DIMANA 'KERANA ALLAH' ITU?

0 comments

“Ok, hari ni siapa mahu berkongsi rasa tentang ayat-ayat yang telah kita tilawah sebentar tadi?” ungkap murabbiku setelah selesai membaca terjemahan ayat al-Quran surah al-An’am bermula ayat 152 sehingga 165.

Itu adalah rutin mingguan kami, bahkan sesi yang akan sentiasa dirindui dan dinantikan oleh kami semua. Duduk sebentar dan beriman sejenak. Pada ‘bulatan gembira’ (baca: usrah) inilah kami berukhuwah sampai diabetes mellitus, bermuhasabah sampai menjentik hati sanubari dan saling menasihati tanda cinta akan saudaranya.

Krikkk...krikk….
Entah mana datang bunyi cengkerik ditengah kota Metropolitan Mosko ini. Hairan.

Seperti biasa, semuanya diam, tersipu malu untuk mengeluarkan mutiara kata dari jiwa mereka termasuk juga aku. Masing-masing khusyuk melihat mushaf al-Quran walaupun pada hakikatnya tunduk kerana tidak mahu dipanggil oleh si murabbi. Kadang kala saling bertentang mata sesama ahli usrah dan hanya mampu tersenyum. Suasana masih lagi diam seribu bahasa.

“Hmmm… abang, saya nak ‘share’ sikit boleh?” Zamri memulakan langkah memecahkan suasana sunyi tersebut.

Eh, sila..sila… Banyak pun boleh Zamri,” balas Ashraf selaku abang murabbi kami.

Zamri terus membaca sepotong ayat al-Quran surah Al-An’am ayat 162 dengan penuh penghayatan dan keinsafan.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

Zamri meneruskan bicaranya, “Dalam ayat ini, perkara pertama yang Allah nyatakan adalah solat. Solat itu mesti kerana Allah. Dah kalau solat pun kita tak ingat Allah, kat luar solat macam mana? Adakah kita akan ingat Allah? Korang nampak tak kat sini betapa besar dan pentingnya solat tu. Bahkan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah adalah solat. Kalau solat kita cun, insha Allah yang lain akan cun! Nak lagi cun, kena la solat berjemaah kat surau kita ni.

Haaaa… boleh la lepas ni Syakiran jadi imam solat isya kat surau,” Tiba-tiba Hazriq menyakat rakan usrahnya.

Ehhh… kenapa aku pula?” balas Syakiran dengan pantas dan penuh serius mukanya tanda menidakkan gurauan sahabat fillah nya itu. Suasana yang tadinya sunyi sepi kini menjadi riuh dengan gelak tawa kami semua.

Ok, dah..dah. Kesian la Syakiran tu. Zamri, boleh sambung,” kata abang Ashraf.

Hahaha. Lepas ni boleh kita gilir-gilir jadi imam kat surau ye. Ok, seterusnya Allah ada sebut tentang ibadat kan. Jadinya seluruh kehidupan kita sepatutnya juga adalah ibadat kerana Allah dan mengharap semata-mata balasan pahala dari Allah swt. Dari kita bangun tidur sehinggalah kita tidur balik. Bahkan tidur itu juga adalah ibadat kita. Lepas tu, yang terakhir Allah ada menyebut tentang hidup dan mati kita juga kerana Allah.”

Cantik Allah susun ayat ni. Kalau kita nak mati dalam keadaan baik, kita mesti jaga solat, banyakkan ibadat dan hidup dalam keadaan yang baik juga. Baru boleh mati dalam keadaan baik kan?” Hakimi menyampuk dengan wajah penuh takjub.

Betul tu Hakimi. Sepatutnya seluruh kehidupan kita adalah kerana Allah. Hanya kerana Allah. Baik belajar kita, makan kita, tidur kita ataupun bersukan kita itu semua mesti kerana Allah. Tetapi, adakah seharian kehidupan kita itu kerana Allah? Dimana nya kerana Allah tu kalau Quran pun tak baca, solat pun tidak, bahkan yang paling sedih kita duk asyik buat perkara yang tak baik…. Agak-agak macam mana?” Tambah Zamri dengan penuh menusuk bicaranya.

Allah.. Jazakallah khayr Zamri atas satu muhasabah yang bagi abang sangat..sangat baik. Bahkan thorboekkk! Jadi, sahabat yang abang cintai dan sayangi kerana Allah. Sungguh pengakhiran kita nanti sangat bergantung bagaimana kita hidup sekarang ini. Kalau mahukan pengakhiran yang dekat dengan Allah, hiduplah dalam keadaan dekat dengan Allah. Kalau mahukan akhir kata kita nanti adalah ‘La Ilaha Illah’ makanya kehidupan kita juga mesti lazimi ungkapan tersebut, bukannya asyik mencarut tak tentu pasal. Semoga kita sama-sama dapat mujahadah untuk hidup sebagai seorang mukmin yang terbaik agar mendapat pengakhiran yang terbaik juga. Amin.” Hurai Abang Ashraf tanda menutup pertemuan hati dan jasad kami pada hari itu.

Semua kami mengangguk tanda faham. Bulatan gembira kami pada hari itu diakhiri dengan satu persoalan besar untuk dibawa pulang sebagai muhasabah bersama, DIMANA ‘KERANA ALLAH’ ITU?




Post a Comment

KEHILANGAN. PERPISAHAN.PEMERGIAN.DITINGGALKAN

0 comments
Kehilangan. Perpisahan. Pemergian. Ditinggalkan.

Itu yang mengajar kita erti seorang hamba dan kekuatan.  Siapalah kita untuk menolak itu semua berlaku. Sedangkan Allah telah mengatur segala-galanya. Dan aturan Allah itulah yang terbaik yang selalu hamba-hamba Nya tidak nampak mata pada kasar.

Kehilangan…
“Assalammualaikum cikgu. Boleh saya berjumpa dengan pelajar yang bernama Haris b Fadhli” kata seorang lelaki di pejabat sekolah SMK Bulan. “Encik ada apa untuk berjumpa dengan pelajar tu ye” jawab seorang guru.  “Maaf cikgu, saya sepupu dia.  Saya datang nak maklumkan yang ayah dia meninggal dunia pagi tadi”.  Allahuakbar.  Kehilangan yang tiba-tiba yang tidak dijangka.  Sedangkan si Haris perlu berhadapan dengan Sijil Pelajaran Malaysia dua hari lagi.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”
Al-Baqarah : 286

Yakinlah Allah Maha Mengetahui…Tetap cekal berjuanglah menghadapi kehilangan ini…kerana dari Allah kita datang dan kepadaNya lah kita kembali. Bila, bagaimana bukan urusan kita. Tiada beban yang datang di luar kemampuan kita.

Perpisahan…
“Ahlan wa sahlan adik-adik semua.  Kami adalah senior kamu di sini.  Kamu boleh merujuk pada kami jika ada apa-apa masalah.  Anggap je kami seperti abang-abang dan kakak-kakak kamu kerana kita semua jauh dari tanahair kita beribu-ribu batu jauhnya.  Kami akan bantu adik-adik untuk menjalani kehidupan di sini”.  Indahnya ukhwah, seakan tak terasa jauh dari negara sendiri walaunpun pelajar dari Malaysia boleh dihitung dengan jari.  Ukhwah yang terjalin semakin rapat dari hari ke hari dan berjalan seiring dengan kepayahan belajar di negara orang.  Tetapi kakak-kakak dan abang-abang inilah yang menjadi penguat semangat di samping doa dari orang-orang yang tersayang yang jauh ditinggalkan.  Tetapi…akhirnya perpisahan berlaku.  Tahun hadapannya tiada lagi suara-suara ini menasihati, memujuk dan menegur.  Allahuakbar…mengapa perpisahan berlaku sedang ukhwah sedang harum mewangi, sedang mekar berkembang.  Siapa yang akan menjadi imam. Siapa yang akan membawa usrah.  Siapa yang akan memberi tazkirah.  Allahuakbar.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Al-Insyirah : 5-6
Perpisahan memang perit.  Tetapi adakalanya perpisahan itu mengajar untuk menjadi lebih kuat dan tidak bergantung kepada yang lain.  Perpisahan menghasilkan sesuatu kekuatan yang kadang-kadang tidak diduga.  Perpisahan juga kadang-kadang menjadikan ukhwah semakin erat. Perpisahan juga mengajar erti kehidupan dan kelangsungannya.

Pemergian…
“Betul ke nak sambung belajar kat sana.  Jauh tu. Isshh…kat Malaysia takde ke. Russia tu jauh.  Kita tak tahu pun budaya dan kehidupan di sana.  Perlu ke sampai jauh ke sana.  Banyak belanja tu”.

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.
At-Talaq : 2-3

Peritnya pemergian itu…Demi cita-cita perlu diteruskan.  Rasa rindu rasa sayang campakkan ke dalam lubuk hati.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa berat dan sukar kaki melangkah…tapi pemergian ke sana harus diteruskan…

Dan jika pemergian itu melahirkan sebuah kehilangan dan perpisahan pula…yakinlah percaturan Allah lebih baik daripada percaturan kita.  Siapalah kita untuk mengubah dan menentukannya.

Hidup bagaikan suatu permusafiran perjalanan yang panjang.  Perjalanan yang perlu kita tempuh dengan rasa syukur, redha dengan apa yang akan Allah kirimkan.  Ajarkan hati, didikkan hati supaya seluruh kebergantungan ini kita letakkan kepada Pencipta kita. Dan ketika itu baru kita dapat menikmati kehidupan kita dengan tenang…jika kita YAKIN dengan Allah yang mencaturkan segala-galanya.  Tugas kita hanya terus berusaha dan berdoa.J


Post a Comment