Tangisan untuk Dia

0 comments

Menangis itu mudah, atau mungkin juga sukar. Tidak terkecuali, terdapat segelintir yang berpendapat menangis menjatuhkan maruah diri. Ketahuilah, tangisan kepada Pencipta adalah tangisan yang dirindui.

Risaulah jika kita tidak berdaya untuk menangis, risaulah kita kerana mungkin hati ini sudah mati.
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah tangisan yang lahir dari jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Allah, ataupun gerun kepadaNYA.

Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. 
Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.

Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.

Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)
“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).

Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)
“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” .
(Surah al-Isra`: 107-109)

Cuba dan pujuklah hati kita untuk menangis. Carilah kerinduan kita pada Allah. Biarpun ia adalah tangisan yang dibuat-buat pada awalnya, semoga mata dan hati kita akan menangis dengan sendirinya di kemudian hari bagi menunjukkan cinta dan kasih kita kepada Allah.

Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan Allah pada hari akhirat kelak, salah satunya:
“Lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” .
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sumber rujukan ; Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menangislah wahai mata.


Post a Comment