Cerita hidup kita, mahupun cerita hidup mereka,
Ada pelbagai ranjau dan pelangi yang ditemui,
Tapi novel hidup orang, kita selalu tatap dengan penuh menarik,
Novel hidup kita entah dicampak hilang ke mana,
Sampai lupa bahawa watak kita dalam novel sendiri bagaikan kaku tak bernyawa.
“Bila anak
saya kata nak jadi doctor, benda pertama yang saya tengok adalah biliknya dan
almarinya.”
Hairan. Apa
kaitan cita-cita menjadi doctor dengan bilik dan almari. Jujur aku bingung
dengan kenyataan cikgu sains jemputan
sekolah itu.
“Bila saya
tengok je bilik dan almari dia, saya kata: “kakak,I think doctor is not the
best choice for you.””
Wahai
cikgu, sesungguhnya saya memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Aku terus
merenung mata cikgu tersebut dengan harapan, cikgu akan menyambung kata-katanya
lagi.
“Awak tahu
kenapa saya cakap macam tu pada anak saya?”
Semua
menggeleng laju. Hebat gaya penghantaran cerita cikgu ini. Semua memberi focus
dan seakan-akan tertanya-tanya dengan kesudahan ceritanya.
“Sebab
bilik dan almari anak saya bersepah-sepah. Bagi saya, orang yang ingin
mendalami bidang Sains memerlukan pemikiran yang tersusun dan strategik.”
“Ooooo.”
Semua mengangguk seakan faham. Ada yang mengangguk seakan bersetuju dengan
pandangan cikgu tersebut.
Kecuali
aku. Aku tunduk ke bawah, kakiku cuba menguis-nguis permaidani yang dipasang di
dewan itu. Hakikatnya aku kecewa.
Sejak
sekolah rendah lagi, setiap kali cikgu-cikgu mengajukan soalan mengenai
cita-cita, aku dengan yakinnya menyebut doktor atau cikgu. Tapi jika benar
bidang Sains memerlukan orang yang kemas, aku adalah orang paling terakhir yang
layak untuk bidang ini.
Almari aku
bersepah. Baju asalkan terlipat dan tergantung seperti sepatutnya. Walaupun ada
waktu aku kagum dengan junior locker sebelah aku yang menyangkut baju-bajunya
mengikut warna, menyusun lipat setiap helaian baju mengikut saiz yang sama.
Aku cuba
untuk jadi seperti itu. Malangnya seminggu pun aku rasa tidak berjaya. Patutlah
mama selalu mengatakan bahawa dia keliru melihat anaknya ini berjantina
perempuan tetapi berperangai seperti jantan.
“Kakak dah
isi borang biasiswa?”
“Tak lagi.
Tak tahu nak pilih MARA ke JPA.”
“Ayah rasa,
better JPA. Akak fikirlah yang mana paling terbaik untuk akak. Nak minta bidang
apa?”
“Medic.”
Aku tenung muka ayah. Menjangkakan akan timbul persoalan, mengapa bidang
perubatan yang aku pilih.
“Ok. Good.
Moga tercapai cita-cita akak.” Ayah senyum melihatku dan aku pula terang-terang
mempamerkan muka keliru.
Hakikatnya,
aku tidak percaya itu respond ayah. Aku mengharapkan ayah akan bertanya panjang
mengenai cita-citaku ini. Namun, ayah hanya memberi sokongan padu tanpa berbelah
bagi.
Sebenarnya,
aku mengharapkan ayah mempersoalkan cita-citaku supaya aku goyah dengan
keputusan aku ini. Aku sendiri tidak yakin dengan diriku sendiri yang gila ini
mahu menjadi seorang doctor satu hari nanti. Malu. Malu bilamana ayah lagi
yakin dengan cita-citaku berbanding diriku sendiri.
“Ya Allah,
ma!”
Aku yang
seronok menonton cerita Korea di atas katil, segera memandang abangku yang
menjerit memanggil mama di muka pintu bilikku.
“Kenapa?”
Mama dengan segeranya datang seperti mana Superman terbang segera apabila
mendengar jeritan memohon pertolongan.
“Entah
abang. Kenapa?” Aku tak tahu kenapa abangku mengada-ngada menjerit memanggil
mama. Abang sememangnya suka berdrama tapi mungkin sebab rupa paras yang tidak
berapa kacak makanya abang tidak sesuai untuk menjadi pelakon.
“Mama,
tengok bilik kakak ni. Macam tongkang pecah.”
“Biasalah
tu abang. Mama tak larat nak berleter dah. Kalau mulut mama ni ada pasang
skrew, dah lama skrew tu longgar dan tercabut.”
“Kenapa?
Akak tengok bilik ni okey je.” Aku melihat setiap penjuru bilikku. Kosong
rasanya. Hanya ada katil, almari dan meja.
“Cubalah
hias susun macam bilik anak perempuan. Ini kosong je mama tengok. Kalau tetamu
datang dan tak buka almari baju, confirm dia tak tahu ni bilik abang ke bilik
kakak.”
“Patutlah
kakak boleh ambil medic. Hidup pon bersepah.” Sambung abang aku. Mulutnya
celupar betul. Kalau boleh aku cilikan, dah lama aku buat.
“Apa kaitan
pula medic dengan bilik aku?” soalku dengan penuh rasa tak puas hati.
“Ye la. Kau
boleh focus seratus peratus untuk belajar medic semata-mata. Tak susah-susah
bazir masa nak mengemas. Budak medic kan selalu tak cukup masa. Nanti bila kau
dah kerja, kau balik on call penat-penat pon kau mampu tidur lena walaupun ada
selonggok lagi baju kau yang tak dilipat.”
“Dah. Tak
payah membebel macam mak nenek. Sekarang keluar dari bilik kakak.” Aku menolak
abangku keluar dan menutup pintu.
Dulu waktu
sekolah, cikgu kata orang yang nak belajar bidang perubatan perlukan orang yang
kemas dan tersusun. Hari ini, abangku pula dengan falsafahnya bahawa orang yang
bersepah macam aku hakikatnya sangat sesuai untuk berada dalam bidang
perubatan.
Oh, iye.
Aku kini di tahun akhir bidang perubatan. Aku sememangnya anak nombor dua yang
terkenal dengan kedegilannya yang tak boleh digoyah. Aku tetap dengan kedegilan
untuk memilih bidang perubatan walaupun aku sedikit goyah selepas mendengar
kata-kata Cikgu Sains tersebut dulu.
Sampai kini
aku tetap juga tiada keyakinan seratus peratus pada diri aku sendiri. Bila
gagal ujian dalam kelas, aku akan pulang termenung di atas katil, apakah medik ini adalah keputusan terbaik yang aku buat. Kemudian aku tertidur dan bangun
seakan tidak pernah ada penyesalan.
Bila mana
aku melihat kawan-kawanku dengan pantasnya mengingati segala fakta Sains, otak
aku pula menjerit memohon oksigen dan bantuan kerana aku lemah dalam menghafal
dan cepat dalam mengira. Sedangkan bidang perubatan memerlukan otak fakta dan
bukannya otak mengira. Dan untuk kali keberapa aku mepersoalkan diri sendiri
kenapa aku menolak tawaran ke Maktab Perguruan dalam bidang matematik.
Aku mungkin
sentiasa keliru, sentiasa mempersoalkan akan kebolehan sendiri, namun aku
sentiasa berdoa pada Tuhan, semoga terus diberi kekuatan untuk berjuang dan
pulang berkhidmat pada masyarakat suatu hari nanti. Doakan aku dan kawan-kawan
di tahun akhir bidang perubatan ini.
DAN ANDA? TERUSKAN DENGAN CITA-CITA ANDA WALAUPUN PELBAGAI KERAGUAN DATANG MENGGOYAHKAN KETEGUHAN ANDA. :)
JANGAN SENTIASA MENAGIH KEPERCAYAAN ORANG LAIN
AKAN KEBOLEHAN DIRI KITA, JIKA KITA SENDIRI RASA GOYAH. HAKIKATNYA KITA AKAN
SENTIASA TIDAK PERCAYA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI SEHINGGA KITA BERJAYA
MELAKUKANNYA.
Post a Comment