. Solat (Isu solat Jamak, Qasar, Jumaat)
3. Makanan (Isu makanan ahli kitab, makanan di restoran bukan Islam)
4. Puasa semasa musim panas

Selepas slot kedua habis dibincangkan, satu sesi soal jawab telah diadakan bagi menjawab soalan-soalan tambahan mengenai isu-isu fiqh yang telah dibincangkan. Program ini diakhiri dengan solat Zohor serta Asar secara berjemaah dan makan tengah hari.

Secara keseluruhannya, alhamdulilah , program ini banyak memberikan 'input' yang banyak dan jelas walaupun terdapat kekangan dari segi masa. Selain itu, program ini juga dapat merapatkan jurang yang luas antara pelajar baru dengan pelajar lama semasa sesi ta'aruf ringkas dijalankan sementara menunggu pelajar-pelajar lain datang pada awal program. Apa yang lebih penting, isu-isu utama yang berkaitan dengan ibadah dapat diterangkan oleh muwajih berdasarkan dalil serta nas yang jelas dalam al-Quran dan juga berdasarkan hadis-hadis yang terpilih. Semoga semua pelajar yang hadir semasa program ini dapat menerima keluasan fiqh dengan baik tanpa adanya sikap ta'asub dengan pandangan sesuatu mazhab itu.

Di kesempatan ini juga, pihak penganjur hendak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pelajar-pelajar yang telah menghadiri program ini dan juga kepada muwajih-muwajih yang telah datang jauh dari Moscow kerana sudi menghadiri dan berkongsi ilmu serta pengalaman yang bermanfaat kepada semua pelajar Muslim Kursk yang hadir pada program ini. Di samping itu, pihak penganjur ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf atas segala kekurangan yang timbul pada program Bicara Bumi Cinta Kursk ini.






"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah al-Baqarah: 286)


Wallahu'alam.


1 comment: