Friday Wrap 14-19 Mac 2015

0 comments
Assalamualaikum wbt.

Bertemu lagi kita dalam friday wrap azam rusia! insyaallah minggu ini kami mebawakan berita terbaru dari dalam dan luar negara. Semoga menambah ilmu, iman dan amal kita amiin.




 Tujuh maut, 25 hilang kebakaran pusat beli-belah Russia


ANGGOTA penyelamat berada di bangunan pusat membeli-belah yang musnah dalam kebakaran di Kazan. - Foto AFP


















JUMAAT, 13 MAC 2015 MOSCOW: Tujuh maut dan kira-kira 25 orang dilaporkan hilang selepas sebuah pusat membeli-belah di sini terbakar, kata pegawai.

Anggota penyelamat membersihkan sisa bangunan tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran di Kazan, ibu negeri Tatarstan terletak kira-kira 800 kilometer timur Moscow.

"Mereka masih perlu menempuh sisa bangunan sebanyak 8,000 kubik meter," kata jurucakap kementerian hal ehwal kecemasan di Tatarstan.

"Ia akan mengambil masa beberapa hari."




32 rakyat Indonesia ditahan di Turki cuba sertai IS


JUMAAT, 13 MAC 2015 JAKARTA: Kerajaan Indonesia hari ini mengesahkan kira-kira 32 rakyatnya ditahan di Turki atau hilang selepas disyaki cuba menyeberang masuk ke Syria bagi menyertai militan Negara Islam (IS).

Menteri Luar, Retno Marsudi berkata, seramai 16 rakyat Indonesia, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada minggu lalu.

"Kami mendapat maklumat bahawa mereka cuba menyeberang masuk ke Syria," katanya sambil menambah Indonesia akan menghantar pasukan untuk membantu penyiasatan di Turki.

Marsudi berkata, 16 lagi warganya dilaporkan hilang selepas menyertai kumpulan melancong minggu lalu dan masih belum dapat dikesan manakala pihak berkuasa Turki belum dapat mengesahkan jika mereka masih berada di Turki atau sudah menyeberang masuk ke Syria.

Ketua Polis Negara, Badrodin Haiti berkata, kumpulan yang disyaki itu juga cuba menyertai IS.

Indonesia mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia dan bergelut dengan serangan daripada militan di negara itu sejak awal 2000.

Dalam serangan paling berdarah, militan Indonesia mengebom sebuah kelab malam di Pulau Bali pada 2002 menyebabkan 202 mati, kebanyakannya pelancong Australia. - Reuters




6 cedera letupan bom di selatan Thailand


KEADAAN kawasan letupan bom berhampiran balai polis Saiburi, Pattani. - Foto ihsan http://www.kualalumpurpost.net/




















JUMAAT, 13 MAC 2015 PATTANI: Dalam siri letupan bom di selatan Thailand, enam orang cedera apabila sebutir bom meletup kira-kira 500 meter dari balai polis Saiburi di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Saiburi, Pol. Kol. Panya Karawanan berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu di pekan Taluban, ia mencederakan empat anggota polis dan dua orang sami Buddha.

Beliau berkata, bom tersebut merupakan buatan sendiri seberat 5 kilogram yang dipasang dalam kotak besi yang disembunyi dalam tong sampah dan diaktifkan menerusi alat walkie-talkie.

Pihak keselamatan telah memberi amaran supaya orang ramai berhati-hati ekoran semalam merupakan ulang tahun ke-55 penubuhan Barisan Revolusi Nasional, antara kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Dalam kejadian minggu lepas, sembilan orang termasuk tiga anggota renjer dilapor cedera apablia sebutir bom yang dipasang pada motosikal meletup di hadapan stesen kereta api Daerah Rusak, Narathiwat. - BERNAMA




Syed Hamid di AS raih sokongan isu Rohingya


SABTU, 14 MAC 2015 KUALA LUMPUR: Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar kini berada di Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu pihak tertentu dalam usaha mendapatkan sokongan untuk inisiatif OIC menyelesaikan isu Rohingya.

Selain bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon, Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar Malaysia turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Penasihat Khas PBB mengenai Myanmar, Vijay Nambiar dan wakil daripada Nonviolent Peaceforce, kata OIC dalam satu kenyataan.

Syed Hamid juga akan bertemu Prof Mohammed Abu-Nimer, Penasihat Kanan Pusat Antarabangsa Raja Abdullah Abdulaziz untuk Dialog Antara Budaya dan Antara Agama, di pejabat OIC, New York untuk membincangkan dialog penganut Islam dan Buddha yang akan dihoskan oleh Syed Hamid di sini, April ini.

Syed Hamid bersama Wakil Tetap OIC ke PBB Ufuk Gokcen juga akan mengadakan mesyuarat dengan Anggota Kongress AS Chris Smith yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil mengenai Afrika, Kesihatan Global, Hak Asasi Manusia Global dan Pertubuhan Antarabangsa.

Beliau juga dijadualkan bertemu dengan pegawai-pegawai Amnesty International, wakil Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusian PBB , Ketua Pengarah Kesatuan Rohingya Arakan Dr Wakar Uddin, seorang aktivis dengan New Burma Task Force USA Adem Carroll dan Setiausaha Agung Agama Untuk Keamanan Dr William Vendley.

Pada September tahun lalu, Kumpulan Penghubung OIC mengadakan satu mesyuarat mengenai isu Rohingya di New York dan menerima pelan tindakan yang disyorkan oleh Syed Hamid, yang menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan ke atas pihak menyebarkan kebencian dan mencetuskan keganasan.

Pelan itu juga menggesa supaya dialog antara komuniti dan antara agama, membenarkan mereka yang diusir kembali ke rumah masing-masing, melabur di dalam pembangunan sosio-ekonomi di wilayah Rakhine dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada masyarakat yang terjejas oleh keganasan etnik yang meletus pada 2012.

OIC yang berpangkalan di Jeddah berkata ia akan terus menggesa kerajaan Myanmar mengekalkan kerakyatan Muslim Rohingya, yang ditarik balik menggunakan Akta Kerakyatan 1982 dan mengadakan dasar telus dan inklusif terhadap kumpulan agama dan etnik termasuk Muslim Rohingya. - BERNAMA





China ancaman tindak balas susulan serangan Myanmar


TENTERA pemberontak Myanmar berkumpul di pangkalan tentera wilayah Kokang - Foto Reuters


AHAD, 15 MAC 2015 BEIJING: Tentera China akan mengambil langkah "muktamad" jika berlaku lagi serangan oleh tentera Myanmar di wilayah China, tegas seorang pegawai kanan tentera.

Kenyataan itu dibuat selepas bom yang dilepaskan pesawat Myanmar jatuh ke wilayah China dan membunuh empat rakyat negara itu.

Pasukan keselamatan Myanmar bertempur dengan pemberontak di sempadan China sejak bulan lalu dan China menggesa Myanmar mengendurkan keadaan.

Namun, Myanmar menafikan ada bom pasukan keselamatannya yang jatuh di wilayah China, sebaliknya menyatakan pemberontak mungkin menembak bom itu ke wilayah China untuk mencetuskan salah faham. Pemberontak tidak memiliki sebarang pesawat.

Tentera udara China sudah menghantar pesawat bagi meronda kawasan sempadan itu dan meningkatkan kawalan ruang udaranya.

China juga memanggil duta Myanmar untuk membantah insiden pengeboman itu.

China dan Myanmar berkongsi sempadan sejauh 2,000 kilometer dengan sebahagian besar adalah kawasan pedalaman yang sukar diakses. - Reuters





Boko Haram bakar rumah penduduk

TENTERA NIgeria dalam satu rondaan di kem pelarian Kabalewa - Foto AFP


ISNIN, 16 MAC 2015 KANO, Nigeria: Militan Boko Haram bertindak membakar rumah di bandar Bama di timur laut Nigeria yang kini dikuasai mereka, sekali gus memaksa penduduk melarikan diri ketika tentera mara untuk menawan semula bandar itu.

Militan terbabit memberitahu penduduk Bama yang terletak 70 km ke tenggara Maiduguri, supaya berpindah sebelum membakar banyak rumah ketika tentera Nigeria semakin hampir ke kawasan itu.

Pembakaran itu memaksa ratusan penduduk melarikan diri ke arah Maiduguri, ibu negeri Borno, iaitu bandar kelahiran dan kubu kuat kumpulan militan itu.

Boko Haram merampas Bama, bandar utama kedua di Nigeria, ketika menawan beberapa bandar dan kampung di timur laut Borno, negeri Adamawa dan Yobe yang bersempadan dengan Chad, Cameroon dan Niger.

Militan Boko Haram turut melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar berkenaan, memaksa beratus-ratus penduduk melarikan diri manakala yang lain masih terperangkap di sana.

Tentera Nigeria dibantu tentera dari Chad, Niger dan Cameroon sejak beberapa minggu ini mula menggempur kebanyakan kawasan yang dikuasai Boko Haram.

Nigeria berikrar untuk menawan semula semua wilayah yang diduduki Boko Haram sebelum pilihan raya umum pada 28 Mac. - AFP





Kurdis siasat dakwaan serangan senjata kimia IS


ISNIN, 16 MAC 2015 IRBIL, Iraq: Pegawai Kurdis di Iraq sedang menyiasat kemungkinan dua lagi serangan senjata kimia oleh kumpulan IS ketika pihak berkuasa Iraq menangguh serangan bagi menawan semula bandar kelahiran Saddam Hussein, Tikrit.

Dakwaan mengenai dua serangan senjata kimia itu kelihatan sama seperti yang didakwa oleh pegawai Kurdis bahawa makmal bebas mengesahkan militan IS menggunakan gas klorin dalam serangan nekad terhadap pasukan Peshmerga pada 21 Januari lalu.

Bagaimanapun, dakwaan mereka itu tidak disahkan badan antarabangsa.

Sebelum ini, pegawai Iraq dan Kurds yang bertempur di Syria membuat dakwaan sama bahawa militan IS menggunakan senjata kimia gred rendah terhadap mereka.

IS yang menguasai satu per tiga Syria dan Iraq, belum mengulas mengenai dakwaan itu. 




Operasi cari mangsa AirAsia QZ8501 ditamatkan

RABU, 18 MAC 2015 JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan baki mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas tahun lalu, ditamatkan dengan 56 orang masih belum ditemui, kata pegawai.

Pesawat QZ8501 terhempas dalam cuaca buruk ketika penerbangan yang dianggap pendek iaitu dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu mengorbankan kesemua 162 orang di dalamnya.

Nahas membabitkan pesawat Airbus A320-200 di Laut Jawa itu mendapat perhatian antarabangsa dengan pembabitan kapal laut dan pesawat dari beberapa negara bagi mengesan bangkai pesawat dan mangsa.

Misi mencari dihentikan secara berperingkat dalam beberapa minggu lalu, apabila kapal laut asing menamatkan tugasan dan juga tentera Indonesia yang menyediakan sejumlah besar anggota dan peralatan.





17 pelancong asing maut serangan di muzium Tunisia


IMEJ yang diambil daripada video menunjukkan pelancong berlari menyelamatkan diri sambil dikawal angota keselamatan bersenjata di Muzium Bardo, Tunisia. - Foto Reuters


KHAMIS, 19 MAC 2015 TUNIS: Kumpulan lelaki bersenjata dan beruniform tentera menyerbu masuk ke muzium nasional Tunisia semalam, menyebabkan 17 pelancong asing dan dua rakyat Tunisia terbunuh.

Mereka yang terbunuh ialah lima warga Jepun, Itali (4), Colombia (2) dan masing-masing seorang rakyat Australia, Perancis, Poland dan Sepanyol.

Serangan berlaku pada tengah hari di Muzium Bardo yang terletak di dalam pekarangan Parlimen di tengah ibu negara Tunisia yang dikawal ketat.

Serangan yang dianggap terburuk sejak Kebangkitan Revolusi Arab itu disahkan oleh Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid. Beliau membetulkan angka kematian awal 21 orang kepada 17 orang hari ini.

Kumpulan pelawat dan pelancong lain di muzium kemudian dijadikan tebusan di dalam muzium, demikian menurut seorang pegawai.

Pihak keselamatan menggempur masuk ke muzium dua jam kemudian dan membunuh dua militan dan membebaskan tebusan, demikian menurut jurucakap kerajaan.

Seorang pegawai polis dilaporkan maut dalam operasi berkenaan. - Reuters



Pengangkutan awam naik 20 hingga 67 peratus




KHAMIS, 19 MAC 2015 KUALA LUMPUR: Tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

Kenaikan tambang itu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Berdasarkan tambang baharu itu, penumpang teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini, manakala penumpang TEKS1M di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.

Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.

Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11.



Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu.” (QS. An-Nisa: 29)




Post a Comment