• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

MUSLIMAH'S DAY @ iWOMAN 2012

0 comments

Muslimah's Day @ iWoman 2012 di Russia

Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah'. (HR Muslim).



























  


















MUSLIMAH SOLEHAH ITU BERBEZA....


Read more

Jalan-jalan, carilah yang halal

0 comments

                                 
Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi  kesyukuran dan puji-pujian buat Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat dan kesenangan. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Melihat ke luar tingkap, kelihatan sinaran mentari terang memancar menerangi bumi Ilahi, bumi Sang Malik. Musim sejuk bakal berakhir, salji pun makin cair, jalan yang licin berais jangan disebut-sebut, cukup anti! Dah berapa kali kita jatuh, tergelincir dan pernah juga tergelongsor turun bukit meredah salji berjihad menuju ke kelas??? Alhamdulillah, semoga perjuangan seharian kita tidak sia-sia, semoga ia menambahkan redha Allah, insyaAllah...

Satu perkara biasa yang dapat didengari sepanjang musim sejuk, apatah lagi pada pengakhirannya, satu ayat yang mungkin sinonim dengan pihak muslimah yang ayu, namun buat jejaka-jejaka perkasa pejuang agama Ilahi  pun mungkin pernah terbit juga...

“Alamak! Berat badan dah naik!”

Nak cerita pasal berat badan ke ukhti?
Nak bagi tips berdiet ke? Atau...
Nak bagi syarahan tentang piramid makanan yang harus diikuti???

Tidak, sahabat sekalian. Semua itu antum pasti dah tahu, dah sebati dalam jiwa masing-masing.  Kan kita dah belajar dari sekolah rendah lagi, takkan nak ulang? Boring!

Selain daripada solat 5 waktu, apa lagi yang kita tak pernah ‘miss’? Jawapannya... MAKAN! Jangan tipu, ana tahu semua mesti suka makan. Macam-macam resepi yang ada sekarang untuk dicuba, banyak delikasi yang ada untuk dirasa, pelbagai perisa enak untuk dinikmati. Sehinggakan kadang-kadang perlu diingatkan, ‘We eat to live, not live to eat!’

Di sebalik keghairahan kita untuk memenuhi keperluan diri yang satu ini, kita tidak seharusnya leka tanpa menitikberatkan syariatNya.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a., beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
 “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
-Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Antara halal dan haram, terletak syubhah di antaranya. Dan syubah itu menjerumus kepada haram! Pengalaman jalan-jalan cari makan di bumi Russia ini, begitu banyak perkara yang perlu difikirkan ketika ingin membeli makanan. Tanda halal usah diungkit, susah benar nak jumpa! Alhamdulillah, nasib baik ayam halal dan produk-produk yang sewaktu dengannya mudah didapati, kalau tidak pasti parah. Entah-entah terpaksa jadi vegetarian pula!

Baru-baru ini, ada satu video yang menunjukkan situasi di Malaysia, di mana kebanyakan kedai-kedai makan di sana sebenarnya tidak mempunyai sijil halal yang sah! Alamak!!! Logo halal pun ada yang ciplak! Aduhhh macam mana ni???

 “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
 -Surah al-Baqarah: 168

Kita diperintahkan agar memakan makanan yang halal, tetapi keadaan persekitaran kita sedikit menyukarkan untuk kita laksanakan perintah ini. Tapi, itu bukanlah alasan! Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan semua tindakan dan keputusan kita, apatah lagi setiap makanan yang dicernakan itu akan menjadi sebahagian daripada darah daging kita nanti. Mahukah antum mempunyai darah dan daging yang kotor, yang busuk daripada makanan-makanan haram???

Sebagai seorang muslim, kita harus teguh dengan pendirian dan usaha untuk mencari makanan halal. Kita sebagai pengguna juga mempunyai hak untuk menuntut penjelasan mengenai isu ini!

“Kita sekarang dekat Russia, memanglah susah nak dapat makanan halal... Makan je la apa yang ada.”

Hm.. setujukah antum pada kenyataan di atas? Ana... mungkin separa setuju. Memang susah nak dapat makanan yang seratus peratus halal. Tapi... untuk makan sahaja apa yang ada... kurang setujunya di situ. Memilih yang halal dan menjauhi yang haram turut membuktikan kehambaan dan keimanan diri dalam menuruti perintahNya. Mungkin kita akan tersilap pilih juga suatu hari nanti, namun, bukankah usaha juga dikira? 'Prevention is better than cure!' Maka...rajinkanlah diri masing-masing untuk membaca isi kandungan makanan tersebut sebelum membelinya. Barangan yang nyata menyokong perjuangan yahudi apatah lagi, jauhilah!

Itu sahaja. Mudah bukan?

Bukannya berniat untuk mengongkong, namun banyak lagi barang-barang pengganti yang boleh digunakan selain daripada produk kesayangan antum (dan ana juga) itu, yang lebih yakin taraf halalnya. Jikalau kita tidak berjaga-jaga dan tidak menjauhi syubhah, buruk akibatnya!

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
 “Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baikbaik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?
-Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Alangkah ruginya apabila kita kehilangan satu kelebihan yang amat berharga... Bukankah doa itu senjata para mukmin? Apa yang bakal terjadi andai doa kita tidak dimakbulkan?? Astaghfirullah... ana cukup takut untuk membayangkannya, memandangkan diri yang kerdil ini tidak akan mampu untuk meneruskan perjuangan di alam fana ini tanpa meminta perlindungan dan pertolonganNya...

Maka, marilah kita berusaha lebih sedikit sahaja lagi untuk mencari makanan yang diyakini kehalalannya. Semoga kita semua dilindungi daripada tipu daya si pencinta kapitalism, yang hanya menginginkan keuntungan tanpa menitikberatkan hak para pengguna.  Lagipun, homemade food is always the best! Apalagi, jom asah skill kulinari dengan mencuba resepi-resepi di AZAM kulinari!

Wallahua’lam.

-AH-
                                


Read more

FRIDAY WRAP ( MAC 11 - MAC 17 )

0 comments
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasul kita, Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum.
Azam Russia membawakan beberapa sorotan berita dunia sekitar minggu ini.



11 Mac- Hari ini genap setahun bencana gempa bumi dan tsunami melanda Jepun yang mengorbankan ribuan dan menyebabkan krisis radiasi berpunca dari kerosakan loji nuklear.Anggaran seramai 16 000 orang terkorban, dan hampir 3000 yang tidak ditemui.

Beberapa kilometer dari loji nuklear Fukushima, penduduk dibenarkan pulang selama beberapa jam untuk memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban.Seluruh negara berkabung selama beberapa minit bermula pukul 2:46 petang mengikut waktu ketika gempa bumi berlaku.Diikuti pula oleh daerah Ofunato 33 minit kemudian apabila tsunami 23 meter yang melanda daerah itu.




12 Mac- Israel melancarkan lebih banyak serangan udara di Gaza, manakala pejuang Palestin meneruskan serangan roket ke selatan Israel dalam pertempuran yang memasuki hari keempat.Seramai 23 orang rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh itu.

Usaha Mesir untuk menjadi orang tengah perjanjian damai dilihat tersekat dengan permintaan kumpulan Jihad Islam yang yang mahukan Israel berjanji untuk tidak menyasarkan kepimpinan kumpulan itu dalam serangan-serangan yang akan datang.Kumpulan Jihad Islam itu berkongsi ideologi yang sama dengan Hamas, namun tidak mempunyai pengaruh besar seperti Hamas.




12 Mac- Seramai 12 orang rakyat rakyat tempatan terbunuh di Homs.Pembunuhan beramai-ramai di Homs dan juga serangan di bandar Idlib berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang diatur oleh utusan Liga Arab-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan.

Penyelaras Jawatankuasa Tempatan Syria, satu kumpulan pembangkang di Syria, melaporkan seramai 45 orang wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan dibakar di daerah Karm el-Zeitoun, di Homs.Seorang aktivis berkata tentera pembebasan Syria membantu mengumpulkan jenazah mangsa yang terkorban di satu tempat, kerana jika tidak dibuat sedemikian tentera rejim akan menyembunyikan bukti keganasan mereka.


16 Mac- Satu gempa bumi berskala 6.1 richter menggegarkan bandar Tokyo pada hari ini.Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada kerosakan pada loji-loji nuklear.Gempa bumi itu berlaku di Ibaragi dan Chiba, timur Tokyo, diikuti dengan satu lagi gegaran berskala 6.8 di utara Jepun.




Moscow- Aktivis pihak pembangkang Sergei Udaltsov memulakan mogok lapar selepas dijatuhkan hukuman penjara 10 hari desebabkan tidak mematuhi arahan pihak berkuasa dalam satu demonstrasi menentang Vladimir Putin. Rakannya, Alexei Navalny dikenakan denda sebanyak 1000 ruble kerana keengganan untuk meninggalkan demonstrasi yang diadakan sehari selepas kemenangan Putin.

Dalam satu kes lain, Alexei Kozlov, suami kepada salah seorang penganjur perhimpunan protes itu, dikenakan hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan rasuah.





Beirut- Aktivis Syria mengatakan mereka tidak terkejut dengan emel yang menunjukkan Bashar al-Assad dan isterinya membeli belah barangan mewah dan lagu-lagu pop ketika negara itu sedang bergelumang dengan darah.Surat khabar Guardian melaporkan, mereka menerima 3000 emel  dari Bashar dan isterinya, Asma.Isterinya dikatakan membeli seutas rantai berlian dari Paris, manakala Bashar memuat turun lagu dari iTunes.Ini menunjukkan yang keluarga pemerintah rejim tidak mengambil peduli tentang krisis yang berlaku di negara itu.



Sekian saja berita-berita dunia yang dibawakan kepada anda oleh Azam Russia.Di kesempatan ini marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan saudara-saudara kita di Palestin, Syria dan di seluruh dunia.

Jika punya kelapangan, tontonlah video ini.Marilah kita bermuhasabah, adakah kita sudah mengucapkan syahadah yang ikhlas, bersedia berserah diri dan memberi kepatuhan kepada Allah dan Rasul kita.

Assalamualaikum.













Read more

Tilikan hati untuk semua.

0 comments

Assalamualaikum pembuka bicara, ke hadapan pembaca tak kira siapa sahaja.

Tilikan hati, bukan menilik apa perkara yang akan berlaku tetapi lebih kepada mengukur kembali kedudukan hati ini.

tilik hati?
Kadang-kadang..hati sering terusik "Ya Allah..sayangnya aku kepadaMu Ya Allah." Kadang-kadang..hati sering membisik "Ya Allah..rindunya aku kepadaMu Ya Allah," dan seringkali hati mengatakan "Ya Allah..cintaku hanya padaMu Ya Allah,"

Tapi ingin saya bertanya...pernahkah kita berkata.."Ya Allah..sukarnya hidup ini,", "Ya Allah..cukupkah cintaku ini padaMu ya Allah,", "Ya Allah..beratnya ujianMu Ya Allah."

Keluhan demi keluhan kita luahkan. Rintihan demi rintihan kita titipkan kepadaNya. Alhamdulillah itu semua satu tujuan yang baik ke arah pengabdian kita terhadap Allah. Namun bila difikirkan balik, layakkah kita mengeluh andai Allah sendiri yang berjanji,


"Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupan."
-Al-Baqarah: 286

Layakkah kita merintih, andai ujian itu hanyalah satu lagi tingkat untuk meninggikan lagi keyakinan kita terhadap ilahi? Sepertimana yang dijanjikan oleh Allah, bahawa orang beriman, tidak layak mengaku beriman andai diri tidak pernah diuji olehNya.

Aku malu, aku segan padaMu ya Allah andai aku mengeluh padamu ya Allah.

Aku mengeluh perutku lapar, sedangkan kekasihMu Ya Allah, Muhammad bin Abdullah rela mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar sewaktu dipulau kaum Quraisy.

Aku mengeluh tidur di atas tilam yang keras sedangkan kekasihMu hanya beralaskan pelepah tamar.

Aku mengeluh duit biasiswaku lambat masuk, sedangkan kekasihMu bersedih melihat si miskin di tepi jalan sedangkan dia tidak dapat memberi apa-apa kepadanya.

Aku mengeluh orang tua yang di jalanan hanya merosakkan pandangan, sedangkan kekasihMu amat mengasihi mereka.

Aku begitu kerdil jika dibandingkan aku dengannya...

Kemudian aku berbangga, aku sudah mendapat banyak ilmu, sedangkan di sekelilingku masih jahil berbandingku.

Aku memandang rendah hambaMu yang jahil sedangkan mereka berbuat sesuatu tanpa ilmu yang harus mereka tahu….tanpa aku cuba membantu.

Aku memandang jelek hambaMu yang lalai dibuai dunia sedangkan mereka lebih hebat diuji daripadaku…

Lemahnya aku di sisi mereka, kerana aku ingat apa yang aku ada sudah cukup tapi hakikatnya aku tidak pernah diuji olehMu...

Layakkah aku mengatakan aku cinta padaMu ya Allah. Kuatkanlah aku andai aku diuji olehMu kelak. Kau jadikanlah iman di hatiku tetap sewaktu itu.


Bersyukurku berada di dalam keluarga yang mementingkan pengajaran agama, bersyukurku kerana dikurniakan sahabat yang sedia membantu, bersyukurku kerana mengenali guru-guru yang sedia berkorban, bersyukurku kerana Allah mengurniakan aku pelbagai peluang.

Biarpun aku sedih sebab merasakan Dia belum mengujiku.

Tapi, kesedihan itu dipudarkan dengan keyakinan terhadapNya.

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan sama ada mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
-Al-Imran: 191

Buat pembaca sekalian. Kadangkala kita berasa bangga atas apa yang kita ada, tapi kita selalu lupa yang apa yang kita ada itu adalah atas izinNya. Tanpa izinNya, takkan mengalir air di sungai, takkan turun hujan dari langit. Tiada kudrat kita terhadap apa yang diizinNya. Kita kadang-kadang menyalahkan apa yang telah ditentukanNya sedangkan Dia sendiri lebih mengetahui daripada apa yang kita ketahui. Carilah agama semata-mata mencari keredhaanNya. Jangan sampai agama yang dicari itu membuatkan kita ujub, bongkak, sukar menerima pendapat. Itu adalah ilmu yang menjauhkan kita daripadaNya. Sedangkan imam Syafie sendiri berkata, "Semakin banyak yang aku belajar, semakin banyak yang aku tidak tahu." Itulah disiplin dalam hidup ini. Kadang-kadang kita ingin mengikut sunnah rasulullah, tapi kita lupa, yang baginda benci akan umatnya yang membenci muslimin yang lain.

Akhir kata, suka saya berkongsi sepotong ayat al-quran, semoga dengan ini mampu membantu diri sentiasa dekat kepadaNya.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."
-Yunus: 57

Wallahualam…


Read more