Usah lupa, mereka masih ada kita.

0 comments

Istanbul, cuti musim sejuk.

Jam sudah beranjak ke angka 9. Ini bermakna sudah dua jam aku menapak tanpa tuju, terpisah dari mereka. Tangan dan muka yang terdedah pada suhu -2 mulai membeku. Aku letih. Penyesalan menghentamku bertubi- tubi. Kalau sahaja aku tidak terlalu leka di Taksim Square tadi, tentu sahaja saat ini aku sedang menikmati makan malam bersama mereka. Kalau sahaja aku tidak meminta Mira, rakan se-rombonganku menyimpan dompetku, tentu sahaja aku tidak perlu berkelana. 
Kalau sahaja aku tidak cuai meninggalkan telefon bimbit, tentu sahaja aku masih bersama rombogan. 

Ahh...berbicara tentang kalau hanya menambah galau sekeping hati. Kaki aku sudah tidak kuat untuk melangkah lagi. Aku berhenti. Di hadapanku tersergam Masjid Biru. Kebanggaan  warga Turki itu aku pandang sepi, langsung tidak mampu mengubat resah. Kenapa Tuhan mengabaikan aku?

Pasrah...aku duduk memeluk lutut di atas kerusi berhampiran masjid. Sejuk semakin mencengkam tubuh, walau dibalut lapisan tebal winter coat. Aku memandang sepi manusia yang melewati, mereka tidak mampu membantuku, bisik hati. Aku menekan-nekan perut yang minta diisi. Tanpa sedar, air mata mengalir laju membasahi pipi. Di manakah Tuhan saat ini?

"Nah...saya cuma ada roti"...sapa si kecil dalam loghat arab yang pekat, tangan masih disuakan kepadaku. Roti keras itu aku ambil dan dengan rakus aku habiskan. Kemudian, dia kupandang hairan. Tidak sejukkah dia yang hanya berbaju nipis, namun soalan sekadar berlegar di benakku. Berbekalkan bahasa arab yang aku pelajari dulu, aku tanya siapa namanya dan masih dengan senyum dia menjawab "Ahmad...dan kakak?"..."Aisyah",ringkas aku menjawab..."Ahmad dari Istanbul?", sengaja aku tanya kerana rupanya tidak mirip wajah tempatan. Senyumnya mati. Dia berdehem kecil  sebelum menjawab , "Saya bukan dari sini, saya dari negara yang sedang berdarah, Syria".
Tuhan, sebenarnya apa rencanaMu?

Aku tergamam. Belum sempat aku membalas, telingaku jelas menangkap suara seseorang yang sangat aku kenal, Abang Badrul!, ketua rombongan kami. Dia bersama yang lain berlari anak menghampiri aku, seraya bertanya keadaanku. Mereka mengelilingi aku. Ada yang menghulur kopi di tangan, ada juga yang melilitkan mafla di leherku. Saat itu,hanya Tuhan yang mampu mengukur syukur di dalam hati seorang aku yang sering futur.  Ahmad yang berdiri agak jauh dariku  hanya memandang. Aku juga seakan lupa kehadiran dia di situ padahal dialah yang pertama menghulur di saat aku sangat memerlukan.


Tatkala aku mahu bersuara memperkenalkan Ahmad, Abang Badrul terlebih dahulu mengusir dia sambil bersuara keras mengingatkan kami, "Jangan ada sesiapa menghulurkan duit pada kanak-kanak pengemis di sini...mereka berbahaya, mereka hanya pelarian yang terdesak perlukan duit. Sekali kita bagi, mereka pasti datang meminta lagi". Aku hanya membatu, menghadam nasihat buta sambil melirik anak kecil itu berlalu pergi. Sejujurnya, aku terlalu mahu mengejar sosok kecil itu namun kaki aku seolah terpasak di bumi, mulut aku terkunci. Dari belakang, aku lihat tubuh kecil itu menggigil. Aku tidak pasti, sama ada dia kesejukan, atau sedang  menangis hiba, lantaran dilayan hina persis hamba. Itulah kali terakhir aku melihat dia. Inikah pengajaran buatku, Tuhan?

Sejak kejadian itu, aku lebih banyak mengunci bicara, memberi ruang kepada hati untuk merasai. Mungkin juga kerana aku mulai faham, bukan Islam tidak boleh menang, bukan Tuhan tidak membuka ruang, tapi kerana kita sibuk mencipta jurang, sehingga lupa pada peluang. Kita sibuk menghukum, kita sibuk bicara, sedang perbuatan kita tidak sehala. Kita banyak berpura. Kau rasa Tuhan tidak berkuasa ke atas kita?

Ahmad, aku tahu kau bukan lari, tapi kau tidak mampu kembali. Ahmad, kau sebenarnya bebas berjiwa keras, sedang aku pengemis yang sering menangis lewat ujian. Moga rahmat Tuhan sentiasa bersamamu. Dan buatmu Syria, maafkan kami kerana terlalu selesa sehingga mengabaikanmu yang kian terseksa. Janji Tuhan, Syria pasti akan bernafas bebas!

P/s: gaiss..jangan lupa doakan saudara kita, kerna bila tiba masa kita akan ditanya J



Post a Comment

Tangisan untuk Dia

0 comments

Menangis itu mudah, atau mungkin juga sukar. Tidak terkecuali, terdapat segelintir yang berpendapat menangis menjatuhkan maruah diri. Ketahuilah, tangisan kepada Pencipta adalah tangisan yang dirindui.

Risaulah jika kita tidak berdaya untuk menangis, risaulah kita kerana mungkin hati ini sudah mati.
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah tangisan yang lahir dari jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Allah, ataupun gerun kepadaNYA.

Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. 
Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.

Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.

Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)
“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).

Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)
“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” .
(Surah al-Isra`: 107-109)

Cuba dan pujuklah hati kita untuk menangis. Carilah kerinduan kita pada Allah. Biarpun ia adalah tangisan yang dibuat-buat pada awalnya, semoga mata dan hati kita akan menangis dengan sendirinya di kemudian hari bagi menunjukkan cinta dan kasih kita kepada Allah.

Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan Allah pada hari akhirat kelak, salah satunya:
“Lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” .
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sumber rujukan ; Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menangislah wahai mata.


Post a Comment