• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

MODUL GERBANG MAHLIGAI SAKINAH PART 2

0 comments

 

Bismillahirahmanirrahim 
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad saw dan keluarga baginda .
InshaAllah 
Kuliah Baitul Muslim bersama UmmuAtifah pada minggu seterusnya .

Modul Gerbang Mahligai Sakinah ( Part 3 )
Tarikh : 13 Jan 2014
Masa : 5.30pm-7.30pm (waktu rusia)
9.30pm-11.30pm (waktu malaysia)

Boleh add id
Paltalk : moderator_kuliah


Kuliah Modul Gerbang Mahligai Sakinah merangkumi beberapa aspek tersebut : 

1. Asas-asas pra perkahwinan 
2.Adab dan batas pertunangan 
3.Malam pengantin an tips sunnah pernikahan ( 1 minggu sebelum pernikahan - KHAS )


Jom dengar jom!
Jangan ketinggalan mengikuti kuliah baitul muslim yang disampaikan oleh Ummu Atifah.


Anda terlepas mengikuti kuliah baitul muslim minggu lepas ?



Kami susulkan anda sedutan daripada kuliah baitul muslim Modul Gerbang Mahligai Sakinah (Part 2) 

di sini yang bertajuk  "Tujuan dan fungsi institusi kekeluargaan dalam Islam menurut Al-Quran dan As-Sunnah"


Sebagai penyucian hati , anak-anak Ummi Atifah yang dikasihi oleh Allah telah diperdengarkan bacaan Al-Quran 
( Surah An-Najm : 38-48 ) . 

(yaitu) bahawa seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain ,
Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya ,
Dan sesungguhnya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya) ,
Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna ,
Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu),
Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang TERTAWA dan MENANGIS ,
Dan sesungguhnya Dialah yang MEMATIKAN dan MENGHIDUPKAN ,
dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan LAKI-LAKI dan WANITA ,
dari mani apabila dipancarkan ,
dan sesungguhnya Dialah yang menetapkan penciptaan yang lain (kebangkitan setelah mati)
dan sesungguhnya Dialah yang memberikan KEKAYAAN dan KECUKUPAN . 



 





 Apabila kita membuka hati-hati kita, insyaAllah kita akan mendapat hidayah Allah. Apabila hati kita mendapat hidayah, hati akan memberi arahan kepada seluruh anggota badan kita untuk melakukan yang halal sahaja.  Contohnya, mata yang mendapat hidayah, apabila melihat sesuatu, akan nampak kebesaran Allah, akan melihat benda-benda yang dibenarkan oleh Allah sahaja begitu juga anggota-anggota badan yang lain.

Ada 2 jenis hidayah iaitu hidayah fitrah yang membawa kepada taufiq dan hidayah bayan. Hidayah taufiq iaitu hidayah yang diberi oleh Allah yang membawa anggota kita kepada melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Manakala hidayah bayan pula adalah hidayah yang membolehkan kita untuk membezakan yang hak dan yang batil.

Kami susulkan pautan untuk rakan-rakan mendapatkan nota kuliah penuh dibawah  Insha Allah 


MODUL GERBANG MAHLIGAI SAKINAH PART 2  


 KULIAH BAITUL MUSLIM UMMU ATIFAH



Selamat membaca dan berusaha mencari keredhaan Allah swt . Ingatlah janji Allah , 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami ,
Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.
Dan sungguh ,Allah berserta orang-orang yang berbuat baik".  

[Al-Ankabut : 69 ]


Read more

FRIDAY WRAP ( 03/1/2014 - 10/1/2014 )

0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam Friday Wrap Azam Russia. 

Minggu ini Azam Russia membawakan berita-berita terkini Dunia Islam dan isu-isu global. 



Aset 572 Pemimpin Ikhwanul Muslimin dirampas
2 Januari 2014


KAHERAH - MESIR. Aset milik lebih 500 pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM) dirampas di bawah tindakan kekerasan terbaru yang dikenakan ke atas anggota gerakan itu, menurut Kementerian Keadilan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Arabiya, jurucakap kementerian tersebut, Abdel Azzem el-Ashri memaklumkan jawatankuasa inventori telah mengarahkan rampasan harta alih dan harta tak alih milik 572 pemimpin IM.

Difahamkan, tindakan susulan itu diambil selepas kerajaan sementara mengisytiharkan gerakan IM sebagai pengganas pada minggu lalu.

IM menafikan bahawa mereka terlibat dalam siri serangan menyasarkan anggota keselamatan di negara terbabit selepas penyokong anti-IM membuat tuduhan melulu itu ke atas mereka.


Ariel Sharon Makin Tenat
3 Januari 2014

TEL AVIV: Kesihatan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, yang koma semakin teruk semalam, dengan organ pentingnya gagal berfungsi, kata hospital yang merawat beliau kelmarin. 

Sharon, 85, koma sejak 2006 apabila diserang angin ahmar yang menyebabkan beliau tidak berupaya ketika berada di ke-muncak kuasa politiknya. 

“Sejak beberapa hari lalu, ka-mi menyaksikan penurunan fungsi organ penting Sharon, yang penting untuk beliau selamat. Keadaannya dalam keadaan kritikal,” kata pengarah hospital Tel Hashomer, Zeev Rotstein. – AGENSI


Ada Campur Tangan Asing
3 Januari 2014

ANKARA - TURKI. Konflik politik di Turki dipercayai mempunyai agenda tersendiri dan campur tangan asing.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menyeru 76 juta rakyat negara itu supaya mempertahankan diri dan maruah negara dengan menolak sebarang anasir luar.

“Sejarah tidak mengampuni pengkhianat atau perancang dalam permainan kotor ini. Ingat, serangan ini dilakukan tanpa pengecualian, oleh itu anda diingatkan supaya sentiasa bersedia,” katanya.

Menurutnya, individu yang merancang menjatuhkan Turki sememangnya iri hati terhadap kejayaan ekonomi, dasar luar dan keupayaan melaksanakan projek global berskala besar.

“Saya juga tidak teragak-agak mengusir diplomat asing yang terlibat dalam agenda provokatif untuk menumbangkan kerajaan ini kerana Turki tidak memerlukan individu sedemikian. Saya mengingatkan kepada diplomat asing supaya menumpukan perhatian kepada bidang tugasan masing-masing dan jangan mencampuri urusan dalam negara kami,” katanya kepada Press TV. 


Pilihan Raya Paling Ganas
7 Januari 2014

DHAKA: Parti pemerintah Bangladesh semalam menang dalam pilihan raya antara paling ganas dalam sejarah negara itu, yang dicemari pertempuran jalanan, kadar keluar mengundi rendah dan pemulauan oleh pembangkang yang menjadikan keputusan satu rumusan yang diketepikan.

Walaupun kemenangan Liga Awami sudah dijangka, kekecohan ketika pilihan raya kelmarin meletakkan Bangladesh ke dalam kancah kekacauan dan kelembapan ekonomi, dan membawa kepada lebih banyak keganasan di negara miskin seramai 160 juta penduduk itu. 


Erdogan Sokong Bicara Semula
7 Januari 2014

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata beliau menyokong perbicaraan semula beratus-ratus pegawai tentera yang disabitkan merancang untuk menjatuhkan kerajaan. 

Kenyataan dibuat selepas penasihat kanannya menegaskan pegawai berkenaan diperangkap polis dan badan perundangan. 

Beratus-ratus orang dipenjarakan pada 2012 dan 2013 dalam dua kes berprofil tinggi, yang digelar Sledgehammer dan Ergenekon. Wartawan berkata, kenyataan itu menunjukkan perubahan hala politik. 

“Kami menyokong perbicaraan semula itu. Pertama, kita mesti mewujudkan asas perundangan untuk perbicaraan baru ini,” katanya kepada wartawan kelmarin. 


Desak Raja Turun Takhta
7 Januari 2014

BARCELONA: Hampir dua pertiga daripada rakyat Sepanyol mahukan Raja Juan Carlos yang dikaitkan dengan skandal turun takhta, kata satu kajian pendapat terbaru yang disiarkan. 

Kajian dijalankan Sigma Dos dan disiarkan akhbar Sepanyol, El Mundo kelmarin menunjukkan sebanyak 62 peratus responden suka jika Carlos turun dari takhta. 


Morsi ditegah Jumpa Peguam
8 Januari 2014

KAHERAH: Pasukan peguam Presiden Mohamed Morsi tidak dibenarkan menemui pemimpin itu di penjara di Iskandariah, dua hari sebelum beliau dijangka hadir di mahkamah. 

Kementerian Dalam Negeri Mesir dalam satu kenyataan kelmarin berkata Morsi tidak dibenarkan menerima pelawat selama sebulan, bermula 2 Januari lalu. 

Keluarga Morsi mengecam tindakan dan mendakwa ia mencabul hak asasi manusia, kata sumber. 
Morsi dijangka hadir di mahkamah hari ini kerana didakwa terbabit dengan kematian penunjuk perasaan pada Disember 2012. Beliau juga didakwa mengintip dan dituduh merancang melarikan diri dari penjara. 


Terkena serpihan peluru sesat
8 Januari 2014



MESIR: SEORANG penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir, cedera apabila pipi kanannya terkena serpihan besi dipercayai daripada peluru sesat yang dilepaskan secara rambang oleh pihak tentera, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu (waktu Malaysia), Zahid Naser, 27, penuntut kuliah Usuluddin universiti itu terkena peluru sesat ketika menghantar isterinya untuk menghadiri peperiksaan.

Jurucakap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang dihubungi berkata, mangsa dikatakan menggunakan jalan berhampiran kumpulan penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi yang mengadakan demonstrasi aman berikutan Mursi dijadualkan dibicarakan di mahkamah pada hari sama.

Bagaimanapun, perhimpunan itu bertukar ganas apabila sekumpulan anggota tentera lengkap bersenjata api melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam yang menyertai demonstrasi itu. Zahid cedera di muka dipercayai akibat terkena serpihan peluru sesat.




Syria Mula Pindah Senjata Kimia
8 Januari 2014


BEIRUT-Syria mula memindah keluar bahan-bahan senjata kimia dari negara itu, dalam fasa penting di bawah program pelucutan senjata yang disokong kuasa besar dunia yang tertangguh akibat perang saudara dan masalah teknikal sebelum ini.

Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) berkata, 'bahan-bahan kimia utama' itu dibawa ke pelabuhan Latakia dan sebuah kapal Denmark yang kini menuju ke perairan antarabangsa akan membawa keluar bahan-bahan kimia itu.

''Kapal itu diiringi sebuah kapal tentera laut yang disediakan oleh Denmark dan Norway serta Syria. Kapal itu akan terus berada di laut sementara menunggu ketibaan bahan-bahan kimia utama tambahan di pelabuhan,'' katanya pertubuhan itu dalam satu kenyataan, semalam.

Keselamatan maritim pula disediakan oleh kapal-kapal dari China, Denmark, Norway dan Rusia.
Syria bersetuju melupuskan senjata kimianya menjelang Jun ini di bawah satu perjanjian yang ditaja Rusia dan dipersetujui bersama Amerika Syarikat (AS) selepas serangan gas sarin pada 21 Ogos di negara itu.


Peguam Ikhwanul Muslimin kemuka aduan kepada ICC
8 Januari 2014

LONDON- Peguam pergerakan Ikhwanul Muslimin mengemukakan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, semalam meminta badan dunia itu menyiasat dakwaan tentera Mesir melakukan jenayah kemanusiaan.

Peguam-peguam daripada sayap politik pergerakan itu, Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) berkata, mereka berharap dapat berjumpa dengan pendakwa raya ICC dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membincangkan tentang pembukaan kertas siasatan awal berhubung dakwaan itu.

Peguam-peguam itu memberitahu sidang media, mereka telah menyerahkan satu deklarasi bagi pihak bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi bagi menerima keputusan ICC di Mesir, walaupun ia tidak ditandatangani dan beliau tidak lagi berkuasa.

Mereka juga telah mengemukakan aduan yang memperincikan bukti-bukti berlaku jenayah sejak Mursi dan pergerakan itu disingkirkan tentera pada 3 Julai lalu.



Siri pengeboman baru di Syria8 Januari 2014 



DOUMA : Beberapa nyawa, kebanyakannya kanak-kanak berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan. Ia berlaku semalam selepas satu siri pengeboman oleh rejim laknat Assad di wilayah tersebut.


COMANGO pertubuhan haram
9 Januari 2014 

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) adalah pertubuhan haram.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff, berkata semakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati COMANGO tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). 

Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di negara ini hendaklah berdaftar dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 seperti yang ditetapkan mengikut Seksyen 7. 

Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41 (1)(b), katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Rusia berjaga-jaga selepas temui 5 mayat dan alat letupan
9 Januari 2014

MOSCOW. - Rusia meletakkan pasukan keselamatan negara dalam keadaan berjaga-jaga, selepas penemuan lima mayat yang dipenuhi kesan tembakan dan peralatan letupan, di wilayah Stavropol, semalam.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), semua mayat tersebut ditemukan secara berasingan dalam empat kereta di dua daerah di pinggir Stavropol.

Stavropol merupakan laluan masuk ke wilayah Caucasus Utara yang menjadi lubuk keganasan.

Rusia mula mengambil langkah mengetatkan kawalan keselamatan negara sejak tahun lalu menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan berlangsung pada bulan depan di Sochi. 


Rakyat Mesir haram undi
9 Januari 2014



DUBAI: Ulama terkenal dunia Dr Yusuf el-Qaradawi semalam mengeluarkan fatwa mengatakan haram untuk rakyat Mesir mengundi dalam pungutan suara mengenai perlembagaan negara itu kerana ia hanya akan mengesahkan kepemimpinan baru di situ.

Fatwa berkenaan dikeluarkan sehari sebelum rakyat Mesir di luar negara mengundi untuk menyokong atau menolak draf perlembagaan berkenaan. Pengundian di Mesir dijadualkan pada 14 Januari ini.

Menurut Yusuf undian yang diberikan kepada pungutan suara berkenaan adalah sokongan kepada ketidakadilan serta penindasan yang dilakukan rejim disokong tentera Mesir. 

“Saya melihat penyertaan dalam pungutan suara atau pembabitan dalam apa cara sekalipun untuk mengukuhkan kuasa kerajaan Mesir sekarang adalah haram dari segi agama,” katanya. Mesir kini ditadbir kerajaan sementara disokong tentera selepas presiden yang sah, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat disingkirkan secara paksa pada tahun lalu.



*Bersama-sama kita mendoakan saudara kita di Palestin, Syria, Mesir dan di seluruh dunia. Bantulah saudara semampu kita. Semoga Allah membalas usaha kita dan member ganjaran syurgNya kelak. Berdoalah, dan bertawakkallah kita kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah akan membantu hamba-hamba yang cintakanNya dan mengharap redhaNya semata-mata.


Wallahualam.


“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan memberikan baginya jalan ke luar (bagi semua urusannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tidada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (segala keperluan)nya” 
 (ath-Thalaaq : 2-3)

Tawakkal manifestasi tahap kebergantungan makhluk kepada Sang Pencipta


Read more

BEGIN WITH THE END IN MIND

0 comments



Bismillahirrahmanirrahim…

Sekarang tibalah sudah masa yang ‘dinanti-nantikan’ oleh semua pelajar, yakni musim peperiksaan. Walaupun hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum bermulanya musim ini, rasanya masih belum terlambat untuk kita perbetulkan niat, misi, visi dan tujuan akhir perjuangan kita ini di sini.

Cuba anda ingat kembali, apakah jawapan anda ketika berusia 5 tahun apabila ditanya soalan ini: “Dah besar nanti nak jadi apa?”

Ha… sudah pasti banyak jawapan hebat dan kreatif yang anda utarakan ketika itu. Namun, andai soalan yang sama ditanya kembali, apakah agaknya jawapan kita? Mingkinkah sama? Mungkin juga berbeza?

Soalan itu menuntut kita lihat jauh ke hadapan, dan pada masa yang sama dapat membantu kita dalam membentuk visi, misi dan tujuan hidup kita. Selain daripada itu, tidak salah untuk saya katakan, apabila kita bermula dengan satu pengakhiran yang jelas, ia akan memudahkan kita untuk bergerak ke arah pengakhiran yang kita inginkan itu. Kita akan dapat mengatur perancangan dengan mudah, lantas berusaha sehabis baik untuk menggapai apa yang diidam-idamkan.

Antara saranan yang boleh dilakukan:

1) Cari visi, misi dan tujuan hidup anda.

Ini adalah langkah yang paling penting untuk anda lakukan supaya dapat membuka ruang dan jalan bagi langkah-langkah seterusnya pula. Pastikan ianya jelas dan bertepatan dengan pegangan dan prinsip hidup anda. Jangan terhadkan diri anda dengan satu atau dua visi dan misi sahaja!


Sudah pasti, sebagai seorang muslim kita tidak akan terlepas daripada dua tujuan hidup ini: menjadi seorang ‘abid dan khalifah di atas muka bumi ini… Itulah matlamat hidup yang paling utama, dan ditambah pula dengan matlamat-matlamat kecil yang lain.

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.

(QS. 51:56)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

(Al-Baqarah 2:30)

2) Susun gerak kerja anda.

Sudah pasti, sesuatu matlamat dan tujuan tidak akan dapat dicapai tanpa adanya usaha. Oleh itu kita perlulah memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencapai matlamat tersebut, dan menyusunnya menjadi satu jadual gerak kerja yang sesuai dengan kemampuan diri anda. Pastikan ia mempunyai garis masa yang cantik tidak membebankan diri anda sendiri. Kalau tidak, anda akan mudah berasa penat dan putus asa, lantas terus meninggalkan usaha untuk mencapai matlamat anda itu tadi.

3) Berkongsilah!

Satu perjuangan yang dihadapi berseorangan akan mudah digagalkan oleh pelbagai anasir, tidak kira dalaman mahupun luaran. Maka, apalagi yang akan dapat menjadikan kita lebih tegap dan gagah dalam menghadapi cabaran untuk menggapai matlamat kita? Itulah peranan insan yang rapat dan menjadi kepercayaan kita, para sahabat yang dapat menemani di kala senang mahupun susah. Kongsilah tujuan dan matlamat anda tersebut bersama mereka. Mereka boleh menjadi daya penolak dan rangsangan untuk kita terus maju ke hadapan walaupun seringkali menghadapi kepenatan mahupun kegagalan.

4) Tawakal

Tidak ada usaha yang lengkap tanpa adanya tawakal kepada Allah swt. Sebaik-baik perancangan kita, namun perancanganNya jualah yang paling sempurna. Maka setelah anda berusaha, serahkan sahaja segalanya kepada Allah, dan juga berdoalah agar usaha anda tidak menjadi sia-sia. Dan yakinlah, Allah mengetahui apa yang terbaik bagi para hambaNya.

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Al-Baqarah 2:216)



InsyaaAllah, semoga kita semua dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga kita sama-sama dapat mencapai segala visi, misi, matalamat dan tujuan yang kita inginkan. Akhir kata, bittaufiq wannajah fil imtihan!

Wassalam.


Read more

Resepi indahnya Tawakal.

0 comments
Laju benar injap jantung menutup dan membuka membenarkan darah mengalir selaju mungkin. Fenomena tachycardia sedang berlaku dengan rancaknya dalam kalangan para penuntut di Bumi Salju ini setelah melewati bulan Disember terakhir tahun 2013, dan mula berjabat mesra dengan Januari pertama bagi tahun 2014. Examination is just around the corner!

Assalamualaikum wbt. Salam imtihan!

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Tidaklah indah satu kehidupan yang tidak mempunyai pergantungan. Fitrahnya manusia ialah sikap kebergantungan itu sendiri.

Untungnya berada di dalam ni’mat iman dan islam ini ialah kita mengetahui bahawa kita punya Allah untuk diletakkan kebergantungan, tidak pada makhluknya yang tidak punya walau sekelumit kekuatan tanpa izinNya.

Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas R.A. berkata (maksudnya) :
"Pada suatu hari,aku berada di belakang Nabi S.A.W. lalu baginda bersabda kepadaku, wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah, iaitu : Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah  nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah,bahawa jikalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan manfaat kecuali suatu yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan engkau dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan engkau kecuali dengan suatu yang memang Allah telah tentukannye ke atasmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).”
(HR at-Tirmidzi)

Semangat New Year masih belum sirna dari jiwa kita (konon-konon sambut tahun baru ), sudah perlu menghadapi limpahan buku-buku dan nota-nota di atas meja study. Allahu, kita kan pencari ‘ilmu, sudah pastilah tugas untuk seorang pencari ‘ilmu itu untuk sentiasa berdamping dengan sumber ‘ilmu itu sendiri.

[credit]
Sesudah berminggu-minggu bersahabat baik dengan buku-buku dan nota-nota ini, setiap helaian sudah habis ditelaah, diulang-ulang bacaanya, dihafal dan disemat rapi segala yang perlu, tidak ada satu pun diagram yang terlepas pandang, maka bermulalah peperangan sebenar, which is the examination!

Dari sinilah bermulanya resepi tawakal yang sebenar. Anda telah berusaha, berhempas pulas sehabis energy, siang bersama lembaran-lembaran indah cetakan manusia, malam pula bersama-sama Pencipta seluruh alam dan Pemilik seluruh ‘ilmu.

[credit]


“...Dan barang Siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya…"
(At-Talaq: 3)

Kemudian, setelah segala persiapan untuk berperang telah lengkap, ayuhlah menuju medannya. Hah! Bermulalah resepi tawakal kita. Meletakkan seluruh pengharapan kepada Allah SWT setelah segala-galanya dipersiapkan. MashaAllah indahnya, bila mana kita punya pergantungan kepada Allah. Tempat kita menyerahkan segala rasa tanpa perlu berputus asa.

 “Dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara" (Al-Ahzab: 3)

“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu..." (Al-Baqarah: 152)

Indahnya hasil daripada resepi tawakal ini, apabila kita menghadapi kesenangan, perkataan Alhamdulillah takkan luput dari bibir kita, malah ketika menghadapi kesusahan pula kalimah Innalillahi wa inna Ilaihirajiun pula laju meniti mendahului segala lafaz yang tidak sepatutnya.

Hal ini kerana, setelah tawakal kita sebatikan di dalam hati, apa pun rezeki yang Allah berikan kepada kita, pasti kita akan tetap teguh menerima segalanya dengan berlapang dada. Tidak akan wujudlah perasaan bahawa, segala yang kita usahakan dirasakan tidak berbaloi. Astaghfirullah al azim. Allah memberikan apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.

Hasil daripada resepi tawakal ini, maka akan terhasillah insan yang bukan sahaja mempunyai pergantungan seratus satu peratus kepada Khaliq nya, malah menjadikan kita insan yang sentiasa redha dan bersyukur atas setiap rezeki serta ni’mat kurniaanNya. Subhanallah!

Jika, seawalnya, niat kita sudah diperbetulkan, mendampingi segala sumber ‘ilmu adalah untuk mendapatkan ‘ilmu yang diberkati dan diredhaiNya, pastilah kita akan menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur kepadaNya. Hasil daripada resepi tawakal ini, maka akan terhasillah insan yang bukan sahaja mempunyai pergantungan seratus satu peratus kepada Khaliq nya, malah menjadikan kita insan yang sentiasa redha dan bersyukur atas setiap rezeki serta ni’mat kurniaanNya. Subhanallah!

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah ni’mat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (ni’mat Ku), maka pasti azab Ku sangat berat” (Ibrahim: 7)

Itulah resepi tawakal ! Indahkan? Ayuh. Sama-sama kita baking dengan resepi tawakal ini. Semoga Allah redha. 

Wallahu’alam.


Read more

MENCARI TUHAN DALAM LAGU

0 comments

Assalamualaikum wrt.

          Kita sebagai seorang manusia sememangnya berhak untuk membuat pilihan. Pilihan yang betul akan membawa kita ke arah kebaikan, manakala pilihan yang salah akan membuatkan manusia itu terjerumus jatuh ke lembah kehinaan.

          Tidak dinafikan dalam abad ini, muzik merupakan salah satu elemen yang penting dalam mewarnai jiwa manusia yang haus dan dahagakan hiburan. Rata-rata manusia pada abad ini tidak boleh lari daripada memilih muzik sebagai salah satu jalan alternatif untuk berhibur.

Berhibur itu tidak salah, namun seorang muslim itu haruslah bijak memilih dalam berhibur.

          Memang tidak dinafikan lagi dalam jutaan jenis lagu yang diputarkan dalam abad ini, kebanyakannya berkisar tentang cinta sesama makhluk serta bersifat keduniaan dan melalaikan. Meskipun begitu, dalam banyaknya lagu yang berunsurkan rasa rindu pada kekasih hati di dunia, adakalanya lagu yang sering didengari itu bila diamati dan dihadami sebenarnya membawa maksud tersirat yang jauh lebih hebat dari pujaan sepasang kekasih yang saling merindui antara satu sama lain.

          Penulis lebih gemar mendengar lagu-lagu begini yang sekali dengar seperti lagu untuk kekasih, tapi bila didasari lagu tersebut dapat dikaitkan dengan nilai ketuhanan..meskipun lagu tersebut bukan ditulis dengan sifat ketuhanan.

          Lagu-lagu tersebut mempunyai senikata melayu indah yang dapat kita kaitkan dengan tuhan, yang biasanya menggambarkan rasa rindu kita sebagai makhluk tuhan kepada-Nya. Bait-bait ayat yang digunakan jika diamati sangat sarat dengan elemen pujian dan ketauhidan, umpama sepasang kekasih yang bercinta dan merindui antara satu sama lain. Lagu-lagu inilah jika dihayati boleh menggeggarkan jiwa mereka yang mendengarnya.

          Oleh itu, berikut merupakan beberapa himpunan lagu saranan penulis yang dapat menggetarkan jiwa pendengar di kala mereka hauskan hiburan dan pencarian mencari Tuhan. Mungkin lagu yang tertera di sini boleh dikategorikan agak klasik dan sebagainya kerana coretan ini lebih senteng ke arah citarasa penulis, tapi saranan penulis, penulis yakin ada banyak lagi lagu lain di luar sana yang bersifat ketuhanan dan lebih kena dengan citarasa masing-masing, InshaAllah.

Akhir kata, berhibur itu tidak salah, tapi biarlah lagu tersebut menyeru kita kepada Tuhan.

Semoga terhibur, hayati, hadam dan selamat mencari Tuhan.

1) Kepadamu Kekasih - M.Nasir, Hattan, Jamal Abdillah

                            
Lagu rintihan kepada Tuhan tatkala diri terawang-awang dan hanyut dalam dunia. Ciptaan Zubir Ali yang liriknya datang dari sajak terkenal nukilan sasterawan Indonesia, Chairil Anwar.

3) I’tiraf - Raihan



Juga lagu rintihan kepada Tuhan agar menerima taubat dan mengampuni dosa lalu,, di samping mendoakan supaya Tuhan memelihara diri dari melakukan khilaf dan berbuat=

4) Di Penghujung Rindu - Jamal Abdillah



Nukilan indah tatkala sang perindu bertemu Dia yang dirindukan itu di waktu kemuncak percintaan agung ini tiba iaitu ketika mati. Antara lagu yang tinggi bahasa tabirnya

5) Meniti Titian Usang - Search

 


Lagu yang memaparkan kisah hidup manusia tatkala melintasi titian Sirat, serta rayuan sayu supaya diselamatkan daripada azab yang bakal mendatang.

Wallahu’alam.


Read more

Rububiyah, Uluhiyah & Hakimiyah

0 comments

Bismillahirahmanirahim

          Dalam kesibukan kita dalam mengejar mood imtihan(peperiksaan), selalulah peringatkan diri kita dengan Allah. Dalam kesibukan kita dalam membaca bahan imtihan, selalulah dibacakan sekali tujuan kita masih dihidupkan kepada diri sendiri (51:56, 2:30). Dalam kesibukan kita dalam merancang perjalanan untuk pergi berjaulah(jenjalang), jangan lupa untuk membawa bahan bacaan seperti Al-Quran dan buku-buku.

          Yup, untuk mengisi masa lapang semasa perjalanan anda ataupun sewaktu anda dalam kepenatan study week, saya mahu mencadangkan satu buku yang sempoi tetapi membuka minda. Buku ini bukanlah satu buku yang terlalu berinformasi dan bukanlah satu buku yang terlalu berat untuk dibawa bersama.

          Buku yang mengajak kita untuk mengenal Rabb (tuhan) kita agar kita selalu mengingati tujuan kehidupan kita. Buku yang mengajar kita untuk lebih dekat dengan Malik (tuhan) kita agar kita selalu merasa dekat dengan Nya tidak kira dimana kita berada dan apa yang kita lakukan. Satu buku yang mendidik kita untuk lebih menghayati sifat Illah (tuhan) kita yang Maha dalam segala-galanya, supaya kita menjadi hamba-Nya yang lebih Rabbani. Apabila kita mula mengenal si Dia, maka tiada perkara yang lebih merunsingkan diri kita selain dari kita merasakan diri ini mula menjauh dari Allah. Imtihan, masalah sewaktu perjalanan, masalah dengan keluarga, belum dapat zachut lagi, maka mulalah mencari Allah dan jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu.

       
Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.

(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)




Judul Buku : Rububiyah, Uluhiyah & Hakimiyah : Paksi Akidah, Bukan Mengkafirkan Sesiapa.

Penulis : Ustaz Alias bin Othman

Terbitan : KONSIS Network

Muka Surat : 245

Harga : Semenanjung RM 15.00 / Sabah Sarawak RM 17.00








Boleh didapati di http://imanshoppe.com/index.php?route=product/product&product_id=17
Wallahua'lam


Read more

MODUL GERBANG MAHLIGAI SAKINAH PART 1

0 comments
Bismillahirahmanirrahim . 
Selawat dan salam buat junjungan Nabi saw dan keluarga baginda . 

Assalamualaikum wrt .

InshaAllah 
Kuliah Baitul Muslim bersama UmmuAtifah pada minggu seterusnya ..

Modul Gerbang Mahligai Sakinah ( Part 2 )
Tarikh : 6 Jan 2014
Masa : 5.30pm-7.30pm (waktu rusia)
9.30pm-11.30pm (waktu malaysia)

Boleh add id
Paltalk : moderator_kuliah


Tajuk kuliah Modul Gerbang Mahligai Sakinah (Part 2 ) :

"Tujuan dan fungsi institusi kekeluargaan dalam Islam menurut Al-Quran dan As-Sunnah"


Jom dengar jom!
Jangan ketinggalan mengikuti kuliah baitul muslim yang disampaikan oleh Ummu Atifah.


Anda terlepas mengikuti kuliah baitul muslim minggu lepas ?

Kami susulkan anda sedutan daripada kuliah baitul muslim Modul Gerbang Mahligai Sakinah (Part 1) 

di sini yang bertajuk 
"Panduan umum kedudukan lelaki dan wanita dalam Islam menurut Al-Quran dan As-sunnah" .





Allah swt menjanjikan setiap perkahwinan kebahagiaan.Namun untuk mencapai kebahagiaan, kita haruslah melalui jalan yang betul disisi Allah swt supaya dapat membina usrah muslimah atau keluarga yang diredhai Allah swt. Pembinaan keluarga ini semestinya dimulai oleh kita sendiri iaitu individu soleh/solehah agar mendapat anak-anak yang soleh/solehah juga .Ingatlah, apabila kita sudah mencapai rezeki untuk bernikah ,bermakna Allah telah mempersiapkan  kita dengan iman, takwa dan akhlak berpandukan al quran dan sunnah yang mana merupakan tujuan utama baitul muslim. Hasilnya akan wujudlah keluarga yang  mukmin , du'at yang cemerlang dan akhirnya  lahirlah  abid-abid Allah swt yang hati,perbuatan, pemikiran tunduk kepada Allah swt.



Di antara janji Allah swt dalam Al-Quran .


[ Surah Al-Rum : 21 ]

"Dan diantara tanda² (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh , pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir..." 


Kami susulkan pautan untuk rakan-rakan mendapatkan nota kuliah penuh dibawah  Insha Allah .http://kuliahbm.blogspot.ru/2014/01/modul-gerbang-mahligai-sakinah-part-i.html


Selamat membaca dan berusaha mencari keredhaan Allah swt . Ingatlah janji Allah , 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami ,
Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.
Dan sungguh ,Allah berserta orang-orang yang berbuat baik".  

[Al-Ankabut : 69 ]






Read more