[kredit] |
Bismillahirahmanirahim.
Pada
akhir bulan 6, rata-rata pelajar di bumi Soviet sudah mengakhirkan peperiksaan
musim panas dan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air tercinta, Malaysia.
Status-status
berbaurkan keinginan untuk makan rendang, durian, rambutan, cendol dan
sebagainya, perasaan tidak jemu melihat ladang kelapa sawit setiap kali
mendarat di KLIA, kerinduan untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan dan
sebagainya diluahkan di facebook masing-masing.
Hati
seakan sudah di rumah saat mendengar perbualan pekerja-pekerja di KLIA
berbicara dalam bahasa yang tidak asing untuk kita. Riangnya jiwa untuk pulang
ke rumah sendiri, tidur di atas katil sendiri. Pagi-pagi sarapan Malaysia
berupa roti canai, nasi lemak, nasi goreng sudah pun tersedia di atas meja
makan. Rindu untuk meluahkan masa dengan ibu, abah, kakak, abang, adik terubat
jua. Kawan-kawan semuanya sudah sibuk bertanya bila kita free, cerita-cerita
lama dan baru, penuh jenaka, ketawa saling bertukar sesama sendiri.
Siapa
yang tidak suka dapat bermanja-manja dengan ibu, anak-anak sedara yang makin
membesar, merehatkan diri setelah hampir setahun berusaha dan belajar di negara
asing. Siapa tidak suka dengan barang-barang Malaysia yang murah dan pelbagai.
Siapa tidak suka pulang ke rumah?
Home sweet home.
Rumahku syurgaku.
Manis
sekali rasa gembira yang Allah beri itu. Nikmat, Alhamdulillah.
Namun,
rumah kita di sana pula bagaimana?
Pada
hari alam musnah, musnah semuanya, kemudian manusia dibangkitkan semula dalam
pelbagai bentuk dan rupa, kera, babi, buta, siapa yang tahu.
"Dan barang siapa
berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang
sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.Berkatalah
ia: Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, pada
hal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman:
"Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kau melupakannya
dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan." [Taha:124-126]
Tiada
satu pun tertinggal, itu janjiNya.
"Dan (ingatlah)
akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan
melihat bumi itu datar dan akan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami
tinggalkan seorang pun daripada mereka." [An-Naml:83]
[kredit] |
Di
padang Mahsyar, dengan matahari yang sejengkal dari kepala, muka masing-masing
keluh kesah untuk berhadapan dengan hari yang dijanjikan Allah, hari
pengadilan.
Ayah
tidak mengenal anak, kawan tidak mengenal kawan, suami tidak mengenal isteri,
rata-rata hanya memikirkan nasib sendiri. Apakah buku amalanku akan diberikan
di tangan kiri atau kananku?
Rumah
kita ditentukan nanti, sama ada menjadi penghuni neraka yang panas terik,
diberi minuman air menggelegak, buah zaqqum...
"Sesungguhnya
Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia
dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
Sebenarnya ia
sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;
Buahnya seolah-olah
kepala Syaitan-syaitan;
Maka sudah tentu
mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka
memenuhi perut darinya.
Kemudian,
sesungguhnya mereka akan beroleh lagi – selain itu- satu minuman campuran dari
air panas yang menggelegak.
Setelah (mereka
dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang
menjulang-julang." [As-saffat:64-69]
Atau
mendiami syurga yang indah kehijauan dengan sungai-sungai yang mengalir di
bawahnya....
"Mereka itu
disediakan baginya Syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan
memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam,
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah
Syurga tempat berehat yang sebaik-baiknya." [Al-Kahfi:31]
Rumah
kita di sana, masih punya ruang untuk kita berusaha menujunya. Selagi roh tidak
sampai ke kerongkong dan dicabut oleh malaikat Maut.
Dari
syurga, bapa kita, Nabi Adam diturunkan dan syurga jualah tempat seharusnya
kita kembali. Ayuh berusaha sehabis baik untuk meraih rahmatNya, agar syurga
menjadi tempat kediaman kita nanti.
Allah
berfirman (artinya): ”Aku telah sediakan bagi
hamba-hamba-Ku yang shalih (kenikmatan Al jannah) yang belum pernah dilihat
mata, didengar telinga, serta terlintas di hati manusia." [HR.Muslim
2824]
Wallahualam.
-hitamputih
Post a Comment