• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

LURUH DI MUSIM DINGIN

1 comments

 


Tetttt…

Aku memandang ke arah ‘handfone’. Berkelip-kelip menandakan ada mesej yang baru masuk.

Mesti orang dari Malaysia ni. Kejap lagi la baca.” Aku mengalihkan kembali pandangan kepada pensyarah yang sedang mengajar. Kebiasaan mesej yang masuk waktu kelas, biasanya dihantar oleh orang di Malaysia. Perbezaan masa antara Rusia dan Malaysia ada waktunya membuatkan orang terlupa.

Aku sendiri pernah menelefon ibuku selepas pulang dari ‘lecture’. Hasilnya bebelan panjang aku terima kerana di Malaysia waktu itu sudah pukul 11 malam.

Bro, aku dah balik Malaysia. Aku dah berhenti dari MAI.”

Aku termenung lama di hadapan skrin telefonku. Cuba mencerna dengan baik di mindaku.

Dah selamat sampai la ni? So, apa perancangan kau selepas ini bro?”

Aku mengenali Irfan ini melalui blog. Aku seorang penulis blog dan dia juga seorang penulis blog. Bezanya dia pelajar engineering di Moscow dan aku pelajar medic di Nizhny Novgorod. Sejak dia meninggalkan komen di blog, persahabatan kami terus dieratkan lagi melalui whatsapp pula. Biasa la. Budak-budak zaman moden.

Alhamdulillah dah Selamat sampai. Ko tak nak tanya ke kenapa aku berhenti MAI?”

Aku membaca mesej masuk dengan penuh hairan.

Kenapa? Kau nak aku tanya ke?” Aku bertanya lagak seorang lurus bendul.

Tak la. Aku pelik. Ko je setakat ni satu-satunya kawan aku yang tak tanya kenapa aku berhenti dan balik Malaysia.”

Aku tersenyum sumbing saat membaca mesejnya. Hakikatnya, hati aku melonjak-lonjak ingin tahu apa yang menyebabkan dia begitu nekad untuk berhenti dan pulang ke Malaysia.

Aku rasa sebelum kau buat keputusan ni, mesti kau dah ambil masa yang lama untuk fikir masak-masak dan nilai mana yang baik, mana yang buruk. Jadi tak perlu untuk aku persoalkan rasanya.”

Jujur. Itulah yang bermain-main di fikiranku sehingga aku membantutkan niatku untuk bertanya kenapa dia ingin berhenti dan pulang ke Malaysia. Aku bimbang persoalanku itu nanti seolah-olah meragui keputusan dan kewarasan mindanya.

“Bro, kau memang ‘rare’. Semua kawan-kawan baik aku, keluarga besar aku kecuali mak dan ayah aku mempersoalkan keputusan aku.”

“Aku memang ‘rare’.  Sebab tu kalau kau pergi pasar malam, kau takkan jumpa orang jual seketul macam aku. Sebab aku ‘rare’ dan satu-satunya Ashraf yang ada.”

Gila! Memang la kau tak de kat pasar malam. Apa kau ingat kau spesies ikan atau buah?”

Hahaha. Mati-mati aku ingat lawak aku hambar dan tak difahami, Rupa-rupanya masih ada insan di muka bumi yang memahami lawak aku yang tidak kelakar ini. Betullah orang kata. Lelaki yang suka menulis ni lelaki jenis jiwang, jadi yang jenis jiwang je la yang faham. Jiwang ke hakikatnya?

“So apa plan kau kat Malaysia lepas ni bro?”

Aku ingat nak sambung bahagian sastera atau yang sama waktu dengannya. Sebab aku nak serius dalam penulisan dan menghasilkan banyak buku untuk bacaan orang ramai.”

Bravo, bro. Nanti selitlah nama aku sikit dalam buku kau ye. Bukan apa. Aku sebenarnya gila glamour. Haha.”

Kau dah kenapa nak glamour? Nak jadi artis ke? Tak payah la. Muka kau macam muka samseng je. Confirm tak laku.”

Ishhh. Tak baik memfitnah. Bila aku famous nanti, orang akan follow Instagram aku. Jadi aku boleh la buat insta review. Masyuuukkk tu.”

Hahaha. Alasan kau mahu menangis kalau mak kau baca.”

Hoi. Nama mak aku jangan kau sentuh ok. Hahaha. Aku meloyar je. Nanti dah keluar buku, roger-roger la. Aku nak beli sebuah. Jangan lupa tandatangan ok!”

“Tak tahulah berjaya ke tak aku hasilkan buku. Macam angan-angan je.”

Tadi aku rasa semangat kau dah macam berapi-api. Kenapa tiba-tiba macam orang putus asa je?”

Entahla. Semua orang mempertikaikan kenapa ubah fikiran tak nak teruskan belajar engineering. Sampai aku rasa, keputusan aku sangatlah salah.”
 



Aku menggaru kepala yang gatal. Bingung. Aku tak tahu ayat apa yang paling terbaik yang perlu aku tulis untuk menenangkan hati sahabat aku ini. Ayat apa yang paling terbaik untuk memujuknya bahawa keputusan yang dibuatnya adalah yang terbaik.
 
Kau dah lama ke balik Malaysia? Kau tahu tak sekarang dah masuk musim apa?”aku membalas mesejnya dengan penuh soalan.
 
Sebenarnya dah seminggu aku balik. Tapi baru hari ini aku ada keberanian nak bagitau kau dan kawan-kawan aku yang lain. Sekarang masih autumn kan?”
 
Butiran-butiran salii gugur dari langit. Walaupun sudah tahun masuk ketiga aku di Rusia, keterujaan aku menyambut salji pertama tak pernah berkurang.
 
Hari ni dah turun snow. So winter is coming, bro.”
 
“Laaa. Dah winter ke? Tak sempat aku merasa. Ehhhh. Kejap! Apasal tiba-tiba kau cakap pasal musim dan cuaca dengan aku ni? Nak buat aku menyesal tak sempat rasa salji la tu kan.”
 
“Astaghfirullah bro. Tak baik fitnah hamba yang hina dina ini. Hehehe. Tak  ada la. Saja nak cakap yang musim dah berubah.”
 
“Ok, sorry. Ya la, musim sudah berubah.” Irfan seakan mengaku kalah dan kebuntuan idea membalas mesej aku.
 
“Bumi ini, apabila tiba masanya, dari musim luruh akan berubah ke musim sejuk. Tak semua orang suka musim sejuk dan tak kurang juga ramai yang menyukai musim sejuk. Tak lama lepas tu, musim sejuk akan berganti dengan musim bunga. Dan orang yang menyukai musim sejuk, akan membenci musim bunga.”
 
Masha Allah bro. Kau dah kenapa bermadah pasal musim pula dengan aku? Tegak bulu roma aku!”
 
Aku tergelak membaca mesej Irfan. Memang aku ingin membiarkan dia tertanya-tanya.
 
“Kalau bumi pon berubah musimnya, apatah lagi manusia. Manusia pon berubah-ubah fikiran dan pegangan. Dan tak semua akan setuju dan suka seperti mana orang yang akan membenci musim sejuk kerana musim luruh yang disukainya berlalu pergi. Jadi teruskan sahaja melangkah.”
 
5 minit…10 minit…15 minit… 30 minit berlalu.
 
Namun tiada mesej balas yang aku terima. Berkali-kali juga aku pastikan adakah mesej yang aku taip tadi telah dihantar. Berkali-kali juga aku membaca kembali mesejku sekira-kiranya ada silap di mana-mana.
 
Cuti musim panas telah kembali. Setelah sepuluh bulan aku meninggalkan tanah airku, kini aku kembali. Sewaktu aku masuk ke dalam kereta, mama menghulurkan sebuah buku kepadaku.
 
Nah, abang. Tadi mama pergi MPH. Mama tengok buku ni best seller bulan ni. Jadi mama belikan untuk abang. Abang kan suka baca buku bila cuti.”
 
Aku segera memeluk mama. Aku cium pipinya dengan penuh kasih sayang.
 
Terima kasih mama sebab sokong hobi abang.”
 
Walaupun sepupu-sepupu lelaki selalu mengejek aku seperti perempuan kerana membaca buku dan novel di waktu lapang, bukannya bermain game seperti mereka, mama dan ayah tidak pernah mempertikaikan hobi aku.
 
“Lelaki yang banyak membaca dan berilmu itulah lelaki yang memiliki minda paling kacak.” Bisik ayah kepada aku sewaktu aku menangis diejek sepupuku sewaktu kecil dulu.
 
Aku mengoyak plastic yang membaluti buku tersebut. Menghidu bau baru buku. Bau yang paling aku suka mengalahkan bau minyak wangi mana-mana jenama mahal.
 
Jutaan terima kasih kepada pihak penerbit yang sudi menerbitkan karya picisan ini,
Terima kasih kepada mak dan ayah yang sentiasa menyokong langkah kaki ini yang goyah,
Dan jutaan terima kasih buat sahabatku Ashraf bin Azmi,
 
Aku terpaku seketika. Wah, wujud juga manusia lain yang mempunyai nama seketul seperti aku.
 
Benarlah bumi pun tidak selamanya kekal begitu, ada waktu bumi akan berubah musim,
Begitu juga manusia yang sentiasa berubah-ubah,
kerana itu aku menulis karya ini kerana aku malu pada bumi.
Jika bumi pun berubah musimnya, takkan aku mahu terus berdiri kaku tidak berganjak.

p/s: aku dah tunaikan permintaan kau untuk selitkan nama kau. Mudah-mudahan kau glamour. :P
 
Aku pantas menutup buku yang aku pegang. Aku melihat kulit buku dan aku membaca nama penulis yang tertulis di situ.
 
IRFAN ALIFF.
 
Bukan setakat bibir tetapi hati aku turut tersenyum gembira.


Read more

KETEGUHAN DALAM KEGOYAHAN

0 comments
Cerita hidup kita, mahupun cerita hidup mereka,
Ada pelbagai ranjau dan pelangi yang ditemui,
Tapi novel hidup orang, kita selalu tatap dengan penuh menarik,
Novel hidup kita entah dicampak hilang ke mana,
Sampai lupa bahawa watak kita dalam novel sendiri bagaikan kaku tak bernyawa.

Bila anak saya kata nak jadi doctor, benda pertama yang saya tengok adalah biliknya dan almarinya.”

Hairan. Apa kaitan cita-cita menjadi doctor dengan bilik dan almari. Jujur aku bingung dengan kenyataan  cikgu sains jemputan sekolah itu.

Bila saya tengok je bilik dan almari dia, saya kata: “kakak,I think doctor is not the best choice for you.””

Wahai cikgu, sesungguhnya saya memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Aku terus merenung mata cikgu tersebut dengan harapan, cikgu akan menyambung kata-katanya lagi.

“Awak tahu kenapa saya cakap macam tu pada anak saya?”

Semua menggeleng laju. Hebat gaya penghantaran cerita cikgu ini. Semua memberi focus dan seakan-akan tertanya-tanya dengan kesudahan ceritanya.

“Sebab bilik dan almari anak saya bersepah-sepah. Bagi saya, orang yang ingin mendalami bidang Sains memerlukan pemikiran yang tersusun dan strategik.”

“Ooooo.” Semua mengangguk seakan faham. Ada yang mengangguk seakan bersetuju dengan pandangan cikgu tersebut.

Kecuali aku. Aku tunduk ke bawah, kakiku cuba menguis-nguis permaidani yang dipasang di dewan itu. Hakikatnya aku kecewa.

Sejak sekolah rendah lagi, setiap kali cikgu-cikgu mengajukan soalan mengenai cita-cita, aku dengan yakinnya menyebut doktor atau cikgu. Tapi jika benar bidang Sains memerlukan orang yang kemas, aku adalah orang paling terakhir yang layak untuk bidang ini.

Almari aku bersepah. Baju asalkan terlipat dan tergantung seperti sepatutnya. Walaupun ada waktu aku kagum dengan junior locker sebelah aku yang menyangkut baju-bajunya mengikut warna, menyusun lipat setiap helaian baju mengikut saiz yang sama.

Aku cuba untuk jadi seperti itu. Malangnya seminggu pun aku rasa tidak berjaya. Patutlah mama selalu mengatakan bahawa dia keliru melihat anaknya ini berjantina perempuan tetapi berperangai seperti jantan.

“Kakak dah isi borang biasiswa?”

“Tak lagi. Tak tahu nak pilih MARA ke JPA.”

“Ayah rasa, better JPA. Akak fikirlah yang mana paling terbaik untuk akak. Nak minta bidang apa?”

“Medic.” Aku tenung muka ayah. Menjangkakan akan timbul persoalan, mengapa bidang perubatan yang aku pilih.

“Ok. Good. Moga tercapai cita-cita akak.” Ayah senyum melihatku dan aku pula terang-terang mempamerkan muka keliru.

Hakikatnya, aku tidak percaya itu respond ayah. Aku mengharapkan ayah akan bertanya panjang mengenai cita-citaku ini. Namun, ayah hanya memberi sokongan padu tanpa berbelah bagi.

Sebenarnya, aku mengharapkan ayah mempersoalkan cita-citaku supaya aku goyah dengan keputusan aku ini. Aku sendiri tidak yakin dengan diriku sendiri yang gila ini mahu menjadi seorang doctor satu hari nanti. Malu. Malu bilamana ayah lagi yakin dengan cita-citaku berbanding diriku sendiri.



    

“Ya Allah, ma!”

Aku yang seronok menonton cerita Korea di atas katil, segera memandang abangku yang menjerit memanggil mama di muka pintu bilikku.

“Kenapa?” Mama dengan segeranya datang seperti mana Superman terbang segera apabila mendengar jeritan memohon pertolongan.

“Entah abang. Kenapa?” Aku tak tahu kenapa abangku mengada-ngada menjerit memanggil mama. Abang sememangnya suka berdrama tapi mungkin sebab rupa paras yang tidak berapa kacak makanya abang tidak sesuai untuk menjadi pelakon.

“Mama, tengok bilik kakak ni. Macam tongkang pecah.”

“Biasalah tu abang. Mama tak larat nak berleter dah. Kalau mulut mama ni ada pasang skrew, dah lama skrew tu longgar dan tercabut.”

“Kenapa? Akak tengok bilik ni okey je.” Aku melihat setiap penjuru bilikku. Kosong rasanya. Hanya ada katil, almari dan meja.

“Cubalah hias susun macam bilik anak perempuan. Ini kosong je mama tengok. Kalau tetamu datang dan tak buka almari baju, confirm dia tak tahu ni bilik abang ke bilik kakak.”

“Patutlah kakak boleh ambil medic. Hidup pon bersepah.” Sambung abang aku. Mulutnya celupar betul. Kalau boleh aku cilikan, dah lama aku buat.

“Apa kaitan pula medic dengan bilik aku?” soalku dengan penuh rasa tak puas hati.

“Ye la. Kau boleh focus seratus peratus untuk belajar medic semata-mata. Tak susah-susah bazir masa nak mengemas. Budak medic kan selalu tak cukup masa. Nanti bila kau dah kerja, kau balik on call penat-penat pon kau mampu tidur lena walaupun ada selonggok lagi baju kau yang tak dilipat.”

“Dah. Tak payah membebel macam mak nenek. Sekarang keluar dari bilik kakak.” Aku menolak abangku keluar dan menutup pintu.

Dulu waktu sekolah, cikgu kata orang yang nak belajar bidang perubatan perlukan orang yang kemas dan tersusun. Hari ini, abangku pula dengan falsafahnya bahawa orang yang bersepah macam aku hakikatnya sangat sesuai untuk berada dalam bidang perubatan.




Oh, iye. Aku kini di tahun akhir bidang perubatan. Aku sememangnya anak nombor dua yang terkenal dengan kedegilannya yang tak boleh digoyah. Aku tetap dengan kedegilan untuk memilih bidang perubatan walaupun aku sedikit goyah selepas mendengar kata-kata Cikgu Sains tersebut dulu.

Sampai kini aku tetap juga tiada keyakinan seratus peratus pada diri aku sendiri. Bila gagal ujian dalam kelas, aku akan pulang termenung di atas katil, apakah medik ini adalah keputusan terbaik yang aku buat. Kemudian aku tertidur dan bangun seakan tidak pernah ada penyesalan.

Bila mana aku melihat kawan-kawanku dengan pantasnya mengingati segala fakta Sains, otak aku pula menjerit memohon oksigen dan bantuan kerana aku lemah dalam menghafal dan cepat dalam mengira. Sedangkan bidang perubatan memerlukan otak fakta dan bukannya otak mengira. Dan untuk kali keberapa aku mepersoalkan diri sendiri kenapa aku menolak tawaran ke Maktab Perguruan dalam bidang matematik.

Aku mungkin sentiasa keliru, sentiasa mempersoalkan akan kebolehan sendiri, namun aku sentiasa berdoa pada Tuhan, semoga terus diberi kekuatan untuk berjuang dan pulang berkhidmat pada masyarakat suatu hari nanti. Doakan aku dan kawan-kawan di tahun akhir bidang perubatan ini.

DAN ANDA? TERUSKAN DENGAN CITA-CITA ANDA WALAUPUN PELBAGAI KERAGUAN DATANG MENGGOYAHKAN KETEGUHAN ANDA. :)




JANGAN SENTIASA MENAGIH KEPERCAYAAN ORANG LAIN AKAN KEBOLEHAN DIRI KITA, JIKA KITA SENDIRI RASA GOYAH. HAKIKATNYA KITA AKAN SENTIASA TIDAK PERCAYA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI SEHINGGA KITA BERJAYA MELAKUKANNYA.


Read more

FIQH LUAR NEGARA (PART #1)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan Bismillahirrahmanirrahim.



Pertama sekali, kami dari AZAM Russia ingin mengucapkan selamat datang kepada para pelajar Medik yang baru tiba di Bumi Cinta Russia.

Kenapa “Bumi Cinta”? Stay tuned, keep reading and we will figure out together why 😊

InsyaAllah kali ini AZAM Russia akan berkongsi serba sedikit mengenai Fiqh Luar Negara (FLN) dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang pelajar yang menyambungkan pelajaran ke Russia ini.

“Macam mana saya nak solat dengan jangka waktu day-time yang singkat musim winter nanti?”
“Apa saya nak makan dekat sini kalau takde bekalan product halal?”
“Boleh ke ikut pendapat mazhab lain?”
“Macam mana saya nak berwudhu’ kalau tak dibenarkan menggunakan sinki untuk basuh kaki?”
“Seluar saya terkena anjing tadi, apa saya patut buat?”
“Macam mana puasa masa musim summer nanti? Kena puasa 20 jam ke?”

InsyaAllah melalui post dari kami kali ini, kami akan cuba untuk menjelaskan persoalan-persoalan seperti ini.

PART 1: KELAPANGAN DAN KELUASAN HUKUM ISLAM
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: ‘orang-orang Islam’ semenjak dahulu dan menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
Oleh itu, dirikanlah solat dan berikanlah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dia lah pelindung kamu. Maka Dia lah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”
[Al-Hajj (22);78]

Islam merupakan agama yang tidak pernah membebankan para pengikutNya. Islam itu sangat mudah untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian kita.

Walaupun kita sekarang berada jauh dari negara kelahiran kita (Malaysia) dan para Muslim dari negara Russia mempunyai perbezaan pendapat dari kita adalah kerana perbezaan mazhab dan kenyataan ini sama sekali tidak memberi kita A BIG PROBLEM insyaAllah.

Oleh kerana kita mempunyai perbezaan pendapat, kita haruslah saling menghormati perbezaan pandangan mazhab yang lain. Ini kerana Allah tidak membenarkan kita untuk taksub dengan pandangan sendiri sahaja.
“Macam mana boleh ada perbezaan mazhab ni?”

Hal ini adalah kerana 4 mazhab yang kita kenali ini dikeluarkan mengikut kesesuaian mengamalkan fiqh seharian mengikut lokaliti dan persekitaran.

Oleh itu, terdapat beberapa prinsip yang kita boleh amalkan bagi menerima keluasan fiqh atau pendapat mazhab lain:
1.      Melihat suasana atau persekitaran semasa bagi mengelakkan fitnah.
2.      Melihat pandangan imam mazhab yang lain dan bukan taksub pada hanya satu mazhab sahaja.
3.      Bagi kemudahan atau keringanan (rukhsah) kita sebagai umat Islam untuk mengerjakan ibadah seharian.
4.      Darurat.
5.      Tidak mengikut hawa nafsu.

PART 2: BERSUCI/WUDHU’
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu, dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia ingin membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, supaya kamu bersyukur.”
[QS 5:6]

“Solat tanpa wudhu’ tidak diterima.”
[HR Muslim]


Masalah utama yang sering dihadapi kita sebagai pelajar Muslim di Russia (be it in Moscow, Volgograd, Nizhny Novgorad, Kursk mahupun St Petersburg) adalah cara untuk berwudhu’ di tempat awam seperti kampus universiti, shopping mall.

Rakyat Russia sangat sensitive mengenai bab membasahkan lantai di tandas.

Lagi tak dapat masuk akal fikiran mereka adalah apabila melihat kita terkial-kial gigih mengangkat kaki ke sinki bagi menyempurnakan wudhu’ kita.

Jadi, apa solusi yang kita boleh buat?

KHUF:

Hadis Rasululllah saw yang telah diriwayatkan oleh Jarir b Abdullah al-Bajili, katanya: Rasulullah s.a.w mengambil wudhu’ setelah menunaikan qada’ hajat. Baginda telah berwudhu’ dan kemudiannya menyapu kedua khuf (yang dipakai oleh) Baginda.
[Sahih Bukhari, Nombor 1478; Sahih Muslim, nombor 272]

Syarat memakai khuf:
1.      Hanya selepas setelah mengambil wudhu’ yang sempurna
2.      Hendaklah menutupi kaki sehingga paras buku lali.
3.      Hendaklah menghalang air dari menembusinya.
4.      Hendaklah diperbuat daripada kulit yang suci dan telah melalui proses penyucian.

Tempoh menyapu khuf:
1.      Musafir: 3 hari 3 malam
2.      Mukim: 1 hari 1 malam (24 jam)

Perkara yang membatalkan khuf:
1.      Jika si pemakainya membuka khuf.
2.      Habis tempoh penyapuan
3.      Hadas besar

“Boleh ke stoking menggantikan khuf?”
·         Hukum: HARUS = stoking itu diperbuat daripada kulit dan menutupi buku lali.
·         Sekiranya stoking itu daripada bulu/kapas:
o   Abu Hanifah dan segelintir golongan Hanafiyyah, golongan bermazhab Maliki dan majoriti golongan bermazhab Syafie. Golongan ini tidak membenarkan seseorang memakai stoking biasa menyapu stokingnya sebagai ganti basuh kaki semasa berwudhu’ kerana stoking yang tidak diperbuat daripada kulit tidak dipanggil khuf dan tiada ketahanan dibawa berjalan dan tidak telus air.
o   Golongan yang mengHARUSkan:
§  Sebahagian mazhab Syafie, tetapi dengan syarat stoking itu perlu tebal dan boleh dibawa berjalan jauh dan perlu menutupi buku lali.
§  Mazhab Hanbali dan sebahagian mazhab Hanafi. Mereka mengharuskan perbuatan menyapu ke atas stoking seperti kehausan menyapu ke atas khuf.
o   Dr Wahbah al-Zuhaili (seorang ulama bermazhab Syafie kontemporari) memilih pendapat golongan yang mengharuskan stoking tebal sebagai pengganti khuf sebagai pendapat yang kuat berbanding pendapat pertama)

Cara-cara penyapuan khuf:
Ø  Bahagian yang perlu disapu air adalah pada bahagian atasnya.
Ø  Sapuan cukup dengan tangan atau tisu yang lembab.
Ø  Tidak perlu membasuh kasut dengan air.
Ø  Ali bin Abi Talib menerangkan: “Sekiranya agamaitu menururt fikiran logic sudah tentu tapak kasut lebih patut disapu daripada bahagian atasnya. (Akan tetapi) saya melihat Rasulullah menyapu bahagian atas kasutnya.” (Sahih Sunan Abu Daud, no 162)

PART 3: SOLAT JAMAK. QASAR (PENDEK) ATAU TAMAM (PENUH)?
Bahawa Rasulullah s.a.w sewaktu perang Tabuk, selalu menjamak sembahyang Zohor dengan Asar (jamak taqdim) bila berangkat sesudah tergelincir matahari (setelah masuk waktu Zohor), tetapi apabila berangkatnya sebelum matahari tergelincir (sebelum waktu Zohor) maka sembahyang Zohor diundurkan Baginda, dan dihimpunnya sekali dengan Asar (jamak ta’khir). Begitu pula dalam sembahyang Maghrib, iaitu sekiranya baginda berangkat sesudah matahari terbenam (telah masuk waktu Maghrib), dijamaknya Maghrib dengan Isyak (jamak taqdim). Tetapi kalau berangkatnya itu sebelum matahari terbenam, diundurkannya Maghrib itu sampai waktu Isyak dan dijamaknya dengan sembahyang Isyak (jamak ta’khir).
[Hadis Riwayat Imam Abu Dawud]
“Apakah sebab yang membolehkan kita untuk melaksanakan jamak?”

Ø  Jamak sebab hujan:
a.      Hanya dapat dilakukan oleh Jemaah yang solat di masjid SAHAJA.
b.      Jamak taqdim SAHAJA.
c.       Hujan tidak berhenti sehingga Jemaah selesai solat.
d.      Hujan lebat.
Ø  Jamak sebab sakit:
a.      Imam Ahmad berpendapat HARUS bagi individu yang sakit tenat dan berat menjamakkan solat supaya tidak dibebani dengan menantikan waktu solat dan agar mereka dapat berehat.
Ø  Jamak sebab hajat atau sebab darurat:
a.      Syarat-syarat:
                                                              i.      Tidak dijadikan kebiasaan atau adat.
                                                             ii.      Hajat itu benar-benar mendesak.
                                                           iii.      Tidak dijadikan alat bagi mempermain-mainkan agama dan muslihat bagi mereka yang malas mengerjakan solat.

Sebagai pelajar di negara non-Muslim dan mempunyai kekangan dalam hendak kita mendirikan solat di pertengahan gap class, kita boleh mengamalkan jamak atas sebab yang ke #3: DARURAT.
Masalah terlepas waktu solat akan menjadi satu benda yang norma tambah lagi apabila musim sejuk nanti bilamana jangka masa waktu Zohor dan Asar yang sangat pendek.
Allah itu lagi Maha Mengetahui keadaan seorang hambaNya, insyaAllah kita boleh menjamakkan solat yang tertinggal seperti yang dinyatakan didalam hadis yang telah dipetik.
Ø  Zohor + Asar
Ø  Maghrib + Isyak

TETAPI bagi atas sebab darurat ini, solat jamak yang dilakukan haruslah jamak tamam (penuh).

Bilamana bilangan rakaat yang dilakukan bagi setiap solat adalah penuh dan tidak diqasarkan (dipendekkan).

KENAPA?

Syarat qasar solat jamak:
·         Mempunyai jarak tertentu kerana bermusafir. Tiada jarak khusus yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.
o   Mazhab Hanafi: 3 malam iaitu lebih kurang 125km.
o   Mazhab Maliki, Hanbali: 2 marhalah (80km)
o   Mazhab Syafie: 2 marhalah (96km)

Tempoh boleh mengqasarkan solat:
·         Tiada tempoh khusus yang ditetapkan.
o   Mazhab Hanafi: kurang daripada 15 hari
o   Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali: berniat menetap di sesuatu tempat kurang daripada 4 hari tidak termasuk hari tiba dan keluar.
o   Bagi mereka ayng tidak menetapkan tempoh: jumhur sepakat harus melakukan qasar sepanjang tempoh tersebut.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Stay tuned untuk bahagian ke #2 Fiqh Luar Negara dari AZAM Russia 😊


Read more

Hari Tasu'a & Asyura (10 Muharam)

0 comments


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Dari Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Asyura' merupakan hari kesepuluh dalam bulan Muharam dan ia merupakan satu tarikh yang bersejarah dan mulia.

Ibnu Abbas berkata: “Nabi tiba di Madinah dan dia mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa A’syuro. Nabi bertanya: “Puasa apa ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah telah menyelamatkan Bani Israil dari kejaran musuhnya, maka Musa berpuasa sebagai rasa syukurnya kepada Allah. Dan kami-pun ikut berpuasa. Nabi berkata: “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kalian”. Akhirnya Nabi berpuasa dan memerintahkan manusia untuk berpuasa.

Pada zaman Nabi saw dahulu, sejarah puasa Asyura telah melalui sebanyak empat fasa.


Fasa pertama: Baginda berpuasa di Mekkah dan tidak memerintahkan manusia untuk berpuasa. Saiditina Aisyah ra menuturkan: “Dahulu orang Quraisy berpuasa A’syura pada masa jahiliyyah. Dan Nabi pun berpuasa ‘Asyura pada masa jahiliyyah. Tatkala beliau hijrah ke Madinah, beliau tetap puasa ‘Asyura dan memerintahkan manusia juga untuk berpuasa. Ketika puasa Ramadhan telah diwajibkan, beliau berkata: “Bagi yang hendak puasa silakan, bagi yang tidak puasa, juga tidak mengapa”.
Fasa kedua: Semasa beliau datang di Madinah dan mengetahui bahawa orang Yahudi puasa ‘Asyura, beliau juga berpuasa dan memerintahkan manusia agar puasa. Bahkan Rasulullah menguatkan perintahnya dan sangat menganjurkan sekali, sampai-sampai para sahabat melatih anak-anak mereka untuk puasa ‘Asyura.
Fasa ketiga: Setelah diturunkannya kewajiban puasa Ramadhan, beliau tidak lagi memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa A’syura, dan juga tidak melarang, dan membiarkan perkaranya menjadi sunnah sebagaimana hadits Aisyah ra yang telah lalu.
Fasa keempat: Pada akhir hayatnya, Nabi saw bertekad untuk tidak hanya puasa pada hari A’syura saja, namun juga menyertakan hari tanggal 9 Muharam agar berbeza dengan puasanya orang Yahudi.
Jadi, apakah keutamaan Puasa Asyura ini?
Rasulullah saw bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Puasa ‘Asyura aku memohon kepada Allah agar dapat menghapus dosa setahun yang lalu.
Seperti yang disebut di atas, antara hikmah paling besar sempena Puasa Asyura ini ialah penghapusan dosa kita setahun yang lalu.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa (dosa kecil) setahun yang lalu. 
Bagi yang tidak berkesempatan puasa Tasu'a (9hb Muharam bersamaan hari Jumaat 29hb September), masih lagi berpeluang melaksanakan puasa Asyura pada keesokan hari (10hb Muharam bersamaan hari Sabtu 30hb September).

Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura, jika berkemampuan, berpuasa tiga hari atau dua hari atau paling tidak sehari iaitu pada 10hb Muharam. Semoga ia menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Moga Allah berkati setiap amalan kita, insyaAllah :)



Read more

CHECKLIST KE RUSSIA

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk sampai ke hari ini dengan nikmat iman dan akan memulakan sesi akademi 2017/2018. Ada yang akan menyambung pelajaran di Russia, dan ada juga yang BAKAL memulakan pembelajaran di Russia.
InsyaAllah kali ini kita akan buat checklist senarai “things-to-bring/do” untuk membantu adik-adik kita yang akan terbang merentasi benua menuju tanah Soviet – Russia. Barangkali, tulisan penulis agak terhad kerana bersandar pada pengalaman individual, maka kami mengalu-alukan anda – para pembaca untuk menambah/menolak/mencadangkan/membangkang mana yang perlu.
Things-to-do / things-to-bring
1. Pakaian.
- kuantiti : bergantung kepada individu seperti adakah anda cepat merasa bosan dengan baju yang sama (jika ya, bawa lebih), adakah anda malas untuk basuh baju atau hantar ke dobi (jika ya, bawa lebih) dan faktor-faktor lain
- jenis-jenis pakaian : pakaian untuk keluar/ke kelas, pakaian formal/kebangsaan untuk majlis-majlis rasmi, pakaian indoor/duduk di rumah (buat tidur, buat memasak), pakaian musim sejuk (pakaian untuk menghadapi cuaca extreme digalakkan untuk beli di russia sahaja. ketika fly, bawa yang simple-simple sahaja dan long john / thermal wear)
- shopping pakaian : boleh dibeli pada bila-bila masa. di russia juga terdapat ‘discount centers’ yang menawarkan barangan-barangan seperti Nike, Reebok, Adidas etc pada harga berpatutan. selain itu, lazimnya, barang-barang dijual dengan potongan harga pada winter sale yang bermula lebih kurang pada bulan disember.
- ciri-ciri pakaian : menutup aurat, tidak ketat, tidak singkat, tidak jarang. dengan mematuhi garis panduan pemakaian islami, anda boleh solat di mana-mana ceruk russia (terutamanya ketika kelas dan ketika keluar jalan-jalan atau shopping) tanpa memerlukan pakaian solat anda seperti telekung. anda hanya perlu ambil wuduk/tayamum, menghadap kiblat dan ya, SOLAT! (:
2. Dokumentasi
- gambar : sebahagian penaja ada menggariskan berpuluh-puluh keping gambar saiz pasport non-glossy. kedengaran agak tak munasabah. tapi, insyaAllah dengan bekalan gambar sebanyak itu, anda boleh berurusan dengan pihak-pihak berkaitan (seperti pejabat dekan dsb) untuk beberapa tahun tanpa perlu mengambil gambar baru! non-glossy diperlukan kerana kertasnya lebih kesat dan sebarang cop yang ditempek di atas gambar tidak mudah tertanggal.
surat sijil segala bagai : memandangkan setiap tahun, polisinya dan keadaannya berbeza-beza, penulis tidak berani untuk menulis tentang hal ini. penulis menasihatkan bakal-bakal pelajar untuk merujuk sendiri kepada pegawai penaja/ejen anda.
nostrification (a process of granting recognition to a degree from a foreign university) : selalunya, untuk bakal-bakal pelajar baru, pihak penaja / ejen ada turut terlibat dalam menyelesaikan urusan ini. anda boleh bertanya mereka tentang progress nostrification anda. untuk pelajar-pelajar di Sechenov’s First Moscow State Medical Universty, anda boleh melayari website persatuan pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut.(klik sini)
3. Urusan bank (pengalaman penulis terhad pada penggunaan Maybank)
akaun bank : rujuk penaja anda berkenaan akaun bank di russia. lazimnya, untuk pelajar MARA, elaun akan di-bank-in ke dalam akaun Maybank. di russia, anda boleh mengeluarkan duit menggunakan kad ATM maybank anda.
kad ATM maybank : untuk mengeluarkan wang anda di mana-mana mesin ATM di luar negara (baik di russia, germany, egypt dsb) kad ATM maybank anda perlulah diactivekan. (1) pergi ke mana-mana mesin ATM maybank di MALAYSIA. (2) pada screen, tekan other options sehingga anda bertemu menu  <PLUS activation> (3) aktifkan, dan kad bank anda sedia digunakan di mana-mana mesin ATM di seluruh dunia! selamat berjimat :)
maybank2u : khidmat ini membolehkan anda melakukan urusan bank secara online seperti melihat baki dalam akaun anda, elaun sudah masuk belum dan memindahkan wang ke akaun lain. untuk tujuan ini, penulis secara peribadi lebih prefer untuk pergi ke mana-mana cawangan maybank dan berjumpa dengan pegawai untuk mengaktifkan khidmat ini yang melibatkan signing up as first time user, pendaftaran nombor telefon dan request TAC.
4. Ubat-ubatan & kesihatan
- sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit kronik seperti asma, migraine, alahan dan lain-lain; rujuk doktor anda untuk mendapatkan ‘nasihat terakhir’ sebelum berlepas. dapatkan bekalan ubatan sebelum berlepas ke rusia. Pastikan anda tahu ubat-ubat yang diberi oleh doctor agar mudah untuk anda membelinya di Russia nanti.
- elakkan jatuh sakit di rusia.
5. Peralatan elektrik
- periuk nasi elektrik adalah antara perkara penting untuk dibawa. untuk memudahkan, anda boleh berpakat dgn beberapa orang kawan untuk share periuk di sana nanti
- adapter (penting & sangat bernilai)! di sana, plugnya 2 pin, manakala barang-barang elektrik dari malaysia (periuk nasi, laptop, charger, hairdryer) adalah 3 pin. anda tak perlu bersusah payah membeli adapter yang fancy-fancy harga puluh-puluh ringgit. cukuplah yang simple-simple. [pengalaman terakhir penulis membeli adapter adalah di mydin. penulis beli banyak-banyak terus :) ]
6. Makanan
- keperluan makanan dari malaysia adalah berbeza mengikut selera anda dan kepakaran anda memasak (lazimnya, waktu awal-awal fly ramai orang akan membawa perencah nasi goreng dan brahim’s.. tapi lama kelamaan, bila makin terel memasak, dah tak bawak perencah nasi goreng.)
- berikut adalah antara makanan-makanan yang mungkin sedikit sebanyak membantu anda untuk memilih makanan yang akan dibawa ke sana nanti
  • -perencah nasi goreng (sesuai untuk beginner dalam bidang masakan, sesuai untuk dimasak ketika masa-masa kecemasan seperti ketika musim sibuk exam)
  • -brahim’s (seperti di atas)
  • -ikan bilis (seperti di atas)
  • -megi (seperti di atas, dan juga kerana megi malaysia berganda jauh lebih sedap dari di russia)
  • -santan serbuk (bersifat lebih ringan berbanding santan cecair. sangat sesuai digunakan ketika merindui masakan malaysia yang berlemak seperti kari, kurma, nasi lemak, rendang dsb.. jika santan habis, anda boleh menggantikan dengan susu yang banyak terdapat di rusia)
  • -serbuk cili / cili kering (untuk memedaskan masakan, sangat perlu untuk membuat sambal)
  • -serbuk rempah seperti rempah kari, kurma, sup etc (tak perlu bawa banyak-banyak. lazimnya, memang susah nak habis kalau bawa 1 paket besar. digalakkan untuk share bersama kawan-kawan)
  • perencah tomyam
  • -asam jawa / asam keping (di rusia tiada)
  • -condiments spt kicap & sos cili (di rusia, sukar dijumpai dan tak sesedap malaysia. untuk sos cili, boleh cari yang dijual dalam plastik dan untuk kicap, boleh ditransfer ke dalam botol plastik. ini dapat mengurangkan berat luggage)
  • -bahan-bahan basah yang dirasakan perlu bergantung pada keperluan, kepakaran dan kehendak individu. yang sukar dijumpai di rusia adalah cili api, daun kari, daun pandan, daun limau purut, serai. (untuk bahan basah ini, pastikan semuanya tidak lembap, disimpan dalam bungkusan yang kemas dan sebaik tiba di hostel di rusia nanti, segera simpan dalam ruang beku peti sejuk untuk memastikan tahan lama)
  • -lain-lain seperti belacan, tepung goreng KFC, ajinomoto dan sebagainya
- jangan risau jika anda belum mahir memasak. insyaAllah di rusia, anda ada banyak peluang untuk try & error. :)
- jangan risau andai anda merasakan makanan yang anda bawa tidak cukup. bergembiralah dengan yang sedikit. allah itu ar-razzaq.

7. Alatan pembelajaran
- sebagai permulaan, anda digalakka membawa alat-alat tulis yang asas. sediakan juga buku-buku catatan..
- buku teks akan disediakan oleh pihak universiti

8. Alatan mandian & kekemasan diri
- Bawa set kekemasan diri untuk tempoh setahun misalnya pomade, wax, pencuci muka dll
- Lotion pelembap, sunblock, deodorant boleh dibeli di Russia

9. Keperluan beribadah
- ini adalah antara keperluan yang perlu untuk merantau jauh ke tempat orang. di rusia, tiada ibu bapa, ustaz-ustaz atau guru agama. yang ada hanyalah sesama kita. jadi persiapkan diri kita dalam kesemua aspek untuk menjadi Muslim 24-7.
  • al-quran beserta terjemahan. mengapa perlu terjemahan? agar anda dapat memahami isi kandungan al-quran itu. lebih molek, jika al-quran itu bersaiz mini. mudah dan ringan dibaca di mana-mana seperti ketika commuting ke kelas-kelas. al-quran terjemahan yang bersaiz mini kini terdapat banyak di pasaran dengan beraneka macam design :)
  • buku zikir amalan harian. lazimnya, adalah ma’thurat. buku2 islami yang lain.
  • sejadah.
  • pakaian berkaitan. selain pakaian berkaitan seperti telekung, kopiah, kain pelikat; pastikan pakaian harian anda menepati ciri-ciri yang membolehkannya untuk dibawa solat.
  • kompas penunjuk kiblat
  • soft copy / apps – lengkapi laptop, mobile phone & gadget-gadget anda dengan apps berkaitan seperti islamic finder (waktu solat & azan), penunjuk kiblat, senarai Emulsifier yang haram, e-books buku-buku islami, mp3 al-quran + lagu-lagu kerohanian dan sebagainya

9. Kesediaan minda & jiwa
- berdoa agar Allah memberkati jalan hidup anda ini dan sentiasa menetapkan diri kita dalam keimanan
- set-kan dalam minda dan jiwa anda – kenapa aku ke russia? innamal ‘amalu bin niyat..
- mantapkan pengetahuan anda tentang islam sedalam mungkin sebelum ke sana. juga, anda boleh mengambil peluang ini untuk belajar lebih dalam tentang keindahan, praktikaliti dan fleksibiliti islam seperti ketika bagaimana untuk solat ketika bermusafir, ketika dalam kapal terbang, ketika musim sejuk dan sebagainya.
- hubungi teman-teman & saudara-mara. minta mereka doakan pemergian anda.
- dalami adab-adab bermusafir. antaranya, solat sunat musafir ketika dalam perjalanan
- dan, expect the unexpected.. ada banyak perkara yang Allah takdirkan untuk kita di russia nanti! ;)
‘Allahu’alam.. Harap membantu.. 


Read more