Jagalah Tubuhmu!

0 comments
Sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bermaksud:
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain - keadaan hidupmu sebelum datangnya maut, keadaan lapangmu sebelum datangnya kesibukan, keadaan kayamu sebelum datangnya kemiskinan, keadaan mudamu sebelum datangnya tua dan keadaan sihatmu sebelum datangnya sakit.”

Perlukah kita menjaga kersihatan ketika masih muda?
Berapa banyakkah wang yang kita belanjakan demi kesihatan?
Berapa banyak pula masa yang kita peruntukkan untuk kesihatan?
Berapa banyak pula usaha kita untuk memastikan kita sentiasa sihat?

Jawapannya pasti berbeza antara satu sama lain.
Mungkin ada yang berpandangan, kesihatan adalah sesuatu yang susah untuk diukur. Ada sesetengah orang nampak ‘sihat’ tapi sebenarnya ‘sakit’. Ada pula yang kelihatan ‘sakit’ tapi sebenarnya ‘sihat’.
Apapun pandangan kita, kesihatan adalah sesuatu yang boleh dijaga, diramal dan diukur. Teknologi hari ini memungkinkan kita melakukan beberapa amalan pencegahan dalam mengekalkan kesihatan. Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak boleh diubati kecuali tua dan mati.
Namun dalam persoalan kesihatan ini, ada beberapa perkara yang tidak boleh kita nafikan iaitu:
1. Sihat itu nikmat. Hayatilah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam seperti di atas. Betapa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah mengingatkan peri pentingnya kesihatan. Apabila kita sihat, mudah untuk kita beramal. Apabila kita sihat, mudah untuk kita melakukan pelbagai kebaikan, menuntut ilmu, mencari rezeki dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Sayang sekali, ramai antara kita tidak menyedari bahawa sihat itu satu nikmat hinggalah kita jatuh sakit!

2. Setiap nikmat perlu dijaga. Yang dinamakan nikmat itu adalah satu anugerah. Maka jagalah ia. Namun berapa ramai antara kita yang menjaga kesihatan? Atau kita biarkan sahaja masa, keadaan dan alam yang menentukan. Bagi kita selagi kita boleh bernafas dan setiap anggota tubuh kita berfungsi dengan baik, kita sudah menganggap diri kita sihat.

3. Apabila kita kata kesihatan itu satu nikmat, bersyukurlah. Bersyukur perlu dilafazkan dan dijelmakan dengan perbuatan. Ia bukan sekadar bisikan dalam hati. Sebagai tanda kesyukuran di atas tubuh yang sihat, kita menjaga ‘kebajikan’ tubuh kita secara fizikal, mental, emosi dan spiritual. Atas dasar syukur, tubuh yang sihat tidak boleh digunakan untuk apa-apa perkara dan tujuan yang merupakan penderhakaan kepada yang Maha Pemberi kesihatan itu, yakni Allah. Tubuh yang sihat adalah untuk berbakti kepada Tuhan, insan dan alam, bukan yang sebaliknya.

4. Melaburlah demi kesihatan. Pelaburan demi kesihatan bukanlah sesuatu yang merugikan. Memang benar jika kita berbelanja untuk kesihatan, kita tidak akan menikmati hasilnya dalam bentuk material yakni wang atau harta benda. Tetapi pelaburan untuk kesihatan adalah satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Kalau tidak percaya, tanyalah pada yang diuji dengan sakit dan penyakit. Pasti mereka boleh memberikan tazkeerah agar kita lebih mengerti untung rugi melabur untuk kesihatan. Sebabnya, kos mengubati biasanya jauh lebih besar daripada kos pencegahan.

5. Kesihatan adalah hak setiap insan. Setiap insan berhak untuk sihat dan bahagia. Ia bukan milik orang-orang tertentu sahaja. Ia milik semua bergantung kepada Allah subhanahu wataala. Allah yang akan menentukan untuk siapa nikmat itu akan diberi. Bukan orang kaya sahaja yang berhak hidup sihat. Orang yang sederhana kaya atau miskin juga berhak memilikinya. Kadang-kadang orang yang kurang hartanya lebih sihat daripada yang kaya-raya dan berharta. Yang pasti, setiap insan mesti berusaha dan berdoa untuk sihat.
6. Untuk sihat ada bermacam-macam cara. Dari pemakanan hingga senaman, ada banyak cara untuk kita mengekalkan kesihatan. Makanan yang mahal tidak semestinya menyihatkan! Ulam-ulaman yang dipungut dibelakang rumah kadangkala lebih berzat dan menyihatkan. Yang pasti ada banyak makanan yang menyihatkan di samping yang merosakkan. Selain makanan ialah aktiviti-aktiviti untuk menjadikan kita sentiasa sihat dan cergas seperti aktiviti riadah dan rekreasi.

7. Sihat ertinya cantik, cantik ertinya sihat. Kalau ingin kelihatan cantik, tentulah kena sihat terlebih dahulu. Ada ramai wanita hari ini sanggup mengabaikan kesihatan demi kecantikan. Untuk mengetahui lebih lanjut, dapatkan maklumat daripada ‘Persatuan Pengguna Negeri Pulau Pinang’ melalui www.cap.org.my. Dalam bab cantik dan sihat ini, bagi yang berkemampuan, sekali-sekala manjakanlah diri dengan mengunjungi spa yang menawarkan khidmat demi kecantikan dan kesihatan. Bukan hendak berkempen, cuma mencadangkan salah satu cara. Banyak lagi caranya, mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

8. Halal dan haram perlu dijaga. Sekalipun ingin sihat, makanlah rezeki yang halal. Jika kita membeli makanan yang halal menggunakan duit yang haram, haram juga hasilnya. Begitu juga halnya jika kita membeli makanan yang haram dengan duit yang halal, mungkinkah tubuh kita akan sihat? Selain daripada itu, jauhilah benda-benda haram seperti rokok, dadah dan arak yang pasti akan merosakkan tubuh mudamu. Seperkara lagi, jika kita beriadah dan berekreasi sambil membuka aurat, bolehkah kesihatan itu menjadi satu nikmat yang membawa keberkatan? Ada banyak cara yang halal bagi memastikan kita sihat.

9. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Pepatah ini memang ada benarnya. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu bagi memeriksa tahap kesihatan kita dari semasa ke semasa. Tubuh kita unik dan penuh rahsia. Kadangkala kita tidak sedar kita telah merosakkannya secara perlahan-lahan. Dengan pemeriksaan sebegini, ia adalah satu usaha untuk kita menganalisis andainya ada sesuatu terjadi pada tubuh kita tanpa kita sedari.

Kesimpulannya, jadilah pemuda dan pemudi Muslim yang sihat dan kuat sebagaimana yang dipesan oleh baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sungguh banyak hikmah dan nikmat di sebalik tubuh yang sihat dan kuat. Bahkan, Muslim yang kuat lebih dikasihi oleh Allah.

Sementara itu, bagi kita yang diuji dengan sakit dan penyakit, bersyukur dan bersabarlah. Sesungguhnya pemuda-pemudi Muslim yang bertakwa itu bersyukur apabila dikurniakan nikmat dan bersabar apabila diuji dengan kesakitan dan kepedihan. Sihat dan sakit, kedua-duanya tanda Allah kasihkan kita!


Post a Comment