Bismillahirrahmanirrahim
Sidang pembaca yang budiman,
Islam telah menggariskan beberapa cabang sistem untuk umatnya. Antaranya adalah sistem kerohanian, sistem akhlak & sistem sosial. Sistem kerohanian berkisar tentang tujuan kita hidup di atas muka bumi ini iaitu tak lain & tak bukan untuk menjadi hamba & khalifah yang mentadbir bumi Allah agar segala-galanya mengikut sistem islam. Ini kerana kita meyakini bahawa hanya sistem islam sahajalah yang benar-benar dapat mengatur kehidupan manusia. Oleh sebab itu, kita perlu mensasarkan untuk mencapai kedua-dua matlamat tersebut dalam apa jua yang kita lakukan. Manakala sistem akhlak pula mempunyai 3 dasar utama, iaitu siddiq (benar), ikhlas dan sabar. Seterusnya adalah sistem sosial, yang akan menjadi pokok perbicaraan kita pada kali ini.
Asas -asas sistem sosial dalam Islam
Terdapat 4 asas dalam sistem sosial dalam Islam:
Pertama: Bekerjasama untuk kebaikan (dalam perhubungan sesama manusia)
Kedua: Hubungan sesama manusia adalah suatu ibadah
Ketiga: Tujuan membina masyarakat untuk menegakkan akidah/ tauhid (bukan ideologi)
Keempat: Tidak merosakkan & tidak membantu merosakkan masyarakat.
Ciri-ciri sistem sosial
1) Persamaan antara umat manusia
hanya taqwa yang menjadi neraca yang membezakan kita antara satu sama lain. Firman Allah swt, mafhumnya:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(surah al-Hujuraat, ayat 13)
2) Memelihara kemuliaan akhlak.
Setiap aktiviti yang dilaksanakan dalam masyarakat perlu mendorong kepada akhlak yang lebih baik, bukan kepada yang sebaliknya.
3) Menegakkan keadilan.
Setiap manusia sememangnya mahukan yang terbaik bagi diri masing-masing. Oleh itu sistem sosial berfungsi untuk menegakkan keadilan bagi setiap manusia.
4) Melindungi kebebasan hak-hak manusia
Terutamanya adalah hak beragama, hak untuk mendapatkan pendidikan, kebebasan memilih/ mencari pekerjaan, serta hak untuk bersuara.
Metodologi sistem sosial Islam dalam membangunkan masyarakat
Sistem sosial dalam Islam membangunkan masyarakat melalui langkah-langkah tersebut:
1) Membina unit-unit keluarga yang solehah.
Dalam aktiviti seharian, ada kemungkinan-kemungkinan berlakunya ikhtilat antara lelaki dan wanita. Oleh sebab itu, untuk menegakkan sistem hijab yang merupakan salah satu unsur penting dalam sistem ini, Islam menyarankan pembinaan unit-unit keluarga yang solehah. Firman Allah swt dalam kalam-Nya yang mulia:
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?” (Surah an-Nahl, ayat 72)
2) Melahirkan anggota-anggota masyarakat yang bertaqwa.
3) Menegakkan pemerintahan yang melaksanakan amanah.
Bagaimana Islam dapat menerapkan sistem-sistem ini dalam kehidupan?
Untuk melaksanakan sistem Islam ini, Rasulullah saw telah mengajarkan kita bahawa prasyarat utamanya adalah pengukuhan akidah dalam jiwa umat Islam. Rasulullah pertama-tamanya telah menanamkan akidah & sunnah ke dalam hati para sahabat agar mereka dapat menjiwainya dengan baik, serta bertapak dalam jiwa-jiwa mereka dengan kukuh seterusnya mendorong mereka menegakkan sistem-sistem ini dalam kehidupan mereka & masyarakat. Kesan dari kekuatan iman ini menghasilkan satu gelombang yang besar dalam berkembangnya segala yang ma’ruf & berkuburlah segala maksiat dan kemungkaran. Oleh sebab itu, terdapat tiga rasa hati yang telah ditanamkan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat, yang sewajarnya kita contohi:
- Cintakan al-haq & bencikan kebatilan.
- Izzah dengan al-haq yang kita imani, iaitu berasa yakin bahawa kita adalah hamba Allah yang paling beruntung apabila kita beriman kepada Allah. Perasaan ini sewajarnya mewujudkan rasa syukur dan bangga dalam diri kita apabila mengimani al-haq.
- Percaya bahawa kita adalah guru kepada dunia,
Selagimana kita beriman & bertaqwa kepada Allah serta mendapat hidayah dari-Nya untuk memimpin ummah. Maka, menjadi satu keperluan bagi kita semua untuk membawa manusia lain kepada Islam. Manusia yang berada dalam keimanan adalah diibaratkan seperti cahaya yang perlu menerangi insan lain & membimbing mereka yang dalam kegelapan itu dengan penuh kasih sayang. Justeru itu, terdapat 10 nilai yang ingin kita bina dalam modul ketaqwaan jundi. Nilai-nilai yang ingin kita bina adalah seperti berikut:
- Aqidah yang sejahtera
- Ibadah yang sahih
- Akhlak yang mantap
- Mampu berdikari
- Berpengetahuan luas
- Tubuh badan yang cergas
- Bermujahadah
- Teratur urusannya
- Menepati masa.
- Bermanfaat untuk orang lain
Selain itu, dalam modul ketaqwaan jundi ini juga, kita mahu membina suatu pentarbiyahan untuk membentuk insan merdeka menurut neraca Allah swt.
Namun, apakah pula langkah-langkah dalam tarbiyah membentuk insan yang merdeka?
1. Tundukkan syaitan.
Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menundukkan syaitan dengan menjadikan iman yang menerajui amalan kita. Sepertimana yang kita ketahui, iman itu bertambah dan berkurang, bertambahnya dengan ketaatan, dan berkurangnya dengan kemaksiatan. Oleh itu, iman perlu diterajui dengan hubungan yang kuat dengan Allah. Itulah pentingnya sistem kerohanian dalam Islam. Jadi kita perlu menggesa diri kita untuk memperkayakan potensi iman kita, mengelakkan dari futur, & melindungi diri kita dari virus-virus yang boleh merosakkan iman kita. Kita meyakini bahawa, sesuatu perbuatan maksiat dapat dielakkan apabila wujudnya iman dalam diri kita. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad.
Di samping itu, untuk menundukkan syaitan kita juga perlukan ukhuwwah yang kuat antara satu sama lain. Rasulullah saw sendiri ada berpesan:
"Jika ada tiga orang di desa atau digunung yang tidak menunaikan solat berjamaah, nescaya mereka dikuasai oleh syaitan.Oleh sebab itu, hendaklah kamu berjamaah kerana sesungguhnya serigala tidak akan memakan kambing melainkan yang terpisah sendiri dari rombongan"
(Hadis Riwayat Abu Daud).
2. Sedar akan kemuliaan diri kita
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Surah al-Imran, ayat 110)
Begitulah firman Allah swt dalam kitab-Nya yang mulia. Lantas, sebagai umat Islam kita hendaklah menyedari akan kemuliaan diri kita di sisi Allah swt dan menghargai kurniaan tersebut dengan melaksanakan tugas kita di muka bumi ini dengan sebaiknya. Ini kerana rasa kemuliaan tersebut, adalah berpandukan amanah yang telah diberikan-Nya kepada kita.
Di sisi yang lain, dalam syariat Islam kita juga telah diajarkan bahawa:
‘Ar-rijal qawwamuna ala an-nisa’ (Surah an-Nisa’, ayat 34),
yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pelindung yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan”
Jadi, sebagai seorang pemimpin, seorang lelaki itu perlu memimpin ke arah Allah swt. Ia wajib menjalankan amanah tersebut dan menjadi kewajipan juga bagi kita untuk mentaatinya selagimana ia taat kepada Allah & rasul-Nya. Di sini kita dapat lihat bahawa Islam memuliakan seorang lelaki itu sebagai pemimpin & pelindung bagi wanita. Manakala bagi wanita pula, ia dimuliakan melalui ketaatannya kepada pemimpin keluarga & sifat memelihara.
3. Tundukkan diri kepada Allah
Kemulian yang telah Allah berikan kepada kita tidak wajar menjadikan kita sombong, tetapi sebaliknya membuatkan kita lebih tunduk kepada Allah. Contohnya, dalam sistem hijab terdapatnya larangan ikhtilat & tabarruj (perhiasan secara jahiliyah). Justeru, kita perlu menjauhi perbuatan tersebut, kerana kita mahukan diri kita tunduk kepada perintah & larangan Allah. Dengan ini, barulah kita dapat melahirkan insan yg merdeka, hamba yg hebat di sisi Allah, bukan sekadar golongan ‘abrar’(golongan yang melaksanakan kebaikan), tetapi menjadi golongan ‘ibadullah’ (hamba Allah yang melaksanakan kebaikan yang mendapat kesayangan Allah). Dari satu sudut yang lain, apabila berkeluarga pula, kita perlu menjadikan kehidupan suami isteri itu kehidupan yang berpandukan Al-Quran dan sunnah. Moga-moga dengan langkah-langkah ini, kita akan selalu merdeka daripada tunduk kepada nafsu syahwat, jahiliyah dan tipu daya syaitan.
Berbalik semula kepada pokok perbicaraan kita, kita perlu menyedari bahawa prinsip Islam dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah atas dasar akidah dan keimanan kepada Allah swt. Di atas dasar inilah segala peraturan berjalan dalam masyarakat. Segala peraturan & undang-undang ini adalah dari Allah, tak kiralah dalam aspek sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi.
Di samping itu, prinsip-prinsip dalam Islam adalah untuk melindungi kesucian masyarakat. Tujuan syariat islam adalah mengekalkan masyarakat di atas landasan yang suci & bersih daripada sebarang kegilaan syahwat. Oleh sebab itu, Allah swt hanya mengizinkan untuk syahwat itu disalurkan ke jalan yang halal, yakni dengan pernikahan & melarang pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang keperluan yang diizinkan oleh syarak.
Untuk meneguhkan kekuatan sistem sosial, Islam telah menetapkan beberapa ciri asas sistem sosial islam yang berkaitan dengan hubungan lelaki & wanita.
Pertama:
Matlamat utama sistem hijab & juga sistem sosial dalam Islam adalah untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersih daripada sebarang rangsangan & juga gangguan syahwat yang merosakkan. Keadaan ini akan menjadikan manusia, masyarakat & tamadun berada dalam suatu suasana yang suci dan tenteram.
Dalam aspek ini juga, kita perlu meningkatkan sensitiviti kita sendiri dalam penglibatan kita dengan persatuan-persatuan yang memerlukan kita melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat. Dalam aktiviti-aktiviti tersebut ada kemungkinan yang besar untuk berlakunya ikhtilat antara lelaki dan wanita. Misalannya, ketika bermesyuarat apabila seorang lelaki melihat wanita & wanita melihat lelaki dengan rasa syahwat, maka itu telah pun dikira sebagai zina! Jadi bagaimana kita mahu menjadikan usaha-usaha kita berkesan pada jiwa manusia? Bagaimana untuk memupuk jiwa manusia agar lebih hampir kepada Allah sedangkan kita sendiri telah berbuat zina? Sedarlah, bahawa aktiviti begitu adalah terlarang dan tertolak di sisi Allah swt!
Oleh yang demikian, kita perlu menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Mesyuarat dan aktiviti yang dilakukan tidak wajar menjadi suatu ruang untuk lelaki melihat wanita, dan wanita melihat lelaki. Kalaulah kepimpinan yang bermesyuarat itu sendiri telah dicemari dengan perasaan syahwat, maka bagaimana untuk memberikan kesan yang baik kepada orang yang nak didakwahi? Maka ingatlah, walaupun dalam mesyuarat, dan program2 islami yang dilaksanakan, menjadi satu prioriti yang sangat utama bagi kita menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita, menjaga hijab & juga perasaan syahwat. .
Kedua:
Hubungan syahwat hendaklah hanya disalurkan melalui perkahwinan dan melalui jalan yang halal. Segala amalan & pintu yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah maksiat hendaklah ditutup.
Ketiga:
Bidang kegiatan kaum wanita hendaklah diasingkan daripada bidang kegiatan kaum lelaki. Ini kerana wanita hendaklah diamanahkan dengan tugas2 dalam kehidupan sosial yang hanya sesuai dengan fitrah serta keupayaan mental & fizikalnya sahaja. Hubungan lelaki dan wanita dalam menjalankan tugas-tugas kemasyarakatan mestilah diatur agar mereka dapat bekerjasama antara satu sama lain menurut batas-batas yang telah diizinkan oleh syara’.
Apakah langkah-langkah bagi mengukuhkan asas-asas di atas?
Islam telah menetapkan 3 jenis perlindungan untuk mengukuhkan asas-asas di atas.
Perlindungan pertama: Memelihara kesucian diri.
Ia merupakan kemahuan seseorang untuk menjalankan kehidupan di atas syariat Allah tanpa sebarang paksaan luar. Ia perlu ada dari dalam diri kita, bukan dari faktor luaran. Seorang yang benar-benar beriman kepada Allah pasti akan mentaati perintah-Nya kerana taqwa dan mencari keredhaan Allah semata-mata. Justeru itu sudah tentu lelaki dan wanita yang beriman akan menjaga dirinya agar tidak terjerumus ke dalam jurang dosa & kemaksiatan.
Untuk tujuan ini, Islam menetapkan asas-asas pendidikan akhlak supaya kita dapat menghias diri kita dgn sifat-sifat yang baik & membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang keji. Sayugia Rasulullah saw juga telah bersabda:
“Setiap agama itu ada akhlaknya, dan akhlak islam itu adalah al-haya’ (malu)”
(Hadis Riwayat Malik, Ibn Majah, Baihaqi)
Pertama-tamanya adalah malu kpd Allah dan keduanya adalah malu kepada sesama manusia. Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:
"Malu dan iman itu adalah teman seiring dan sejalan. Bila yang satu diangkat maka yang lainpun akan terangkat pula” (Hadis Riwayat Muslim)
Islam mendidik supaya umat Islam ini menghayati & memiliki sifat haya’. Lelaki dan wanita beriman yang memiliki sifat haya’ ini akan memelihara kesucian dirinya dari perbuatan dosa. Sekiranya tidak, sudah tentu mereka akan berusaha untuk menarik perhatian orang lain. Namun, sebagai manusia kita mungkin terlupa akan hakikat ini dan menyebabkan kita adakalanya mahu menjadi ‘attractive’ kepada orang lain juga. Oleh itu, dalam hal ini, langkah-langkah berikut hendaklah diambil perhatian dengan serius:
i) Suci dari syahwat yang tersembunyi
Di dalam hukum Islam, kecenderungan dan syahwat seorang lelaki terhadap wanita di luar nikah adalah sama dengan perbuatan zina. Oleh itu nafsu berahi ketika melihat, bercakap, serta mengunjungi wanita adalah perbuatan zina. Islam menghukumnya sebagai haram kerana ia merupakan langkah-langkah awal bagi seseorang untuk menuju kearah zina!
ii) Suci dari pandangan-pandangan berahi
Pandangan penuh berahi antara lelaki dan wanita adalah merupakan pintu menuju maksiat yang sangat bahaya. Firman Allah Ta'ala maksudnya:
"Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : hendaklah mreka menahan pandangan mereka... Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangan mereka..." (Surah An-Nur: ayat 30-31)
iii) Suci dari tabarruj jahiliyyah
Tabarruj jahiliyyah ialah kesukaan untuk memperlihatkan kecantikan dan perhiasan dirinya. Al-Qur'an menamakan segala perbuatan yang bertujuan untuk memikat serta menarik perhatian selain dari suami sebagai tabarruj jahiliyyah. Firman Allah Ta'ala mafhumnya:
"..dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang jahilyyah dahulu"
(Surah Al-Ahzab: ayat 33)
Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam maksudnya:
"Wanita yang memakai wangi-wangian,kemudian dia keluar dan melewati suatu kaum (lelaki ajnabi) agar mereka mencium harum baunya, maka dia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itupun adalah zina" (Hadis Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Al-Hakim)
iv) Suci daripada pendedahan aurat
Sebagai kesimpulan, dapatlah difahami bahawa sifat haya' menjadikan seseorang terlindung dari pencemaran kesucian dirinya. Sifat haya' adalah hasil dari didikan akhlak Islami yang menjadikan seorang beriman dapat menghapuskan segala kecenderungan jahat yang ada di dalam hati dan dirinya. Semua tindakan yang diambil Islam adalah ditujukan kepada perbaikan masyarakat Islam sehingga kelemahan-kelemahan individu tidak meluas menjadi penyakit sosial masyarakat.
Perlindungan kedua: Langkah-langkah dan tindakan pencegahan
i) menetapkan batas2 aurat
ii) menetapkan cara2 berpakaian
iii) menetapkan adab2 pergaulan
iv) mengharamkan perkahwinan kepada golongan-golongan tertentu
Perlindungan ketiga: Hukuman-hukuman terhadap perlanggaran
i) hukuman terhadap zina
ii) qazaf/ menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa saksi
iii) hijab: konsep dan pelaksanaannya.
*(InshaAllah, perlindungan kedua dan ketiga akan diterangkan lebih lanjut dalam slot yang akan datang)
Akhir kalam, lakukanlah jihad dan mujahadah untuk taat kepada Allah swt. kerana jihad itu juga adalah sunnah rasulullah saw. Bermujahadahlah dengan penuh keikhlasan dan inshaAllah kemuliaanlah yang akan kita perolehi, dan membawa kita menjadi lebih tunduk kepada Allah swt. Lakukanlah ketaatan kepada Allah dengan penuh rasa semangat, tanggungjawab & keikhlasan, dan inshaAllah Allah akan anugerahkan ketenangan yang hakiki kepada kita!
Post a Comment