• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

TAK PERLU BERCITA-CITA SAMPAI KE BULAN

0 comments
Lemahnya langkah hari ini,
Kuatkanlah dengan nasihat-nasihat hari semalam.
Kuatnya hari ini,
Lantaran gigihnya bangkit selepas terjelepok hari semalam.

 “Tak ada seorang pun dapat menjawab soalan mudah saya hari ni.” Tersedar aku daripada lamunan yang panjang.
“Kenapa, sir? Soalan senang yang mana satu sir maksudkan?”
Hakikatnya, aku tidak faham dengan penyataan sir.
Sepanjang aku menjadi partner sir untuk mock interview hari ni, sememangnya rata-rata soalan yang diajukan nampak mudah tapi susah untuk dijawab buat orang yang di interview.

Tak percaya? Kalau disoal siapa nama awak, tapi debaran di dada lagi tinggi kadar kelajuannya daripada kadar kelajuan kapal terbang, silap-silap nama sendiri pun boleh tergagap-gagap untuk disebut. Itu ok lagi. Kalau lupa terus nama sendiri macam mana.


“Saya sedihlah kalau semua student saya macam ni. Tak ada lagi setakat ni saya nampak yang bercita-cita tinggi.”
“Ishhhh.. sir biar betul? Doctor, engineer, pharmacist tu tak cukup bercita-cita tinggi ke sir?”
“Hahaahaha. Muka awak dah berkerut macam nenek kebayan dah.”
“Ishhhh, sir. Yang tu juga sir perhatikan. Jelaskan lagi sir. 
Saya betul-betul tak faham.”

Dengan Sir Hamid, aku selalu rasa selesa. Setiap anak muridnya dilayan tak ubah seperti anaknya sendiri. Marahnya sir tak ubah seperti marahnya seorang ayah untuk kebaikan anaknya.
.

“Kalau setakat bercita-cita nak jadi doctor, pharmacist atau engineer, itu cita-cita biasa. 
Budak-budak tadika pun mampu bercita-cita macam tu. 
Malulah budak sekolah menengah punya cita-cita macam kanak-kanak tadika.”

“Hahhhh??? Cita-cita dari zaman kanak-kanak la yang cuba diteruskan sampai sekarang. Itu menunjukkan cita-cita yang berterusan sir.”

“Wooootttt, wooottttt… hahahaha. Sir boleh nampak kesungguhan awak meneruskan cita-cita awak untuk menjadi doctor daripada zaman tadika sampai sekarang.”
“Sirrrrrrrrr!!!!!!” Kecil hati seketika diperli sedemikian rupa.
 Tapi tidaklah sampai jadi nanah dalam hati.
“Ok. Sir serah diri untuk hukuman soal jawab sampai pengsan.”
“Hahahaha. Ok, sir yang serah diri. Saya tak paksa. 
Jangan menyesal!” ku goyang-goyangkan jari sebagai tanda amaran.

Sejak menjadi ahli alumni sekolah, aku perhatikan cara sir berinteraksi dengan kami lebih kepada sesi ayah dan anak. 

Banyak nasihat dan pengajaran kehidupan.
“Ok. Jadinya, soalan pertama apakah?”
“Soalan pertama. Mengapakah pelajar sekolah menengah tak boleh bercita-cita macam kanak-kanak tadika?”
“Untuk soalan ni, sir akan jawab dengan soalan juga. 
Kenapa awak sekarang sambung belajar di INTEC?”
“Sebab nak fly ke Russia.”
“Kenapa nak fly?”
“Supaya dapat sambung belajar dan jadi doctor.”
“Kenapa mesti di luar negara? Kenapa mesti nak jadi doctor?”
“Sebab saya nak perhatikan dunia luar. Saya tak nak terus berada di zon selesa. Saya nak kutip pengalaman hidup di sana supaya saya akan pulang sebagai seorang yang lebih berfikiran terbuka dan berdikari. Dan kenapa doctor? Sebab saya nak rawat orang-orang sakit. Kalau boleh bukan setakat sakit fizikal tetapi juga sakit rohani mereka. “
“Lagi?”
“Saya tak nak jadi doctor yang biasa-biasa tapi doctor yang luar biasa. Kalau tak luar biasa di mata manusia, biar luar biasa pada pandangan Allah.”

“ Exactly. Itulah jawapan yang sir tunggu sepanjang mock interview tadi.”
Berkerut dahiku memahami. Alamatnya, memang aku bakal jadi nenek kebayan dalam usia yang muda.

“Setiap orang dengan yakinnya beritahu cita-cita mereka untuk menjadi seorang doctor, engineer, guru dan lain-lain. Itulah yang dimaksudkan cita-cita sejak zaman kanak-kanak. Tetapi cita-cita awak untuk jadi doctor luar biasa itulah yang jadi membezakan cita-cita biasa dan cita-cita yang tinggi.”

“Maknanya?” Rasanya aku sudah hampir mengerti tapi masih memerlukan penjelasan yang lebih lanjut.

“Contohnya, untuk menjadi guru, semua orang mampu. Asalkan rajin belajar, dapat peluang masuk maktab atau universiti, kemudian pegang kapur mengajar. Tapi tak semua guru adalah guru yang benar-benar ingin pelajarannya menyerap masuk ke hati pelajarnya. Tak semua guru yang meletakkan pelajarnya sebagai keutamaanya. Semua orang boleh jadi guru, tapi tak semua boleh jadi guru yang punya cita-cita yang tinggi. Faham ke?”.Tanya sir.

“ Maksud sir, kalau dalam hal saya, semua orang boleh bercita-cita untuk menjadi doctor kalau rajin baca buku, score tinggi exam, dapat biasiswa dan sambung belajar medic. Tapi tak semua mampu jadi doctor yang bukan setakat pergi kerja, rawat pesakit, on call dan sebagainya tetapi seorang doctor yang merawat pesakitnya sambil mengingatkannya tentang sakit dan sihat itu urusan Allah, berjaga malam on call dengan harapan Allah memandang tulus murni hatinya untuk membantu. Macam tu ke sir?”

“Tepat sekali. Makanya, di sini yang penting untuk menentukan cita-cita itu biasa atau luar biasa.” Kata sir sambil jarinya menunjukkan ke arah hati.
“Tak perlu bercita-cita untuk sampai ke bulan barulah dikatakan sebagai cita-cita yang besar.
 Tapi hati dan jiwa yang besar itu menjadikan cita-cita itu besar.” Senyum sir.


Aku perbetulkan stetoskop yang tergantung di bahu. 
Kisah waktu dahulu selalu aku jadikan motivasi pada hari ini.
Berkot putih, menggenggam kemas stetoskop. 
Bukan bidang pekerjaan yang kita pilih menjadi keutamaan tetapi cita-cita kita. Senyum. Ya, cita-citaku adalah merawat pesakit-pesakit agar mereka kembali sembuh. Agar senyum yang pudar itu kembali bercahaya. Bukan setakat penyakit jasmani, tetapi penyakit rohani juga ingin kurawat sekali.

Hidup mana mungkin tanpa cita-cita,
Sedangkan burung bercita-cita untuk terbang tinggi dan sejauh mungkin,
Sedangkan kanak-kanak kecil juga pandai bercita-cita tinggi,
Cuma kitalah penentunya,
Apakah cita-cita itu akan terlaksana,
Atau terus kekal sebagai angan-angan Mat Jenin.
Pasakkanlah cita-cita kepada Allah,
Insha Allah akan didorongkan jalannya.

“Kawan-kawan, jom. Lecturer dah ajak pergi jumpa patient.”
“Jom!”
Melangkah bersama rakan-rakan ke arah satu cita-cita yang sama. Hakikatnya, ukhwah ini jugalah yang menguatkan usaha ke arah cita-cita kami. Lantaran saat merungut dan sedih, ada telinga yang sudi mendengar. Saat jatuh tersungkur, ada tangan-tangan yang menghulurkan bantuan. Sesungguhnya jiwa dan hati sahabat-sahabat ini terlalu penuh dengan kasih sayang sehingga melimpah dan terpercik padaku. Terima kasih untuk kasih sayang yang diilhamkan dari Tuhan.


Langkah harus diteruskan ke hadapan tetapi ada waktu tidak mustahil untuk tetap memandang ke belakang agar tidak tercicir hikmah-hikmah kehidupan.



P/S: Salah dan silap mohon dimaafi. Apa yang terkurang mohon diteguri. 


Read more

FRIDAY WRAP (1/11/2014 - 7/11/2014)

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Jumaat.

AZAM Russia kini kembali dengan membawakan anda berita-berita terkini dari seluruh dunia.




Sinar Harapan Buat Muslim Rohingya. Terbelakah Nasib Mereka?

1 November 2014



MYANMAR – Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merangka satu resolusi menggesa kerajaan Myanmar supaya memberikan status kewarganegaraan penuh kepada penduduk Muslim Rohingya.

Resolusi ini memandang serius akan status rakyat Rohingya, menuntut kebebasan dan hak mereka untuk memegang identiti sebagai rakyat sah negara itu.

Sehingga kini, 1.3 juta rakyat Rohingya dinafikan hak dan status kewarganegaraan mereka, ratusan daripada mereka dibunuh, dan selebihnya menjadi pelarian di negara-negara jiran. Malahan, pihak berkuasa Myanmar secara rasminya mengiktiraf rakyat Rohingya sebagai pendatang asing.

Namun begitu, ketidakadilan yang berterusan ini bakal membejatkan usaha kerajaan untuk menjadikan Myanmar sebagai sebuah negara berimejkan demokrasi di mata dunia.


























Vijay Nambiar, Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB menyatakan bahawa kerajaan Myanmar bakal menghadapi tekanan yang besar berkaitan isu ini. Keberangkalian rakyat Rohingya untuk mendapatkan keadilan kelihatan tipis, namun mungkinkah melalui suara-suara keadilan dari seluruh dunia mampu mengubah segalanya ? Adakah resolusi ini mampu memberikan mereka suatu sinar harapan ataupun masih, penderitaan berpanjangan? 






Arab Saudi Tidak Mahu Rakyatnya Berjihad Di Syria

3 November 2014


RIYADH – Kerajaan Arab Saudi menyatakan bahawa peperangan menentang presiden Syria, Bashar al-Assad sebagai satu perjuangan yang penting untuk masa depan Timur Tengah, tetapi tidak harus diperjuangkan oleh anak muda mereka.

Kerajaan Arab Saudi menggunakan media dan masjid-masjid sebagai medium untuk menyampaikan mesej kepada rakyatnya dengan menyatakan bahawa perjuangan kumpulan radikal seperti ISIS adalah sia-sia dan sesiapa yang menyertainya akan mengalami suatu pengalaman ngeri.

Meskipun Arab Saudi menghalang pengerahan rakyatnya untuk berjihad menentang Bashar, mereka masih memberikan bantuan kewangan dan bekalan senjata kepada pejuang di Syria dan dianggarkan bahawa seramai 25 ribu rakyat Saudi masih berjuang.



Ali al- Afnan, seorang pakar psikologi yang bekerja di bawah program deradikalisasi menyatakan bahawa buat masa ini, strategi mereka adalah dengan menggunakan ahli keluarga sebagai penghalang buat mana-mana individu yang bercadang untuk berjuang di Syria.



Mengimbau kembali sejarah pada era 80-an, sewaktu peperangan Mujahidin menentang tentera Soviet di Afghanistan, rakyat Arab Saudi turut menyertai peperangan ini dengan sokongan kuat dari pihak kerajaan.  





Sekatan Memasuki Masjidil Aqsa Masih Diteruskan

3 November 2014






PALESTIN – Tentera Israel menghalang rakyat Palestin dari memasuki Masjidil Aqsa, menutup hampir kesemua pintu masuk, dan tidak membenarkan lelaki Palestin berumur 40 tahun ke bawah dari memasuki masjid ini.

Wanita dibenarkan untuk memasuki perkarangan Masjidil Aqsa tetapi dipaksa untuk menyerahkan kad pengenalan mereka kepada tentera Israel.

Pada 29 Oktober yang lalu, seorang aktivis sayap kanan berbangsa Yahudi, Yehuda Glick telah ditembak oleh seorang suspek berwarganegara Palestin.

Ekoran serangan tersebut, tentera Israel menggempur rumah suspek, Muataz Ibrahim Hijazi dan melepaskan 20 das tembakan.

Tentera Israel kemudiannya mengambil langkah menutup perkarangan Masjidil Aqsa buat pertama kalinya sejak beberapa tahun lalu berikutan kes penembakan Glick, yang menyebabkan Presiden Mahmoud Abbas untuk melabelkan langkah tersebut sebagai satu deklarasi perang.







Hamas Menentang Pelan Pembangunan Semula 

PBB

3 November 2014







GAZA – Hamas menyatakan rasa tidak puas hati terhadap rancangan pembangunan semula Semenanjung Gaza ekoran perang 50 hari menentang tentera zionis Israel pada musim panas yang lalu.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan rancangan PBB tersebut sebagai “tidak boleh diterima dan tidak efisien”.

PBB mengumumkan pelan tersebut pada September lalu, dengan perancangan untuk membawa masuk bahan-bahan pembinaan semula tanpa melibatkan Hamas.

Walaupun tidak berpuas hati dengan rancangan tersebut, Abu Zuhri tidak memberikan sebarang tanda bahawa Hamas akan mengganggu proses penghantaran masuk bahan-bahan tersebut.

Utusan PBB, Robert Serry baru-baru ini membawa masuk sumbangan dari kerajaan Qatar sebanyak USD 30 juta untuk membayar ribuan kakitangan awam Hamas yang tidak menerima gaji sewaktu peperangan yang lalu.










Syarat Baru Air Zam-Zam dalam Penerbangan

3 November 2014





JEDDAH – Para penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan syarat baru yang menghadkan jumlah air zam-zam yang boleh mereka bawa dalam penerbangan.

Sebelum ini, setiap penumpang dibenarkan membawa semaksimum 10 liter air zam-zam dalam setiap penerbangan, tetapi undang-undang terbaru hanya membenarkan sebanyak 5 liter sahaja.

Seorang penumpang, Ali al-Zahrani berkata bahawa syarat baharu berkenaan air zam-zam sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu pada tiket penerbangan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dialami oleh para penumpang.

Sementara itu, seorang pegawai penerbangan Saudi Arabian Airlines menjelaskan bahawa syarat tersebut telah ditetapkan oleh General Authority for Civil Aviation (GACA) dan bukannya oleh syarikat penerbangan.





Syarikat Perancis Memasarkan Kit Halal

5 November 2014






PARIS – Sebuah syarikat Perancis, Capital Biotech telah memasarkan sejenis alat dinamakan sebagai “Halal Test” yang mampu mengesan protein babi dalam makanan. Alat ini hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja untuk digunakan.

Sejak dilancarkan dua minggu lalu, syarikat ini telah menerima tempahan bernilai USD 135,000 dari negara-negara seperti Turki, Chile dan Indonesia, menurut pengasas bersama syarikat Capital Biotech, Jean-Francois Julien.

Kit pakai buang ini bernilai sebanyak 6.90 euro seunit dan fungsinya hanya terhad kepada mengesan protein babi dalam produk makanan. Maklumat-maklumat lain untuk menentukan status halal sesuatu produk seperti cara penyembelihan adalah tertanggung atas inisiatif pengguna sendiri.

Untuk menggunakan kit ini, pengguna haruslah mencampurkan sedikit sampel makanan dengan air panas, dan seterusnya celupkan alat ini ke dalam campuran tersebut. Selepas 10 minit, pengguna boleh mendapatkan keputusan ujian tersebut.

Pada tahun 2011, 5 juta penduduk Islam Perancis telah dilanda dengan skandal makanan berikutan terdapat produk sosej halal mereka yang disahkan mengandungi daging babi.





Amnesti : Tindakan Israel di Gaza Satu Jenayah Perang

5 November 2014


























JERUSALEM – Amnesti Antarabangsa menuduh Israel melakukan jenayah perang dalam peperangan di Semenanjung Gaza musim panas lalu, dengan menyatakan bahawa Israel menunjukkan sikap acuh tak acuh dan ketidakperikemanusiaan dengan menyerang kawasan yang berpenduduk padat.

Tentera Israel telah melancarkan serangan udara, artileri dan infantri secara berterusan di Gaza mengorbankan 2100 orang rakyat Palestin termasuk orang awam.

Sepanjang 50 hari pertempuran, Hamas melakukan serang balas roket dan mortar ke perkampungan dan bandar Israel termasuk Tel Aviv, serta menggunakan rangkaian terowong yang sofistikated untuk menyerang perkhemahan tentera Israel berhampiran sempadan Gaza di selatan Israel.  

“Laporan mendedahkan bahawa corak serangan tentera Israel jelas tidak menghiraukan nyawa orang awam Palestin. Mereka tidak diberikan sebarang amaran menyebabkan tiada peluang untuk mereka melarikan diri dari kawasan konflik,” kata Philip Luther, Pengarah Program Amnesti Timur Tengah dan Afrika Utara.





Kempen Suntikan Vaksin Influenza Dilancarkan

6 November 2014






RIYADH – Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Rabu mengumumkan kempen suntikan vaksin influenza di seluruh negara dalam satu sidang akhbar di ibu pejabatnya di Riyadh.

Penolong Timbalan Menteri Perubatan Pencegahan, Dr. Abdullah Asiri berkata dalam pembentangan beliau di persidangan itu, "Kempen ini bertujuan untuk memberikan vaksin kepada setengah juta penduduk yang berisiko tinggi menerima kesan yang buruk ekoran jangkitan virus selesema bermusim. Kumpulan yang disasarkan adalah pekerja sektor kesihatan, wanita hamil dan penghidap penyakit kronik.”

Sementara itu, Dr Aisha Al-Shammari, pengarah Program Imunisasi Nasional, dalam pembentangan beliau menambah: "Drive ini merangkumi kempen kesedaran untuk mendidik orang ramai, serta beberapa siri konferensi perubatan mensasarkan pekerja-pekerja kesihatan yang merawat kumpulan berisiko tinggi untuk memastikan mereka mempunyai maklumat terkini mengenai vaksin dan keberkesanannya dalam mengurangkan risiko komplikasi serius akibat jangkitan.”

Respon tubuh badan manusia terhadap virus influenza menurun dari masa ke masa. Oleh yang demikian formula vaksin itu sendiri ditinjau oleh WHO pada setiap musim dan dikemas kini untuk bersaing dengan virus influenza yang sentiasa berubah.

Dr Asiri berkata bahawa pengambilan vaksin tersebut akan membantu individu yang dijangkiti dengan virus MERS-CoV. Dr Al-Shammari berkata kementerian telah mendapatkan lebih dari satu juta vaksin untuk diedarkan ke seluruh negara.




Janji Israel Buat Jordan

7 November 2014


























TEL AVIV - Israel berjanji kepada Jordan untuk tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk beribadat di kawasan Masjidil Aqsa selepas ribuan ekstremis Yahudi mengadakan perarakan besar-besaran.

Jordan menarik balik dutanya selepas satu konfrontasi tegang meletus antara polis Israel dengan rakyat Palestin yang berusaha menghalang kunjungan pelampau Yahudi ke Masjidil Aqsa.

Status Jordan sebagai pemelihara kawasan masjidil Aqsa dan beberapa tempat suci Islam yang lain di timur Jerusalem telah diabadikan di dalam perjanjian damai pada 1994 antara kedua-dua buah negara.

Berikutan itu, Benjamin Netanyahu menghubungi Raja Abdullah II secara peribadi meyakinkan beliau bahawa tidak akan ada sebarang perubahan terhadap status quo yang sedia ada.

Di bawah status quo yang telah disepakati, orang Yahudi dibenarkan untuk melawat kawasan Masjidil Aqsa tetapi tidak boleh beribadat di sana kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan di tempat yang paling sensitif di Jerusalem ini.



Sekian sahaja untuk minggu ini. Wallahualam.


" Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Dan benar-benar akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan buah-buahan, dan berilah khabar gembirabagi orang-orang yang sabar, (yakni) yang apabila mereka ditimpa musibah mereka mengatakan " Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya kami kembali." 

(Surah Al-Baqarah : 155-156) 



Read more

RESEPI LAKSA PENANG PALING SENANG DI DUNIA ALA RUSSIAN STYLE

0 comments



Bismillah.
Assalamualaikum wbt.
Adakah antunna terkenal sebagai "hantu laksa"? Kalau dapat makan laksa , memang tidak ingat dunia. Nasi, pandang sebelah mata pun tidak mahu. Adakah antunna tiba-tiba teringin menikmati keenakan laksa di tengah-tengah bumi Russia ini? Alhamdulillah, kali ini team kulinari Azam akan membawakan satu resipi mudah untuk semua. Resipi ini sangat sesuai untuk musim sejuk yang akan menjelang tidak lama lagi. Bahan-bahannya amatlah mudah untuk didapati. Dan mungkin sahaja bahan-bahan ini ada di dalam peti sejuk antunna sekarang. 





Bahan-bahan:

  •       Bawang besar
  •      Bawang putih
  •      Halia
  •      Cili kering segenggam
  •      Cili padi(kalau tidak ada sudah cukup dengan hanya cili kering)
  •      Asam keping atau asam jawa
  •      Mi Spaghetti
  •      Satu tin sardine atau skumbria



Satu tin sardine atau skumbria
(boleh lebih dari satu tin)

·        
 Halia
(kalau tidak ada,guna serbuk halia pun ok)

·        

Cara-cara:

1) Pertama sekali , blend satu biji bawang besar, 4-5 ulas bawang putih,
    halia(atau serbuk), udang kering (kalau ada), cili kering dan cili padi.
2) Tumis bahan yang telah diblend tadi dan masukkan asam keping.
3) Kemudian , blend sardine atau skumbria bersama sedikit air dan masukkan 
    ke dalam tumisan tadi.
4) Tambahkan sedikit air dan letak garam secukup rasa.
5) Rebus mi spaghetti sehingga lembut, kemudian basuh dengan air sejuk untuk
    mengelakkan mi melekat.
6) Boleh dihidang bersama hirisan bawang besar, timun, 
    lemon(atau limau nipis) , nanas, telur rebus, dan juga cili.
7) Akhir sekali letakkan love <3 sebagai penaik selera(n_n)


Sekian sahaja. Selamat mencuba!
Wallahu'alam.



Read more

Demi Masa.Cukupkah 24/7.

0 comments
24/7.Cukup ke??

Bismillahirrahmanirrahim..

                  Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Jawapan yang paling tepat untuk setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini adalah masa lalu. Soalan untuk diri kita sendiri sebagai seorang pelajar adakah kita sudah benar-benar memanfaatkan masa kita dengan baik? Pernahkah kita berasa menyesal dengan hari-hari yang telah berlalu? Dan yang paling utama adakah kita benar-benar menghargai masa yang kita ada?

” Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.” (Al-‘Asr : 1-2)

                  Astaghfirullahal’azim. Jadi tidak dapat tidak,kita wajib untuk menyusun masa dimana salah satu usaha bagi kita untuk mencapai cita-cita utama iaitu untuk menjadi insan yang kamil.



1.Dahulukan perkara yang penting
Penting untuk kita menulis segala apa perkara yang perlu dilaksanakan seperti usrah, telefon ibu bapa, kerja rumah dan lain-lain. Kemudian aturkan kesemuanya mengikut keutamaan. Jika kita hanya bergantung dengan daya ingatan sahaja, bimbang akan ada yang tertinggal,selain tidak disusun keutamaannya.

2.Kualiti masa
Apabila bersama insan yang dikasihi, gunakanlah masa itu sebaiknya. Gembirakanlah hati mereka walau dengan apa cara pun ketika Allah mengurniakan nikmat masa untuk kita bersama mereka. Sesungguhnya, mereka telah banyak berkorban, bersabar, dan membahagiakan kita.

3.Mengulangkaji pelajaran semasa hari persekolahan
Kita senantiasa ternanti-nanti menjelangnya hujung minggu dimana masa yang kebiasaannya kita habiskan untuk kita merehatkan diri, menjalinkan ukhwah,berziarah dan pelbagai lagi. Terdapat segelintir kita akan mengumpul semua waktu belajar pada waktu hujung minggu tetapi tetap juga tidak boleh diketepikan kita perlu memperuntukkan masa belajar paling minima 1 jam sehari pada hari biasa, kerana kita sedar kita tidak punya Sabtu dan Ahad yang cukup. Dan perlu diingatkan belajar dan membuat tugasan itu adalah dua perkara yang sangat berbeza.

4.Jangan bertangguh
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :“ Jagalah 5 perkara sebelum 5 perkara.” Dan salah satu daripadanya ialah menjaga waktu lapang sebelum tibanya waktu sempit. Justeru, apakah yang menghalang kita dari memulakannya atau lebih baik lagi, menyiapkan tugasan itu seawal mungkin? Dan ingatlah bahawa hari esok belum tentu milik kita.





5.Belajar secara bijak
Fokus, fokus dan fokus. Tumpukan perhatian sepenuhnya ketika belajar. Di zaman universiti, ilmu Allah yang terbentang luas di hadapan kita di dalam kitab bagaikan laut. Rancanglah jadual belajar kita dengan baik. Dan jika perlu kepada kumpulan belajar, silakanlah. Yang paling penting, belajar kerana Allah adalah juga satu ibadat. Jadi, sentiasalah ikhlaskan hati untuk belajar.

6.Dakwah fardiyah
Memilih untuk bersama gerombolan dakwah adalah satu pilihan yang tepat. Tetapi penting bagi kita untuk sentiasa memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita dalam setiap perkara. Apabila kita berdakwah,berdakwahlah dengan cara yang berhemah dan terbaik supaya apa yang kita hendak sampaikan dengan jayany. Semoga Allah sentiasa memberikan kita pertolongan dan petunjuk dalam melaksanakannya.

7.Mesyuarat yang efektif
Agenda dakwah dan tarbiyyah memerlukan kita untuk selalu berbincang, merancang dan mengetahui pekembangan terkini. Kalau tidak dirancang, mesyuarat kita boleh menjadi lama dan berjela-jela, tetapi kurang efektif. Komitmen dari semua ahli sangat penting untuk memastikan penggunaan masa yang efektif.

8.Jaga hubungan dengan Allah
Barakah itu amat penting bagi kita sebagai muslim. Apalah ertinya hidup kita tanpa berkat dari Tuhan yang Maha Esa. Maka mohonlah kepada Allah, agar kita dikurniakan berkat dalam hidup dan berasa kemanisan islam sebenarnya.Insha Allah.







                    Pendek kata marilah kita bersama-sama berusaha untuk menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Banyakkan aktiviti yang bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain di sekeliling kita.Seperti pepatah arab “waktu ibarat sebilah pedang”. Jika pedang itu tidak  dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, maka ia akan memotong lehermu.

Wallahua’lam.



Read more

Hakikat Bahagia

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim..



Ramai orang masih mencari bahagia,
Malah mereka sangat berharap untuk merasainya,
Namun,
Cara mereka berbeza, inisiatif mereka tak sama,
Sedikit cuma yang sudah meraihnya, malah tidak ramai yang menikmatinya,
Apakah resipi bahagia?
Ada yang bilang harta adalah kuncinya,
Keturunan yang ramai adalah rahsianya,
Pakaian yang megah sudah pasti salah satu sebabnya,
Apatah lagi jika kita punya rupa,
Tapi,
Adakah orang yang sederhana hidupnya tidak pernah merasa bahagia ?
Yang punya zuriat sedikit itu sengsara hidupnya?
Bagaimana pula yang dikatakan orang yang punya rupa?


Kunci bahagia itu ada,
Kita semua bisa memilikinya,
Ia tertanam dalam hati kecil milik kita
Apa lagi yang pantas selain perasaan syukur kepada-Nya?
Syukur atas semua nikmat yang kita punya, yang dikurnia oleh Dia



Jika kita punya syukur dalam dada,
Kita tidak akan terkejar-kejar akan harta dunia,
Kemegahan pakaian,indahnya rupa dilihat kecil pada pandangan mata,
Malah jika kita punya syukur dalam dada,
Akhlak kita pasti terjaga,
Hati kita jadi setia pada-Nya,
Ketenangan tertanam dalam jiwa,
Senyuman dibibir terukir sentiasa,


Itulah cerita bahagia,
Itulah kuncinya,
Itulah rahsianya,
Syukur kita pada Dia.



“Dan (ingatlah)ketika Tuhan-mu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi  jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sungguh azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim,14:7)



Wallahua’lam.



Read more