Kisah Aku Buat Kamu.

1 comments
Cebisan kisah aku. Kisah aku sesat dalam terang. Jun 2014, jejak sahaja kaki di bumi sebelah sini, banyak yang berubah. Dari bertudung labuh bidang 60 kepada tudung bidang 45. Dari baju labuh kepada baju singkat dan ketat. Dari menjaga kepada mempertikai soal ikhtilat. Dari rajin kepada malasnya beribadah. Dan dari kenal sehingga lupa bahawa aku hidup bertuhan. Ya, banyak perkara aku pertikaikan, lebih-lebih lagi dulu aku budak sekolah agama. 

Menarik lagi,  aku sertai usrah bersama yang lain (roommates), tapi sayang jiwa masih terasa jauh dengan pencipta. Sebut pasal roommates, kami kenal setahun sebelum terbang ke sini dan mereka saksi bagaimana futurnya seorang aku. Bukan mereka tidak menegur hijrah aku ke arah jahiliyyah, tapi barangkali kami dikaburi dengan kenyataan ‘Islam itu mudah’ , cukuplah dengan solat dan usrah.

Beberapa bulan di negara sejuk ini, Allah mengaturkan aku satu perkenalan dengan seorang ajnabi, seorang pendosa tegar bagi aku. Sebut sahaja dosa apa yang tidak dilakukan. Ya,sebut saja... Sebelum aku lebih mengenali dia, aku memandang dirinya hina dengan bebanan dosa. Sehingga pernah suatu masa aku tertanya, layakkah keampunan Tuhan untuk dia? Hari berganti hari, kami semakin rapat dan lembaran duka di sebalik dosa yang dilakukan dia semakin terungkap. Banyak cerita banyak rahsia. Demi Allah, aku takut menyimpan amanah. Setiap manusia melakukan dosa dengan sebab, jadi aku yakinkan dia bahawa pintu taubat Allah sentiasa terbuka.

 Alhamdulillah, dia mulai solat setelah beratus sujud dengan sengaja ditinggalkan sebelumnya. 
Dan aku?! Aku terpempam dengan aturan Yang Maha Kuasa. Sungguh Dia berkuasa menghidupkan hati yang telah mati. Sejak itu aku berfikir.

 1 Ramadhan 1436, aku memilih untuk kembali. Lebih tepat lagi, aku bertatih kembali mencari erti hidup bertuhan. Tudung aku labuhkan sedikit, ibadah aku tingkatkan dan ikhtilat perlahan-lahan aku pelihara. Perubahan itu indah tapi tak pernah mudah. Cuti summer, kesukaran mulai terasa bila cinta manusia jadi ujian. Ya, cinta pada manusia. Dan seorang aku bukanlah kuat. Aku banyak menyendiri. Aku takut. Aku bimbang jika aku berpaling lagi, ini mungkin hidayah terakhir. Aku keliru.

Hari ini, 5.1.2016, aku masih bersyukur. Tudung aku sekarang labuh macam akak usrah, aku ada roommates yang sangat supportive, hidup aku lebih tenang dan bahagia. Cinta? Aku letak tepi dulu, sebab aku yakin dengan jodoh Tuhan. Cinta yang Allah redha akan membawa aku kepada Dia bukan ke neraka. Lagipun, sepanjang galau sekeping hati, Tuhan setia menemani, sedang yang aku cinta entah kemana.               

 Sejujurnya, ujian aku tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan dia dan kamu. Tapi, kisah ringkas ini sengaja aku coretkan sebagai bukti bahawa hidayah milik Allah, dan hidayah boleh menyapa kita dengan pelbagai cara yang tidak terduga. Aku yakin bahawa manusia pendosa seperti aku, dia dan kamu mampu berubah selagi mana kita dijanjikan satu perkara, iaitu harapan. Harapan bahawa Allah sentiasa menunggu kita, untuk kembali kepada Dia.  
   
Satu lagi perkara, bila kita lemah kita perlukan harapan dan sokongan. Kalau kita tengok kawan kita nak berubah, andai tak mampu sokong, jangan condemn. Hari ini pun, aku mampu menulis kerana saat aku memilih untuk berubah, roommates aku sentiasa ada untuk support. Lagipun, apa guna kawan kalau tak sampai syurga kan?


* roommates aku masih belum bertudung labuh, tapi bagi aku hati diorang cukup labuh untuk aku berteduh.










1 comment:

  1. hidayah itu milik allah,jangan memandang seseorang itu hanya melalui pakaian,rupa paras kerana itu tidak akan kekal lama,yang kekal lama ialah agama.Bacalah al quran selalu..insyallah penguat hati.Until now, i always wonder where i got strength to face this tricky life but subhanallah, in meantime, dik or kak, my voice turn to arabic dialect when reading quran.miracle happen anywhere without us considerinng that and my tears as wudhu to me when i dont even has a courage to take wudhu.that is my short story.

    ReplyDelete