Malam kian pekat. Saya meneruskan langkah yang semakin longlai. Perut juga menyanyi kelaparan, berperang dengan mata yang minta ditutup (nak makan vs nak tidur). Otak memang letih, setelah berjam-jam diperah dan stress memikirkan rawatan dan tindakan pantas yang sesuai untuk pesakit yang datang bertubi-tubi ke pintu Accident & Emergency. Emosi? Susah kot nak senyum selepas habis oncall. Itu mungkin satu jihad. Oncall di bahagian Accident & Emergency sungguh memenatkan, kerana kita perlu sentiasa bersedia. Anything can walk in that door, walaupun mungkin keadaannya tidaklah se-dramatik seperti yang digambarkan dalam drama bersiri ER (Emergency Room).
Apabila kepenatan, bisa saja hilang motivasi dan lemah semangat. Hati tidaklah terlalu senang gembira melayan kerenah jururawat, selain dari ragam pesakit yang pelbagai. Tidak sedikit bilangan doktor yang sekali-sekala menyesali dan TERsebut ‘kenapalah dulu aku amik medic..’. Blaja susah, keje pun susah. Di celah-celah kesibukan dan stress doktor bekerja, atau bagi medical students yang sedang bergelumang dan hampir lemas dalam timbunan kitab-kitab medic, untuk mencari semula semangat yang hilang tidak mudah.
Namun, saya merasakan untuk merenung diri, mengingatkan, meluruskan dan memperbetulkan semula nawaitu dalam setiap amal adalah sangat penting.
“Setiap amal itu bergantung kepada niat.” (Hadith riwayat Bukhari&Muslim)
Kerana di situlah letaknya nilaian Allah, keredhaan Allah. Kalau kita cuma siapkan semua perkara itu seperti robot dan mesin, alangkah rugi. Dengan nawaitu yang benar, hendaknya kita akan lebih mengerti kenapa kita di sini, dan menaikkan kembali motivasi kita untuk meredah jalan yang masih panjang.
Ingatkah kita kepada malam-malam yang hening, ketika kita bersujud panjang dan airmata kita membasahi sejadah…
Kita sangat berdoa Allah mengurniakan kita result SPM yang cemerlang, agar kita boleh meneruskan cita-cita.
Kemudian kita menyambung berharap tanpa putus kepada Allah, penuh terharu, supaya Allah izinkan kita untuk dapat pergi oversea, untuk dapat biasiswa, untuk dapat fly, dan nak sangat dapat masuk Medical School, nak sangat-sangat… dan kita solat hajat penuh syahdu memohon setiap hari.
Pada satu ketika yang lain pula, kita menangis dalam doa-doa kita, kita panjatkan tawakal kepada Allah setinggi angkasa, penuh cemas dan takut, agar Allah meluluskan kita dalam peperiksaan tahun akhir pengajian perubatan kita, agar akhirnya dapat bergelar Dr!
Maha Suci Allah yang telah mengabulkan kesemuanya! Janganlah kita lupa saat-saat itu, dan bersyukurlah sepanjang masa kepadaNya. Kita belajar/kerja ini untuk Allah. Lillahi Taala. Kita buat semua ini untuk Islam. Maka kita mestilah bersemangat selalu, motivated selalu, energetic selalu, dedicated selalu, dalam melaksanakan amanah Allah yang kini tersandang di bahu kita. Kerja itu ibadah. Study itu ibadah. Dan kita mahu menjadi hamba Allah yang senantiasa dalam ibadah, mahu menjadi ‘Ibadurrahman. Kan?
Sungguh seruan keimanan terbuka seluas-luasnya dalam kerjaya ini. Bukankah nilai sihat hanya dapat difahami oleh orang yang sakit? Maka belajarlah dari mereka yang sakit, mudah-mudahan itu akan membuka pintu hati kita untuk merendah diri bermuhasabah atas nikmat-nikmat Allah, supaya hati yang angkuh ini tunduk kepada Tuhannya dalam syukur.
Doktor tidak bekerja dengan mesin seperti engineer, bukan juga dengan dokumen-dokumen seperti setiausaha atau bekerja dengan duit seperti akauntan. Tetapi doktor bekerja dengan manusia, perhatiannya kepada manusia, ilmunya tentang manusia, menghadapi sakit peningnya, keluhannya, keluarganya,hidup matinya. Ia fardhu kifayah, dan harusnya semua itu meninggalkan kesan kepada jiwa, membawa kita lebih hampir kepada Allah. Seandainya tidak, seandainya hati ini sudah mengeras seperti batu, seandainya kita sudah menjadi lali, sudah terlalu biasa tengok orang sakit dan orang mati hingga sukar mendetikkan keinsafan, maka doalah supaya hati itu digantikan saja dengan hati yang lain!
Dalam kesibukan kita bekerja, ambil darah, mentafsir ECG, memasukkan tiub, ‘berperang’ dengan radiologist, menulis ubat, inject orang, janganlah sampai jiwa kita ini kering dari makna. Ingin saya ingatkan para doktor/medical students tentang keistimewaan sunnah Rasulullah yang sebenarnya selalu kita laksanakan, iaitu sunnah menziarahi orang sakit.
“Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang sakit akan berada di dalam kebun buah-buahan syurga sehinggalah ia pulang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a.:
“Apabila seorang muslim itu menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke petang. Dan apabila dia menziarahinya pada waktu petang, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke pagi, dan akan dikurniakan kepadanya sebuah taman di syurga.” (Hadith Riwayat Abu Dawud & Tirmidzhi)
Selain dari merawat jasad yang tidak sihat, kita juga punya tanggungjawab merawat jiwa dan ruh yang sakit. Sering terjadi, orang yang dalam kesusahan mudah untuk disentuh hatinya, untuk disuntikkan dengan mesej-mesej keimanan pada saat-saat yang sesuai . Namun ‘kerja extra’ yang tidak bergaji ini hanya akan dilaksanakan oleh doktor yang berjiwa da’ie, yang niat asalnya menjadi doktor memang untuk membawa risalah Islam. Kerjaya doktor dipilih supaya diri ini dapat menjadi agent yang menjayakan misi Islam dalam masyarakat. Ini bukan hidden agenda. Kita memang berniat menyeru manusia kepada Allah, dengan sengaja, dengan usaha. Bukan kebetulan, bukan sambilan. Saya menulis dengan terang dan jelas - kerjaya doktor ini hendaklah dijadikan alat untuk dakwah.
Kesimpulannya, bestkan kerja doktor ni? Bersemangatlah! Kerjaya ini banyak sahamnya di akhirat…huhu… kalau ikhlas.
Post a Comment