Supermuslimah: Wardina Safiyyah.

0 comments
"Mak, I don't need you! Saya model, saya boleh cari duit sendiri!"

            Itulah luahan si gadis yang bergelar pelakon dan model terkenal kepada ibunya sambil pergi meninggalkan rumah. Dilihat air mata ibunya menitis di pipi, namun ketika itu hatinya sudah menjadi keras sekeras batu. Ya, itulah figura yang bernama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot. Anak kacukan Acheh dan Australia yang merupakan selebriti terkenal Malaysia. Sepanjang perjalanan hidupnya sebagai remaja, beliau seolah-olah tercari-cari identiti dirinya dan tujuan sebenar beliau berada di dunia ini.



            Wardina dibesarkan di bawah jagaan dan didikan ibu bapa yang sangat menekankan suasana Islami. Ayahnya terkenal sebagai seorang penceramah agama manakala ibunya pula dikenali sebagai seorang ustazah. Namun semakin meningkat remaja, semakin banyak persoalan dan tanda tanya yang timbul dibenaknya tentang identiti dirinya yang sebenar. Tidak dinafikan bahawa ibunya ada menyuruh beliau melaksanakan ibadah-ibadah Islam seperti solat dan berhijab namun tidak pula menerangkan dengan sejelas-jelasnya tentang tuntutan dan sebab musabab untuk beliau melaksanakan ibadah-ibadah tersebut. Malah, keadaan persekitaran serta bahan bacaan berkonsepkan barat yang banyak dibacanya mula mempengaruhi pemikirannya sehingga beliau menganggap tuntutan ibadah yang disuruh oleh ibu bapanya itu adalah kolot dan kurang sesuai dengan dirinya yang berjiwa barat. Lalu beliau mula mengorak langkah dalam bidang lakonan dan permodelan sehingga nama beliau diangkat dan wajah beliau banyak terpampang menghiasi dada-dada akhbar dan majalah. Beliau tetap meneruskan minat beliau sekalipun tidak mendapat redha dari kedua-dua ibu bapanya.

            Dalam diam, tiada siapa tahu bahawa sekeping hati seorang ibu yang terguris dek perbuatan anak gadisnya itu tetap sayang, sedia memaafkan dan sabar mendoakan agar anak itu kembali ke jalan yang benar. Dan tiada siapa mampu menyangka bahawa Allah mendengar dan menerima doa tersebut serta memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang sekian lama bermain di benak anak gadis yang seolah-olah kehilangan arah itu, lalu mengetuk pintu hatinya dengan ketukan hidayah.

“Dan jika Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat sahaja, tetapi Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki…” (An-Nahl: 93)

            Lalu bermulalah episod penghijrahan dalam dirinya. Saat pertama kali hatinya disentuh hidayah Allah adalah apabila beliau menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Melihat kaabah yang terpampang di hadapan mata buat pertama kalinya, mengundang rasa sayu di hati namun pada masa yang sama memberi ketenangan yang sejati. Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau membawa bersama tekad di hati untuk melakukan penghijrahan sedikit demi sedikit, demi mencapai redha Allah. Beliau mulakan dengan memperbaiki mutu solatnya terlebih dahulu. Namun lama-kelamaan beliau merasakan beliau tidak cukup dipandang sebagai seorang wanita muslim seandainya beliau hanya memperbaiki mutu solatnya atau juga bacaan Al-Qur'an sahaja. Maka beliau mengambil keputusan untuk menzahirkan kecintaan beliau kepada Sang Pencipta dengan mula mengenakan hijab dan busana seorang muslimah. Subhanallah! Allah telah membuka jalan kebaikan buat beliau atas pilihan yang dilakukan oleh beliau sendiri. Benarlah Allah berfirman,

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami..." 
(Al-Ankabut: 69)

            Bermula dari detik itu, beliau sentiasa mengorak langkah ke hadapan dalam membentuk diri menjadi muslimah sejati. Segala jerit perih, tohmahan dan ujian yang menimpa dirinya tidak sedikit pun membantutkan usaha beliau dalam melakukan transformasi diri ke arah mencapai redha Allah. Dengan sokongan jitu daripada sahabat-sahabat dan keluarga yang sentiasa berada di sisi, beliau mampu membina kejayaan demi kejayaan sehingga beliau kini menjadi ikon muslimah sejati dikalangan wanita-wanita pelbagai peringkat usia, tidak hanya di Malaysia malah di serata dunia.



            Beliau yang merupakan seorang isteri dan juga ibu kepada 3 orang anak yang bernama Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi, sangat membudayakan Al-Qur’an sebagai penyubur kecintaan dalam keluarga beliau. Qur’an merupakan bahasa cinta antara beliau, suami dan anak-anak. Beliau bukan sahaja berjaya menjadi isteri dan ibu mithali yang berbakti kepada keluarganya sahaja, malah wanita yang kini sedang menuntut dalam jurusan psikologi ini juga merupakan seorang ikon aktivis wanita yang banyak keluar ke masyarakat dan menyentuh hati-hati di luar sana menerusi aktiviti-aktiviti sosial melalui pertubuhan-pertubuhan NGO. Kini beliau juga aktif sebagai pengacara rancangan-rancangan televisyen tempatan, menjadi ahli panel dan pengacara untuk majlis-majlis ilmu dan konvensyen-konvensyen Islami di peringkat nasional mahupun antarabangsa dan sebagainya. Beliau juga banyak berkongsi pengalaman, kisah hidup dan pahit manis ujian yang dihadapinya melalui penulisan, video dan lain-lain. Wardina juga telah berjaya menghasilkan dua buah buku menerusi penulisan kreatif beliau yang bertajuk Mama Saya Lapar dan Siapa Alien, yang menjadi antara buku-buku terlaris di kedai-kedai buku MPH.

            Kisah-kisah penghijrahan dan kejayaan beliau pastinya sangat banyak membuka mata dan menyentuh hati-hati di luar sana yang memerlukan motivasi ke arah melakukan perubahan. Tidak dinafikan dalam kisah hidup Wardina sendiri, kekuatan doa seorang ibu yang tidak mengenal penat lelah dalam mendoakan kebaikan buatnya menjadi salah satu sebab terbesar kepada kejayaan beliau pada hari ini. Dan semestinya semua perubahan ini tidak akan dapat dicapai jika beliau sendiri tidak mahu memulakan langkah pertama untuk keluar daripada zon 'selesa' beliau lalu mengorak langkah ke arah menjadi Supermuslimah. Tepat sekali firman Allah swt dalam Surah Ar-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud;

“...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri…” 

            Akhirnya beliau sudah menemui identiti dirinya yang sebenar dan mengenal tujuan hidupnya sebagai a’bid dan khalifah Allah. Itulah kemenangan yang terbesar dalam hidupnya.



“Hidup ini satu perjuangan. Life is a struggle. Mari berjuang untuk memperbaiki diri. Berjuang untuk mencari ilmu dan menghiasi diri dengan akhlak dan adab. Supaya InsyaAllah kita beroleh Taqwa dan mendapat ketenangan hakiki di dalam jiwa. Tidak cukup dengan hanya menjadi seorang Muslim. Kita seharusnya berjuang sedaya upaya, untuk menjadi seorang Mu’min!”
-Wardina Safiyyah.

Ya, Wardina Safiyyah sudah menemui identitinya sebagai Supermuslimah. Anda pula bagaimana? Mari ikuti kisah hidup Wardina Safiyyah dalam video ini;




Post a Comment