Bismillahirrahmnairrahim.
Download slideshow.
*Pesanan dari Ummi*
wa'alaikumussalam wbt, anak2 umi yang dirahmati ALlah swt sekelian, semoga sentiasa di dalam pandangan rahmat Allah swt dan bimbingan taufiq dan hidayahNya yang membentuk iman, taqwa, redha ikhlas dan sabar serta tawakkal kita kepadaNya, InsyaALlah.
Puisi 'Mata hati seorang pejuang'.
Cerpen SEMURNI KASIH AYAH
Download slideshow.
*Pesanan dari Ummi*
wa'alaikumussalam wbt, anak2 umi yang dirahmati ALlah swt sekelian, semoga sentiasa di dalam pandangan rahmat Allah swt dan bimbingan taufiq dan hidayahNya yang membentuk iman, taqwa, redha ikhlas dan sabar serta tawakkal kita kepadaNya, InsyaALlah.
Bersama2 ini umi sertakan coretan kerdil yang mungkin boleh anak umi manafaat untuk zikrullah dan membentuk kehidupan muttaqin dan Keluarga Du'at Cemerlang di sisi ALlah swt berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah Ar-Rasul saw.
Puisi 'Mata hati seorang pejuang'.
Matamu bagai kumpuan seekor lebah
Mata hati mencerna segala pandangan
Mengalir madu barokah
Penawar penyakit jiwa
Insan yang dambakan rawatan
Penguat tenaga
Penggunung semangat
Peluas pengorbanan
Penapis keikhlasan
Kader perjuangan
Tulang belakang utuh
Namun longlai dalam sujud dan ruku’
Ubudiyyah pada Maliknya
Tegar memegang amanah
Jujur tuturkata
Diam penuh makna
Rentak langkah yakin
Mengorak pelan da’wah
Tanpa mengenal erti putus asa, istirehat atau undur
Kerana tiada perkataan ’merajuk’ dalam
Setiap pintu hati yang dilewatinya
Akan diketuk penuh sopan
Ada hentakan! Dentuman! Tutupan jendela!
Kerlingan tajam mata kebencian,
Tinggalan langkah tapak kaki penolakan
Lafazan manis kata beracun
Namun dia tetap berdiri
Menanti sabar,
Kelembutan hati insan
Membuka hati untuk disirami
Nur islami...
Nur Iman...
Nur hidayah...
Nur Taufiq
Merentas benteng nafsu
Hingga terserlah sinar FITRAH!
AURA belas kasih Ilahi
mengalir jernih di lembah hati suci
menitip doa ikhlas di alur bibir
melimpah kasih sayang
ke bejana hati insan terpilih
yang dipandang dengan pandangan cinta Ilahi,
dibimbing dengan taufiq hidayah Rabbani
dilulusi dengan ruh Jundiyy
hingga lahir barisan saff qader da'wi
yang Allah menjadi Raja di hati
yang melihat Syurga di ufuk tinggi
di hadapan Malik Rabbul Jalil
Allah azzawajalla
Antara Al-Haq dan Batil
Darah dan nyawa jadi pertaruhan
Hanya Syahid sebagai
pemisah antara roh dan jasad
Itulah perjuangan haqiqi
'Ibadullah calon jannatul firdausi
Malaikat berlumba mengatur langkah
Mengaminkan doa
Du'at 'abid mukhlisin
"Begitu juga untuk dirimu"
Doa malaikat ke hadrat Ilahi menjulang
menembusi tujuh petala langit
Doa 'abid tiada hentinya
kemaafan berarus alir deras
melicin batu
dek kelembutan airmata keampunan
Itulah persembahan suci
Alhamdulillah
Butiran permata
Setelah mendapat sentuhan Muttaqin
Berkilauan berkelipan
Masuk ke tengah gelanggang
Kancah pentas masyarakat
Membuka bejana hati
Akur pada Ilahi
Sebagai ’abid dan khalifah
Melahirkan butiran permata bersinar
Bergelar....
Jundullah
Mujaddid
Mujtahid
Nyawa dan darah suci adalah
Mahar untuk dipersembah
pada Allah Azzawajalla
Kekasih abadi
Bukti tautan cinta haqiqi
Tersergam indah
Mahligai di tengah syurga
Kilauan memukau
Cukup dicemburui
Seluruh warga jannatulfirdausi
Anugerah kabir Ilahi
Untuk permata hatiNya
Insan du’at mukhlisin
Pendokong risalah anbiya’
Sepanjang zaman
Hingga qiamat menjadi
penutup kalam
Ikatan Bai’ah Ridwan
Menjadi Ijab Kabul
Antara Insan dan Khaliq
Hamba....bernama
Attaaibun...
Al’aabiduun..
Al-Haamiduun..
As-Saaihuun....
Ar-rooki’uun
As-saajiduun..
Al-aamiru bil ma’aruuf..
An-naahunal’anilmungkar
Al-haafizuuna li hududillah
Ahibbukumfillah....
Akhirulkalam....
Bergembiralah insan mu’minin
bersama Ilahnya.
Allahurabbul jalil
Di taman Firdausi.
Insan Dhaif
Cerpen SEMURNI KASIH AYAH
Sekalung Doa Untuk Ayah
Perintah Allah swt kepada kita semua untuk melakukan kebaktian dan doa kepada kedua ibubapa kita dalam Surah Al-Israa’ : 24.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".
Anak Yatim Dan Ketua Keluarga Di usia Semuda 13 Tahun
Taqdir Allah swt telah menetapkan bahawa Dia lebih menyayangi kedua ibubapa ayahanda Isa bin Jamsari dengan mengambil mereka kembali ke rahmatullah. Pada ketika itu ayah baru berusia 13 tahun. Keadaan ini menuntut ayah untuk menjadi ketua keluarga di ketika usia semuda itu. Ayah mempunyai seramai tujuh orang adik yang terdiri daripada 2 orang lelaki dan 5 orang perempuan untuk meneruskan hidup dengan keadaan serba kekurangan. Ayah mempunyai seorang abang yang belajar di bandar dan tinggal bersama bapa saudaranya. Justeru ayahlah yang menjadi harapan keluarganya untuk mengendalikan urusan keluarga dan bertanggungjawab untuk mencari rezeki sesuap nasi setiap hari untuk adik beradiknya. Tiada wang ringgit di dalam simpanan di bank atau tunai yang ditinggalkan oleh arwah atuk dan nenek melainkan tapak rumah sekangkang kera dan beberapa ekar kebun getah untuk diusahakan. Itu harta pusaka peninggalan arwah nenek Maryamah.
Samada dalam keadaan suka atau pun tidak, ayah terpaksa mula memikirkan masa depan keluarganya sekurang-kurangnya berusaha untuk menoreh getah bagi mendapat titipan wang untuk membeli beras dan barang keperluan asas harian. Alhamdulillah kakak sulung ayah ada sedikit kepakaran membuat kuih, maka beliau turut membantu ayah membuat kuih untuk dihantar ke kantin berdekatan waktu pagi dan dijaja pada petang hari bagi menambah pendapatan keluarga anak yatim ini.
Namun ayah tidak pernah merungut, walaupun sepanjang sejarah hidupnya, keseronokan zaman remajanya telah diganti oleh Allah swt dengan suasana kesedihan kehilangan ibu, nenek Maryamah bt Abdul Salam serta ayahnya, datuk Jamsari bin Sarngan dan tanggungjawab mengendalikan urusan keluarga. Peluang ayah untuk belajar secara formal juga terkubur kerana terpaksa berhenti sekolah bagi mengurangkan penggunaan kewangan keluarga.
Walaupun begitu ayah tidak sesekali menyesal atau menyalahkan sesiapa. Sebaliknya beliau redha kerana semua susunan Allah swt ini ada hikmah disebaliknya. Berbekalkan semangat ingin belajar dan tidak kenal erti putus asa, ayah meneruskan pelajarannya di kelas malam dan berazam akan mengambil peperiksaan bahasa Inggeris ’Cambrigde’. Alhamdulillah dengan izin Allah swt ayah lulus. Cita-cita ayah amat besar untuk meneruskan pembelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi seorang pendidik, malangnya akibat kesempitan hidup serta dia merasakan abang dan adik-adiknya lebih memerlukan, beliau menguburkan cita-citanya malah beliau pula yang membantu pembiayaan abangnya melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan dan adik-adiknya hingga habis alam persekolahan mereka. Walaupun keluarga anak yatim ini hidup tanpa kehadiran ibu dan ayah, alhamdulillah mereka dapat mengharungi kehidupan mereka dengan rahmat Allah swt dan menjadi insan yang taat kepadaNya. Begitulah keadaan ayah sekeluarga, kehidupan yang penuh pancaroba mampu dihadapinya dengan hati yang redha, sabar dan sentiasa berdoa serta bertawakkal kepada Yang Maha Berkuasa.
Kesedihan dan kepayahan itu tidak pernah dikeluhi, malah beliau sentiasa bercerita kepada anak-anak dan anak-anak saudaranya, agar kami semua dapat menghayati erti kesusahan dan cuba membina hidup yang lebih baik di sisi Allah swt pada masa hadapan. Ayah sentiasa membimbing kami untuk menjadi orang yang lebih berjaya, berguna dan berbakti kepada Allah swt, RasulNya, keluarga, agama dan seluruh umat sepanjang hayatnya. Beliau tidak pernah menitiskan airmata kesedihan kepada kami terhadap taqdir Allah swt ini kerana beliau yakin dengan cara ini Allah swt mahu ayah mendekatkan diri kepadaNya dan lebih banyak bersyukur.
Gabungan pengorbanan ayah dan kakak sulungnya, menggantikan tempat ayah dan ibu yang telah meninggal dunia lebih awal amat bermakna bagi keluarga ini.Pengorbanan ini ayah tebarkan dengan iringan sinar keikhlasan untuk melihat kakak, abang dan adik-adiknya berjaya di dunia dan akhirat. Alhamdulillah tanggungan ayah agak berkurangan apabila kesemua adik-adiknya telah berumahtangga dan abangnya telah berjaya menjadi seorang guru. Ayah merupakan anak yang terakhir bernikah dengan pasangan pilihannya iaitu bonda Zainon Hj Hamzah setelah kesemua adik beradiknya selamat membina keluarga masing-masing.
Isteri Tercinta Menjadi Penyeri Hidupnya
Ayah sangat beruntung kerana diberi Allah swt pasangan hidupnya yang merupakan kekasihnya yang setia di dunia dan harapannya di akhirat InsyaAllah. Emak yang dilahirkan dari keluarga berada sanggup hidup bersusah payah dan sentiasa berganding bahu dengan ayah bagi membangunkan keluarga muslimah yang diredhai Allah swt. Emak Zainon tidak pernah mengungkit tentang keperitan hidupnya bersama ayah, namun beliau tetap yakin bahawa rezeki itu dari Allah swt. Setiap kesusahan itu akan diselangi dengan kesenangan sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Insyirah : 1-5 :
” Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu? Dan Kami telah menghilangkan darimu bebanmu, yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan namamu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan tu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan lain, dan hanya kepadaTuhanmulah hendaknya kamu berharap. ”
Kesabaran dan yakin dengan pertolongan Allah swt menjadi pegangan emak dan ayah dan mereka sentiasa bersyukur walaupun di awal kehidupan berumahtangga, mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Aku masih ingat lagi emak berada di dapur kayu yang berkepul asap ketika memasak. Alhamdulillah pada hari ini emak dapat memasak hanya dengan memetik suis dapur gas dan ’kettle’ air yang hanya mengambil masa 5 minit untuk mendidih. Ujian demi ujian dalam rumahtangga mereka hadapi dengan saling
memahami antara satu sama lain, menerima kekurangan masing-masing dan maaf memaafi serta mencari kekuatan diri untuk dimanafaatkan bagi mencapai kebahagiaan rumahtangga.
Ayah sentiasa berbincang dengan emak dalam banyak perkara sepanjang proses mengemudi rumahtangga mereka bagi mencapai ketenangan dan keharmonian mahligai kasih yang mereka bina bersama. Mereka merupakan model rumahtangga bagi aku selepas qudwah rumahtangga Rasulullah saw. Namun pepatah melayu mengatakan ’sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Suasana ketegangan dalam rumahtangga, emak dan ayah menanganinya dengan penuh hikmah dan mereka memanafaatkan suasana ini untuk meneguhkan lagi keintiman kasih sayang mereka. Hingga ke hari ini, ayah dan emakku masih bercubitan sayang, usik mengusik di antara satu sama lain bagi mewarnai kehidupan mereka sebagai suami isteri yang telah mereka layari menjangkau 45 tahun pada 20 April setiap tahun. Aura positif kasih sayang yang emak sentiasa lemparkan pada ayah menambah lagi keazaman ayah untuk terus mendekatkan diri kepada
Allah swt dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, pemimpin rumahtangga dan masyarakat yang bertaqwa. Mereka sentiasa kejut-mengejut di antara satu sama lain untuk bermunajat kepada Allah swt di malam hari. Aku amat bersyukur kepada Allah swt dan merasa amat bertuah dilahirkan hasil pernikahan emak dan ayah yang sentiasa mewujudkan suasana ubudiyyah dalam diri mereka, keluarga dan keturunannya serta ummah. Apatah lagi mereka berdua sentiasa mengingatkan aku sekeluarga dan
adik beradikku agar sentiasa bertaqwa, ikhlas dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan kalimatullah di bumi fana Allah swt ini walaupun mereka tidak pernah mengikuti program tarbiyyah seperti usrah dan sebagainya. Mereka selalu berpesan agar sentiasa menghadirkan diri dalam usrah, melarang dari memutuskan silaturrahim atau berdengki dengan sesiapapun, jadi seorang pemaaf, menghubungkan silaturrahim, memberi pada orang yang tidak pernah memberi kepada kita, memberi makan kepada orang yang susah atau datang ke rumah walau hanya secubit nasi dan sambal belacan.
Rotan Dan Kediktatoran – Bukan Cara Ayah Mendidik Anak-anaknya
Salah satu sunnah Rasulullah saw yang ayah praktikkan dalam proses mendidik kami ialah melalui pendekatan bercerita dan kemudian mengajar kami mengambil pengajaran untuk dijadikan ikutan dalam merentasi perjalanan hidup. Sungguhpun ayah tidak sempat mendapat pendidikan tinggi, ayah diberi kelebihan oleh Allah swt mempunyai cita-cita yang besar. Aku masih ingat lagi kata-kata ayah ketika aku di tadika lagi, ”Long, InsyaAllah satu hari nanti ayah nak bawa kereta sendiri untuk pergi ziarah rumah long, boleh?”. Aku menjawab dengan hati yang begitu sebak, ”InsyaAllah yah, kurang tapak tangan, seluruh bumi Allah swt ni long hamparkan untuk sambut kedatangan ayah, walau di mana long berada.” MasyaALlah aku merasakan begitu besar cita-cita ayah, lalu pada ketika itu juga suasana itu membentuk semangatku untuk
berusaha lebih aktif dengan pohonan bantuan redha Allah swt untuk aku membantu ayah merealisasikan impian ayah untuk mempunyai sebuah kereta yang akan dia pandu ke rumahku suatu hari nanti. Sejak hari itu aku berazam akan belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading dan membiayai perbelanjaan ayah dan emak sepanjang kehidupan mereka. Begitulah ayah mendidik kami melalui inspirasi cita-citanya di samping doa kepada Allah swt untuk kami.
Pengalaman merupakan guru bagi ayah. Pendedahan mengelolakan adik-beradiknya seramai 6 orang banyak membantu ayah untuk lebih mahir dalam mendidik kami. Sepanjang perkongsian hidup ayah bersama emak, ayah dikurniakan empat orang anak terdiri dari tiga orang perempuan dan seorang lelaki. Kami amat bersyukur kerana dilahirkan hasil pernikahan ayah dan emak yang dirahmati Allah swt. Emak dan ayah mendidik kami dengan belaian kasih sayang dan didikan yang praktis mengiringi tumbesaran kami menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah swt. Walaupun ayah tidak melafazkan strategi pendidikannya terhadap kami, tapi bila aku membaca pesan Sayidina Ali r.a, aku merasainya itulah yang dicernakan oleh ayah dalam proses mendidik kami.
Pesanan Sayyidina Ali r.a ” Hendaklah kamu didik anak mengikut peringkat umurnya. Umur 0 hingga 6 tahun kamu bina iman dan akhlaq anak dengan belaian kasih sayang. Pada usia 7 hingga 14 tahun, anak dididik dan dibimbing oleh seorang ayah dan ibu sebagaimana seorang guru mendidik. Ibubapa dibenarkan oleh Islam untuk menggunakan rotan dalam mendidik anak-anak melalui pesanan Rasulullah saw yang membenarkan penggunaan rotan sekiranya tidak berjaya mendapat ketaatan anak-anak untuk menunaikan tanggungjawab solat kepada Allah swt pada usia 10 tahun. Sementara ketika anak berumur 14 hingga 21 tahun, ibubapa digalakkan untuk membina perhubungan kasih sayang, suasana percaya mempercayai di antara ibubapa dan anak-anak ibarat sebagai kawan. Suasana perkongsian, budaya tegur menegur berhikmah, tukar fikiran dan menjadikan ibubapa tempat rujuk yang ketiga selepas Allah swt dan RasulNya dalam setiap aspek kehidupan yang berpandukan kepada AL-Quran dan Sunnah RasulNya adalah merupakan suasana yang ayahku wujudkan dalam hidup kami. Ayah dan emak merupakan sahabat aku dan tempat rujukan selepas Allah dan RasulNya dalam aku menjalani kehidupan ini. Mereka adalah kawanku yang terdekat selepas suami tersayang.
Sepanjang penghidupanku selama 43 tahun ini, tidak pernah sekali ayah merotan kami adik-beradik. Ayah baru menaikkan suara sahaja kami telah bercucuran airmata. Ketika mendidik adik lelaki bongsu kami iaitu adik Ruzfairuz, ayah hanya pernah mengambil tali pinggangnya dan setakat mengangkatnya sahaja tapi tidak sampai memukulnya. Sesungguhnya Allah swt lebih menyayanginya dan mengambilnya kerahmatullah di usia 19 tahun. Aku masih ingat lagi ayah begitu sedih apabila kehilangan anak lelakinya, adik Ruzfairuz yang kembali kepada Allah swt dalam perjalanan pulangnya ke rumah untuk menunaikan solat Maghrib. Tengahari sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawa adik itu ayah melawak dengan Fairuz, ”Yus, kenapa masih baring lagi, bila nak pergi kerja? ” Nanti adik pergi la yah, adik tak puas pandang ayah ni, ” jawab Fairuz sambil matanya sayu memandang ayah dengan tidak berkedip. Hati ayah terdetik pelik sambil terasa sayu kenapa tiba-tiba suara Fairuz menjadi begitu lembut dan mesra. Sedangkan sebelum ini, kalau berbicara, kadang-kadang Fairuz bercakap agak keras dengan ayah. Jiwa ayah amat terkesan selepas pemergian arwah Fairuz hingga ayah terlanggar seekor ayam hingga mati ketika memandu kereta. Ayah dan emak mengambil masa 3 bulan minima untuk pulih semangatnya bagi membolehkan mereka redha terhadap pemergian adik Fairuz kepada Allah swt.
Pengurus Praktis
Panggilan manja ayah dan emak pada ku selain ‘long’ ialah ‘nina’. Pada suatu hari ayah membuatkan sebuah tabung buluh yang ditebuk tanpa apa-apa arahan sambil ayah menghulurkan beberapa keping syiling kepadaku. Setiap hari ayah memberi duit belanja sejak aku di sekolah rendah lagi bermula dari sebanyak 15 sen sehinggalah sebanyak RM1.00 ketika aku tamat tingkatan lima sekolah menengah. “Berapa banyak dah duit nina dalam tabung ?” ayah bertanya tiba-tiba. “Dah nak penuh yah, kenapa?”, tanyaku kembali. “Ayah nak buka akaun di Bank Simpanan Nasional.”
Berkata ayah selamba. “Ye ke yah!”, jawabku kegembiraan. “Siap, esok pagi kita semua pergi bandar, buka akaun kemudian kita makan di restoran tepi laut,” pertama kali ayah mengajak kami keluar makan di restoran. Selepas itu setiap tiga bulan sekali waktu ayah dapat duit jualan getah, ayah akan bawa kami sekeluarga menambah simpanan di bank dan bawa kami makan bersama. MasyaALlah, indah sungguh suasana kekeluargaan itu, walaupun kami hanya menaiki bas ke bandar. Suatu hari ayah berpesan, “Long, duit simpanan tu boleh long guna kalau nak pergi ke universiti nanti tau”. “Baiklah yah, ayah tak payah keluar duit ye! Long bayar sendiri semua tau, ayah.” ujarku dengan suara lantang dan penuh keyakinan. Ayah hanya tersenyum melihat gelagatku yang agak nakal dan bersemangat.
Usapan Tangan Tanda Kasih Ayah Membina Keyakinan Anak
”Nina, mari nak, dah lama ayah tak usap kepala kau,” kata ayah amat sayu sambil mengajak aku berbaring bertemu kepala dengannya dan emak semasa rehat tengahari di rumah adik perempuan bongsuku iaitu Aznita. MasyaAllah, rasa bertuah sungguh aku pada ketika itu sambil menitiskan airmata gembira mendengar lafazan dan usapan kasih sayang seorang ayah.. Sejak hari itu ayah sentiasa mengusap dan mencium kepala setiap kali aku pulang menziarahinya atau kami bertemu dan berpisah. Aku masih ingat pengorbanan ayah ketika surat tawaranku melanjutkan pelajaran ke luar negara telah tersalah alamat. Satu hari ayah pergi ke Jabatan Pelajaran Negeri di Johor Baharu untuk mengambil borang tawaran yang baru, mendapatkan tandatangan pihak berkuasa kerajaan dan menghantar aku menghadiri temuduga di Johor Baharu selang sehari selepas itu.
Sepanjang temuduga itu ayah tetap sabar menemaniku hingga kami pulang ke rumah pada lewat malam dengan menaiki teksi yang terpaksa dibayar. Namun tidak sepatah kata pun aku dengar dari mulut ayah merintih keletihan, malah kata-kata perangsang dari ayah masih terngiang-ngiang di telingaku, “Nina, penat tak? Ayah nak nina belajarlah rajin-rajin, ingat Allah selalu dan jangan lupa padaNya walau sedetik”. “Kalau dah senang nanti, jangan lupa orang yang susah dan jangan sombong. Atuk Jamsari Nina dulu berpesan, kalau ada orang datang rumah kita waktu makan, keluarkanlah apa yang ada untuk jamu mereka. Jangan sampai mereka kembali dengan perut yang kosong, tak kiralah walau hanya sambal belacan dan ikan kering saja, semua itu adalah sedeqah jariah yang akan membantu kita di dalam kubur nanti.”. Ayah meneruskan pesanannya dengan berkata, “Bila kita sudah hidup senang, jangan sesekali merendah-rendah atau memperlekeh oranglain, terutama orang bawahan kita”. Dengan sedu sedan, aku terus memeluk ayah dan hanya mampu berkata, “InsyaAllah yah, long akan melakukan yang terbaik, ayah doakan agar long tetap melakukan kebaikan, tidak buat aniaya pada oranglain dan ingat Allah setiap masa.
Anak – Orang Tengah Untuk Meluahkan Rasa Hati Tanpa Membongkar Rahsia Rumahtangga
Hati aku menjadi begitu terharu dan rasa amat dihargai apabila ayah secara senyap-senyap memanggilku untuk meluahkan isi hatinya terutama apabila lidahnya kelu untuk melafazkan pendapat dan kehibaan hatinya di hadapan emak untuk menegakkan sesuatu pendapatnya. Metodologi yang ayah gunakan untuk menerangkan situasi emak tidak pernah dalam bentuk membuka keaiban emak. Beliau hanya mengatakan, ” Long boleh tolong ayah?"
Selepas itu ayah mengeluarkan pendapatnya terhadap sesuatu perkara. Kemudian dia menyuruh aku mengenengahkan pendapatnya dan menerangkannya kepada emak agar pendapatnya itu lebih mudah difahami oleh emak dan mendapat persetujuan dari emak. Ayah tidak pernah memburuk-burukkan emak di hadapan kami. Itulah kelebihan ayah yang amat aku hormati. Begitu juga dengan emak yang banyak menjadikan aku sebagai orangtengahnya untuk meluahkan isi hatinya utntuk menyantuni ayah. Namun suasana ini berlaku apabila kedua-dua mereka menemui jalan buntu untuk mencapai kata sepakat atau mereka mahu mengelakkan pertengkaran. Kadang-kadang aku tersenyum sendirian apabila mengenangkan gelagat lucu mereka berlumba untuk tarik perhatian anak sulungnya ini. Aku amat bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan ayah dan ibu yang sentiasa mewujudkan suasana kebersamaan dan kerjasama yang diiringi dengan cinta kepada Allah swt dan kasih sayang yang tinggi dalam keluarga. Pendidikan tanpa paksaan, sebaliknya melalui teladan ini banyak mempengaruhi aku menjalani hidup sebagai suami isteri dan teknik da’wah fardiyyahku dalam menangani masalah dan membimbing anakku dan ummah. Alhamdulillah apabila aku praktikkan, dengan izin Allah swt berkesan.
Ayah Melawak Di sebalik Ketegasannya
Menyentuh tentang bab kewangan dan berjimat, di sinilah pendidikan ayah amat terserlah. Beliau amat marah sekiranya kami membazir atau berebut-rebut di hadapan makanan dan sentiasa menggalakkan kami menabung. Ayah tidak mengajar anak-anaknya bermewah-mewah dan boros. Aku ingat lagi masa makan, ayah membahagikan ketulan ayam goreng kampung yang disembelihnya hanya seketul seorang. Aku merupakan anak yang terakhir makan ayam. Aku bangkit sebentar untuk mengambil lauk di dapur. Tiba-tiba apabila aku kembali ke tempat duduk, ayam gorengku sudah tiada. Ketika itu aku amat sedih sambil menitiskan airmata dan mengadu kepada emak, “ Emak siapa ambil ayam long? Long tak makan lagi.”.
Apabila ayah melihat aku terlalu sedih, ayah berkata, “ Kesian anak ayah. Ini dia ayamnya, saja ayah sembunyikan kerana nak uji anak ayah. Nina merupakan anak yang paling berjimat dalam rumah ini. Ayah bersyukur. Ayah nak semua anak ayah belajar berjimat dan merasa hidup susah, baru kita boleh hargai kesenangan yang Allah swt beri. Apabila kita tahu erti kepayahan, baru hati kita halus dan prihatin untuk membantu orang yang lebih susah dari kita. Namun berjimat itu bukan bermaksud kita mengekang segalanya dan kedekut. Bakhil merupakan sifat yang dilarang oleh Allah swt juga. Rajin-rajinlah bersedeqah kerana ia menyucikan harta kita dan amalan yang akan membantu kita di kubur, InsyaAllah.”
Ketegasan ayah juga mengajar aku erti kesabaran dan yakin dengan kehendak Allah swt. Ketika aku ingin mendapatkan keizinan bernikah ketika aku di tahun kedua pengajian di Indiana University, Bloomington Indiana, ayah amat marah hingga menyebabkan aku menggigil ketakutan kerana aku tidak pernah melihat ayah semarah itu. Namun kegarangan ayah itu tidak menggugat kepercayaan aku kepada ayah kerana selama ini ayah tidak pernah berkasar dengan aku. Justeru suasana ini mengajar aku untuk bersabar, kerana aku yakin ada sebab ayah berbuat begitu, tidak lain tidak bukan adalah kerana dia mahu yang terbaik untuk anaknya.
Suatu hari telefon berdering dan kawanku mengatakan panggilan dari ayah di Malaysia. Aku amat terperanjat, namun ku gagahi tanganku untuk terus menyambut telefon dan mendengar suara ayah kerana ayah membuat panggilan tergempar ke Amerika Syarikat seraya berkata, “Assalamu’alaikum Nina, siapa nama pemuda yang bertuah itu? “Ke..ke..kenapa yah? “, suaraku tersekat-sekat ketakutan. “Nina tak nak nikah?, tanya ayah. “Nak yah! “, jawabku spontan dengan gembira sekali. “Ha..bagi nama bakal menantu ayah, kerana ayah nak hantar surat wali hakim”, beritahu ayah dengan nada suara yang lembut dan menyakinkan sekali. “ MasyaAllah! Alhamdulillah, terima kasih yah. Nama bakal menantu ayah ialah Ahmad kamil bin Mahmood. Long akan terus berdoa pada Allah swt dan berusaha untuk kembali dengan kejayaan di dunia dan akhirat, InsyaAllah.” “Suruh Kamil hantar keluarga atau wakilnya untuk berjumpa dengan ayah untuk kepastian ye!. Ujar ayah kepadaku. “InsyaAllah nanti long khabar pada Kamil yah”, janjiku. Bertambah lagi sayangku pada ayah.
Roh Didikan Mengalir Dalam Darah
Bimbingan emak dan ayah secara realiti yang tidak formal ini diperkukuhkan dengan panduan Al-Quran dan sunnah amat membantu aku untuk lebih aktif dan kreatif dalam perjuangan hidup ini. melakukan suatu kerja, ayah akan pastikan kerja itu selesai dalam masa yang ditetapkan dan terlaksana dengan sempurna. Ayah amat menitikberatkan ketaatan kami kepada Allah swt, RasulNya, ibubapa dan pemimpin selagi berada dalam batas syariat Allah swt. Ayah melarang kami dari banyak membantah. Ayah tidak mendidik kami dengan paksaan tapi beliau banyak membimbing kami untuk melaksanakan segala amanah yang diberi melalui pengajaran terhadap kepentingan menjaga amanah dan tanggungjawab melaksanakan amanah itu dengan sempurna. Bagi memastikan kesempurnaan itu, beliau sentiasa memberi tunjuk ajar dengan teliti dan memantau kerja kami dengan kasih sayang. Penjimatan dan bajet kewangan yang rendah dalam mengendalikan kewangan rumahtangga yang disemai ayah dalam jiwa kami membentuk tindakan kami dalam seluruh kehidupan termasuk pengendalian kewangan program da’wah dan ummah. Aku amat prihatin dalam anggaran
Salah satu lagi didikan ayah ialah apabila aku perbelanjaan program yang rendah tapi efesien dalam perlaksanaan, keikhlasan jiwa diiringi dengan semangat pengorbanan yang tinggi bagi memaksimakan keberkesanan dalam jiwa insan yang dididik. Pengaruh pendidikan ini mengakibatkan aku tidak boleh menerima alasan sekiranya sesuatu kerja yang diamanahkan itu tidak terlaksana atau tidak sempurna. Kekadang apabila aku dapati ada orang tidak boleh melakukannya aku akan terus menawarkan diri untuk melaksanakannya dan akan mencari jalan agar kerja itu terlaksana juga. Akibatnya ialah mungkin akan ada rakan sekerja yang berkecil hati. Justeru aku sedang belajar untuk menyantuni rakan sekerja dan tugasan berjalan dengan sempurna. Disiplin ayah dalam mendidik aku adik beradik amat kuat di sebalik kelembutannya. Walaupun ayah tidak pernah mengikuti usrah tapi….ruh keimanan, ukhuwwah dan semangat junag serta pengorbanan bertapak kuat dalam jiwanya.
Pemimpin Orang-orang Yang Bertaqwa.
Ayah telah dipilih Allah swt untuk menjadi imam selama 10 tahun dan mengendalikan majlis-majlis ilmu dan gotong royong amal di kampung hingga kini. Ayah, kasihmu semurni embun pagi yang bersih, bak putih salji. Bimbingan dan tunjuk ajar yang disirami kasih sayang dari hati ayah yang tulus selama ini banyak mempengaruhi hidupku pada hari ini. Pantang larang dan galakan yang beliau beri kepadaku sebati dalam jiwa ini kerana semuanya berpandukan kepada sumber yang asli iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Ayah
merupakan guru AL-Quranku sejak kecil.. Setelah tamat pengajian di luar negara, aku menjadi guru mengajar Al-Quran kepada masyarakat setempat semasa. Aku juga cuba mengikuti jejak atuk, emak dan ayahku, aku menjadi guru Al-Quran kepada anak-anakku yang menjadi quratul’ain kami suami isteri, InsyaALlah. Aku yakin bahawa ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pendidikan anak-anak. Guru-guru dan masyarakat merupakan pembantu-pembantu pendidik utusan Allah swt bagi melengkapkan pentarbiyyahan anak-anak ketika di luar rumah. Harapanku kepada emak dan ayah ialah agar beliau dapat memaafkan aku terhadap perlakuan dan kata-kata hatiku yang pada ketika aku tidak dapat memahami segala ketegasannya dalam mendidikku. Kini aku baru dapat melihat banyak hikmah disebalik semua itu.
Aku infaqkan diriku untuk Allah swt, Islam dan perjuangan, kebaktian kepada emak dan ayahku serta mendidik anak-anakku dan generasi ini selagi hayatku dikandung badan agar mereka menjadi penghuni Jannatul FirdausMu ya Allah. Itulah sebab utama aku korbankan diriku tidak bekerja makan gaji sepenuh masa. Duit boleh dicari, tapi iman, aqidah tauhid dan akhlaq yang telah tercemar dengan jahiliyyah akan menyempitkan hati dan dunia ini. Justeru hidup dan matiku adalah untuk Allah swt rabbul’alamin dan menanamkan iman itu ke dalam jiwa anak-anakku dan seluruh umat hingga aku kembali kepada Allah swt sebagai seorang syahidah atau Islam menjadi guru kepada dunia ini. Aku akan teruskan pengorbanan dan didikan ayah. Banyak sungguh pengorbanan ayah kepadaku hingga dengan izin Allah aku menjadi insan soleh pada hari ini.
Keruntuhan akhlaq anak-anak perempuan yang terjebak ke lembah perzinaan, dadah dan sebagainya berlaku, apabila mereka gagal mendapat kasih sayang seorang ayah. Maka apabila mereka bertemu dengan lelaki yang boleh memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka, karamlah mereka dalam kemaksiatan. Sekarang barulah aku faham kenapa Rasulullah saw amat menumpukan perhatian kasih sayang kepada Sayidatina Fatimah hinggakan sekiranya dalam satu majlis, Baginda melihat Fatimah masuk, dia akan beri tempat duduk kepada anaknya, begitu juga dengan Fatimah kepada Rasululah saw sebagai tanda hormat kepada ayahnya. Baginda juga sentiasa membelai anak perempuannya dengan kasih sayang.
Alhamdulillah aku amat bersyukur kerana ayah telah menjalankan amanah Allah swt kepada kami adik-beradik dengan berjaya sekali dengan keimanan dan kasih sayang. Terima Nasihatku kepada anak-anakku sendiri dan semua anak-anak, bersabarlah dengan didikan ibu bapa kita kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan kita dunia dan akhirat. Mereka sayang kita sebenarnya. Sekiranya mereka biarkan kita lakukan ikut suka tanpa batasan dan larangan itu sebenarnya yang akan membawa kerosakan. Kadangkala mereka tidak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk mereka tunjukkan kasih sayang mereka kepada kita, oleh itu maafkanlah mereka. Doakanlah mereka agar Allah swt sentiasa memelihara mereka lebih baik daripada apa yang kepada kita sejak kita kecil. Berbaktilah kepada kedua ibubapa kita selagi hayat mereka ada dan setelah mereka kembali kepada Allah swt kerana salah satu yang dapat membantu mereka di dalam kubur adalah doa dari anak yang soleh. Salah satu tanda kita bersyukur kepada Allah swt adalah kita berterimakasih kepada kedua ibubapa kita. Firman Allah swt dalam surah Luqman : 14 yang berbunyi :
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun[11:80]. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
Segala petunjuk itu telah jelas, maka janganlah kita menjadi insan yang yang membantah perintah Allah swt dan ibubapa yang mengajak kita mentaati Allah swt.
Post a Comment