Masjid Katedral Moscow, Russia

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim..


Assalamualaikum wbt




 Pada 23 Semptember 2015 yang lalu, ribuan umat Islam di Moscow berkumpul demi menyaksikan detik-detik bersejarah perasmian Masjid Katedral Moscow oleh Presiden Russia, Vladimir Putin, sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha setelah hampir 10 tahun kerja-kerja pembinaan semula dijalankan.Turut hadir pada majlis perasmian secara besar-besaran tersebut ialah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas selain penderma ternama dari Kazakhstan.



Sedikit info

Merupakan masjid terbesar di Rusia dan kedua terbesar di benua Eropah selepas Moschea Roma, di Rom, Itali yang boleh memuatkan 12,000 jemaah, manakala masjid ini boleh menampung lebih 10,000 jemaah.




Masjid setinggi enam tingkat dan memiliki keluasan 19,000 meter persegi itu menelan kos sebanyak AS$170 juta (RM745 juta) dimana kebanyakkannya dibiayai oleh seorang jutawan dari Rusia, iaitu Suleyman Keyrimov yang juga merupakan seorang ahli parlimen disini. Terdapat juga bahagian sumbangan dari individu-individu bebas dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sebanyak AS$26,000 bagi mewakili pihak kanak-kanak Palestin.




Turki pula mendermakan mimbar, dan sebuah mihrab. Dinding dan siling masjid dihiasi ukiran tradisional Rusia, diukir tukang dari Turki. Kubah dan astaka masjid pula disadur dengan selaput emas seberat 12 kilogram. Emas dipilih sebagai lapisan kubah masjid bagi menyelaraskan konsep pembinaan dengan kubah emas gereja-gereja tempatan di sekitar Moscow.


Sejarah Asal Masjid Katedral Moscow





Tapak tanah di Vypolzov lane(Prospekt Mira) , di mana masjid itu dibina, asalnya dibeli oleh para pedagang Tatar pada tahun 1902. Sebelum bangunan asal masjid ini berjaya dibina, komuniti muslim di sini telah berkali-kali mengusulkan cadangan untuk pembangunan masjid di Moscow sekitar akhir tahun 1980-an namun ditolak. Akhirnya, pada Disember 1903 pihak berkuasa Moscow diketuai oleh Moscow Gabenor Jeneral  Grand Duke Sergey Aleksandrovich telah meluluskan projek pembinaan masjid berkenaan. Nikolay Alekseevich Zhukov, merupakan arkitek yang melaksanakan projek pembinaan masjid tersebut dengan gaya Bizantium. Akhirnya, selepas lima bulan perlaksanaan, masjid asal siap dibina pada tahun 1904 serta mampu menampung seramai 2000 jemaah.Imam pertama masjid pada masa itu ialah Badriddin Khazrat Alimov. Beliau juga telah membuat permintaan kepada pihak berkuasa untuk memberi keizinan untuk beribadah secara terbuka di masjid berkenaan. Namun, tidak lama kemudian pada zaman Kesatuan Soviet, masjid-masjid diseluruh negara telah diarahkan untuk ditutup, para imam juga dianiaya dan buku-buku agama dimusnahkan. Walau bagaimanapun, masjid ini adalah salah satu daripada masjid-masjid negara yang berjaya elak dari ditutup.




Semasa menyambut ulangtahun pembukaan masjid ini yang ke-100 tahun, masjid ini telah diputuskan untuk membuat penambahbaikan bermula Mei 2005 dengan mengekalkan bangunan dan tapak asal masjid.Namun pada tahun 2011, bangunan asal masjid terpaksa dirobohkan dan telah mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk  dan pihak pembela warisan budaya ibu kota termasuk beberapa organisasi dan pemimpin Islam kerana menganggap bangunan asal masjid ini memiliki nilai sejarah, budaya dan memori yang unik, tidak hanya bagi umat Islam, tetapi juga bagi seluruh warga kota Moscow.

Wakil ketua Dewan Mufti Rusia bagaimanapun tampil memberi penjelasan bahawa masjid asal tersebut tidak lagi selamat digunakan secara berterusan memandangkan keadaan masjid lama yang terlalu sempit dan terdapat pelbagai kerosakan.Tapak bangunan lama masjid sebahagiannya telah tertimbus dalam tanah sekaligus tidak lagi selamat untuk jemaah yang hadir. Kedudukan masjid ini juga dikatakan tersasar sedikit dari arah kiblat yang sebenar dan lebih tepat.


 




Seni Bina Masjid


Masjid baharu ini dilengkapi tujuh lif, ruang solat berhawa dingin dan mempunyai kemudahan mesra bagi golongan kurang upaya. Menara-menara masjid itu setinggi 72 meter, kubahnya pula setinggi 46 meter. Pada bahagian tengahnya memiliki kubah bersadurkan emas dengan bingkai ukiran ayat-ayat Al-Quran.Terdapat beberapa skrin-skrin video yang dipasang bagi memaparkan maklumat semasa dan terkini.

  

Warna utama masjid ini adalah emas dan biru kehijauan. Hiasan tradisional di dinding menggambarkan masjid Tatar yang dibuat oleh seniman yang diundang khusus dari Turki. Majoriti daripada elemen-elemen di dalam masjid telah dibuat di Turki antaranya hiasan marmar, mihrab serta kandil serta chandelier di ruangan utama selain sebanyak 320 biji lampu Kristal turut dipasang. Terdapat juga Menara yang simbolik kepada Menara Kremlin Moscow dan Kazan.




Pada setiap permukaan tembok di bahagian dewan utama, terdapat beberapa nama para sahabat Nabi Muhammad S.A.W antaranya Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman Affan, Saidina Ali Abi Talib, Saidina Umar Al-Khatab dan ramai lagi. Pada bahagian atas tembok pula dikelilingi beberapa surah-surah terpilih antaranya Surah Al-Ashr, Al-Qadr dan sebagainya. Terdapat jendela kaca berwarna-warni diukir dengan nama-nama Allah. Pada ruangan solat wanita di tingkat 4 , beberapa nama-nama Allah turut dipamerkan pada bahagian dinding. Bahagian dalam kubah pula terdapat jalur-jalur hitam dengan beberapa potongan ayat diatasnya. Semua tulisan yang diukir menggunakan tulisan kaligrafi berwarna emas.






 




Pembukaan Masjid Katedral Moscow ini telah memberi sinar dan harapan baru kepada seluruh umat Islam di Russia. Komuniti muslim di sini kini telah mencapai lebih 20 juta umat Islam, iaitu 15 peratus daripada jumlah penduduk, majoritinya masyarakat kaum Tatar, sekali gus membentuk agama kedua terbesar di negara itu selepas Kristian Ortodok.



Bagi sesiapa yang berminat boleh ke laman sesawang rasmi masjid ini iaitu www.mihrab.ru . <--KLIK SINI

Pelbagai berita terkini dan info menarik yang boleh diperolehi antaranya waktu solat fardhu setiap hari, penerangan mengenai solat lima waktu, solat sunat hari raya, solat sunat jenazah dan solat jumaat berserta koleksi khutbah setiap minggu dalam bentuk audio. Sedikit penerangan tentang perkahwinan dan sejarah para imam masjid yang pernah berkhidmat di sini. Perkongsian ayat Al-Quran dan Hadis setiap hari.



Wallahualam,Sekian.


Post a Comment