DIMANA 'KERANA ALLAH' ITU?

0 comments

“Ok, hari ni siapa mahu berkongsi rasa tentang ayat-ayat yang telah kita tilawah sebentar tadi?” ungkap murabbiku setelah selesai membaca terjemahan ayat al-Quran surah al-An’am bermula ayat 152 sehingga 165.

Itu adalah rutin mingguan kami, bahkan sesi yang akan sentiasa dirindui dan dinantikan oleh kami semua. Duduk sebentar dan beriman sejenak. Pada ‘bulatan gembira’ (baca: usrah) inilah kami berukhuwah sampai diabetes mellitus, bermuhasabah sampai menjentik hati sanubari dan saling menasihati tanda cinta akan saudaranya.

Krikkk...krikk….
Entah mana datang bunyi cengkerik ditengah kota Metropolitan Mosko ini. Hairan.

Seperti biasa, semuanya diam, tersipu malu untuk mengeluarkan mutiara kata dari jiwa mereka termasuk juga aku. Masing-masing khusyuk melihat mushaf al-Quran walaupun pada hakikatnya tunduk kerana tidak mahu dipanggil oleh si murabbi. Kadang kala saling bertentang mata sesama ahli usrah dan hanya mampu tersenyum. Suasana masih lagi diam seribu bahasa.

“Hmmm… abang, saya nak ‘share’ sikit boleh?” Zamri memulakan langkah memecahkan suasana sunyi tersebut.

Eh, sila..sila… Banyak pun boleh Zamri,” balas Ashraf selaku abang murabbi kami.

Zamri terus membaca sepotong ayat al-Quran surah Al-An’am ayat 162 dengan penuh penghayatan dan keinsafan.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

Zamri meneruskan bicaranya, “Dalam ayat ini, perkara pertama yang Allah nyatakan adalah solat. Solat itu mesti kerana Allah. Dah kalau solat pun kita tak ingat Allah, kat luar solat macam mana? Adakah kita akan ingat Allah? Korang nampak tak kat sini betapa besar dan pentingnya solat tu. Bahkan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah adalah solat. Kalau solat kita cun, insha Allah yang lain akan cun! Nak lagi cun, kena la solat berjemaah kat surau kita ni.

Haaaa… boleh la lepas ni Syakiran jadi imam solat isya kat surau,” Tiba-tiba Hazriq menyakat rakan usrahnya.

Ehhh… kenapa aku pula?” balas Syakiran dengan pantas dan penuh serius mukanya tanda menidakkan gurauan sahabat fillah nya itu. Suasana yang tadinya sunyi sepi kini menjadi riuh dengan gelak tawa kami semua.

Ok, dah..dah. Kesian la Syakiran tu. Zamri, boleh sambung,” kata abang Ashraf.

Hahaha. Lepas ni boleh kita gilir-gilir jadi imam kat surau ye. Ok, seterusnya Allah ada sebut tentang ibadat kan. Jadinya seluruh kehidupan kita sepatutnya juga adalah ibadat kerana Allah dan mengharap semata-mata balasan pahala dari Allah swt. Dari kita bangun tidur sehinggalah kita tidur balik. Bahkan tidur itu juga adalah ibadat kita. Lepas tu, yang terakhir Allah ada menyebut tentang hidup dan mati kita juga kerana Allah.”

Cantik Allah susun ayat ni. Kalau kita nak mati dalam keadaan baik, kita mesti jaga solat, banyakkan ibadat dan hidup dalam keadaan yang baik juga. Baru boleh mati dalam keadaan baik kan?” Hakimi menyampuk dengan wajah penuh takjub.

Betul tu Hakimi. Sepatutnya seluruh kehidupan kita adalah kerana Allah. Hanya kerana Allah. Baik belajar kita, makan kita, tidur kita ataupun bersukan kita itu semua mesti kerana Allah. Tetapi, adakah seharian kehidupan kita itu kerana Allah? Dimana nya kerana Allah tu kalau Quran pun tak baca, solat pun tidak, bahkan yang paling sedih kita duk asyik buat perkara yang tak baik…. Agak-agak macam mana?” Tambah Zamri dengan penuh menusuk bicaranya.

Allah.. Jazakallah khayr Zamri atas satu muhasabah yang bagi abang sangat..sangat baik. Bahkan thorboekkk! Jadi, sahabat yang abang cintai dan sayangi kerana Allah. Sungguh pengakhiran kita nanti sangat bergantung bagaimana kita hidup sekarang ini. Kalau mahukan pengakhiran yang dekat dengan Allah, hiduplah dalam keadaan dekat dengan Allah. Kalau mahukan akhir kata kita nanti adalah ‘La Ilaha Illah’ makanya kehidupan kita juga mesti lazimi ungkapan tersebut, bukannya asyik mencarut tak tentu pasal. Semoga kita sama-sama dapat mujahadah untuk hidup sebagai seorang mukmin yang terbaik agar mendapat pengakhiran yang terbaik juga. Amin.” Hurai Abang Ashraf tanda menutup pertemuan hati dan jasad kami pada hari itu.

Semua kami mengangguk tanda faham. Bulatan gembira kami pada hari itu diakhiri dengan satu persoalan besar untuk dibawa pulang sebagai muhasabah bersama, DIMANA ‘KERANA ALLAH’ ITU?




Post a Comment