TERAKHIR

0 comments






10 malam.


Lelaki itu mencari posisi sesuai sebelum pandangan dijatuhkan lama ke arah subjek. Subjek bertubuh genit yang sedang ketawa bersama rakan-rakannya diperhatikan kosong. Tepat 15 minit menunggu, picu M16 dilepaskan dan peluru dari tingkat 14 berjaya mengenai dada sasaran. Menggelumpur seketika, target bergelar Tan Sri itu akhirnya menghembus nafas terakhir, di hadapan pub kegemarannya.
"Selesai. Masukkan baki duit aku". Segaris ayat separa arahan dikeluarkan lelaki itu sebelum memecut laju meninggalkan tempat kejadian. 'Ini yang terakhir', hatinya berdetik.

11.30 malam.

Porsche merah diparkir betul-betul di hadapan restoran milik kawannya. Tanpa mempedulikan mata-mata wanita gersang yang memerhati, dia segera melangkah masuk mencari ruang yang agak tersorok.
"Am, kau dari mana ni?", Razif menyapanya lembut, seperti kebiasaan. Raut wajah sahabatnya yang telah dua tahun berubah ditatap lama sebelum dia menjawab, "Macam biasalah Zif. Aku ingat nak cuci tangan. Tapi entahlah...Aku buat benda ni dah lama. Bukan seorang dua aku dah bunuh. Kalau aku berhenti sekarang, macam mana kalau diorang cari aku? Lima tahun Zif...Tuhan pun mungkin dah tak pandang aku. Aku kotor." Keluhan berat dilepakan Am. Sepi mengisi ruang antara mereka sebelum Razif membuka bicara, "Aku mungkin baru kenal Tuhan tapi aku yakin Dia masih sayangkan kau. Masih belum terlambat untuk kau kembali. Kalau kau risau tiada tempat, aku ada, restoran ni pun sentiasa alukan kau. Ingat Am, kita sentiasa diberikan ruang dan pilihan dan selebihnya terpulang kita." Razif kemudian bangun menyambung bicara sebelum meninggalkan Am bersendirian. "Kau ada masa untuk berubah cuma jangan lupa kita tak tahu bila masa tu akan berhenti."

2.15 pagi

Pedal minyak ditekan kuat. Kata-kata Razif bermain di fikiran. Dia teringat ibu. Lima tahun tidak bersua. Ibu pasti masih membenci dirinya. Sekalipun dia berubah, silamnya tetap mengejar, dia tetap anak terbuang, jadi untuk apa? Jika Tuhan benar-benar penyayang, mengapa dia dicampak ke lembah ini? Sedang dia hanya ingin mengumpul biaya perubatan untuk seorang tua bergelar ibu. Mengapa Tuhan tidak menunjukkan jalan keluar lain? Tuhan tidak pernah adil! Bisikan demi bisikan hati menyebabkan jiwanya berkecamuk. Pedal ditekan lebih laju, dan fokusnya semakin terganggu. Tanpa dia sedari, lori dari arah bertentangan semakin menghampiri. Brek ditekan kuat namun tidak mampu menahan kelajuan kereta dan....

"Kau ada masa untuk berubah cuma jangan lupa kita tak tahu bila masa tu akan berhenti".

6.00 pagi

Selesai Subuh, wanita tua itu didatangi dua jururawat. "Mak Jah, kami ada berita kurang baik tapi kami harap Mak Jah bertenang ya," jururawat bernama Shira membuka bicara sedang sahabatnya mengusap lembut belakang Mak Jah, memberi semangat barangkali. "Anak Mak Jah, Amran telah kembali kerahmatullah akibat kemalangan. Mak Jah sabar ya? Kami sentiasa ada dengan Mak Jah," Shira menoktahkan bicara dengan pelukan. Tubuh tua itu seakan kaku, mungkin tergamam dengan berita yang diterima. 'Am, ibu rindukan kamu. Seperti lima tahun lepas kamu pergi lagi tapi kali ini kamu pasti tak akan kembali', hati tua itu merintih sayu. Air mata yang mengalir d
iseka perlahan, seperlahan sosok tua itu mampu bertahan.




….…………………………………………………………………………………………..

Hidup, tak pernah menjanjikan pelangi atau ribut di penghujung. Tetapi hidup, menyajikan kita pilihan dan jalan, dan dari keputusan yang kita ambil telah dihamparkan akibat mahupun manfaat. Liku kita mungkin berbeza tetapi yang dikira adalah yang terakhir dari hidup kita, kerana yang terakhir itu satu penentuan, gembira atau kecewa engkau di sana. Ingatlah kawan, sekalipun saat ini kau terjerumus ke dasar paling dalam, Tuhan takkan pernah membiarkan kau tenggelam, menangis sakit keseorangan. Selagi ini bukan yang terakhir, carilah Dia dan kembali, tapi jangan terlalu berlengah kerana kita tidak tahu saat yang manakah akan jadi noktah terakhir pengembaraan kita di dunia :)


Post a Comment