• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

Cinta Yang Sempurna!

1 comments


Assalamualaikum wbt.

Salam satu cinta, Allahu Ahad !

Cinta sinonimnya indah belaka,
Bila bicara  tentang cinta,
Mencari yang sempurna,
Wujudkah ia?
Mana cinta sempurna?
Lantas..
Manusia itu menjadi  terleka,
Dalam lena, khayalan semata,
Lupa bahawa cinta dunia hanya sementara,
Pasti di hujung hari hilangnya jua,
Sempurna entah ke mana.

Jasad bernyawa yang bernama manusia itu….
Sering kali menuturkan,
Cinta kepada insan,
Hingga lupa cinta hakiki,
Hak Ilahi. Allahurabbi !
Betapa manusia ini sering karam,
Tanpa segan,
Dalam lautan bisikan syaitan!

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak,  kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang- binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Al-Imran: 3)

Manusia itu juga lupa,
Bahawa 1400 tahun lalu,
Ada insan mulia membawa risalah suci,
Menyampaikan cinta sejati,
Cukup sempurna,
Hinggakan disaat menemui Penciptanya,
Masih setia mencinta,
Dengan  sempurna.
 ‘’ummati ummati ummati’’
Betapa cintanya Baginda kepada kita,
Namun, kita, kini,
Sudah menjadi lupa, alpa,
Keindahan serta kesetiaan cinta Baginda terhadap kita,
Kita lupa pada segala-galanya…..

Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai kerana Allah, ikutilah aku,nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Al-Imran: 31)

Kerana di hati bukan lagi cinta sejati,
Tidak sesempurna yang diingini,
Ianya cinta penuh dusta,
Diakhiri dengan dosa, noda,
Tanpa ingatan pada Si Pencipta,
Tanpa cinta pada yang Haknya,
Ianya langsung tidak sempurna,
Tidak akan dan tidak pernah menemui sempurnanya,
Namun hati itu tidak pernah terjaga,
Dari lena yang menghancurkan jiwa!

Bangkitlah jiwa-jiwa muda,
Jangan mudah terpedaya,
Jangan mengejar keindahan sementara,
Cinta yang tak membawa ke mana,
Dalam dakapan dunia yang fana,
Ayuh, bangun dari lena,
Terus mengejar cinta yang satu,
Cinta yang setia hingga ke akhirnya,
Cinta Ilahi semata-mata,
Penuh, lengkap sempurna nya.

Dia yang sentiasa ada,
Sentiasa dekat,
Bahkan lebih dekat dari urat leher sendiri,
Tidakkah kamu merasa?
Butakah kita pada cinta yang setia ini?
Hingga saat Hari Kebangkitan,
Apabila bumi digoncang !
Indahnya cinta,
Cinta yang sempurna itu,
Yang kekal. Hanya Satu.
Allahu Ahad!

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” (Qaaf: 16)

Lupakah kita pada Bilal,
Bagaimana pula Sumayyah?
Lupakah kita?
Biarpun diseksa,
Biarpun merana,
Namun kerana indahnya Cinta itu,
Kerana yang dikejar bukan kesempunaan dunia,
Yang dicari hanya cinta Ilahi,
Ar Rahman Ar Rahim,
Bersama  kesempurnaan,
Dia tidak pernah lupa pada Allah yang Satu,
Yang menghadirkan rasa itu,
Cukup sempurna.



Imam Ibnu Qayyim berkata: “Tidak ada kebahagiaan, kelezatan, kenikmatan, dan kebaikan bagi hati manusia kecuali (setelah) dia menjadikan Allah (sebagai) sembahannya satu-satunya, puncak dari tujuannya dan Zat yang paling dicintainya melebihi segala sesuatu (yang ada di dunia ini)


Ayuh ! Kembali mencari cinta yang sempurna!


Read more

PERTANDINGAN TRAVELOGUE '14: KATEGORI CERPEN - TULIP

3 comments

140107
Hari ini, genap dua minggu aku berkelana, mengintai ibrah di bumi cinta. Cuma satu bandar berbaki untuk disinggahi. Selepas itu, aku harus segera kembali, berpijak nyata di alam realiti, ada ujian duniawi sedang menanti.

Usai solat subuh, kurenung ramalan cuaca di kaca telefon. Renyah menghenyak ke benak. Aku capai buku merah pengenalan diri. Lama kuperhati cebisan ayat suci di muka belakang, suatu ketika dahulu aku kepilkan. Cuba memaknai.

“Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah” [Al Imran:159]

Senyumku merona. Pembangkit semangat yang layu awalnya. Lantas pantas aku bersiap, teruja memulai kembara di hari istimewa. Ya, terlalu istimewa. Walau jauh di mata, susuk itu tak mungkin kulupa. Kerna mustahil untuk berjumpa, kukirim doa agar senantiasa berada dalam keredhaanNya.

Deruan angin ganas menyapa tatkala pintu rumah dibuka. Meski jasad menggigil hebat, niat ditajdid, peta bandar erat didakap. Kami gagahi langkah yang memberat, menuju destinasi, mencari cinta abadi. Sepanjang perjalanan menuju perhentian bas, tidak banyak lafaz terungkap, hanya nafas kedengaran mencungap. Sesekali angguk dan geleng mengambil tempat, mengganti tutur yang jelasnya tidak.

Ketika bas mula bergerak, mentari masih bermalasan di balik mega berbalam kemerahan. Kekelaman alam buat aku tidak keruan, lantaran terbatasnya horizon pengamatan. Tingkap bas dicemari renik air yang membeku. Pasrah, moga ada insan berhati emas sudi membantu.
***

Salawat Yulayev.

Tidak semena, nama itu menjengah kamar pemikiran. Dalam keasyikan menelaah susur galur peristiwa Pemberontakan Pugachev lewat kurun ke 17, puisi nukilan pahlawan berdarah Bashkir ini menyentap tangkai hatiku. Seawal usia 19 tahun, pemuda ini mengepalai penentangan terbesar yang dilancar para hamba dalam era pemerintahan Catherine II, menolak sistem perhambaan yang sedari awal ingin dihapus Maharaja Peter III, mantan pemegang takhta yang misteri mangkatnya. Walau hukum dunia memenjara jasad beliau, semangat juangnya terus hangat mengalir dalam diri setiap penduduk daerah bersejarah ini. Pantas sahaja, figuranya yang gagah berpakaian perang memacu kuda, diabadi sebagai tugu peringatan di atas tebing tinggi, pinggiran Sungai Belaya. Selayaknya seorang lashkar, berkawal memantau kelancaran laluan dagang, riak garangnya mengundang gerun pada tiap mata yang memandang.
Namun bukanlah syahdunya madah pusaka beliau yang aku agungkan, atau tragisnya khatimah hidupnya yang aku tangiskan, cuma gah ukiran gangsa kuda pada tugunya buat aku mengimbau warkah cinta dari pencipta.

Lima bait pertama surah Al-Adiyat, suatu ketika melakar girang di hati Rasulullah, setelah sebulan lamanya terputus perkhabaran mengenai pasukan berkuda utusan baginda. Ternyata, hebatnya gambaran haiwan ini menentang musuh sebagaimana diberitakan Allah melalui tintaNya, menjadi simbol kebanggaan para pemuka arab sehingga hari ini. Menariknya, jika dikaji sejarah pejuang berkuda pertama di Rusia, generasi Cossack yang asalnya mendiami pinggiran Sungai Don, jelas tercatat bahawa kuda-kuda tersebut dibawa masuk dari negara arab. Maka terwujudlah asimilasi budaya. Masyarakat eropah turut sama menjadikan kuda sebagai lambang kepahlawanan mereka.
***

“Awak dah sampai” lembut sapaan gadis muda berwajah ceria mematikan lamunanku.
Kubiar memori semalam menjauh dari ruang minda. Setelah berbalas senyuman dan kata penghargaan, aku melangkah keluar. Ganas angin musim sejuk memaksa aku bertindak cepat, mengorientasi kedudukan terkini kami berdua. Berbekal sinaran lampu neon di bahu jalan, aku gagahkan bola mataku mengamati nama jalan yang tertera pada rumah-rumah di sekitar itu, lantas kuselarikan dengan
peta ditanganku. Lebat salju yang mencurah terkadang mengundang tekanan, namun kudesak jiwa supaya bertenang.

“Sana!” kataku separuh menjerit. Tangan kanan kuangkat, menunjuk arah yang aku maksudkan.
Irama tahmid bertalu di sanubari. Rancak lidahku mengalun melodi takbir. Ada titis mutiara jernih, panas mengalir dari ufuk mata. Adrenalin merembes lekas, derap kakiku tangkas, membelah deretan salji yang makin menggunung. Aku ingin segera tiba, menjadi tetamu yang maha esa. Kian lama jiwa terpenjara, kusedari ada rindu bersarang di dada. Dan kini aku tiba!
***

Mechet Ikhlas. Masjid keempat yang berjaya dijejak di bumi Ufa, serambi Mekah buat komuniti Islam di Rusia. Simbol bulan sabit tersergam indah di perkarangan masjid, menjadi lambang kemegahan perpaduan umat islam, mengimbau detik penakhlukan kota Constantinople oleh kerajaan Turki Uthmaniyah. Simbol yang dahulunya menghiasi panji negara pimpinan sultan Muhamad Al-Fatih, kini diangkat menjadi lambang ketinggian Islam di seluruh buana.

Bangunan krim berlatar putih itu biasa sahaja, menyamai surau-surau di tanah air tercinta. Tidaklah semasyhur Masjid Lyalya Tulpan yang kompleks binaannya, berbentuk tulip merah merona, menjulang tinggi megah ke angkasa. Tiada juga kelihatan kafe atau kedai cenderamata yang bisa menjana ekonomi murba sebagaimana yang terdapat di Masjid Maryam. Sejarahnya pula bukanlah seperit masjid sulung Tukaeva yang berjerih mendapat pengiktirafan. Masjid ini hanya dimodifikasi daripada sebuah pawagam atas permintaan seorang imam. Namun, peranannya tetap serupa, menjadi pusat pembangunan jiwa, masyarakat Islam yang celik tanggunggjawabnya.

Sesi fotografi ringkas berjalan di luar masjid. Lumrah anak muda merantau, setiap sudut menjadi sasaran lensa kamera. Bukan mudah mengukir senyuman semanis kurma, dek dingin yang menyeksa raga, namun demi memori di hari tua, kami betahkan jua. Segan dengan galaknya butiran halus salji yang tajam menikam wajah, kami mengorak kaki yang kebas ke arah masjid.

Saat menapak ke dalam masjid, mataku lekas menangkap kelibat seorang pegawai masjid yang tekun mengira sesuatu di meja kecilnya. Gerak geri aku perhalusi, bimbang mengundang provokasi. Ada suara-suara perlahan bersahutan namun tidakku pasti dari mana punca ia datang.

“Anak ini dari mana dan cari siapa?” Tanya seorang wanita separuh usia yang tiba-tiba muncul dari arah belakangku.
Kaget, terkulat-kulat aku menafsir pertanyaan beliau. Mujurlah Dhia yang lebih mahir berbahasa rusia bijak menangani situasi. Setelah salam bersambut dan bicara perkenalan dihulur, beliau mempelawa kami untuk minum teh, sesuai dengan tradisi menyambut tetamu di sini. Dengan senyuman yang tidak lekang, beliau memimpin mesra tangan kami ke ruang makan.

“Minta perhatian semua! Hari ini kita ada pelawat, jauh datangnya dari Malaysia. Mohon semua memberi layanan sebaiknya kepada mereka.” Lantang ibu Safiah mengumumkan kehadiran kami kepada warga dewan. Serentak itu, hampir 40 pasang mata memerhati kami berdua. Aku yang masih belum mampu memproses apa yang terjadi sebenarnya, sekadar bisa memalsukan senyum yang jelas janggalnya.

Tiba di meja, hidangan ringkas telahpun tersedia. Berkali-kali ibu Safiah memohon maaf atas kekurangan mereka menyediakan santapan yang lebih enak, kerana hari ini merupakan hari terakhir kuliah bermusim mereka berjalan. Memandangkan mereka akan bergerak pulang ke daerah masing-masing pada malamnya, mereka telah hampir menghabiskan bekalan makanan yang dibawa sendiri oleh
setiap ahli kuliah enam hari yang lalu.

“Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenteraman turun atas mereka, rahmat meliputi mereka, Malaikat mengelilingi mereka, dan Allah menyanjung mereka di tengah para Malaikat yang berada di sisi-Nya.” [Riwayat Muslim]

Pintar ibu Safiah berbicara. Hebat wanita-wanita bakal penghuni syurga ini. Kendati perit bergelar ghuraba, tiada sirna cahaya imannya. Cekal melintang sungai kehidupan, demi menuju lautan kebenaran. Umpama tegarnya kudup tulip memecah tebal rekahan salju di awal musim bunga, memekar sempurna, mengundang riang penanti sang suria. Biar jerih hidup terasing, asal teguh nurani terbimbing.
Selesai bersarapan, kuliah yang disampaikan dalam bahasa Bashkir bermula. Aku mulakan aktiviti biasa, merakam setiap patah ucapan pendahuluan ustazah ayu bertudung wisteria. Selang lima minit kemudian, kami dipersila memperkenalkan diri. Berbekal ilmu bahasa rusia yang amat terbatas, aku cuba berinteraksi sedaya mungkin, menjawab pertanyaan yang laju diaju mereka.

“Bacakan kami ayat suci al-quran.” Aku tergamam.
Hening.
Dhia bersedia. Alunan surah Al-Waqiah memecah suasana. Biar terkadang gementar mencuri irama, tajwid dan taranum berjaya diperdengar sempurna.
Ramai yang mula mencapai tisu, ramai juga yang menunduk sayu. Esakan bergema, mengiringi deraian air mata. Tanpa kata, seorang ahli kuliah meluru ke hadapan, merangkul erat kami berdua. Hiba. Aku terkaku. Diam membisu. Jemaah lainnya turut bingkas mara. Aku lemas, dalam dakapan penuh cinta. Egoku menyerah, emosiku tewas, aku mengalah. Kubenar air mata mengalir tidak berseka. Kupinta biar waktu tertunggak, agak detik ini tidak berganjak. Berkasih sayang keranaMu ini terlalu nikmat, indah teramat.

“Hari ini, telah dua tahun ibuku, Asiah, pergi menghadap ilahi. Mohon anak-anak mendoakan kesejahteraan beliau di sana. Sebagai tanda kita pernah bersua, terimalah pemberian ini yang tidak seberapa.” Tudung polos layung muda itu kusambut dengan rasa bersalah menebal di jiwa. Tatkala aku bergembira merai ulang tahun kelahiran ibuku, ada insan yang telah meninggalkan dunia buat selamanya pada tarikh yang sama.

Wang dan barangan peribadi milik warga kuliah berpindah tangan. Semua kami terima penuh keharuan. Dalam kekalutan, permintaan bergambar memenuhi ruang. Aneka soalan mengenai pelaksanaan islam di Malaysia turut dilontar, meminta kami memberi komentar yang wajar. Ada cemburu dapat kuhidu, pada sinar mata mereka yang sendu. Iri hati untuk bebas mengamalkan Islam, seperti mana merdekanya pertiwi Malaysia hidup beragama. Ah, tidak termampu kulafaz syukur pada hakikat itu.
Selesai menunaikan solat zohor, kami bersiap untuk beransur ke Masjid Hamza Haji di tenggara kota.
“Kenapa harus kita berpisah? Sungguh, saya ingin anak-anak tinggal di sini buat selamanya. Boleh kita mengenal islam bersama.”
Allahu rabbi! Runtunnya hati tatkala ibu Safiah menyuarakan hasratnya. Kalaulah sahaja bisa! Berat benar kaki melangkah pergi, namun kusedar masih ada tanggungjawab menanti.

Selamat tinggal. Semoga kita bersatu lagi di bawah lembayung keimanan, bersama mengecapi nikmat islam, Jika tidak di dunia fana, dengan izinNya di akhirat sana.
***

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” [Ar-Rum : 22]



Hasil nukilan :
NURUL AIN NADHIRAH BINTI MOHD YASIN
VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY
TAHUN 2



Read more

MEMBINA HUBUNGAN PRODUKTIF

1 comments

Bismillahirrahmanirrahim…

Tiada siapa yang boleh hidup berseorangan di dunia ini. Semua orang memerlukan teman, rakan dan sahabat untuk berkongsi fikiran, minat, bahkan perasaan. Siapa kata cinta hanya boleh terbina antara 2 orang yang berlainan jantina sahaja? Kasih sayang antara ahli keluarga, rakan dan juga teman seperjuangan juga dinamakan cinta! Cinta untuk mahukan yang terbaik untuknya. Cinta untuk sama-sama mendapatkan syurga. Cinta untuk menggapai redhaNya.

Cintakan Allah dan RasulNya-itulah cinta teragung!

Tapi pada hari ini, ingin saya kongsikan beberapa tips untuk membentuk hubungan produktif dengan rakan-rakan dan para sahabat di sekeliling kita. Tidak kira anda seorang ekstrovert mahupun introvert, tips-tips ini masih boleh diamalkan oleh semua jenis personaliti. Lebih baik lagi, tips-tips ini dibentuk tidak lain dan tidak bukan daripada sunnah Rasulullah itu sendiri!

Yok, sebelum itu kita lihat kelebihan-kelebihan membina hubungan produktif ini dahulu!

KELEBIHAN DI DUNIA

Kehidupan di alam fatamorgana ini sudah pastinya penuh dengan cabaran dan dugaan yang bisa membuatkan kita mudah menyerah kalah dan berputus asa. Apabila kita mempunyai hubungan yang baik dengan orang di sekeliling kita, itulah punca tenaga positif yang akan dapat menaikkan motivasi diri kembali untuk terus maju dalam kehidupan. Mereka jualah yang bakal memberikan kata-kata sokongan dan dorongan supaya kita dapat mengatasi kegagalan dengan keazaman yang baru.

Mereka juga akan lebih mudah untuk menghulurkan bantuan kepada anda hasil daripada usaha anda menjaga hubungan di antara kalian. Hubungan yang terjaga dengan baik juga akan membentuk psikologi yang sihat tanpa sebarang konflik mahupun pergaduhan.

KELEBIHAN DI AKHIRAT

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.(Al-Baqarah 2:195)

Subhanallah, Allah memang sukakan orang yang berbuat baik. Jadi apa salahnya untuk kita berbuat baik sesama saudara kita? InsyaaAllah, moga-moga Allah bakal membalas kebaikan yang kita lakukan dengan ganjaran yang lebih hebat lagi di akhirat nanti.

Selain daripada itu, ini juga adalah sebahagia daripada sunnah Rasulullah saw. Inilah masanya untuk membuktikan cinta kita pada baginda, yakni dengan mengamalkan sunnahnya!

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW : Tiada beriman seseorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia menyintai dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyaknya ganjaran yang bakal kita perolehi! Yok, kita teruskan dengan tips-tipsnya pula!

1) Murah dengan senyuman

(credit: http://twicsy.com/i/7hriqd)

Senyuman yang ikhlas bakal mencairkan walau sekeras-keras hati sekalipun. Ia dapat membangkitkan semangat, dan menghilangkan kedukaan dari dalam dada seseorang. Senyum itu juga adalah sedekah. Pastikan anda sentiasa tersenyum apabila bertemu dengan para sahabat mahupun apabila berkenalan dengan teman yang baru.

Kata Saidina Umar,

“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

2) Berkata perkataan yang baik


Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tamunya.

(Riwayat Bukhori dan Muslim)

3) Menjadi pendengar yang baik

Berikan sepenuh perhatian kepada apa yang sedang diperkatakan. Berikan respon yang sepatutnya apabila diminta, dan jangan memperlekehkan intipati perbualan tersebut. Boleh jadi ia kelihatan remeh buat anda, tetapi ia mungkin merupakan satu perkara yang besar buat teman anda!

“Aisha r.a said: And this is how Allah’s Messenger saw used to utter (so distinctly) that if one intended to count (the words uttered) he would be able to do so.” (Riwayat Muslim)

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.”(HR. Muslim)

4) Merendah diri

Setiap di antara kita dikurniakan dengan kelebihan masing-masing. Ada yang mempunyai kelebihan dalam pelajaran, ada yang pandai berbisnes, ada juga yang pandai menyediakan juadah yang enak-enak. Kongsikan kelebihan anda itu adalah lebih baik dan lebih bermanfaat daripada anda cuba untuk menunjuk-nunjuk. Dan manfaatnya akan kembali kepada diri anda juga!

As narrated Iyad ibn Himar (al-Mujashi’i): The Prophet said: Allah has revealed to me that you must be humble, so that no one oppresses another and boasts over another.” (Riwayat Abu Daud)

5) Menutup keaiban orang lain

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya, “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba didunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat”.(Riwayat Muslim)

6) Hargailah mereka!

(credit: http://akuislam.com/blog/perkongsian-artikel/hidup-adalah-anugerah-dan-hadiah/)


Apabila seseorang mencintai saudaranya, hendaklah dia mengatakan cinta kepadanya.(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi)

Ambillah sedikit masa untuk menyampaikan rasa cinta kepada mereka, buatkan mereka rasa dihargai. Berikanlah mereka hadiah, ataupun sediakan satu kejutan yang mereka suka. Gembirakanlah hati mereka dan tunjukkan bahawa mereka memainkan peranan yang penting juga dalam kehidupan anda. InsyaaAllah, moga hubungan kalian makin erat dan mendapat berkat.

Wallahua’lam.


Read more

RESIPI KUIH BAKAR PANDAN VERSI OVERSEA

0 comments

Bahan bahan :

 1 cawan tepung gandum

1 cawan gula

1 cawan santan

1 cawan susu cair

3 biji telur

Sedikit pewarna hijau & perisa pandan

Sebagai hiasan - sedikit bijan

Cara membuatnya :

1- Masukkan semua bahan ke dalam blender kecuali bijan.

2- Blender hingga sebati. 3- Sapukan loyang dengan satu sudu besar minyak dan masukkan loyang tersebut ke dalam oven yang telah dipanaskan selama 10 minit.

4- Keluarkan loyang tersebut ( awas, panas! ) dan tuangkan bahan tadi ke dalamnya. Taburkan bijan (jika suka).

5- Bakar selama 40 minit pada suhu 170c hingga masak. Untuk mendapatkan permukaan yg berkerak atau garing bolehlah tambah masa membakar selama 5-10 minit lagi.




Read more