[kredit] |
Bismillahirrahmanirrahim…
“Berlalulah sudah Ramadhan
Sebulan berpuasa
Tiba Syawal kita rayakan
Dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan
Semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan
Bersyukur tak terkira
Bertukar senyuman dan salam
Ziarah-menziarahi
Tutur dan kata yang sopan
Saling memaafi
Suasana Hari Raya
Walau di mana pun jua
Memberikan ketenangan
Dan mententeramkan jiwa”
– Suasana Hari Raya, Anuar Zain dan Elina.
Di mana jua kita berada, makin rancak lagu raya berkumandang di corong-corong radio mahupun di dalam laptop masing-masing. Ibu dan kakak sibuk membuat kuih raya, ayah pula sedang sibuk membasuh kereta dan menghantarnya ke servis sebelum balik ke kampung malam nanti. Anda pula? Pasti sedang berehat sebentar selepas mengemas rumah sebelum terus ke dapur untuk membantu mana yang patut, ataupun baru sahaja selesai membersihkan segala peluh jantan yang muncul akibat penat mencabut rumput dan membersihkan halaman rumah sekejap tadi.
Begitulah kemeriahan yang dapat kita lihat apabila Syawal bakal menjelma dengan segala persiapan dan semua orang pun pulang ke kampung. Seronok kan?
Tapi, sudah siapkah persediaan sebenar anda untuk menghadapi 11 bulan yang seterusnya sementara menanti Ramadhan datang buat kesekian kalinya? Checklist anda sudah selesai? Adakah impian anda sudah tercapai? Rugilah kalau belum!
“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukan ke syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”.
[HR. Ahmad]
Walaupun bukan semua yang anda inginkan tercapai, tahniah diucapkan kerana saya yakin usaha anda pada Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Andai kata anda berjaya menyelesaikan semuanya sekali, tahniah juga, moga-moga pada Ramadhan yang mendatang Allah akan memberikan kekuatan untuk beramal dengan lebih banyak lagi, insyaAllah.
Ketibaan syawal juga bermaksud ketibaan saat di mana kita bakal teruji dengan dugaan-dugaan yang bakal melemahkan. Saat Ramadhan kita rajin ke masjid untuk bersolat jemaah dan bertarawih, namun selepas Ramadhan ke mana kita? Saat Ramadhan kita rajin membaca AlQuran, namun selepas Ramadhan apa yang akan dibaca? Saat Ramadhan kita rajin bersedekah, namun selepas Ramadhan untuk apa kita menghabiskan harta?
[kredit]
Biarlah saya memberitahu satu rahsia: muslim yang bijak akan menjadikan Ramadhan sebagai bulan ‘intensive training’nya. Seorang tentera yang bakal ke medan pertempuran perlu memiliki kemahiran, kekuatan fizikal dan mental, dan juga ketahanan diri yang tinggi agar tidak mudah jatuh di tangan pihak lawan. Begitu juga seorang muslim yang memerlukan kekuatan, ketahanan dan kesabaran yang tinggi untuk mengalahkan bisikan-bisikan syaitan dan godaan nafsu yang bakal mengganggu-gugat amalan kita. Tidakkah anda mahu menggagahkan iman anda segagah otot-otot Rambo mahupun Arnold Schwarzenegger?
Ayuh! Sepatutnya anda sekarang dalam keadaan penuh bersedia dengan ikatan kain di kepala bak seorang pendekar yang bakal membuka langkah pertarungan. Apa jua dugaan dan cabaran yang bakal mendatang, anda pasti boleh mengalahkannya dengan izin Allah swt. Yakinlah, dan bersabarlah. Anda tidak berjuang berseorangan. Di kiri dan kanan anda ada sahabat yang menemani, dan bersama mereka, kegagahan anda bakal berganda.
Perjuangan anda bermula di sini, dengan bismillah…
Wallahua’lam.
-A.H
Post a Comment